Seorang AJK Pas Kawasan di Kedah bercerita kepadaku tentang kekesalannya terhadap sikap pimpinan peringkat kawasan yang memandang rendah kepada program-program tarbiah. Katanya, usrah kurang mendapat sambutan. Mereka mendakwa bahawa mereka sudah cukup kuat menyokong perjuangan dan tidak perlu lagi diusrahkan.Sesetengah mereka memperlihatkan sikap fobia terhadap agenda tarbiah. Ketika mesyuarat AJK dijalankan, hamba Allah tersebut cuba mengambil kesempatan memasukkan slot tazkirah sebagai permulaan agenda. Namun, ada yang melahirkan ketidakpuasan dan mengatakan mesyuarat perlu fokus kepada mesyuarat dan tidak perlu ada tazkirah.
Aku teringat mesyuarat kurikulum di sekolahku. Sebelum mesyuarat, ada tazkirah ringkas. Sungguh...lebih baik mesyuarat di sekolahku daripada mesyuarat yang dinafikan pengisian tarbiah itu, biarpun mesyuarat sebuah gerakan Islam.
"Dia sangat angkuh untuk ditarbiah!", keluh AJK yang punya kesedaran itu.
" Dari mursyidul am hinggalah ke Wazifatul am...perlu bersedia untuk ditarbiah....", Ketua Pemuda PAS, Ust Nasruddin Hassan At-Tantawi mengungkapkan ketika menyampaikan slot tamrin pemuda.
Tidak ada orang yang boleh mendabik dada bahawa dia telah kuat dan setia kepada perjuangan. Seseorang itu mungkin kuat pada hari ini, sewaktu belum diuji. Tanpa tabiah, ketika diuji, dia akan lemah dan tewas. Dia, akan lari dari perjuangan sebagaimana mereka yang telah lari dengan sebab tarikan harta, pangkat dan pesona dunia. Mungkin juga disebabkan tidak tahan ditekan, diancam, disiksa, ditakutkan dan sebagainya. Kalaupun tidak lari dari perjuangan, tanpa tarbiah, dia akan dijangkiti penyakit futur dan gugur dari medan perjuangan.
Amal tabawi adalah ramuan yang membezakan antara mereka yang terjun ke medan perjuangan kerana meladeni politik kuasa dengan mereka yang berpolitik untuk dakwah.
Di sebuah kampung yang terkenal warganya sebagai pendokong sebuah parti harakah Islam, masjidnya hidup segan mati tak mahu. Solat jemaah lesu dan kekadang tidak ada orang.Aktiviti ilmu dan kerohanian tidak digerakkan sebagaimana sepatutnya.
Ironinya pula, di sebuah masjid di sebuah kampung yang pendudukanya terkenal sebagai pendokong sebuah parti kebangsaan, masjidnya makmur dan wajah-wajah yang dikenal pendokong parti kebangsaan hadir mengimarahkannya.
Ini bukan satu cerita kosong. Ini realiti yang berlaku di beberapa tempat. Walau bukan semuanya.Apa maknanya semua ini?
Inilah jawapan kepada keperluan sebuah amal tarbawi dalam sebuah perjuangan. Perjuangan bukan pada rajin hadir mendengar ceramah. Perjuangan bukan pada suara gegak gempita memberi respons terhadap isu semasa. Bukan pada pintar berbicara mengulas isu di kedai kopi. Perjuangan bukan pada semangat yang ditunjukkan pada demo-demo jalanan. Bukan! Perjuangan adalah pada istiqamah di atas kebenaran sepanjang hayat kurniaan ilahi. Istiqamah di atas jalan dakwah para nabi-nabi dan salafus soleh.
Wahai pemimpin sebuah gerakan. Jika hidupmu tidak disokong amal tarbawi, keterlibatanmu dalam wadah perjuangan Islam adalah sama dengan keterlibatan mereka dalam sebuah perjuangan selainnya. Akan kupersoalkan, berapa banyak usrah yang telah kau hadir? Tak kira sebagai ahli biasa atau naqib. Bukan berapa banyak ceramah yang telah kau sampaikan. Akan kutanyakan berapa banyak qiam yang kau tegakkan? Di mana solatmu maghrib dan insya tadi? Paling penting di mana kamu berjemaah Subuh tadi pagi? Banyak persoalan yang bersenadung dalam hati ingin kutanyakan kepadamu. Soalan bagi mengukur keperihatinanmu terhadap amal tarbawi. Sebelum kuakui tunduk kepadamu sebagai pemimpin yang memegang sepanduk 'wala'.
Agar kutahu bahawa kamu benar-benar pemimpin sebuah gerakan Islam dan bukan pemimpin sebuah parti. Andainya kamu pemimpin sebuah parti, kedatanganmu tidak kutunggu dan kehilanganmu tidak kutangisi. Tiada kemboja cinta buat kutanam dipusaramu.
Seorang Hitler lebih kukagumi daripadamu. Seorang Mahatma Ghandi lebih mempersona. Menderngar ceramah Sukarno lebih mengkhusyukkan. Andainya Amal tarbawi bukan keutamaan.
0 comments:
Post a Comment