Pemilik Blog

Ust Kama (PerenungLangit)
TAQWIM HIJRI
Waktu Malaysia
WAKTU SOLAT
Rujukan
Khutbah
Download Pelbagai
SUMBER FATWA
Senjata Blogger
Mengenang almarhum Ust Fadzil Noor
December 30, 2014Ketika dia berpencak bestari
di pentas politik pertiwi
dipanggil kembali
kami sukar cari ganti.
Ketika ini
aku baru mengerti
betapa rugi
kehilangan orang bestari
sepertinya sukar ditemui.
Buah pencaknya bestari
yang ditanamnya
kita makan kita nikmati
beberapa musim silih berganti
sehingga kini
mula tandus kemarau
buah kurang menjadi
yang ada pahit sekali.
أثل خمط وشيء من سدر قليل
Maafkan aku
kerana mengenang yang lepas
saat kita mula mengunyah kepahitan
bertanya bingung
tentang erti sebuah kebestarian
di sebuah pentas warisan
bernama politik gerakan Islam.
Kebun Saba' yang subur
Kini mula gersang tandus
Bestari makin hilang
diganti ananiyyah dan kepongahan
tuding kemarahan berbaur prasangka
kian merajalela
kabus dunggu
menyerkup.
Aku teringat
almarhum Ust Fadzil Noor
yang berpencak bestari
sehingga kita bergerak lestari
dua penggal berganti.
Posted by PERENUNG LANGIT at 8:04 AM 0 comments
Labels: Puisi
Alpa sang 'ubbad.
November 22, 2014
ke pundak rakyat bawahanan
mulai tahun depan.
Disember menjelang
Subsidi minyak akan hilang
biar rakyat sendiri berjuang
kerajaan tak mahu tanggung lagi walau sekupang.
Jangan bertanya kenapa teganya mereka yang berkuasa
tanyalah mengapa alpanya yang menjadi mangsa!
Posted by PERENUNG LANGIT at 10:28 AM 0 comments
Labels: Sajak
Menyampaikan kuliah jalan menancap istiqamah.
November 13, 2014Dalam ayat ini, Allah mengisyaratkan tentang "berkata" iaitu perkataan " Tuhan kami adalah Allah!". Dengan berkata demikian, ia akan menancap dalam hati dan kemudian akan menambahkan istiqamah si pengucapnya dalam keyakinan ketauhidannya.
Inilah sebab mengapa amal zahir itu penting. Memang Allah melihat kepada hati seseorang dan bukan kepada zahirnya. Namun, untuk mencapai hati yang lurus dan diterima Allah, hati memerlukan sokongan dan dokongan daripada amal zahir.
Berkaitan dengan pentingnya bercakap ini, saya menasihatkan sahabat-sahabat yang ingin menancapkan ilmu agama dalam dirinya, tidak cukup dengan membaca coretan agama di FB dan buku-buku sahaja. Pada saat yang sesuai, luahkan ia. Sebab itu, para ustaz dan ulama, perlu punya masa untuk menyampaikan kuliah dan syarahan agama di mana-mana sahaja. Ia bukan semata-mata untuk menyampaikan ta'lim kepada masyarakat, tetapi juga untuk menancapkan istiqamah ilmu itu dalam diri.
Kalau keyakinan kepada Allah itu perlu diungkapkan dan diluahkan, maka demikianlah ilmu yang bersemadi dalam dada kita. Ia perlu dibicarakan. Dengan cara demikian, ilmu itu akan kekal (istiqamah) dalam dada. ia akan segar bugar sebagaimana layaknya watak sebuah kalimah yang disebut istiqamah.
Kerana itu, saya memilih untuk menyampaikan kuliah di masjid atau surau maupun bercakap dalam usrah dan tidak mahu berdiam di rumah. Miski di daerah ini ramai sekali pakar dan ilmuan hebat, saya menyelit di celah semarak mereka. Demi menjadikan diri kerdil ini istiqamah dalam agama melalui penyampaian kuliah, tazkirah dan seumpamanya.
Posted by PERENUNG LANGIT at 5:20 PM 0 comments
Labels: keluhan hati
Jangan mencela yang menentangmu
November 9, 2014Akan banyak yang menentangmu. Demikianlah sunnah yang dihadapi oleh setiap yang mahu membela Islam. Penentangmu itu sama ada dari kalangan yang kafir, munafiq ataupun sahabat-sahabat seperjuanganmu sendiri. Namun, dalam menghadapi mereka, janganlah kamu mencela mereka, kerana kelak mereka akan turut mencelamu. Kalau mereka tidak mencelamu sedang kamu mencela mereka, itu ertinya kamu berada di atas jalan yang salah, kalaupun mereka tidak berada atas jalan yang benar.
Orang yang benar akan dicela kembali bila dicela. Kalau dicela walau tidak pernah mencela, itulah tanda kebenaran yang berganda.
Allah memperingatkan menerusi firmanNya:
" Janganlah kamu mencela mereka yang menyeru selain Allah kerana nanti kelak mereka akan mencela Allah kerana semangat permusuhan tanpa dasar ilmu pengetahuan".
Dalam konteks semasa, perbuatan menghakimi mereka yang memusuhi jalan yang kita yakini benar dengan tindakan undang-undang akan mengundang tindakbalas. Sepertimana cela dibalas cela, Maka hukuman (undang-undang) akan dibalas undang-undang. Inilah yang kita sedang saksikan dewasa ini.
Kelompok yang mendokong liberalisme sonsang telah menggunakan undang-undang pula untuk membalas penggunaan undang-undang ke atas mereka. Akhirnya mereka berjaya mengenepikan keputusan enekmen Syariah yang melarang golongan transgender berpakaian perempuan. Sebelumnya, SIS telah dijatuhkan hukuman sesat oleh Majlis Fatwa Selangor.
Bukan mempersoalkan hukum transgender berpakaian wanita. Itu sudah jelas haram berdasarkan hadis-hadis. Bukan, bahkan jauh sekali membela SIS. Mereka memang membawa kesongsangan dalam pemikiran. Bahkan, mereka umpama budak-budak nakal yang banyak olah. Pun begitu, mereka mendapat kelebihan ketika merintih belas kepada khalayak rakyat kerana dihukum sesat yang menurut mereka tanpa siasat. Lalu, mereka menghunus undang-undang juga dan bersenjatakannya untuk membuat serangan balas.
Kerana itu, menangani kelompok degil dalam masyarakat, pemakaian undang-undang bukan penyelesaiannya. Terlebih pula kalau kedegilan itu dalam wacana pemikiran. Undang-undnag tidak akan mampu mengepung pemikiran dan memenjarakannya. Mujadalah akan menjadi racun serangga buat pemikiran songsang.
Kini kita lihat kelompok liberal bangkit membalas dengan lontaran yang sama seperti mana dilontarkan kepada mereka.
Undang-undang!
Posted by PERENUNG LANGIT at 11:52 PM 0 comments
Labels: Pandangan
GUNAKAN AKAL UNTUK MENGOLAH KHABAR.
November 6, 2014Malangnya, kerana akal tidak berfungsi dengan baik, orang mudah percaya sesuatu cerita. Imunisasi akal sangat lemah dan dengan itu virus khabar dusta mudah menerobos. Kegagalan memaksimakan fungsi akal ini telah menyebabkan ramai orang dipersendakankan oleh cerita-cerita kontemporari yang didengarnya. Orang yang sebegini, tatkala gagal menepis permainan khabar berita masakini, ketika menggulati riwayat sejarah, dia akan lebih tak mampu dan gagal dalam menepis permainannya.
Sebab itu, hari ini kita lihat ramai orang berkelahi hanya disebabkan berita yang didengar. Para "namimah" yang terlatih dan menjadikan adu domba sebagai kerjayanya berjaya men'tafriq'kan hati-hati mangsa. Jika adu domba itu hanya dosa kecil, kesan daripada adu domba itu menjejerkan sebaris dosa besar yang berliku.
Mereka yang lemah akallah yang percaya riwayat bulat-bulat bahawa Hussin bin Ali telah dibunuh atas arahan Yazid bin Mu'awiyah. Lalu, 10 Muharam saban tahun meratapi kematian Hussin dan mengulangi cercaan ke atas Yazid. Riwayat sejarah pembunuhan Hussin itu telah berbaur tinta orang-orang yang berkepentingan dan menyimpan hasad dalam hati mereka. Lalu, apakah kita yang menerima lipur lara sejarah pada masa kini mahu meneguk mabuk semuanya?
Belum lama masa berlalu, cerita sejarah perjuangan kemerdekaan negara kita ini pun banyak putarbelitnya. Anda akan dapati bagaimana mereka yang bercerita tentang pejuang kemerdekaan melenyapkan sekian banyak nama tokoh pejuang dan mengangkat tokoh tertentu sahaja. Sejarah kemerdekaan yang belum pun seratus tahun berlalu telah dicemari virus pembohongan. Apatah lagi sejarah-sejarah yang menjangkau masa panjang sebelum kita.
Kerana itu, saya katakan, kita hendaklah berfikir ketika berta'amul dengan khabar. Tidak kiralah khabar kontemporeri atau khabar zaman bahari. Jangan terlalu percaya dan jangan tidak mahu percaya sama sekali. Ber'tawassut'lah dalam menelannya atau menjeluakkannya. Orang yang berfungsi akalnya, akan sentiasa berwaspada mengenai kemungkinan penyerapan anasir dusta dalam periwayatan.
Sedangkan hadis nabi pun orang berbuat dusta. Apalah hendak dihairankan dengan catatan para wartawan dalam surat khabar. Apalah mustahilnya riwayat para sejarawan untuk didustakan oleh para pendusta durja. Maka, jadilah orang berakal. Berakallah seperti para pengumpul hadis nabi yang menguras jerih membahas sanad dan matan.
Marilah menapis khabar dengan akal yang berfikir.
Posted by PERENUNG LANGIT at 4:33 PM 0 comments
Labels: nasihat
Umpan Pluralisme
November 5, 2014Rasanya, kalimah-kalimah seperti Jabariah, muktazilah, qadariah dan rafidhah juga seperti itu. Kalimah tersebut tiada pada zaman nabi dan salaf. Ia muncul kemudian dan hangat diperdebatkan pada zaman lampau. Kemudian, pada zaman kini, kalimah itu telah tidak diratibkan orang lagi dan hanya ada dalam kitab-kitab klasik.
Kalimah pluralisme, liberalisme, sekularisme dan aneka ragam lagi mengambil tempat. Semua ini adalah cetusan pemikiran manusia. Pada setiap zaman, ada buah fikiran yang dilemparkan ke tengah masyarakat dan dibahaskan. Lalu, ia dijenamakan.
Menjenamakan sesuatu memang tabiat semulajadi manusia. Bahkan, penjenamaanlah mekanisma yang digunapakai oleh Iblis untuk memperdaya manusia. Iblis pernah menjenamakan buah larangan dalam syurga sebagai" khuldi" agar disangka oleh Adam dengan mamakannya dia akan kekal abadi dalam syurga.
