Ini tajuk yang dilontarkan dalam sesi daurah Al-Quran di Masjid Al-Fajar. Alhamdulillah, lontaran pertanyaan tersebut telah menemukan aku satu jawapan. Mudah-mudahan bertambah faham akan agama dan bertambah meningkat rasa takwa. Bertambah semangat berjuang untuk merebut syurga yang sememangnya sulit dimasuki. Syurga yang akan dimasuki oleh golongan yang sedikit.
Golongan yang sedikit!
أللهم أجعلني من القليل
“Wahai Tuhan…jadikan aku kalangan yang sedikit”.
Ketika mentafsir firman Allah swt dalam surah An-Nisa, ayat 118:
لعنه الله وقال لأتخذن من عبادك نصيبا مفروضا
Allah melaknatinya (Syaitan) dan dia berkata: "Saya benar-benar akan mengambil dari hamba-hamba Engkau bahagian yang sudah ditentukan (untuk saya).
Imam al-Qutubi menyebutkan sebuah Athar yang berbunyi:
من كل ألف واحد لله والباقي للشيطان
“Dari setiap seribu, seorang adalah bahagian Allah dan bakinya (999) adalah bahagian syatian”.
Menurut Imam al-Qurtubi, athar ini disokong oleh sebuah hadis qudsi yang disebutkan dalam Soheh Muslim bahawa Allah SWT telah berkata kepada nabi Adam:
أبعث بعث النار فيقول: وما بعث النار ؟ فيقول من كل ألف تسعمائة وتسعة وتسعين
“Asingkan satu kelompok (dari zuriatmu) ke neraka.Adam bertanya: Apakah kelompok yang ke neraka itu? Maka jawab Allah: Dari setiap seribu 999 adalah kelompok ke neraka”.
(Hadis Mriwayat Muslim)
Tabrani dalam kitabnya al-Kabir meriwayatkan hadis tersebut daripada Abu Darda’ menyebutkan:
(Ketika Rasulullah menerimanya kemudian menyampaikannya kepada para sahabat), baginda menangis tersedu-sedu, demikian para sahabat lainnya turut menangis lalu baginda bersabda:
"Angkatlah kepalamu, Demi Allah Yang Menguasai jiwaku. Dibandingkan dengan umat-umat Nabi lain, umatKu hanyalah bagaikan selembar bulu putih (yang terdapat) pada kulit lembu jantan yang berbulu hitam."
Dalam Soheh Bukhari, melalui riwayat daripada Abu Said Al-Khudri, terdapat penjelasan yang lebih mengenai hadis qudsi tersebut:
Orang-orang (yang hadir mendengar pada waktu itu) merasa ngeri sehingga berubah pucat warna muka mereka. Lalu Nabi saw. menerangkan: "Diambil dari Ya'juj dan Ma'juj 999 dan dari kamu 1. kalau kamu dibandingkan dengan orang yang sangat ramai itu, ibarat sehelai bulu berwarna hitam yang terdapat pada seekor lembu jantan yang berwarna putih. Sesungguhnya aku mengharapkan agar kamu menempati satu perempat penghuni syurga." Lalu kami semuanya bertakbir tanda gembira. Kemudian baginda menyambung lagi: "Menempati satu pertiga penghuni syurga." Lalu kami bertakbir lagi tanda gembira. Kemudian baginda menyambung lagi: "Menempati separuh penghuni syurga." Maka kami pun bertakbir lagi."
(Hadis riwayat Bukhari)
Sama-samalah kita renungkan. Syurga adalah impian kita…apakah mungkin kita satu dari 1000 itu?
Memasuki syurga tidaklah terlalu payah (berdasarkan hadis Bukhari). Namun ia bukan terlalu mudah. Takutlah dan haraplah selama hidup dalam dunia. Kerana itulah pengiring segala amal kita menuju Allah.
0 comments:
Post a Comment