Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Sebat 6 kali bukan syarie: Semoga putik menuju masak

February 19, 2010

Tiga pesalah wanita dihukum 6 kali sebatan dan penjara 30 hari  atas beberapa kesalahan, antaranya kesalahan zina. Berita TV3 pagi ini memulakan dengan kata-kata "hukuman di dunia tak seberapa berbanding hukuman di akhirat" merujuk kepada keinginan murni 3 pesalah wanita tersebut mensucikan diri mereka daripada dosa di dunia.Mereka telah datang kepada pihak berkuasa agama untuk merelakan diri mereka di sebat dan dihukum dengan hukuman syarak. 



Jika mereka benar-benar bertaubat dan ingin mensucikan diri dengan hukuman itu, Allah tidak akan mensia-siakan taubat mereka, biarpun hukuman sebat yang dikenakan tidak menapati kehendak syarak. Taubat dan keampunan adalah hak milik Allah. Dialah At-Tawwab. Dialah Al-Ghaffar.

Firman Allah SWT:


نَبِّئْ عِبَادِي أَنِّي أَنَا الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Kabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku, bahwa Sesungguhnya Aku-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah Al-Hijr: Ayat 49)

Mereka telah berusaha untuk mendapatkan tazkiah diri, tetapi apakan daya, hukuman yang diperuntukkan hanya setakat itu. Hukuman hudud bukan boleh dibuat sendiri. Bukan juga boleh suruh keluarga atau kawan-kawan laksanakan. Ia adalah tanggungjawab pemerintah. Jika mereka tidak dapat menegakkan hukuman tersebut ke atas diri mereka padahal mereka ingin sangat ia dilaksanakan atas diri mereka, yang menanggung dosa adalah pemerintah.

Mereka yang mencipta undang-undang yang tidak syari'i, mereka itulah tulah yang menanggung dosa. Termasuklah ahli parlimen atau ahli DUN yang mengundi menyokong sesuatu akta atau enakmen yang menafikan kebangkitan perundangan syarak. Jika pihak berkuasa agama ingin sekali menegakkan hukuman Al-Quran tetapi tidak mempunyai bidangkuasa untuk melaksanakannya kerana halangan tertentu, pihak yang terlibat dalam halangan itulah yang menaggung dosa. Allah menilai niat dan kemampuan setiap orang. Allah menilai kehendak setiap orang.



لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya
(Surah Al-Baqarah: Ayat 286)

Siapakah yang bertanggungjawab meluluskan undang-undang syariah untuk ditegakkan di negara tercinta ini?

Selama ia tidak terlaksana, bukan para penzina yang bertaubat dan mencari penyucian diri itu yang dipersalahkan.
Bukan para qudhat yang ditahan daripada menegakkan hukum Allah sedangkan hati meronta  untuk melaksanakannya.

Bukan juga para qudhat dan dipaksa menjatuhkan hukuman berdasarkan peruntukan-peruntukan artifisial yang dilebelkan sebagai hukuman syarak padahal ia jauh daripada hukuman Syarak.

Allah amat belas kasihan kepada manusia yang yang tak berdaya dan dizalimi. Allah menilai setiap niat dan kemahuan.

Al-Quran telah jelas menyebutkan bahawa jumlah sebatan adalah 100 kali dan jumlah ini adalah qat'i dan bukan perkara ijtihadi. Tiada seorang yang paling bijak dalam dunia boleh mengubah bilangan ini  lagi berdasarkan apa-apa pertimbangan  manusiawi pun. Ia adalah hududullah yang telah ditetapkan. Jika diubah, tidaklah ia menjadi hukuman hudud lagi melainkan jadilah ia sejenis ta'zir. Hukuman-hukuman bagi kesalahan jenayah hudud, tidaklah  boleh dijatuhkan ta'zir jika sudah cukup pembuktiannya sama-ada syahadah (Kesaksianatau iqrar (pengakuan).