Ramai orang tidak faham kalimah-kalimah yang dijenamakan. Seperti kebanyakan pelajar agama. Mereka menghafal kalimah Jabariah, Qodariah dan Muktazilah dari guru mereka dan mencelanya tanpa mengetahui ragam pemikiran golongan itu. Hanya kerana mendengar guru menyesatkannya, maka memadailah dengan itu untuk mereka melanjutkan penghakiman sesat itu.
Tabiat sedemikian juga berlaku terhadap istilah-istilah masakini. Ramai menyesatkan wahabi tanpa mengetahui apa itu wahabi. Kerana orang kata Syiah sesat, maka disesatkan jugalah. Hanya mengingati nama dan istilah dan meratibkan sebagaimana yang diwaradkan.
Saya kira pluralisme pun demikianlah halnya. Sidang para ulama memutuskan pluralisme itu kefahaman yang sesat. Maka, resolusi itu diambil dan dipacakkan tanpa mengetahui intinya. Sehingga kini, ada tokoh-tokoh pemikiran yang cuba menjelaskan banding beza antara pluralisme dengan relativisme. Kebanyakan orang tidak mahu tahu bandingbeza itu kerana istilah pluralisme telah pun diproklamasikan sebagai sesat.
Seharusnya kita tidak memusuhi istilah. Kita perlu memahami substance dan pecahan dalam istilah itu barulah membuat kesimpulan. Dalam Syiah pun ada pecahannya. Demikian juga dalam Ahli Sunnah ada pecahannya. Maka berpecahlah kepada pelbagai pecahan dari satu cetusan.
Di alam Melayu, kita berpantang amat dengan komunis. Ironinya, ada tokoh agama dan pejuang kemerdekaan kita yang dicop sebagai komunis. Walaupun mereka bersama komunis, mereka solat 5 waktu dan masih percayakan Allah. Lalu, komunis jenis apakah mereka? Kalau kita musuhi istilah komunis, maka kita hukum pukal sahaja. Siapa bersama komunis, sesatlah dia.
Saya dengar ada ahli jemaah parti Islam marah kepada Khalid Samad, Mujahid dan Hanifa berhubung isu pluralisme. Mereka dituduh mendokong pluralisme. Malang sekali, tuduhan itu berkembang dari sumber pemberitaan liberal seperti Malaysiakini dan akhbar yang bukan Jemaah bangunkan. Mereka yang mencemuh 3 pimpinan jemaah itu tidak pun mendengar dari lisan mereka sendiri. Mereka tidak cuba memahami sudut pandangan rakan dalam jemaah tetapi percaya bulat-bulat racun tuba yang dilemparkan oleh media fasiq. Begitu senang menelan prasangka. Begitu mudah diadu domba.
Mengapa mereka tidak berkata sebagaimana kata Abu Ayub Al-Ansori kepada isterinya tatkala dihadapkan berita dusta tentang Aishah?
Prasangka itu telah ada. Kebanyakan prasangka adalah dosa. Lemparan syair pluralisme menambahkan prasangka dalam dada. Semoga kita tidak menjadi manusia pejuang yang ditunggang prasangka. Tetapkanlah pendirian setelah mendengar dengan telinga dan melihat dengan mata. Jangan mencedok riwayat lalu menghukum sahabat.
Posted by PERENUNG LANGIT at 2:27 PM 0 comments
Labels: Pandangan
Dedikasi buat yang pernah terpenjara.
November 4, 2014
Entah macam manalah rasanya masuk penjara. Dalam catatan sejarah, ramai tokoh besar yang dipenjara. Diceritakan dalam kitab tafsir tentang seorang nabi yang dipenjarakan dalam perigi di Hadhramaut. Nabi Yusuf, kisahnya dipenjarakan memang terkenal diceritakan dalam Al-Quran. Banyak nabi dipenjara. Ulama-ulama mujahidin pun banyak menempuh jalan dipenjara. Imam Ahmad bin Hambal, Imam Syafie, Ibn Taimiyyah dan Prof. Dr. Hamka adalah sebahagian nama besar yang diuji dengan mehnah penjara.
Mereka yang dipenjara itu kebanyakannya bukan salah apa-apa. Hanya kerana berkata seperti "Tuhan Kami Adalah Allah", kemudian mereka istiqamah dengan penegasan itu. bagi yang punya keyakinan, mereka menancapkan keyakinan itu dan istiqamah dengan keyakinannya. Hanya kerana itu mereka dipenjara.
Kemudian datang zaman berikutnya, setelah kebenaran terserlah, orang yang memenjarakan mereka telah dibaham oleh "dawaair". Nama penzalim itu dilupakan dan nama dihumban ke kumbahan zaman. Nama yang dipenjarakan pula dimahkotakan di puncak tugu kemuliaan.
Dalam pada itu, mereka yang tidak pernah merasai pemenjaraan, tega pula mencela tokoh yang dipenjarakan. Maka jadilah mereka bersama kelompok penzalim itu di kemudian hari.
Kita yang tidak pernah merasai penjara, padahal mengaku pejuang Islam, tanyalah kenapa Allah tidak uji kita dengannya. Apakah benar kita pejuang kecintaan Allah kalau kita tidak mencicip sekelumit resam para pejuang terdahulu yang dihukum penjara. Kerdilnya kita ini...usahlah bercakap gegar seumpama berhayat mujahid kalau belum pernah termanggu di balik jeriji.
Posted by PERENUNG LANGIT at 3:18 PM 0 comments
Labels: renungan
Menyiksa diri untuk taqarrub bukan jalan Islam.
November 3, 2014Demikianlah saban tahun...
Dasar kefahaman mereka adalah menyiksa diri untuk memanjat tangga taqarrub. Sebenarnya, amalan ini pun bukan asli Rafidhah. Ia adalah kelangsungan ajaran kependetaan yang mengambil jalan menghukum diri untuk taqarrub kepada Allah. Kesamian dalam ajaran Hindu dan Budha juga menempuh jalan yqng sama. Kepadrian dalam sistem gereja juga menyeksa diri dengan menghukum fitrah seksual manusia. Bahkan, banyak ajaran yang menempa jalan menyeksa diri, termasuklah tariqat-tariqat sufi menyimpang yang menghukum para 'salik'nya dengan penyisihan duniawi.
Semua itu bukan lahir dari rahim Islam. Itu semua adalah bikinan para ahli bid'ah yang muncul sepanjang zaman.
Islam tidak mengajar jalan menyiksa diri. Bahkan nabi SAW amat suka menjadikan kemudahan itu sebagai jalan agama para penganutnya. Agama bukan ditegakkan atas puncak yang sempit tetapi ia ditegakkan atas dataran yang lapang dan luas.
Posted by PERENUNG LANGIT at 6:01 PM 0 comments
Labels: kritikan
Keharusan jangan dipestakan.
October 20, 2014Malah, pegang babi pun bukan haram. Dengan kata lain, tak dosa pun kalau pegang anjing dan babi walaupun binatang itu dilihat najis mughallazah oleh sebahagian pendapat.
Kalau nak kira, pegang tahi lagi jelek. Tapi, hari-hari kita pegang tahi. Kita ada keperluan pegang tahi sebab kena basuh berak hari-hari. Kalau pegang tahi, ittifaq ulama kena basuh sebab tahi itu najis. Tak sama dalam hal pegang anjing dan babi. Ada khilaf di kalangan mereka.
Tapi, kalau buat kempen pegang tahi sebab nak beritahu orang bahawa ia tidak haram dan tahi perlu dilayani dengan baik, itu memang kerja pelik dan ajaib. Alias kerja gila. Orang boleh tahu ketidakharaman pegang tahi melalui pendidikan ilmu sahaja. Bukan semua benda perlu dipraktikalkan untuk membuktikannya.
Orang dah tahu peluk bini bukannnya haram. Tak payah praktikal dan tunjukkan depan orang ramai. Kalau peluk depan orang, jadilah haram. Banyak perkara juga kalau sudah riak, jadi haram. Menunjuk-nunjuk itu kan petanda nifak? Jadi, kalau nak beritahu khalayak bahawa pegang anjing tak haram, tak perlu buat pesta. Para ulama yang muslih dan mujaddid telah bertungkus lumus menjelaskan dimensi ilmu kepada masyarakat agar tidak tertambat dengan pengaruh adat.
Orang kafir nak minum arak, itu tak boleh kata haram. Agamanya mungkin tak haramkan. Tapi, kalau buat pesta minum arak, ini sudah lain. Perkara yang tidak haram bagi satu kelompok, boleh jadi diharamkan, kalau dipestakan.
Bahkan, boleh makan nasi masa bulan puasa kalau sakit atau uzur. Tapi makan dalam rumah. Apa halnya sampai nak beritahu orang yang saya uzur dan sakit maka lihatlah saya makan nasi. Lantas hidang nasi di beranda rumah dan makan di tepi laluan orang. Itu sudah mempestakan keharusan. Ini tidak baik dan tidak wajar dibuat. Ini bukan cara Islam menjelaskan keharusan.
Saya memang tidak setuju membuat semacam pesta pegang anjing. Ia seperti contoh-contoh berselerak yang saya sebutkan yang mana asalnya harus tetapi pestakannya akan menukar hukum.
Posted by PERENUNG LANGIT at 7:30 AM 0 comments
Labels: kritikan
Yahudi Sumber Kerosakan Agama.
September 29, 2014Ada persamaan antara ajaran Yahudi dan Syiah dalam kepercayaan terhadap Al-Masih Al-Yahud dan Imam Mahdi.
# Al-Masih Yahudi adalah insan yang dijanjikan kemunculannya di akhir zaman menurut keyakinan Yahudi. Dia adalah dari keturunan Raja Daud.
1) Ketika munculnya Al-Masih Yahudi, ummat Yahudi akan berkumpul di tempat suci mereka, Al-Quds. Manakala menurut Syiah-Rafidhah, apabila muncul Imam Mahdi, para penyokongnya akan berkumpul di tempat suci mereka iaitu Kufah.
2) Yahudi percaya bahawa apabila Al-Masih Yahudi muncul, akan bangkit dari kubur para Yahudi yang telah mati dan mereka bergabung menjadi tentera Al-Masih Yahudi. Maka, demikian pula para Syiah percaya, bahawa bila munculnya Imam Mahdi, akan bangkit semula para Syiah yang telah mati untuk menjadi askar Imam Mahdi.
3) Yahudi percaya bahawa bila Al-Masih Yahudi muncul, mayat yang derhaka kepada ajarah Talmud akan bangkit semula dan disiksa oleh penganut Yahudi. Demikian Syiah meniru dengan mengatakan bila muncul Imam Mahdi, sahabat-sahabat nabi yang derhaka (Abu Bakar, Umar dan Uthman) akan dibangkitkan semula dan disiksa oleh tentera Al-Mahdi.
