Bila terbit bulan purnama
Bintang-bintang malap semua
Lalu bintang berkata sesama
Sungguh bulan patut dicela
Bintang kecil sayup cahaya
Kepada bulan cemburu membara
Menebar omong ramalan pendeta
Ilmu nujum berbaur auta
Telah terbit bulan purnama
Saat Makkah dalam gerhana
Kafir musyrikin menebar pesona
Muhammad dituduh kahin gila
Kalangan musyrikin banyaklah bintang
Bintang masyhur nama terjulang
Dalam masyarakat bukan sebarang
Disanjung dalam pelbagai bidang
Memang bintang cemburu bulan
Kerana bulan terbit melawan
Menentang adat juga kebiasaan
Mengajak kembali ke pangkal jalan
Bulan kan terbit setiap purnama
Semua mata tertumpu padanya
Lupalah pada bintang semua
Hanya bulan didamba sukma
Demikianlah nabi telah bersabda
Setiap 100 tahun yang menjelma
Akan muncul mujaddid agama
Mengembali ummat ke pangkal agama
Mujaddid itu laksana bulan
Terbit menyinar menghapus kegelapan
Memikul beban pelbagai celaan
Kerana menyanggah batil kebiasaan
Bintang berpesta di malam kelam
Menjadi sanjungan para najjam
Laksana masyayikh dalam manam
Disanjung melebihi khairul anam
Kerana itu terbitnya bulan
Untuk memberi cahaya kebenaran
Menghapus gelap menyempurna kiraan
Agar alam diterang panduan
Mujaddid zaman datang bersilih
Membawa tajdid tidak berpilih
Menjulang akidah nan bersih
Tidak bersulam dolak dalih
Membersih amalan dari bid’ah
Agar kembali kepada sunnah
Menjadikan agama asalnya mudah
Membuang payah yang ditambah
Kata bintang tentang bulan
Bulan menukar serigala jadian
Sebuah mitos di zaman silam
Dipercaya penganut kepercayaan warisan
Bintang tak sedar diri sendiri
Mengilhamkan ilmu nujum sakti
Menyebar syirik khurafat bersebati
Mempertahan batil yang diwarisi.
Demikianlah tamsil yang terjadi
Berapa banyak mujaddid berganti
Semuanya berdepan tohmah dengki
Dari segala orang yang iri
Oleh itu itu wahai bulan
Bersabarlah menghadapi segala celaan
Kerana itu resam perjuangan
Bukan berjuang dalam sanjungan
Biar bintang mengerlip tinggi
Nampak cahaya berwarna warni
Bulan juga akan dicari
Bulan juga yang dirindui
Biar bintang banyak sekali
Namun musnah setiap hari
Walau bulan hanya sendiri
Ia kekal terbit berkali-kali.
0 comments:
Post a Comment