Ini adalah bahan untuk pembentangan tafsir yang dikemukakan dalam usrah DPPKS pada malam ini.
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آَذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
“Dan Sesungguhnya kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. mereka Itulah orang-orang yang lalai”.
Ramai Manusia dan jin Ke dalam neraka!
Allah mengatakan bahawa Dialah yang telah menciptakan untuk diisikan ke dalam neraka jahannam ramai dari kalangan manusia dan jin.
Imam Ibnu Kathir menyebutkan dalam tafsirnya, apabila Allah menghendaki menciptakan sesuatu makhluknya, Dia telah mengetahui ke arah manakah mahkluknya itu akan beramal, lalu dituliskan dalam kitab yang ada di sisinya keadaan makhluk tersebut 50 ribu tahun sebelum terciptanya langit dan bumi ini.
Disebutkan dalam hadis bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
إن الله قدر مقادير الخلق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وكان عرشه على الماء
“Sesungguhnya Allah mentakdirkan takdir-takdir kejadian 50 ribu tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi dan adalah arasynya diatas air”.
(Hadis Riwayat Muslim)
Dalam hadis yang lain riwayat daripada Ai’shah bahawa nabi telah dijemput menghadiri jenazah seorang bayi dari kalangan anak-anak orang ansar lalu aku (Aishah) berkata:
“Ya Rasulullah,alangkah beruntungnya dia!dia menjadi burung kecil di antara burung-burung kecil syurga. Dia tidak pernah mengamalkan kejahatan dan tidak sempat melakukannya”.
Maka jawab Rasululah SAW:
أو غير ذلك يا عائشة إن الله خلق الجنة وخلق لها أهلاً وهم في أصلاب آبائهم, وخلق النار وخلق لها أهلاً وهم في أصلاب آبائهم
“Ataupun selain itu ya Aishah!Sesungguhnya Allah telah menciptakan syurga dan menciptakan baginya ahli-ahlinya padahal mereka masih lagi dalam tulang-tulang sulbi bapa-bapa mereka. Dan Allah telah menciptakan neraka dan menciptakan juga ahli-ahlinya sedangkan mereka masih dalam tulang-tulang sulbi bapa-bapa mereka”.
(Hadis Riwayat Muslim)
Disebutkan dalamSoheh Bukhari dan Muslim sebuah hadis riwayat Ibn Mas’ud R.A bahawa Rasulullah Saw telah bersabda:
ثم يبعث الله إليه الملك فيؤمر بأربع كلمات فيكتب رزقه وأجله وعمله وشقي أم سعيد
“Kemudian diutuskan oleh Allah kepadanya (janin dalam kandungan ibunya) dan diperintahkan empat kalimat (perkara) lalu ditulislah tentang razekinya, ajalnya,amalnya dan kesudahanya (bahagia atau celaka=syurga atau neraka)”
Telah disebutkan dalam sebuah hadis yang lain bahawa apabila Allah mengeluarkan zuriat Adam dari sulbinya lalu menjadikannya dua golongan iaitu golongan kanan dan golongan kiri lalu Dia berkata:
Mereka (Golongan kanan) adalah untuk diisikan ke syurga dan aku tidak peduli. Dan mereka pula(Golongan kiri) untuk diisikan ke neraka dan aku tidak peduli.”
Hadis-hadis seumpama ini banyak dan para ulama telah membincangkan secara panjang lebar mengenai persoalan Qadar ini.
Ada hati tetapi tak boleh memahami, ada mata tidak boleh melihat dan ada telinga tak boleh mendengar!
لهم قلوب لا يفقهون بها ولهم أعين لا يبصرون بها ولهم آذان لا يسمعون بها
Orang-orang yang bakal dihumbankan ke dalam neraka itu adalah mereka yang diberikan Allah hati buat memahami ayat-ayat Allah,tetapi mereka tidak menggunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah.Malah ada pula yang menentang Allah. Mereka menjadi degil dan enggan tunduk kepada perintah dan peraturan Allah. Allah kurniakan mereka mata dan telinga buat melihat dan mendengar ayat keterangan Allah namun mereka membutakan mata dan memekakkan telinga. Lalu mereka terus berada dalam kegelapan dan tidak mendapat hidayah.
Allah berfirman dalam al-Quran, banyak ayat yang maksudnya sama seperti ayat di atas:
· وجعلنا لهم سمعاً وأبصاراً وأفئدة فما أغنى عنهم سمعهم ولا أبصارهم ولا أفئدتهم من شيء إذ كانوا يجحدون بآيات الله
· صم بكم عمي فهم لا يرجعون
· صم بكم عمي فهم لا يعقلون
· ولو علم الله فيهم خيراً لأسمعهم ولو أسمعهم لتولوا وهم معرضون
· فإنها لا تعمى الأبصار ولكن تعمى القلوب التي في الصدور
· ومن يعش عن ذكر الرحمن نقيض له شيطاناً فهو له قرين * وإنهم ليصدونهم عن السبيل ويحسبون أنهم مهتدون
Mereka umpama haiwan ternak, malah lebih hina lagi!
أولئك كالأنعام بل هم أضل!
Mereka adalah seperti ternakan!Hidup hanya makan rumput. Hati,mata dan telinganya bukan ada guna untuknya. Bila tuannya memanggilnya dia tidak faham apa-apapun. Tuannya tidak mendengar pula jawapan balas ternakannya itu. Namun, berbanding manusia yang tidak mendapat hidayah ini, ternakan lebih mulia kekrana adakalanya ternakan tahu mengikut arahan tuannya jika dilatih.
Justeru, jika manusia itu mentaati Allah,dia lebih mulia dari malaikat. Namun,jika dia menderhakai Allah,dia lebih hina dari ternakan yang sudah sedia hina.
0 comments:
Post a Comment