4) Yahudi percaya Al-Masih mereka akan menghukum setiap musuh Yahudi dan begitu pula Syiah percaya Al-Mahdi akan menghukum setiap musuh Syiah.
5) Yahudi percaya bila Al-Masih mereka muncul, ummat Yahudi jadi berubah jasad iaitu tinggi 200 hasta dan panjang umur mereka. Demikian pula Syiah mengatakan bahawa bila Al-Mahdi mereka muncul, seorang lelaki mereka akan diberi kekuatan 40 orang lelaki dan dia akan memijak musuh mereka serta pendengaran dan penglihatan mereka menjadi lebih tajam.
6) Yahudi percaya bila Al-Masih mereka muncul, banyak kebaikan akan diteguk oleh ummat Yahudi. Gunung ganang dikatakan mengalirkan sungai susu buat mereka. Demikianlah pula Syiah mengatakan bahawa bila Al-Mahdi mereka muncul, Kufah akan mengalirkan sungai air dan susu untuk mereka.
7) Yahudi mengatakan Al-Masih mereka akan berperang dan menguasai 2/3 dunia. Demikian pula Al-Mahdi Syiah, dikatakan mereka akan menguasai 2/3 dunia.
8) Al-Masih Yahudi ghaib dan akan muncul , demikian pula kepercayaan Syiah mengenai Al-Mahdi.
Lebih mengherankan, Syiah mengatakan bahawa bila Al-Mahdi mucul, dia akan menyeru Allah dalam bahasa Ibrani, dia akan membuka kota-kota sambil membawa Tabut dan dia akan berhukum dengan hukum nabi Daud.
Melihat persamaan-persamaan tersebut, maka nyatalah bawa Syiah adalah ciplakan daripada kepercayaan Yahudi. Syiah adalah jambatan yang direntang untuk Yahudi merosakkan Islam. Kita melihat banyak dogma Yahudi menjadi pegangan Syiah.
Sementara, tanpa sedar, kita yang mengaku Ahli Sunnah Wal-Jma'ah menciplak kebiasaan Syiah. Syiah suka meratap tangis atas kematian, ramai kalangan kita menirunya. Syiah mencipta bait-bait "ar-ratha' " untuk pemimpin mereka yang mati, ramai pula kalangan kita berbuat hal yang sama. Syiah memuja kubur-kubur orang soleh mereka, mengunjunginya dan mengambil berkat daripadanya, malangnya ada pula kalangan kita menjejakinya dan menjadi ziarah kubur dan mengambil berkat daripadanya kerana kesolehan masa hidupnya.
Kekadang, kita cuba melawan Syiah dengan mencipta pula dongeng seumpama Syiah. Kita pun membuat cerita-cerita ajaib versi kita untuk menantang versi Syiah. Lihat dan bandingkan apa yang dihikayatkan tentang Nur Muhammad dan semak pula apa yang Syiah riwayatkan tentang Nur Muhammad!.
Perhatikanlah sekeling kita. Sungguh banyak resapan Syiah sedang berdondang sayang mengasyik makhsyuk atas kita. Kita tidak mampu menghitungnya lagi. Kita berbaur dengan Syiah dari segi amalan dan kepercayaan.
Sebenarnya, manba' pertama adalah Yahudi....
Posted by PERENUNG LANGIT at 10:45 PM 0 comments
Labels: Ulasan
"Boo" mantera syaitan.
September 20, 2014Gelagat mem"boo" orang adalah gelagat orang-orang bodoh dan tidak berakhlak. Dalam dunia barat yang sistemnya yang diwarnai kekufuran pun akan mentafsirkannya sebagai perbuatan biadap dan rendah akhlak, apatah lagi dalam dunia Islam. Sementelahan dalam lingkungan gerakan Islam.
Islam mengajak mujadalah dengan cara yang baik (wajadilhum billati hiya ahsan) dengan mereka yang menentang Islam dari menolak dakwahnya. Tiada akal yang sempurna akan mentafsirkan perbuatan mem"boo" rakan seperjuangan itu sebagai mujadalah yang elok. Bahkan mem'boo" musuh pun boleh dihukumkan sebagai kebejatan akhlak dan peribadi.
Entah budaya siapa yang dicedok Melayu Islam dalam hal mem"boo" ini. Saya tidak percaya ada dalam thurath Islam walau sedakwat ajaran sedemikian. Saya juga yakin bahawa gerakan Islam tidak pernah mengajar hal yang sedemikian.
Menyongsang kepimpinan itu adalah menyalahi adab berjema'ah. Walau bagaimanapun, kejadian menyongsang kepimpinan itu sering terjadi dalam setiap episod sejarah perjuangan Islam. Sahabat-sahabat pemanah di bukit Uhud pun tega menyongsang arahan nabi. Itu lumrah tabiat manusia dalam menyusun organisasi. Tiada yang sempurna.
Namun mem"boo" pemimpin semasa berucap, ia bukan lumrah manusia. Ia bukan kesilapan rutin dalam menyusun ketertiban organisasi. Ia adalah mantera yang dirangka syaitan dan dilemparkan ke kelompak domba untuk diragut lahap.
Bagaimana para dunggu boleh menjadi perwakilan dan membawa suara akar umbi. Kalau demikian, ia tidak menggambarkan kebangkitan generasi kepimpinan masa depan yang berilmu dan beradab. ia tidak menawarkan pilihan yang menenangkan hati buat rakyat. Hati sanubari manusia mudah tersentuh dan benci dengan kejelikan peribadi. Orang lebih sanggup membela serigala yang bersih daripada membela kucing yang kotor cemar.
Hanya orang yang tiada idea besar, tiada gagasan bermakna, tiada hujah sahaja, melawan musuh dengan "boo". Kaum nabi Nuh, apakala sudah tidak larat mem"boo" hujah dakwah nabi Nuh, akhirnya mereka menutup telinga-telinga mereka dengan jemari mereka, bahkan menyerudung kepala mereka dengan pakaian mereka. Itulah penyakit orang yang kehilangan hujah. Kehilangan hujah bermakna kejahilan dan tiada ilmu.
Sahabat-sahabat saya dalam perjuangan, hubaya-hubayalah agar tidak menganut mantera durja itu. Bertertiblah dan jadilah pendengar yang bijak sekalipun terhadap ucapan musuh. Apatah lagi ucapan rakan seperjuagan. Rakyat sedang memerhati. Allah dan malaikat di langit terlebih memerhati gelagat kita yang mendakwa pembela agama Allah.
Posted by PERENUNG LANGIT at 2:51 PM 0 comments
Labels: kritikan
Kepemimpinan itu mempersendakanmu.
September 12, 2014" Alangkah baiknya kalau dulu aku tidak menerimanya...".
Demikianlah kepemimpinan itu telah mempersendakan Saidina Othman dan Saidina Ali. Hanya pemimpin yang berjiwa besar akan melepasi liuk lintuk badai makar pengikut durja.
Aku tidak mimpi mendakap kepemimpinan!
Posted by PERENUNG LANGIT at 4:51 PM 0 comments
Labels: Falsafah
Soalan Peperiksaan asyik bocor.
September 10, 2014Nampaknya sistem peperiksaan tidak lagi telus pada masa kini. Manusia yang mengendalikannya berbelang. Kejujuran dan amanah makin menipis. Kerana nak kejar kecemerlangan, ada warga pendidikan yang sanggup bermain sulap. Mungkin juga ada pihak yang menangguk di pergentingan untuk dapatkan keuntungan ringgitan yang tidak seberapa.
Kerana itu, sistem yang ada sekarang sudah usang. Peperiksaan yang penuh rahsia itu tidak lagi boleh diharapkan menjadi pengukur prestasi murid.
Mungkin kamahiran meniru dalam peperiksaan perlu diangkat sebagai mekanisma belajar untuk murid-murid. Kalau dihalang meniru pun murid-murid meniru. Justeru, jadikan meniru sebagai sebuah kaedah pembelajaran.
Kepada pihak KPM,mohon difikirkan peperiksaan yang mengizinkan murid-murid membuka "tuwaa" masing-masing. Kemudian pakat-pakat tiru. Anggap itu sebagai latihan kemahiran dan kemahiran meniru jadi pengukur prestasi baru...ceh..
Posted by PERENUNG LANGIT at 11:56 PM 0 comments
Labels: Pandangan
Mohd. Faiz Syahmi
September 5, 2014Mereka telah lakukan yang terbaik dalam pendidikan agama buat anak-anak. Dari Sekolah Rendah Lunas Jaya, kemudian melanjutkan pelajaran peringkat menengah di SM Agama Baling dan seterusnya ke KLMU, apa yang dapat kukatakan, bekalan yang diberi sudah cukup untuk menenangkan perasaan ibu bapa tentang keselamatan akidah sang anak.
Tetapi, bayang-bayang hitam kekufuran itu menyelinap bagai sang pencuri di malam hari. Tidak ada rumah yang boleh merasa selamat sekalipun rumah ulama di balik pagar pasentren. Bahana apakah sampai iman generasi kita tidak lagi terjamin?
Aku berbual sendiri dengan ayahnya mengenai musibah yang menimpa anaknya. Menurutnya, lewat terakhir sebelum anaknya itu membuat kenyataan kontroversi itu di lama twitter, anaknya mendapat rawatan jiwa dari doktor dan diberi makan ubat. Maka, bagi para pembaca di luar sana, mengenai kedudukan Mohd Faiz Syahmi ini, masih belum ada kejelasan mengenai status kesedarannya. Jika berdasarkan pengakuan ayahnya yang menyatakan anaknya mungkin mengalami gangguan jiwa dan pernah mendapat rawatan paqkar, beliau tidka harus dicemuh atas kenyataan-kenyataan kufrawiyyahnya,
Semoga Allagh mengembalikannya kepada iman dan memulang permata hati ayah bondanya. Sementara kita semua yang menyaksikan, jangan rasa selamat. Anak, adik, abang dan kakak kita bukan insan-insan yang dijamin terpelihara. Berdoalah untuk kelangsungan iman, dan bermujahadahlah mempertahankannya.
Posted by PERENUNG LANGIT at 6:41 PM 0 comments
Labels: Catatan (Lokasi)
Perobohan Maqam Rasulullah: Berita Semberang Selat
Sudah lebih satu alaf Rasulullah disemadikan di tempat di mana baginda melepaskan dunia fana bersatu dengan Rafiqul A'la. Tempat yang merupakan rumah Saidatina A'isyah r.a. Generasi sebelum kita tidak pernah cuba mengubah tempat di mana kubur baginda berada. Berapa banyak orang yang lebih jahat dan lebih kejam menguasai tanah haram sepanjang sejarah, kubur baginda tetap di sana menjadi mercu sejarah dan pautan hati ummat.
Allah memelihara jasad baginda.
Kini, setelah berlalu lebih satu alaf, ada cerita tentang upaya memindahkan kubur baginda Rasulullah. Aneh. Muslihat apa ini?