Firman Allah SWT:



الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ
Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, Maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus dali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.
(Surah An-Nur: Ayat 2)


Dalam kes mengenai 3 pesalah wanita tersebut, mereka telah membuat pengakuan dan dengan pengakuan itu mereka hendaklah dijatuhkan hukuman hudud.

Hukuman 6 kali sebatan tidak termasuk dalam hukuman hudud. Bagi kesalahan zina bukan muhsan hududnya adalah 100 kali sebatan. Bagi kesalahan minum arak, hududnya adalah antara 40 kali sebatan sehingga seratus berdasarkan khilaf para ulama. Bagi kesalahan qazaf (menuduh orang bezina-termasuk menuduh orang meliwat dirinya) hududnya adalah 80 kali sebatan.

Hukuman-hukuman ini dinamakan hudud kerana ia telah ditetapkan oleh Allah SWT. Tidak melaksanakanya menjadikan sesebuah pemerintahan itu adalah pemerintan yang zalim dan para penguasanya menaggung dosa tidak menegakkan kefardhuan sebuah pemerintahan.

Boleh sahaja hukuman hudud itu digantung perlaksanaannya untuk satu tempoh masa berdasarkan maslahah yang difikirkan perlu oleh pemerintah. Digantung,  ertinya hukuman itu sudah dilaksanakan sebelumnya , tetapi dihentikan perlaksanaan untuk sesuatu keperluan. Inilah yang pernah dilakukan Khalifah Umar Alkhattab yang menggantungkan perlaksanaan hudud potong tangan bagi pencuri pada 'tahun kelaparan' yang melanda Madinah.

Walau bagaimanapun, kita wajar melihat perkembangan terbaru ini dengan positif. Kita tidak akan memperakui bahawa hukuman sebat 6 kali adalah hukuman syarak. Tetapi ia adalah putik yang kita harapkan menuju musim masak ke arah perlaksanaan hudud secara total. Orang sudah mula membicarakan perlaksaan hudud. Itu wajar disyukuri miski hudud yang difahami itu masih jauh hudud sebenar dan penuh keraguan.

Tugas kitalah, para pendakwah dan pejuang Islam yang cintakan Islam untuk melonjak kefahaman masyarakat terhadap bentuk hudud yang tepat dan menjadikan mereka yakin bahawa itulah penyelesaiannya. Kita perlu menyimpan cita-cita dan berjuang menegakkan hukum Allah biarpun untuk 1000 tahun lagi.

Allah tidak bertanya apa yang telah kita capai tetapi Dia akan bertanya apa yang telah kita lakukan!


وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, Maka Allah dan rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang Telah kamu kerjakan.
(Surah At-Taubah: Ayat 105)


Melayu dan warisannya

February 18, 2010

"Kita kena hidupkan silat, inilah pusaka melayu, lambang melayu...", seorang kenalanku pernah meluahkan hasratnya kepadaku. Menurutnya, sekarang ilmu persilatan semakin ditinggalkan dan menjadi harapannya agar semua sekolah mempunyai kelab persilatan masing-masing.

Semasa aku di universiti aku pernah mengikuti seni silat Gayung Fatani. beberapa jurus aku belajar tapi akhirnya aku tinggalkan. Aku hilang minat. Gurunya seorang lelaki bertubuh sasa , smart dan bergaya dalam usia lingkungan 30-an. Aku ingat mahu cari guru berambut putih, panjang dengan janggut mencecah dada. Macam Aria Putera yang mengajarkan silat kepada Hang Tuah lima bersaudara.hahaha.

Zaman sudah berubah. Minda Melayu juga sudah banyak melalui anjakan. Zaman sekarang bukan lagi untuk hidup dalam nostalgia kegemilangan zaman Melaka.

Aku Melayu biarpun tak bersilat.
Aku Melayu biarpun tak mempunyai keris.
Aku Melayu biarpun tak bersongkok atau berbaju Melayu.

