Ketika aku duduk-duduk dalam CIMB Bank yang berdekatan Giant sambil menunggu isteri menyelesaikan urusannya di kaunter, aku melihat TV LCD di bahagian dindingnya yang sedang memaparkan iklan-iklan yang perlbagai. Ada dua filem yang akan ditayangkan di panggung dalam bulan November ini. Filem pertama ialah 2012 dan filem kedua ialah NINJA ASSASIN yang masing masing ditayangkan pada tanggal 12 November dan 26 November.
Beberapa hari lepas aku telah terbaca di Republika Online mengenai ingatan daripada Majlis Ulama Indonesia (MUI) tentang kebohongan filem 2012 dan meminta masyarakat tidak mempercayainya. Beberapa cawangan MUI peringkat daerah di Indonesia telah mengambil langkah mengharamkan filem tersebut daripada ditayangkan. Ini kerana filem ini secara jelas telah memplotkan cerita kiamat yang didakwa akan berlaku pada tahun 2012. Sedangkan perkara mengenai kiamat dan masa terjadinya adalah perkara ghaibiyyat dan hanya Allah SWT yang tahu mengenai bila akan terjadinya. Dakwaan bahawa kiamat akan terjadi pada tahun tertentu adalah merampas sifat Allah sebagai Tuhan Yang Mengetahui Perkara Ghaib dan ini akan merosakkan akidah.
Di Malaysia, iklan-iklan mengenainya masih berlangsung. Filem ini telah pun mula ditayangkan sejek 12 November yang lalu.
Aku tidak berhasrat untuk membahaskan apakah filem ini perlu diharamkan atau tidak. Bagiku, kalau ia diharamkan sekalipun, orang akan mendapatkannya. Tidak ditayangkan di panggung, orang akan menonton daripada CD, DVD dan juga download daripada internet. Filem-filem yang menyesatkan ini bukan sahaja datang daripada Barat. Negara Indonesia yang MUInya begitu responsif terhadap filem 2012 boleh berdiam diri dengan sejumlah sinetronnya yang kaya dengan kepercayaan khurafat dan tahyul mahyul.
Dalam hal ini, sentimen kebencian kepada Barat dilihat lebih mendominasi bantahan terhadap filem yang dilebelkan sebagai merosakkan akidah. Kalau benar-benar ingin membanteras filem yang menggugat akidah, MUI juga perlu responsif terhadap sinetron daripada Indonesia yang kusut masai dengan kepercayaan sesat. Kita rakyat Malaysia mendapat tahu kekusutan dalam karya-karya filem daripada Indonesia kerana beberapa tahun kebelakangan ini TV Malaysia begitu rajin menayangkan sinetron daripada Indonesia.
Dalam beberapa sinetron, terdapat unsur khurafat dan tahyul yang cuba ditonjolkan dalam bentuk positif. Kewujudan pari-pari yang membantu orang baik-baik sebagaimana dalam sinetron Bawang Putih Bawang Merah, kepercayaan kepada reinkarnasi sebagaimana dalam sinetron Si Cantik dan Si Buruk Rupa dan unsur-unsur khurafat yang dipaparkan dalam filem Legenda, adalah sebahagian yang menyesatkan sedang bergentayangan di dada masyarakat Indonesia dan menyusup ke dalam masyarakat Malaysia.
Kalau filem 2012 itu menyesatkan kerana mendakwa kiamat akan berlaku pada tahun 2012, apa kurangnya filemnya yang menyuntik kepercayaan terhadap pari-pari, reinkarnasi dan tahyul mahyul. MUI seharusnya bersikap peka secara sama rata.
Berhubung dengan filem 2012 ini, sebenarnya ia berasaskan kepada kepercayaan suku Maya yang menghuni selatan Mexico. Kepercayaan suku tersebut terdapat dalam Kalender Maya yang yang meramalkan bahawa peradaban dunia akan berakhir pada tahun 2012.
Aku lebih suka melihat sudut positif.
Pertama, filem ini dicipta oleh orang bukan Islam Barat yang tidak mempedulikan hukum meramalkan tarikh hari kiamat yang dilarang dalam Islam. Kita tidak boleh memaksa mereka berfikir sebagaimana kita berfikir. Kita beriman bahawa yang mengetahui hal ghaib itu cuma Allah SWT sahaja. Sedangkan mereka bukan peduli semua itu.
Kedua, rupanya mereka percaya bahawa kiamat itu akan terjadi. Kepercayaan kepada terjadi kiamat merupakan salah satu rukun Iman yang enam bagi orang-orang yang mengakui beriman. Tidak percaya kepada kiamat adalah golongan dahriyyun, Barangkali, filem ini akan menyedarkan golongan dahriyyun bahawa kiamat itu adalah satu kepastian.
Ketiga, ada baiknya juga apabila filem ini menimbulkan perbahasan di tengah masyarakat tentang kewajarannya. Setidaknya, khalayak ramai yang mengikuti perdebatan para ulama dan cerdik pandai Islam tahu bahawa Islam melarang ummatnya mempercayai kiamat akan terjadi pada satu tarikh yang diketahui manusia. Secara tidak langsung, dimensi akidah orang ramai dapat diperbaiki. Jika timbul kepercayaan atau ketakutan di kalangan masyarakat Islam tentang tarikh kiamat benar-benar jatuh pada tahun 2012, setelah berlalu tahun 2012, kiamat tidak berlaku sebagaimana difilemkan, hilanglah dimensi negatif filem tersebut iaitu penentuan masa terjadi kiamat, dan tinggallah dimensi positif iaitu keyakinan berlakunya kiamat.
Kalau boleh aku ingin mencadangkan kepada MUI di Indonesia, IKIM dan lain-lain pertubuhan Islam di Malaysia agar membuat seminar mengupas sesuatu filem yang dilihat mengandungi unsur yang menyesatkan. Kita tukar cara daripada membatilkan kepada cara mengupas dan menjelaskan sisi yang hak. Masyarakat akan bertambah faham dan kita perlu bersabar.
Mengharamkan filem ini memang mudah. Tetapi menghalang orang menontonnya bukan mudah. Dunia sudah global tetapi tindakan kita masih local. Kita perlu perhebatkan dakwah melengkapkan pemikiran umat ini. Kita tidak selamanya boleh menghalang dan menyekat secara fizikal kerana sekatan dan halangan tfizikal idak lagi mampu berperanan.
Aku akan download filem itu bila sudah ada capaiannya nanti. Aku percaya ramai juga mahu menonton dan melihat kesesatan apakah yang dikatakan itu. Yang melarang orang lain menonton, juga mahu menonton. Terpulang kepada niatnya.
0 comments:
Post a Comment