Adakah Allah sedang amanahkan tanah haram buat kaum yang Dia benci? Jika demikian, ummat sedang berada dalam fasa terburuk sepanjang sejarah. Sedangkan, kita membaca sejarah, ada fasa yang lebih buruk dari yang sedang kita hadapi. Tanah Hijaz pernah digerogoti oleh penguasa zalim penumpah darah. Pernah juga Mongol si penjarah melewatinya. Tetapi, mengapa tidak kita dengar mereka berusaha membongkar kubur Rasulullah SAW?
Kalau pun ada usaha membongkar kubur nabi SAW, ia adalah pakatan sulit oleh kalangan Zindiq yang sering digagalkan. Namun, mendengar kerajaan penguasa tanah Haram menajanya, tidak sekali-kali. Allah yang mencipta tanah Haram dan Allah yang memelihara isinya yang mulia.
Ketika saya safar haji 2008, saya merasa sungguh terharu dengan layanan pemerintah Arab Saudi terhadap para hujjaj. Para hujjaj yang baru sampai dibawa ke Madinatul Hujjaj dan di sana mereka disambut dengan edaran air zam-zam dan buah kurma. Ketika itu , saya terfikir, mampukan kerajaan negara saya Malaysia melakukan hal yang sama jika ditakdirkan seandainya Ka'abah itu berada di Malaysia? Apa yang kerajaan Arab Saudi lakukan untuk menjaga kebajikan para hujjaj adalah sangat besar ertinya. Ia melewati kebajikan yang pernah dibuat oleh Qusai dan juga pemuka Quraisy di zaman sebelum fathu Makkah.
Segala kemudahan yang dibuat hari ini telah memudahkan para hujjaj. Lapangan tawaf yang dibuat bertingkat, tempat sa'ie yang dibuat bertingkat, komplek melontar Jamrah, Mina, Arafah dan banyak lagi perubahan yang meyalahi apa yang ada di zaman Rasulullah telah mempermudahkan para hujjaj. Kita ada pilihan antara dua. Kekal dengan keaslian sejarah masa lalu, atau kita berdepan dengan masalah semasa melaksanakan haji. Kita sudah jenuh mendengar peristiwa tragedi yang menimpa para hujjaj akibat kesasakan melampau. Apakah kerana sayangkan tinggalan sejarah kita menahan diri untuk hidup susah? Rumah kita di kampung, dulu berdinding buluh, beratap nipah. Kini sudah berdinding batu mar-mar dan beratap genting. Kita padamkan warisan sejarah yang tidak perlu dipertahankan demi keselesaan kita. Mengapa kita perlu marah jika kota suci jantung hati kita dibangunkan demi kemudahan kita?
Penulis yang menimbulkan polimik perpindahan kubur nabi SAW itu jugalah yang memainkan isu titik-titik sejarah yang dihilangkan di kota Makkah. Barangkali, baginya rumah Khadijah perlu abadi selamanya. Bukit Safa dan Marwah perlu kekal keasliannya. Jika demikian, Masjidil Haram juga perlu sebagaimana asalnya. Penambahan dan peluasan adalah merobek keaslian sejarah. Apa jadi jika kejumudan ini dibiar mendominasi?
Kita seharusnya berterimakasih kerana yang menguasai Arab Saudi itu bukan kelompok seperti yang sedang merajai tanah Syam, Iraq dan Iran. Mereka sedang mencemburui dan mengintai peluang. Bayangkan seandainya Syiah pencaci sahabat itu bertempat sebagai penjaga Haramain. Apakah selamat kubur Abu Bakar dan Umar? Selamatkah tanah perkuburan Baqi' sebagaimana hari ini? Apa guna jika kubur Rasulullah dibangunkan "adhrihah" mencakar langit dan bertatah emas sekalipun jika kubur para sahabat yang lain dibongkar dan dibakar menjadi debu?
Kerajaan Arab Saudi sering dilihat sebagai sebuah lambang kewahabian. Tidak semua yang datang dari Arab Saudi itu wahabi. Dan tidak semua yang didendangkan oleh kelompok wahabi itu menyalahi jalan ahli sunnah. Demikian pula, tidak semua yang kita amalkan di Nusantara kita ini mengikut galur Ahli Sunnah.
Tempat kita jauh beribu batu dari "masdar" wahyu. Bi'ah kita juga berbaur gelap warisan Sriwijaya dan Majapahit. Bagaimana kita boleh membanggakan diri lebih dari warga yang menempati dua kota suci?
Berita ancaman terhadap maqam Rasulullah perlu dicermati. Daripada sumber mana ia datang? Kelompok alawi sudah lama membuat makar di dada sejarah. Nama baik alawi telah direbut dan dimahkotakan di kepala-kepala rafidhah yang bergentayang di pelusuk dunia. Jangan kita termakan racun yang ditembak jauh beribu batu dari tanah Sang Ratu.
Posted by PERENUNG LANGIT at 9:43 AM 0 comments
Labels: Pandangan
DAGING PARA ULAMA BERACUN.
May 25, 2014"Daging para ulama itu beracun".
Sepanjang sejarah, ramai ulama yang daging diratah oleh para pelahap. Bukanlah bermaksud mereka makan daging ulama itu. Sebaliknya ialah mereka mengumpati para ulama. Mengumpat adalah seperti makan daging orang yang telah mati sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran:
Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka kerena sebahagian dari prasangka itu dosa. Janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat keji satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
(Surah Al-Hujrat: Ayat 12)
Mengumpat orang-orang yang bukan ulama adalah seperti makan daging mayatnya. Maka, mengumpat para ulama, mengejinya dan menuduhnya sesat adalah seperti makan daging mayatnya yang beracun. Maksudnya, bahayanya lebih besar. Ini kerana, jika orang biasa yang bukan ulama diumpatkan, maka, ia hanyalah mencemarkan nama baik orang tersebut. Tetapi, jika ulama yang diumpatkan, ia mencemar nama baik syariat Islam yang dibawa oleh ulama tersebut.
Sebab itu, mengumpat ulama adalah seperti makan daging mayat yang beracun.
Jika ada orang yang suka menyesatkan ulama panutan ummat atau panutan sebahagian besar ummat ini, makan janganlah anda tumpang sekaki makan hidangan daging mayat beracun yang sedang diratahnya. Menjauhilah dia dan jauhilah kenduri makan mayat beracun itu. Anda tidak akan mendapat kesembuhan dari sakit anda dengan makan makanan beracun.
Sementara yang disebut ulama itu boleh dipecahkan kepada tiga golongan:
a) Ulama Millah- yang membela Islam biarpun menyongsang kehendak daulah dan kemahuan ummat.
b) Ulama Daulah-Yang membela daulah dan berfatwa demi kepentingan daulah.
c) Ulama ummah-Yang membela ummah dan mencari fatwa supaya ummat merasa puas dan sukakannya.
Ulama Millah, itulah yang dagingnya beracun. Berhati-hatilah ketika memperkatakan mengenai mereka.
Posted by PERENUNG LANGIT at 9:35 AM 0 comments
Labels: nasihat
Bangkai 13 Mei
May 24, 2014bangkai 13 Mei dikuburkan
mengapa masih mencari pusaranya,
untuk dibongkar menghidu busuknya?
Generasi yang mengusung kerandanya
membenamkan ia ke lahad sejarah
telah berkhilaf di mana nesannya
telah lupa di perkuburan mana
tiada kemboja tumbuh mewangi
tiada maqam bertulis pasti
Hanya cerita bersulam ceriti
mayatnya tersimpan di belukar semak
mungkin terbenam di tanah rata
mungkin karam di selat Melaka.
Generasi pasca merdeka
yang hanya mendengar lara tua
mengapa menggali kubur lama?
mencari bangkai 13 Mei
untuk apa?
buat menghidu busuknya?
jemukah sudah haruman bunga
semerbak di taman paduan bangsa.
anak muda berbangsa ungka
rimbun rendang rimba belantara
mengapa dahan dikekah patah?
mengapa direjang runtuh teduh?
Bangkai 13 Mei
telah lama dikuburkan nenda
di pusara tidak bernama
cunda masih membaca mantera
menyeru kembali ruh durja
cunda menyelongkar kota lama
mencari bangkai busuk luka.
Apa guna jadi manusia
baik hidup sebagai panda!
Posted by PERENUNG LANGIT at 7:46 AM 0 comments
Labels: Sajak
Apakah perkataan "celaka" satu jenayah?
May 22, 2014Maka, hati Melayu itu begitu sakit bila dikatakan "celaka". Sedangkan celaka itu tidaklah lebih enak didengar daripada bangsat, haramjadah atau haprak sekalipun. Tetapi, kerana jiwa Melayu sudah dilatih sensitif dengan kata" celaka", maka dirasakan kata itu sangat berat dan lebih berat dari gunung yang menghempap.
Kalau kita menala'ah Al-Quran sejenak, kata-kata "laknat" sebenarnya lebih berat dari celaka. Pun begitu, Allah melemparkan kata-kata itu kepada sejenis manusia yang disebut sebagai pendusta. Firman Allah dalam Al-Quran:
"Dan sumpah kali yang kelima ialah Laknat Allah ke atas orang yang bercakap dusta".
(Surah An-Nur: Ayat 7)
Orang yang menjadikan dusta sebagai makanannya, wajar dilaknat. Janji dimungkiri, bohong di sana disini dan cakap tidak serupa bikin, adalah wata-watak pendusta yang dilaknat. Jika seseorang itu rasa dirinya ditipu, dimungkiri, dipermainkan, lantas dia pun mengatakan "celakalah si pendusta itu", maka itu adalah panggilan yang wajar. Allah telah menyebutnya dan apakah Allah itu kasar dan biadab dalam berkata-kata?
Oleh itu, perkataan "celaka" bukanlah satu yang besar sehingga lupa perbuatan lain yang lebih besar. Ia seperti makan daging babi, tidak lebih berdosa daripada makan rasuah. Makan rasuah lebih besar kejinya daripada makan daging babi. Kalau makan daging babi, nak bertaubat, minta ampun kepada Allah sahaja. Tapi, kalau sudah makan rasuah, makan harta orang lain secara salah, apakah cukup bertaubat minta ampun kepada Allah? Dibasuh dengan air tanah sekali dan air bersih 6 kali, sucilah najis babi. Tetapi najis rasuah tidak akan bersih walau berendam dalam 7 lautan.
Maka, yang lebih dahsyat daripada kalimah "celaka" itu adalah penipuan, khianat dan pecah amanah.
Posted by PERENUNG LANGIT at 11:17 PM 3 comments
Labels: kritikan
DOSA PERINTIS
May 20, 2014Tidak membunuh seorang manusia akan manusia lain pada hari ini melainkan dosa bunuhnya itu akan dikongsi bersama oleh Qabil yang membunuh Habil. Ini kerana Qabil telah merintis perbuatan bunuh. Justeru, pembunuhan berikutnya dalam sejarah manusia adalah dianggap menikut tauladan Qabil dan oleh itu Qabil mendapat dosa pencetus dosa.
Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW:
" Tidak dibunuh satu jiwa dengan zalim melainkan anak Adam yang pertama akan menanggung tumpah darahnya kerana dialah yang pertama mensunnahkan pembunuhan".
Kegilaan baru hari ini adalah tuduhan "iftira" yang dibuat oleh orang tertentu untuk menjatuhkan maruah seseorang. Beberapa lama dahulu, dunia laman sosial dikejutkan dengan laporan polis oleh seorang pelajar universiti yang mendakwa pensyarahnya yang agak terkenal sebagai mencabul kehormatannya dengan gangguan seksual. Tuduhan tersebut tentunya memalukan pensyarah tersebut. Ada kalangan yang melatah dan mempercayai laporan polis pelajar wanita terbabit.
Kemudian, entah berapa banyak lagi tuduhan seumpamanya bertebaran. Seorang personaliti TV Al-Hijrah juga terpalit dengan tuduhan yang mengaibkan maruahnya.
Kelmarin, tersebar pula "iftira" baru yang mengaibkan Ust. Azhar Idrus yang dikatakan sebagai mengajak pengadu (seorang gadis laman sosial FB) melakukan zina. Kini cerita dusta tanpa bukti menjalar membarah dalam masyarakat. Orang-orang terhormat sudah tidka selamat lagi.
Masihkah ingat ketika pertama kali negara digemparkan dengan tuduhan Liwat yang dilemparkan ke atas DS Anwar Ibrahim? Sejak itu, banyak sekali orang terhormat dalam masyarakat menjadi mangsa cemar nama baiknya. Cerita dusta tanpa bukti berbaur seks ditaburkan. Ketika hal tersebut terkena DS Anwar Ibrahim, sebahagian orang melihatnya sebagai masalah beliau dan seteru politiknya. Ada yang antara percaya dan tidak. Ada yang meminta suapaya beliau bermubahalah. Simpati kepadanya berbelah bagi.
Kini, mangsa yang menanggung aib sepertinya sudah mencecah pelbagai orang. Ahli agama, daie, ustaz, ustazah dan semuanya tidak selamat lagi. Entah esok, hal seperti itu akan terpalit kepadaku, kamu dan sesiapa sahaja!
Inilah yang malang buat pencetus pertama budaya ini dalam negara. Orang yang telah merintis cerita dusta dengan mengaibkaan seseorang dengan tuduhan liwat, zina dan seumpamanya akan memikul beban dosa perintis bagi setiap jenayah qazaf yang dibuat kemudiannya. Tidak membuat dosa "iftira" oleh seorang rakyat Malaysia melainkan dosanya akan dikongsi oleh perintisnya.
Sebab itu, berwaspadalah, jangan merintis dosa. Padamkan dosa dengan taubat dan perbetulkan sedaya mungkin agar ia tidak menjadi teladan buat orang lain. Jika tidak, bawalah gumpalan dosa yang bertambah itu ke akhiratmu.
Posted by PERENUNG LANGIT at 10:26 PM 0 comments
Labels: Pandangan
Syurbal Him ( شرب الهيم )
May 14, 2014Ekstrak Daurah 536
Demikianlah Allah menyifatkan cara minum ahli neraka tersebut. Firman Allah SWT.
"Maka mereka minum daripadanya( air panas menggelagak) seperti unta berpenyakit yang dahaga air".
(Surah Al-Waqi'ah: Ayat 55)
Unta yang berpenyakit dahaga air akan minum air sehingga mati. Demikianlah ahli neraka tersebut. Hanya, mereka tidak akan mati kerana minum air itu. Sebaliknya hanya mendapat siksa sehingga memutuskan usus-usus mereka.
Mengenai gaya "syurbal him " ini, terdapat hadis yang melarang kita daripada minum air seperti itu. Cara minum itu adalah cara minum ahli neraka. Disebutkan dalam sebuah hadis.
" Daripada Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW apabila baginda minum, baginda akan bernafas tiga kali (di luar bekas minuman).
(Muttafaq alaih)
Selain tidak meniru gaya minum unta berpenyakit dan juga gaya minum ahli neraka, minum sambil melepaskan nafas di luar gelas akan mengelakkan air minuman itu dikotori oleh najis atau bakteria yang keluar dari pernafasan.
Sesungguhnya Rasulullah sangat mencermati soal kebersihan. Pada cerita-cerita Al-Quran terselit iktibar untuk kita renungkan.
Posted by PERENUNG LANGIT at 11:55 PM 0 comments
Labels: Tafsir
Islam tanpa perjuangan
May 11, 2014menyubur nifaq dalam alunan
Ketika seronak bersandar ittika'
merasa diri kalangan auliya'
mereka yang berjuang dituduh sufaha'
berbicara bagai seorang ulama'.
Ketika melangkah tentera badar
orang munafiq masih bersandar
muslimin pulang tidak tercalar
munafiq cemburu dalam samar.
Hari ini, sungguh keliru. Ramai sekali orang berebut panji Islam. Nama besar Islam menyebabkan harimau dan domba saling berlumba. Syaitan dan wali sudah sukar dikenalpasti. Syaitan asyik membaca Quran. Hadis nabi bukan pilihan. Sementara yang dikatakan wali pula leka membaca hikayat. Igauan dianggap punya sanad. Kalam manusia berdosa diangkat ke martabat kasyaf.
Orang yang berbicara tentang Islam mengajak ke arah ibadah, zuhud, redha, taat, qana'ah, zikir, khusyuk makhsyuk dalam cinta Allah, cinta nabi, tautan mahabbah, syair berzanji, fana dalam tazkiah diri dan duduk berdoa mengharap takdir yang menyenangkan hati.
Tiba-tiba, ada di kalangan ummat Islam yang bingkas bangkit memacu teji perjuangan. Yang menentang penguasa bejat, mereka dikatakan penderhaka khawariji. Yang terjun ke medan perang dianggap militan dan teroris. Perang Jihad bukan tuntutan Islam. Jihad tidak perlu tanpa khalifah. Taatlah walau diperintah hamba Habsyi. Segudang dalil dikorek dari khazanah Islam dan ditimbang-timbang antara dua tangan bagai menimbang bola oleh ahli sulap.
Zaman sekarang memang keliru. Islam perjuangan dan Islam tanpa perjuangan berlumba menunjukkan kekacakkannya.
Ketika pecah semangat Islam untuk bangkit menguasai, kelompok munafiq pun menunjukkan diri. Saat Islam damai sebagai amalan peribadi, serigala nifak bebas bersembunyi.
Sebab itu, hadirnya perjuangan dalam peta amalan Islam merupakan mekanisma ilahi untuk memperlihatkan kepada kita olah para munafiqin. Nifaq bukan bergentayangan dengan wajah buruk di sana sini. Tetapi, nifaq adalah virus seni yang ditakuti sekalipun oleh para sahabat yang telah lulus ujian.
Islam yang sarat dengan perjuangan adalah makanisma semulajadi ilahi untuk membersihkan Islam dari para pelagak wali. Mereka yang mendakwa menggapai maqam tinggi. Bebicara penuh seni meniru syair Jalaluddin Ar-Rumi. Tenggelam dalam lentok Ilya Abu Madhi.
Islam perlukan perjuangan. Islam istirehat, Islam khulwat dan Islam adat istiadat akan menjadi dataran subur buat hama nifaq yang antibodi daripada racun maupun ruqyah.
Posted by PERENUNG LANGIT at 9:12 AM 1 comments
Labels: Pandangan
Onar Aladdul Khisom
April 20, 2014Penentangan Karpal Singh terhadap hukum hudud adalah normal dan tidak luar biasa. Ia tidak merenggut hati para pencinta hukum hudud yang telah berhempas pulas mahu ia dilaksanakan di Kelantan. Ini kerana karpal Singh adalah seorang bukan Islam dan pula bantahannya bukan penentu kepada keputusan untuk melaksanakannya atau tidak.
Kata-kata Karpal Singh tersebut selalu didendangkan oleh musuh politiknya dan masih berbunyi walaupun setelah beliau menjadi mendiang baru-maru ini. Ironinya, ada orang yang merasa lega dengan kematiannya. Seolah-olah, dengan ketiadaanya, hukum hudud pun dapat ditegakkan di Kelantan.
Sambil memberi semangat agar kerajaan Kelantan meneruskan agenda hudud tersebut, pujian dilonjak kepada kerajaan persekutuan yang diyakini tidak menghalang. Usaha gigih kerajaan Kelantan mahu merealisasikannya diterjemahkan sebagai kecintaan kepada hukum Allah oleh kerajaan Persekutuan. Aneh sungguh cara berfikir orang yang boleh berfikir sedemikian!
Ada 12 negeri lagi dalam persekutuan yang tidak pernah berusaha pun meluluskan undang-undang hudud dalam dewan undangan negeri. Malah ada negeri yang sudah menyatakan sikap melalui DUN bahawa undang-undang hudud tidak akan dilaksanakan di negeri itu. Hal tersebut tidak pula difahami sebagai kebencian kepada hukum Allah.
Seluruh rakyat perlu mencermati polimik hukum hudud di tanah sekangkang kera anugerah Allah buat kita rakyat Malaysia ini. Sebenarnya, siapa yang paling sengit menentang tegaknya hukum Allah di bumi Malaysia? Sesiapa yang selama ini menuduh Karpal Singh sebagai penghalang utama, ketahuilah bahawa beliau telah tiada. Siapa yang menghalang lagi sesudahnya?
Sesungguhnya penghalangnya itu adalah "Aladdul Khisom".
(Surah Al-Baqarah: 204)
Posted by PERENUNG LANGIT at 5:47 PM 1 comments
Labels: kritikan
IKHWANUL MUSLIMUN: JEMAAH YANG SERING DIFITNAH.
April 5, 2014Sebuah jemaah yang melandasi kebenaran, akan berdepan dengan siksaan dan celaan. Bersamaan dengan siksaan dan celaan itu, para jundinya akan sentiasa berkembang biak dan tidak akan menjadi "raibul manun". Perjuangan mereka akan tetap lestari miskipun banyak perjuangan lain yang telah karam di lautan masa.
Itulah Ikhwanul Muslimun yang diberkati. Sangat banyak orang mengambil ilmu perjuangan dari para pendekarnya. Sangat banyak pengajaran yang dunia pelajari dari mehnah tribulasi yang dihadapi oleh pemimpin dan pengikutnya.
Ada kalangan tertentu yang menjatuhkan hukuman ke atas para Ikhwanul Muslimun hanya berdasarkan qaul seorang syeikh. Didorong oleh keta'asuban kepada syeikh, kata-katanya dijadikan sabda yang tidak boleh dibangkangi. Pada saat Dr. Ali Jumu'ah, mufti negara Mesir, menghalalkan darah para penentang inqilab yang berkumpul di dataran Rab'aah, Mesir, murid-muridnya yang ta'asub menjunjung titah duli tuanku atas fatwanya.