Ramai Melayu sudah tidak tahu tulisan Melayu (jawi)
Ramai Melayu sudah tak tahu berbahasa Melayu (kerana lama di luar negara)
Ramai Melayu lebih suka taekwando dan krate berbanding silat.

"Kalau bukan kita yang menghidupkan pusaka warisan bangsa kita, siapa lagi?", Seorang Melayu, dengan semangat waja bangsa Melayu melontar kata sambil tangan digenggamkan.

Salah tanggap berlaku.

Ada yang faham Melayu itu pada kerisnya. Lalu, bila sebut Melayu, keris pun dijulangkan!

Ada Faham Melayu itu pada acara tepung tawarnya. Lalu, ketika buat kenduri kahwin, diadalah acara bersanding dan tepung tawar!

Ada yang faham Melayu itu pada baju Melayunya, lalu berbaju Melayulah dia pada hari raya, Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Perarakan Maulidur Rasul.


Adat-adat lapuk Melayu dibongkar dan dihidupkan atas semangat Melayu. Ada usaha menghidupkan adat mandi tolak bala kerana itu dikatakan daya penarik pelancong di samping menampilkan warisan melayu.

Aku Melayu kerana dilahirkan daripada ibu bapa berbangsa Melayu. Jika aku dilahirkan dari ibu bapa berbangsa Arab, jadi bangsa Arablah aku. Demikian, jika sekiranya ibu bapaku berbangsa Asli Jakun atau Temiar, jadilah aku berbangsa Asli Jakun dan Temiar. Aku boleh jadi bangsa apa sahaja dan tiadalah kelebihan satu bangsa atas bangsa lain.

Yang lebihnya adalah takwa.

Melayu ada raja. Itu kisah dulu. Kisah zaman feudal. Zaman di mana kata-kata Hang Tuah 'Tak Melayu Hilang di Dunia ' mejadi kata-kata hikmah. Menjadi sabda yang dijunjung.Kata-kata Hang Tuah 'Pantang Melayu Derhaka' menjadi penambat taat membuta tuli. Demi melestarikan katanya sendiri, direlakan Bendahara Tun Perak melaksanakan hukuman bunuh buatnya.

Melayu perlu bangkit dengan semangat Islam yang tulin. Melayu tak perlu tunjukkan keris lagi. Tak perlu cerita lagi hebatnya seni keris dalam membunuh dan memburaikan isi perut. Tak perlu bernostalgik dengan khurafat kesaktian keris Taming Sari. Zaman ini senjata moden seribu kali lebih sakti daripada keris. Keris tiada guna lagi!

Jangan ada orang berkata bahawa keris masih perlu diperasapkan serta dimandilimaukan. Ada Melayu bersemangat Melayu warisan mendakwa keris masih diperlukan di saat rusuhan kaum terjadi. Cerita tahayyul mengenai keris terbang membunuh Cina tahun 1959 menjadi cerita kebanggaan tentang hebatnya keris dalam tradisi Melayu.

Itu sesungguhnya cerita yang memalukan Melayu. Mana mungkin keris terbang kalau bukan kerana ilmu sihir yang didokongi oleh jin dan syaitan! Jenis Melayu yang bersahabat dengan jin dan syaitan inikah yang menjadi kebanggan kita?

Melayu hanya sebuah bangsa. Bukan agama. Kalau nak berjuang dan membela, belalah agama, baru ada ganjaran pahala. Mati berjuang membela bangsa, mati katak. Botak kepala dan serabut serabai memikirkan bagaimana nak mengangkat darjat bangsa, adalah kebotakan dan keserabutan yang tak berguna.

Ada orang, tanpa menghiraukan pandangan agama, cuba membangkitkan segala adat silam. Adat melayu dan juga adat lainnya. Lebih teruk, ada yang berkaitan dengan Paganism. Pesta Kaul di Sarawak dihidupkan. Alasannya cuma untuk menarik pelancung. Tadau Kaamatan dihidupkan. Bukankah ia berasal usul daripada pesta memuja semangat padi? Pesta mandi safar diberi nilai baru.

