"Di sini kami buat solat taraweh 8 rakaat, ada tazkirah selepas 4 rakaat...", Ustaz Sukri memaklumkan kepada ketua jemaah yang bertandang di surau kejiranan kami.
"Inilah penyakit yang merebak dari KL...bulan Ramadhan sepatutnya buat taraweh 20 rakaat...kita tak boleh paksa orang mendengar tazkirah...tazkirah itu entah apa-apa...kalau bayan ada juga faedahnya...", balas lelaki itu. Dia merupakah amir jemaah tersebut.
"Penyakitkah kalau buat 8 rakaat bersulam tazkirah? " Soal ustaz Sukri sinis.
Memang menjadi polimik di sesetengah tempat mengenai jumlah solat taraweh dan tazkirah yang dibuat semasa acara solat taraweh berlangsung. Ada pihak yang mahu 20 rakaat dan ada pula yang mahu 8 rakaat. Perselisihan ini kekadangnya menjadi panas dan masing-masing mendirikan hujah masing-masing.
Walau apapun sikap yang ditunjukkan, hakikatnya, solat sunat taraweh itu adalah sunat. Buat 20 rakaat, 8 rakaat atau tidak buat langsung, semuanya boleh. 8 rakaat berjemaah pernah dibuat oleh Rasulullah SAW. Itupun 3 atau 4 malam sahaja. Kemudian baginda berhenti dan para sahabat menunggu-nunggu kehadiran baginda. Baginda takut solat sunat taraweh diwajibkan. Sebab itu baginda tidak meneruskan pada malam-malam seterusnya. Solat sunat taraweh 20 rakaat berjemaah mula dibuat oleh Saidina Umar Al-Khattab. Pada zaman Umar Abdul Aziz, solat taraweh dilakukan sebanyak 36 rakaat.
Dasar Rasulullah ialah tidak mahu menimbulkan masyaqqah buat ummat. Jika solat sunat taraweh diwajibkan, tentulah menjadi masyaqqah kepada ummat. Jika itulah ukuran Rasulullah SAW dalam mengerjakan solat taraweh beberapa malam itu dan kemudian berhenti, kita perlu menjadikannya sebagai tauladan dalam memilih rakaat yang sesuai buat masyarakat setempat. Jika kelihatannya solat sunat 20 rakaat itu menimbulkan masyaqqah kepada ramai jemaah, buatlah 8 rakaat. Jika jemaah masjid yang mulanya penuh hanya tinggal kurang daripada separuh selepas salesai 8 rakaat, apakah maknanya itu? Tentunya mereka yang cukup dengan kadar 8 rakaat itu merasa masyaqqah untuk menunaikan 20 rakaat secara berjemaah.
Pengurusan masjid dan surau perlu peka terhadap keadaan sebegini. Rencanakan dan laksanakan solat taraweh berjemaah pada kadar yang tidak menjadi masyaqqah kepada orang ramai. Itulah manhaj nabi dalam melaksanakan solat taraweh. Janganlah kita bersikap statik, keras dan meneruskan ketidakpedulian dengan meneruskan solat sunat taraweh pada jumlah 20 rakaat dalam keadaan kehilangan jumlah terbesar jemaahnya.
Ada sesetengah berhujah bahawa 20 rakaat telah menjadi tradisinya dan sayang meninggalkan tradisi itu. Sebab itu ada jemaah yang menyambung lagi solat sunat taraweh berjemaah di satu sudut surau atau masjid yang mengadakan 8 rakaat, demi mencukupkan bilangan 20 rakaat. Padahal, adalah lebih mulia kalau ia dibuat sendirian agar tidak dilihat menyongsang daripada apa yang telah dilakukan jemaah lain.
Kalau benar-benar mahu menghidupkan malam Ramadhan dengan beribadat, boleh menyambung solat taraweh di rumah secara bersendirian. Boleh sambung sehingga cukup 20 rakaat, malah lebih sekalipun. Kalau benar mahu menghidupkan malam Ramadhan, bukan sahaja solat. Tadarus Al-Quran juga sunnah baginda Rasulullah. Kenapa mereka yang rigid pasal 20 rakaat tidak rigid pasal tadarus Al-Quran. Tadarus Al-Quran cuma segelintir yang lebih kecil daripada taraweh 20 rakaat maupun 8 rakaat. Mendengar tazkirah juga adalah sunnah. Ia juga merupakan ibadat. Selain daripada melengkapkan makna taraweh iaitu solat yang penuh kerehatan, senggangan tazkirah yang merupakan masa bersantai itu menjadi ibadat.
Jika para pendengar boleh melapangkan dada, merasa rendah diri dan tidak bongkak dengan ilmunya, tazkirah antara taraweh adalah satu kegembiraan buatnya. Namun jika hati bergelumang rasa haibah diri, ennggan mendengar nasihat orang dan beribadat secara tradisi yang jumud, tazkirah antara taraweh adalah satu kebencian buatnya.
1 comments:
Betul tu! Saya amat bersetuju dengan pandangan ustaz. Agaknya segelintir masyarakat susah nak faham sebab mereka hanya ke masjid di bulan ramadhan je dan tidak menjadi amalan pada bulan2 lain. Jadi, banyak tazkirah dan ceramah mereka x dapat dengar. Bila dah p tarawih skit mula la rasa diri dah terer. wallahualam.
Post a Comment