Kesalahan jemaah Ikhwan dicari dan didendangkan. Antaranya, dikatakan jema'ah Ikhwanul Muslimin banyak pengikut berfahaman Salafi dan Wahabi. Maka, memang layaklahlah mufti Mesir itu menghalalkan darah mereka. Kerana ta'asub aliran dan manhaj, ia membawa kepada hilangnya simpati buat jemaah perjuangan seperti Ikhwanul Muslimin. Demikian, kerana ta'aub syeikh, diri dikerdilkan untuk mempertikaikan fatwa janggal seorang syeikh.
"Dia syeikh besar lagi banyak ilmu, siapalah kita untuk mempertikainya?". Inilah yang didoktrinkan dalam minda pengikut yang ta'asub.
Apakah gesaan menghormati guru oleh Islam menghendaki kita hilang daya berfikir dan hanya menerima sahaja perkataan syeikh?
Jika demikian, patutlah ummat ini dibencanakan dengan kritikan melampau oleh Kasim Ahmad yang mengatakan ada sistem kepadrian dalam keulamaan Islam.
Kalau kita perlu ta'asub kepada seorang tokoh, tentu kaum bani Israil boleh ta'asub kepada Bal'am bin Ba'ura yang cuba mencabar otoriti kenabian nabi Musa a.s. Kita hanya boleh ta'asub dengan kebenaran dan kebenaran itu hanya mutlak besama Allah dan Rasulnya. Mungkin dikatakan hanya ulama yang mengetahui kebenaran Allah dan Rasul. Kita tidak tahu.
Memang, tetapi bukan di tangan seorang ulama. Sebab itu ada khilaf kalangan ulama. Namun, bukan semua khilaf patut diterima dan diraikan. Bukan semua khilaf dikatakan rahmat. Hanya khilaf ulama yang bergerak atas landasan disiplin ilmu sahaja yang kita patut akur. Kalau semua khilaf kita raikan, maka janganlah marah kemunculan khilaf ajaran sesat yang dibawa oleh masyayikh ajaran sesat yang bertebaran di alam ini.
Pada saat bertembung antara sikap seorang ulama dengan sikap sebuah jemaah, maka di pihak mana kita mahu letakkan kepercayaan. Kemampuan akal manusia seorang kerap dipengaruhi oleh persekitarannya, tetapi akal sebuah jemaah dipandu oleh sejumlah besar anggotanya yang berjuang. Allah bersama dengan jemaah.
Insya Allah, Allah bersama dengan Ikhwanul Muslimun!
Posted by PERENUNG LANGIT at 9:48 AM 3 comments
Labels: Pendapat
Bertasbihlah kepada Allah ketika mahu berdiri.
April 2, 2014Mengucapkan tasbih kepada Allah merupakan sarana zikir yang warid dalam nas. Sesungguhnya nas yang jelas telah cukup banyak untuk diamalkan dan kita tidak lagi memerlukan zikir yang lain selain yang disebut untuk meletakkan diri sebagai kelompok "Az-Zakirin". Dalam dunia penuh fitnah ini, ramai orang dibeban derita kegelisahan hati sehingga mencari penawar buat mengubat hati yang sakit.
Sayangnya, dalam usaha mencari penawar, ramai yang mengambil penawar yang salah dan ada pula yang menemui penawar yang betul tetapi salah peraturan termasuk berlebihan dalam dosnya.
Sesungguhnya, sarana zikir yang warid dalam Quran maupun hadis telah cukup sehinggakan kita tidak perlu lagi berpaling kepada sarana zikir lain yang ditawarkan. Tiada orang yang cukup mengerti keperluan jiwa manusia melainkan Allah SWT dan Rasulnya yang diberi bimbingan wahyu.
Di antara yang disarankan Allah kepada kita adalah bertasbih ketika mahu bangun berdiri.Saranan ini disebutkan menerusi firman Allah SWT dalam surah At-Thur, ayat 48:
(Surah At-Thur: Ayat 48)
Ketika hendak bangun itu ditafsirkan oleh kalangan mufassirin kepada dua pengertian:
1) Ketika hendak bangun meninggalkan satu-satu majlis- Pendapat Ibn Mas'ud, Atha', Said bin Jubair, Sufyan As-Thauri, Aun bin Malik dan Abu Al-Ahwas.
Nabi SAW telah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi daripada Abu Hurairah:
Bacaan tersebut dinamakan "tasbih kaffarah".
Apa disebut majlis, ia tidak hanya majlis yang diadakan secara formal. Sepatutnya, ketika makan dikedai kopi, berborak-borak bersama teman-teman, ketika hendak berpisah, lebih aula ditamatkan dengan bacaan tasbih kaffarah. Majlis tidak formal seumpama demikian lebih banyak terjerumus ke dalam "ghalat".
2) Ketika hendak bangun untuk solat-Pendapat Muhammad bin Ka'ab, Ad-Dhahak dan Ar-Rabi'.
Sabda nabi SAW:
(Hadis Riwayat Bukhari)
Semoga kita dapat mengamalkan sarana zikir setika mahu bangun tersebut. Mengamalkan apa yang warid cukup meyakinkan. Percaya dan yakinlah bahawa anda akan memanjat tangga muqarrabin melalui bimbingan ayat quran dan hadis, sementelahan lagi jika anda mendapat guru terbaik, menjunjung amanah Rasulullah SAW, yang membekalkan anda dengan sumber tersebut.
Posted by PERENUNG LANGIT at 11:05 PM 2 comments
Labels: Tafsir
Raibul Manun
April 1, 2014Lalu, atas andaian yang sama, kalangan musyrikin Makkah mengatakan kesudahan nabi Muhammad juga demikian. Kelak, nabi Muhammad itu akan lenyap dalam Raibul Manun.
Raibul manun bermaksud rentetan peristiwa yang berkesudahan dengan kematian. Seseorang yang lenyap dari dunia bersama kematiannya, dikatakankan Raibul manun. Pada sangkaan orang-orang kafir, perjalanan hidup nabi Muhammad SAW juga seperti penyair-penyair hebat mereka, antaranya Zuhair Ibn Sulma dan Nabighah Az-Zubyani yang gah nama mereka masa hidup mereka tetapi kemudiannya mati bergalang tanah. Hasil karya syair mereka menjadi tinggalan sejarah. Nasihat-nasihat mereka hanya jadi lagu-lagu syair yang hanya buat penyedap telinga.
Itulah Raibul Manun.
Namun, mereka lupa bahawa perjuangan Islam bukan Raibul Manun. Perjuangan Islam bukan lapuk di zaman. Sesudah Rasulullah wafat, akan sentiasa ada para pejuang yang akan menerusnya. Demikian, betapa banyak para pejuang penerus dakwah nabi SAW itu dibunuh, perjuangan nabi tidak akan mati. Ini kerana perjuangan Islam bukanlah Raibul Manun.
Perjuangan selain Islam itulah Raibul Manun. Mungkin ia hebat dan masyhur pada satu tahap masa, bila sampai waktunya ia akan lenyap dan berkubur tanpa nesan. Lihat sahaja apa nasib ideologi ciptaan manusia. Komunisme, sosialisme, nazisme, darwinisme dan lain-lain lagi, semuanya menjadi mangsa Raibul manun.
Sebab itu, betapa banyak pun darah Ikhwanul Muslimin yang tumpah, api perjuangan mereka tidak padam. 529 orang dihukum bunuh oleh mahkamah durjana Mesir, ia tidak akan menguburkan perjuangan warisan yang dipetik dari bingkisan Rasulullah. Sebelumnya telah pun banyak yang dibunuh ataui dilenyapkan tiada khabar berita, namun, tsabat para ikhwan di Mesir tidak pernah lumpuh.
Firaun telah menjadi Raibul Manun. Jamal, Anwar Saadat dan terbaru Mubarak adalah para Raibul Manun yang bakal lenyap dan tidak mewariskan sebarang nama mulia. Namun, nabi Musa, Hasan Al-Banna, Sayyid Qutub, Hasan Hudaibi dan para pemimpin hebat sesudah mereka, mereka tidak ditelah oleh pengaruh Raibul Manun.
As-Sisi boleh mendabik dada hari ini. Dia bakal menjadi Raibul Banun. Sesiapun yang menentang Allah akan menjadi Raibul Manun!
Fahamkah anda apa itu Raibul Manun?
Posted by PERENUNG LANGIT at 11:53 PM 0 comments
Labels: Tafsir
Mujarrabat dan Waridat
March 23, 2014Berkenaan bacaan yang bukan dari nabi, tidak semestinya kita menolak semuanya. Umpamanya apa yang menjadi lagu qasidah hari ini. Termasuklah lagu-lagu solawat yang diqasidahkan. Sungguh, memang, tidak dinafikan sebahagian besar dan bahkan hampir semua lafaz qasidah solawat itu bukan dari nabi SAW. Ia memang karya tokoh tertentu. Adalah keterlaluan dalam penolakkan, kalau kita melarangnya hanya semata-mata berdasarkan "ia bukan dari nabi".
Sudah macam selogan orang tertentu dewasa ini. "bukan dari nabi", maka mengapa mahu dibacakan. Jangan begitu. Berapa banyak yang bukan dari nabi, menjadi amalan kita hari ini. Buat kubah atas masjid, bukan dari nabi. Bukan zaman nabi pun yang dibacakan dan bukan dari nabi. Ada sahabat yang "addicted" dengan surah al-Ikhlas dan asyik membacanya. Waktu dia mula mengamalkannya, dia bukan pergi tanya nabi. Bila nabi tahu, baru datang "endorsement" dan dinyatakan fadhilatnya.
Jadi, bacaan yang berfadhilat ukhrawi, memang perlu perkataan dari nabi. Manusia selain nabi tiada hak untuk menfadhilatkan satu bacaan. Salahlah kalau seseorang berkata bahawa baca qasidah mendapat pahala macam jihad 1000 maikat atau dianugerahkan mahligai dalam syurga. Itu soal janji akhirat, tidak boleh difadhilatkan melainkan menerusi lisan junjungan Rasul.
Tapi, kalau dikatakan sipa yang selalu baca qasidah, hatinya akan tenang. Itu fadhilat duniawi. Kita manusia biasa boleh menuturkan. Bahkan kita seringkali memberi fadhilat kepada orang lain untuk menggalakkan dia melakukan sesuatu hal. Seorang guru misalnya, akan merangsang murid-muridnya agar siapkan kerja rumah dan siapa yang siapkan kerja rumah, fadhilatnya ialah dia tidak akan didenda.
Itu semua fadhilat dunyawi dan bukan ukhrawi. Siapa yang buat fadhilat ukhrawi, dia telah menabrak batasan ghaib yang diperingatkan kepadanya agar tidak mencerobohi.
