Menjadi orang alim adalah dambaan ramai orang. Kedudukan orang alim mengatasi kedudukan orang yang tidak alim beberapa darjat. Di antara orang alim dengan ahli ibadat, orang alim lebih tinggi darjatnya. Seperti lebihnya bulan di atas bintang. Tidur orang alim lebih baik daripada ibadat orang jahil.
Ibuku pernah bermadah, alangkah beruntungnya kalau dapat bersemadi di perkuburan pinggir jalan kerana orang alim selalu melintasi jalan tersebut. Hanya dengan lalunya orang alim, ahli kubur mendapat keringanan daripada azab kubur. Tidaklah aku tahu sumber mana yang dipetik oleh ibuku. Tapi, aku cukup faham bahawa dalam banyak hal sandaran ibuku adalah tok-tok guru. Itulah sandaran utama almarhum bapaku masa hayatnya dahulu dan demikianlah sandaran generasi tua keluargaku.
Ketika bertanya dengan seorang pelajar di sebuah mahad tahfiz swasta, dia mengatakan dia sudah manamatkan pengajian tahfiz dan sedang menjalani pengajian 'alim'. Dalam tahun pengajian yang agak panjang, dia akan lahir sebagai seorang hafiz yang alim. Dengan kata lain, dia hafal 30 juzuk al-Quran dalam dada dan meguasai ilmu-ilmu Islam. Dia khatam kitab-kitab yang telah ditentukan sebagai rujukan pengajiannya 'safhan bisafhin'.
Almarhum bapakau pernah bermadah, ketika mendesakku menyambung pelajaran ke Al-Azhar, bahawa dia menerima petua dari orang terdahulu, barangsiapa yang minum air sungai Nil, menjadi alimlah dia. Harapan bapaku agar anaknya menjadi orang alim.
Demikianlah harapan orang untuk menjadi orang alim. Penuntut ilmu agama mahu menjadi alim.Ibu bapa menyimpan harapan agar anaknya menjadi orang alim.
Ada yang belajar agama di sekolah pondok bertahun-tahun agar menjadi orang alim. Dari muda belia sehinggalah tua beruban berumur masih menadah kitab. Bertalaqi dengan Tok Guru. Ada yang menyambung pelajaran hingga ke universiti dalam bidang agama.Baik universiti dalam negara mahupun ke luar negara. Ada yang belajar di universiti terkemuka dan ada yang mencari 'zawiyah-zawiyah' yang menyebarkan ilmu Islam di negara-negara tertentu seperti Yaman, Arika Selatan dan Pakistan. Harapan yang digantungkan, mahu lahir sebagai orang alim. Orang yang menguasai ilmu-ilmu Islam.
Beruntunglah menjadi orang alim. Tetapi, di atas semua keberuntungan menjadi orang alim itu, paling beruntung adalah orang alim yang diberi faham agamanya. Terdapat ramai sekali orang yang alim. Ramai juga yang disangka alim tetapi tak alim. Cuma pakaiannya menampakkan ciri orang alim. Walaupun ramai yang alim atau dianggap alim,tak ramai yang diberi faham tentang ilmu yang dimilikinya.
Menjadi orang faham dalam agama tidak mudah. Sekadar menghafal 30 juzuk Al-Quran belum boleh dikatakan faham dalam agama. Sekadar menghafal matan-matan beberapa kitab belum boleh dikatakan faham dalam agama. Sekadar membaca kitab-kitab turath maupun kontemporari belum cukup menjadi seseorang itu faham dalam agama. Kebolehan mengajar khalayak dengan membacakan kitab-kitab, pun bukan bermakna seseorang itu faham dalamagama.
Itulah yang didoakan nabi Muhammad SAW buat sahabat yang terkenal dengan kehebatan tafsirnya terhadap isi kandungan Al-Quran, Abdullah bin Abbas:
اللهم فقه في الدين وعلمه التأويل
"Ya Allah, Fahamkan dia dalam agama dan ajarkanlah dia ta'wil!"
Kefahaman Abdullah bin Abbas terhadap agama dan kemampuannya menta'wil terserlah dalam sebuah riwayat Imam Bukhari dalam Sahehnya mengenai tafsir surah An-Nasr.Oleh kerana Umar Al-Khattab memasukkan Abdullah bin Abbas yang waktu itu masih muda remaja dalam majlis mesyuarat yang terdiri daripada veteren ahli-ahli Badar, mereka mempersoalkan tindakan Umar Al-Khattab itu. Menangani kritikan para sahabat itu, Umar Al-Khtaab memanggil mereka dan berkata:
"Pada hari ini aku mahu tunjukkan kepada kamu semua satu perkara yang kamu akan akui sebagai kelebihannya", Lalu Umar Al-Khattab meyuruh mereka menjelaskan maksud surah An-Nasr:
"Allah memberitahu nabiNya bila dia akan wafat",
Demikianlah tajamnya fikiran Ibn Abbas di atas segala sahabat yang terlebih dahulu memeluk Islam dan lebih awal mendengar Al-Quran. Itulah seorang yang diberi faham dalam agama dan dilimpahkan kurnia kemampuan menta'wil.
"Pada hari ini aku mahu tunjukkan kepada kamu semua satu perkara yang kamu akan akui sebagai kelebihannya", Lalu Umar Al-Khattab meyuruh mereka menjelaskan maksud surah An-Nasr:
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ
Apabila datang pertolongan Allah
Maka, mereka menjelaskan bahawa surah tersebut adalah Allah menyuruh nabinya agar memuji Allah dan memohon ampun daripadaNya ketika melihat manusia memeluk Islam berduyun-duyun. Lalu, Umar Al-Khattab bertanya kepada Ibn Abbas tentang maksud ayat tersebut, lalu Ibn Abbas berkata:
"Allah memberitahu nabiNya bila dia akan wafat",
Demikianlah tajamnya fikiran Ibn Abbas di atas segala sahabat yang terlebih dahulu memeluk Islam dan lebih awal mendengar Al-Quran. Itulah seorang yang diberi faham dalam agama dan dilimpahkan kurnia kemampuan menta'wil.
Menjadi faham dalam agama membuat seseorang itu dapat meneropong isu sebenar di sebalik isu-isu tempelan. Lalu dia dapat mengulas penyelesaian terhadap sesuatu yang menjadi inti persoalan dan tidak disibukkan dengan persoalan tumpangan. Seorang yang diberi faham dalam agama, dalam banyak hal, mengemukakan pandangan dalam ruang khilaf yang kelihatan berbeza daripada pandangan ramai. Seringkali, seorang yang diberi faham dalam agama menghadapi tentangan daripada sebilangan orang alim.
Orang yang diberi faham agama sentiasa menjadikan dalil sebagai makanannya dalam berhujjah.
Orang yang diberi faham dalam agama, bila berhujjah, tidaklah akan berkata:'guruku telah berkata...kitab sekian menyebutkan...", lalu disenaraikan pulihan kitab rujukan karangan ulama muktabar.
Orang yang diberi faham dalam agama menampilkan agama dalam neraca yang menjadikan orang rasa mudah untuk mengamalkannya.
Orang yang diberi faham dalam agama, menyuluh jalan beragama untuk orang lain ke satu jalan yang jelas,meyakinkan dan jauh daripada keraguan ahli bid'ah dan orang berkepentingan.
Orang yang diberi faham dalam agama, terserlah dalam pendekatannya yang jauh daripada emosi dan hamasah.
اللهم فقهنا في الدين
0 comments:
Post a Comment