Berhubung bacaan, setengahnya mujarrabat dan ada yang waridat. Yang waridat itu dari nabi. Waridat ada fadhilatnya. Fadhilat ukhrawi itu dari nabi dan kita hanya meyakini. Mungkin ada fadhilat duniawi yang nabi khabarkan dan sebahagiannya adalah hasil dari "tajarrub" diri sendiri yang beramal. Maka, dalam waridat telah bergabung mujarrabat.
Kendati begitu, mujarrabat akan kekal mujarrabat. Ia tidak menjadi waridat kerana waridat ada fadhilat ukhrawi yang dijanjikan. Sedangkan mujarrabat hanya setakat fadhilat duniawi. Mujarrabat bukan terbit daripada wahyu nabi tetapi hasil dari "tajarrub" orang-orang tertentu. Bahasa mudahnyanya, pengalaman. Pengalaman itu sama ada pengalaman biasa atau kerohanian.
Banyak sekali orang mengajarkan kita ayat-ayat mujarrabat. Sebahagian besar dari ayat-ayat syifa adalah daripada "tajarrub" ahli ruqyah. Memang ada ayat yang warid dari nabi. Itu kita sifatkan waridat mujarrabat. Tetapi yang tidak warid nabi, namun ada dalam Quran dan kita mengamalkannya sebagai syifa' maka ia menjadi mujarrabat.
Semua waridat adalah sahih. tetapi tidak semua mujarrabat itu saheh. Kalau mahu dikira, berapa banyak mujarrabat yang diamalkan oleh para tok bomoh dan ahli sihir yang bertopengkan agama. Ia menjadi tidak saheh kalau sudah mengandungi campur aduk dan keyakinan yang mensyirikkan Allah SWT. Sebab itu, tahap keberhati-hatian dalam mengamalkan mujarrabat hendaklah tinggi. Antara waridat dan mujarrabat, tentulah waridat menduduki tempat yang tertinggi. Dalam ketinggian kedudukannya itupun, ada juga cubaan mencemarkan dengan yang wirid yang mardud.
Ketika menafsirkan ayat 195 surah Ali-Imran, Imam Al-Qurtubi mendatangkan kata-kata Imam Ja'far As-Sadiq bahawa siapa yang berdoa dan dalam doanya menyebut 5 kali "rabbana" sebagaimana disebutkan dalam ayat 191-194 surah Ali -Imran, maka Allah akan selamatkan pembacanya daripada apa yang dia takuiti dan memberikan apa yang dia kehendaki. Bacaan ini bukan warad dari nabi dan janjinya bukannya ukhrawi. Ia adalah tajarrub dari imam Ja'far As-Sodiq dan bila kita mengamalkannya, kita namakan amalan tersebut sebagai mujarrabat.
Dalam hidup kita, kita akan temui banyak bacaan yang diberikan kepada kita untuk diamalkan. Jangan kita bersikap sempit dan menolaknya atas dasar bukan dari nabi. JIka dari Al-Quran, tidak ada masalah. Jika dari mantera manusia, perhatikan maknanya. Jika menyimpang, tinggalkan dia. Ambillah mutiara yang bersinar dan tinggalkan kerikil bernoda. Jika mahu berpada dengan waridat,memadailah dan anda tidak akan dipersalahkan. Anda telah cukup dan kaya dengan membawa wirid-wirid yang ma'thur dalam hidup anda.
Posted by PERENUNG LANGIT at 11:06 AM 0 comments
Labels: Pandangan
Kuliah Subuh: Derhaka Sang Telunjuk
(Surah Nuh: Ayat 7)
Memasukkan jari jemari ke dalam telinga adalah satu yang tidak mungkin. Lubang telinga hanya muat untuk satu jari setiap satunya. Namun, Allah menggambarkan bahawa kaum Nuh telah memasukkan semua jari tangan mereka ke dalam telinga. Teknik bahasa yang sebegini, dalam ilmu balaghah Arab disebut sebagai:
Allah menyebutkan semua kerana beberapa sebab. Antara sebab yang boleh kita fahami adalah:
1) Untuk menggambarkan betapa melampaunya penolakkan kaum nabi Nuh terhadap dakwah nabi Nuh.
2) Menyatakan secara tersirat bahawa pendokong kejahatan akan bertanggungjawab atas kejahatan yang dilakukan oleh si pembuat kejahatan.
Kita katakanlah, jari yang dimasukkan ke dalam telinga itu hanya jari telunjuk. Memang kebiasaannya jari telunjuklah yang digunakan untuk menutup lubang telinga, miskipun jari lain juga mungkin boleh diguna. Perbuatan jari telunjuk menutup lubang telinga itu satu penderhakaan dan jari jemari lain pula menyokong onar jari telunjuk atau sekurang-kurangnya tidak mencegah perbuatan bejat sang telunjuk. Lalu, beban dosa itu dipikulkan kepada semua jari.
Demikian halnya dalam kehidupan kita ini. Barangkali kita tidak melakukan satu kejahatan tetapi membiarkan orang lain melakukan kejahatan tanpa usaha mencegah, akan menarik kita terlibat sama. Apatah lagi kalau kita menyokong perbuatan jahat itu.
Para pemuja hedonisme menganjurkan konsert FMFA (Future Music Festival Asia) 2014. Kita diam meredhakan. Kita menyokong mereka yang melakukannya dengan sumbangan sekecil apapun. Maka, sekalipun kita tidak hadir dalam program yang berbau wain durjana kemaksiatan itu, kita adalah terlibat sama.
Kita laksana jari jemari yang mendokong kederhakaan jari telunjuk!
Sungguh malang menjadi jamari yang menyokong kejahatan. Gunakan jari anda dengan sebaik-baiknya. Jari anda akan menentukan di mana anda. Anda bersama pendokong amal soleh atau bersama pendokong agenda dajjal.
Posted by PERENUNG LANGIT at 7:29 AM 0 comments
Labels: nasihat
BANI TAMIM
March 22, 2014Lelaki-lelaki Bani Tamim adalah pahlawan ummat. Merekalah pembela Islam yang paling gagah berdepan dengan para dajjalin dan dajal akhir zaman. Sudah tentu untuk melawan para dajjal itu, memerlukan keyakinan tauhid yang tinggi dan semangat yang kuat.
Dalam sebuah hadis lain yang juga diriwayatkan oleh Abu Huraira dan dikeluarkan oleh Muslim dan At-Tabrani, Rasulullah SAW bersabda:
" Mereka adalah manusia yang paling kuat berperang dalam peristiwa "al-Malahim".
Al-Malahim adalah peperangan yang bersiri membawa kepada Mulhamah Al-Kubra yang disebutkan dalam hadis sebagai peperangan yang melibatkan tentera Islam dengan tentera Rom.
Ironinya, melihat pujian Rasulullah buat suku Bani Tamim, dalam dunia Melayu yang "syok sendiri" ini, kita sering dengar pula ada kalangan Melayu yang tidak tahu hujung pangkal, mencemuh rijal-rijal yang lahir sepanjang sejarah termasuk dari kalangan Bani Tamim.
Di antara rijal yang paling banyak dicederakan namanya adalah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab At-Tamimi, pengasas gerakan tajdid di Arab Saudi yang kemudian mendapat gelaran buruk sebagai Wahhabi dari musuh-musuhnya. Sedangkan...yang mencemuhnya hanya satu suku gasar yang tercerok di rantau timur (kita yang bernama Melayu) dan tidak mendapat secebis pujian pun dari lisan Rasulullah SAW.
Perhatikanlah keberadaan kita sebelum hanyut dalam mencemuh rijal yang pernah dilahirkan oleh suku-suku yang mendapat pujian khusus dari lisan Rasulullah SAW.
Posted by PERENUNG LANGIT at 3:48 PM 0 comments
Labels: nasihat
SEKADAR ISLAM, BELUM SELAMAT.
March 20, 2014Orang Munafiq masih dipanggil "orang Islam". Sedangkan hakikat nifaq itu adalah kafir. Bahkan, orang munafiq, kelak di akhirat akan berada di bahagian neraka paling bawah. Maka, nama Islam yang ada pada diri, bukanlah satu tiket untuk selamat. Keselamatan yang sejati hanya akan ada pada "orang yang beriman".
Nabi melarang sahabat-sahabat baginda daripada membunuh Abdullah bin Ubai bin Salul, bapa munafiq Madinah. Baginda tidak mahu kelak di belakang hari, ornag meriwayatkan bahawa nabi Muhammad telah membunuh "sahabatnya". Baginda masih mengistilahkan mereka sebagai 'sahabat' sekalipun mereka adalah munafiq. Ini kerana yang zahir adalah Islam. Maka, yang zahir itulah yang dipakai.
Islam adalah agama yang menghukumkan berdasarkan yang zahir. Hakikat sesuatu itu adaalah milik Allah, dan Dialah yang akan menghukumkannya di akhirat.
Bila sebuah negara itu zahirnya Islam, kita panggil ia negara Islam, sekalipun dalamnya ada orang-orang kafir yang tinggal. Ini kerana, hukuman Islam adalah berdasarkan yang zahir.
Salah sekali jika ada orang yang bercakap soal hakikat lalu mengabaikan syariat kerana syariat itulah yang zahir.
Orang beriman semuanya Islam. Tetapi bukan semua orang Islam itu beriman. Cuba kita lihat apa yang Allah SWT mahu siratkan dalam firmannya mengenai kehancuran negera Sadum, sebuah negeri yang didakwahi oleh nabi Lut A.S:
Lalu kami keluarkan orang-orang yang beriman yang berada di negeri kaum Luth itu. Dan kami tidak mendapati dalam negeri itu kecuali hanya sebuah sebuah rumah orang Islam.
(Surah Ad-Dzariayyat: Ayat 35-36)
Dalam negeri Sadum itu hanya ada sebuah rumah orang Islam. Rumah itu adalah rumah nabi Lut. Namun dalam rumah nabi Lut ada seorang Munafiqah yang khianat, iaitu isteri nabi Lut sendiri. Sekalipun dalam rumah itu ada seorang perempuan yang munafiq, rumah itu dianggap rumah Islam. Ini kerana isteri nabi Lut menzahirkan keislamannya dan meng'hakikat'kan nifaqnya. Al-Quran menjustifikasikan berdasarkan yang zahir.
Lalu, dari rumah yang Islam itu, Allah keluarkan hanya yang beriman, iaitu Lut dan dua orang anak perempuannya. Mereka bertigalah yang dipanggil orang beriman. Hanya mereka bertiga yang selamat daripada bencana yang menimpa Sadum.
Oleh itu, kalau anda Islam, jangan fikir anda akan selamat. Anda hendaklah memastikan anda benar-benar beriman. Menjadi orang beriman, barulah mendapat keselamatan di dunia dan akhirat.
Posted by PERENUNG LANGIT at 6:12 AM 0 comments
Labels: Tafsir
Doa Zun Nun
March 9, 2014Pada satu hari sahabat Rasulullah bernama Sa'ad bin Abi Waqas telah nampak Uthman bin Affan dalam masjid sedang duduk sugul bersendirian. Waktu itu pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab. Sa'ad bin Abi Waqas telah memberi salam kepada Uthman bin Affan tetapi tidak dijawabnya. Kerana hairan salamnya tidak dijawab, Saad bin Abi Waqqas telah pergi kepada khalifah Umar Al-Khattab dan mengadu. Beliau juga bimbang kalau ada perubahan dalam agama yang menyebab salam tidak perlu dijawab.
Khalifah Umar Al-Khattab memerintahkan agar Uthman bin Affan dipanggil kepadanya. Lantas, ditanyakan soalan kepada Uthman bin Affan mengenai ketidakjawabannya terhadap salam Sa'ad bin Abi Waqqas. Uthman bin Affan menyatakan bahawa beliau tidak mendengar salam itu kerana sedang larut dan kesedihan. Kesediahannya itu adalah kerana mengenangkan peristiwa beliau bersama sahabat-sahabat yang lain satu hari di zaman hayat Rasulullah SAW. Ketika itu Rasulullah mahu menceritakan satu doa yang jika dibaca akan melepaskan pembacanya daripada kesulitan. Malangnya, sebelum sempat nabi menyebutkan doa itu, ada seorang lelaki Badwi datang mencelah dan menanyakan Rasulullah sehingga mengubah topik. Perbualan dengan Badwi itu pula jadi panjang dan akhirnya bersurai tanpa sempat Rasulullah SAW mengulangkan semula mengenai doa itu.
Para sahabat malu untuk kembali bertanya. Rasulullah kembali ke rumahnya dan sahabat yang lain pun bersurai. Itulah yang membuatkan Uthman bin Affan karam dalam kesedihan sehingga salam Saad bin Abi Waqas tidak disedarinya.
Saad bin Abi Waqqas, bila mendegar cerita Uthman bin Affan itu, dia segera teringat peristiwa hari itu dan menceritakan pengalamannya pula. Menurutnya, bila para sahabat lain bersurai, dia telah menyusul mengejar Rasulullah SAW. Dia sempat bertanyakan tentang doa yang mahu Rasulullah SAW ajarkan itu tetapi terputus di tengah jalan. Maka, Rasulullah SAW pun memberitahu Sa'ad bahawa doa itu adalah doa Zun Nun ketika dalam perut ikan. Sabda Rasulullah SAW:
" Maka sesungguhnya tidak berdoa seorang muslim kepada Tuhannya untuk sesuatu hajat dengan menggunakannya, melainkan akan dimustajabkan untuknya".
Cerita ini boleh didapati dalam Musnad Ahmad dan Al-Bazzar dan disahehkan oleh Ahmad Shakir.
Posted by PERENUNG LANGIT at 7:55 AM 0 comments
Labels: hadis
HAKIM DARI LEMBAH NERAKA.
March 8, 2014Daripada hadis Buraidah menyebutkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Hakim itu tiga golongan. Satu golongan dalam syurga dan dua lagi dalam neraka.
(Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah dan disahehkan oleh Al-Hakim)
Maka, majoriti hakim adalah calon penghuni neraka. Daripada 100 orang hakim, 67 orang daripadanya bakal menghuni neraka manakala 33 daripadanya terselamat dan akan mendapat kemegahan dalam syurga loka. Daripada 1000 orang hakim, 667 akan mewarisi penempatan sengsara dalam neraka dan 333 orang akan mewarisi mahligai dalam syurga. Gambaran angka-angka ini hanyalah untuk menegaskan bahawa kerjaya hakim terdedah kepada bahaya yang menjerumuskan diri ke dalam neraka.
Hakim itu tugasnya menegakkan keadilan. Sesiapa pun yang menjadi bentara penegak keadilan, dialah hakim, Tidak semestinya hakim di mahkamah. Apa pun namanya, jika tugasnya mengadili orang-orang bertikai sehingga kebenaran dapat dicari dan keadilan dapat ditegak, maka dialah hakim.
Memang yang maha adil itu hanya Allah SWT. Betapapun keadilan mahu ditegakkan oleh seorang hakim, akan ada cacat celanya. Sebagai manusia, mana mungkin dapat menegakkan keadilan secara mutlak. Namun, kegagalan itu tidaklah menjerumuskannya ke dalam neraka. Itu di luar kudrat manusiawi. Nabi sendiri pun tidak dapat berlaku adil dalam soal perasaan kerana perasaan bukan di bawah kawalan manusia. Demikianlah, seorang hakim yang memutuskan hukuman berdasarkan bukti-bukti yang dibentangkan kepadanya, dan dia berusaha bersungguh-sungguh untuk menentukan kebenaran dan menunaikan obligasinya dengan penuh tanggungjawab, jika masih berlaku khilaf pada hakikat perkara, maka sesungguhnya ia bukanlah dosanya. Allah mengampunkan Adam atas khilafnya kerana lupa.
Maka, khilaf hakim yang bukan kehendaknya, Allah terlebih pengampun.
Tetapi, realitinya, ramai hakim menunggangi kedudukannya. Dengan tujuan makar, khianat dan zalim, mereka menerbitkan sesuatu keputusan sedangkan mereka tahu lemahnya keputusan itu. Inilah para hakim dari lembah neraka.
Keputusan Hakim yang melepaskan penjenayah (kerana kurang bukti) adalah lebih mulia daripada keputusan menyabitkan kesalahan ke atasnya ketika bimbang keadilan tidak tertegak. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
" Elakkan daripada melaksanakan hukum hudud ke atas kaum muslimin sekuat daya yang kamu ada, maka sesungguhnya jika ada jalan keluar (spt keraguan yang munasabah), bebaskanlah dia. Sesunguhnya salah dalam membebaskannya lebih baik daripada salah dalam menghukumnya".
(Hadis Riwayat Tirmizi-Marfu' dan Mauquf)
Fenomena penghakiman yang sering dibantahi rakyat di Malaysia dewasa ini sangat membimbangkan. Hakim-hakim yang telah hilang kepercayaan rakyat adalah satu bencana buat negara. Ia menjadi isyarat meratanya kejahatan dalam masyarakat sehingga Allah tekah mencabut tsiqah daripada orang-orang adil dan amanah telah diangkat. Lantas, tinggallah manusia tanpa tsiqah dan amanah.
Dari sebuah kerjaya mulia yang membawa ke syurga, ia kini menjadi lebih banyak menawarkan tiket permukiman ke lembah neraka.
Posted by PERENUNG LANGIT at 6:15 PM 0 comments
Labels: hadis
Kias Berkilas: Sedarlah puyuh bukan jalak.
March 7, 2014Puyuh yang mahu meniru jalak cuba memadamkan hakikat dirinya. Pengalamannya dalam pertarungan laga pun belum pernah ada. Senjata yang dipakainya pun hanya tiruan belaka. tetapi, kerana keghairahan mahu jadi seperti jalak dan mencabar jalak, puyuh cuba juga.
Sehinggalah ketika dia melihat jalak melintas, puyuh pun menayang dirinya depan jalak sambil mengais kakinya ke tanah dan mempamerka taji duri yang diikat di kaki. Kepala berbunga kertas disondol ke udara kiri kanan buat menimbulkan gerun di hati jalak.
Sungguh kasihan sang puyuh. Sudahlah suara hanya decip bak bunyi anak tikus di celah lubang dapur, tapi dirasakannya sudah bagai gempita guruh di langit. Jauh sekali jika mahu dibandingkan dengan lantunan suara kokokan jalak yang menggegarkan hening subuh dan memulakan keberkatan hari.
Lantas...seekor burung malas yang sedang lepak dicelah lalang serumpun berkata kepada puyuh yang bermimpi menjadi jalak...
" Sudahkah kau hafal syair Arab dan mengerti balaghah dan ma'aninya?".
Puyuh terperangah tidak mengerti erti di sebalik persoalan.
Posted by PERENUNG LANGIT at 5:42 AM 0 comments
Labels: Kritikan berkias
BUGHAH TIDAK MEMBATALKAN KEIMANAN
March 6, 2014Cuma, dalam menilai peristiwa perang As-Siffin itu, kita berdepan dengan melebelkan kumpulan mana satu dengan kumpulan "Bughah". Sungguhpun digelar bughah, kumpulan tersebut tetap dari kalangan ornag beriman. Jika kumpulan Mu'awiyah digelar "Bughah", maka kita perlu menyimpan sangka baik bahawa Mu'awiyah dan kelompok bersamanya masih tetap kelompok beriman.
Satu fakta peristiwa berkaitan dengan perang As-Siffin ialah penyertaan Ammar bin Yasir dalam kelompok Saidina Ali. Mengenai Ammar inilah Rasulullah telah bersabda:
Sabda Rasulullah SAW ini diungkapkan ketika baginda melihat Ammar bin Yasir sedang bekerja keras menggali parit dalam peristiwa Perang Khandak. Sahabat Abu Sa'id Al-Khudri yang meriwayatkan perkataan tersebut. Abu Sa'id Al-Khudri pada ketika masih kecil iaitu sekitar usia 7 tahun. Ada yang mempersoalkan riwayat Abu Sa'id tersebut kerana faktor umurnya ketika itu. Namun dalam Hadis sahih mengikut syarat Muslim, Abu Said Al-Khudri menyatakan dia mendengar dari "seorang yang lebih baik daripadanya".
Al-Maklum, bahawa yang membunuhnya adalah kelompok tentera Mu'awiyah . Oleh itu, secara mudahnya, kelompok Mua'wiyah adalah Bughah. Namun, ada riwayat yang menyebutkan kilas Mu'awiyah yang berkata: "Sesungguhnya yang membunuhnya adalah yang membawanya datang (ke medan perang).
Perkisahan ini bukan untuk mencari salah. Tidak layak untuk kita meletakkan kesalahan kepada mana-mana sahabat termasuk Mua'wiyah. Ia hanya untuk mengetahui mengenai kedudukan bughah dalam Islam. Jika berdasarkan hadis nabi mengenai Ammar itu, nyatalah salah satu pihak adalah bughah. Jika dilihat secara lurus mantiq peringkat tinggi seperti diucapkan Mu'awiyah, tentera Mu'awiyahlah yang disebut Bughah kerana melawan Saidina Ali. Walau bagaimana pun, merujuk kepada Ayat Al-Quran, Ayat 9 Surah Al-Hujurat, nyatalah dua kelompok mereka adalah kelompok orang beriman.
Jadi, apa masalahnya. Bukankah keimanan itu lebih penting dari kemaksiatan. Keimanan merupakan syarat keampunan atas kemaksiatan. Jika sahabat melakukan kesalahan dan maksiat, keampunan Allah lebih utama buat mereka berbanding buat kita yang mempertikaikan manaqib mereka. Pengorbanan mereka untuk Islam lebih banyak sehingga tidka mustahil kesalahan yang berlaku itu berada dalam lingkungan kemapunan Allah SWT.
Wallahu a'lam!
Posted by PERENUNG LANGIT at 12:47 AM 0 comments
Labels: Pandangan