Pelancongan...pelancongan...pelancongan...itulah alasan nil-nya

Demi pamrih dunia yang sedikit, dibangkitkan apa yang telah dimatikan Islam!

Jangan Menuduh Orang Sebagai Firaun

February 17, 2010

Firman Allah SWT: 


هُوَ أَعْلَمُ بِكُمْ إِذْ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَإِذْ أَنْتُمْ أَجِنَّةٌ فِي بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ فَلَا تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمْ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَى
Dialah Tuhanmu yang terlebih mengetahui (tentang keadaan)mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu; Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa.
(Surah An-Najmu: Ayat 32)
Dan FirmanNya lagi:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يُزَكُّونَ أَنْفُسَهُمْ بَلِ اللَّهُ يُزَكِّي مَنْ يَشَاءُ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا
Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang menganggap dirinya bersih? Sebenarnya Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya dan mereka tidak aniaya sedikitpun.
(Surah An-Nisa’: Ayat 49)

Tulisan ini adalah respon peringatan buat diri dan para pembaca mengenai perkembangan mutakhir ini melibatkan seorang individu yang bernama Zulkifli Nordin yang merupakan MP Kulim. Beberapa kenyataannya yang merujuk gelaran 'firaun kecil' kepada beberapa individu yang tidak dinyatakan namanya tetapi dapat dibayangkan siapa yang dimaksudkan, merupakan tuduhan yang bernada tazkiah diri yang dibimbangi bersulam takbur.

Jika ada manusia yang bernama Firaun kecil, maka lawannya adalah Musa kecil . Para penentangnya dalam isu penggunaan kalimah Allah dirujuk sebagai Firaun kecil. Rakan-rakanya dalam PKR yang yang beragama Islam seperti Zaid Ibrahim (terutamanya), termasuk Dr. Nur Manuty, Ketua Biro Agama PKR,  yang mengeluarkan kenyataan rasmi PKR mengenai isu penggunaan kalimah Allah tentu terpalit dengan pelebelan Firaun Kecil. banyak lagi pihak yang boleh difahamkan sebagai merujuk kepada Firaun Kecil yang dilebelkannya.
TG Hj Hadi, TG Nik Aziz Nik Mat, DS Anwar Ibrahim dan juga ulama-ulama besar dunia seperti Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Dr Wahbah Zuhaili dan Dr. Taha Jabir, semuanya boleh dimafhumkan terpalit lemparan itu. Sungguh telah membujur lalu melintang patah jalan yang diambil oleh Zulkifli Nordin dalam menegakkan kesyadidan pendiriannya.
Memberi lebel kepada orang lain sebagai Firaun Kecil bukan akhlak seorang Islam.  jauh sekali akhlak para pejuang Islam.
Begitu keras nabi menghadapi tentangan daripada penduduk Taif ketika baginda bersama Zaid cuba berdakwah di sana, sehingga malaikat menawarkan untuk membalas perbuatan mereka dengan dihempapkan dengan gunung yang ada di sana, nabi SAW tidak menerima tawaran itu, malah nabi muhasabah diri atas kurang berkesannya dakwahnya itu. Inilah yang terungkap dalam munajat baginda yang masyhur berhubung peristiwa itu:

اللهم إليك أشكو ضَعْف قُوَّتِى، وقلة حيلتى، وهوإني على الناس، يا أرحم الراحمين، أنت رب المستضعفين، وأنت ربي، إلى من تَكِلُنى‏؟‏ إلى بعيد يَتَجَهَّمُنِى‏؟‏ أم إلى عدو ملكته أمري‏؟‏ إن لم يكن بك عليّ غضب فلا أبالي، ولكن عافيتك هي أوسع لي، أعوذ بنور وجهك الذي أشرقت له الظلمات، وصلح عليه أمر الدنيا والآخرة من أن تنزل بي غضبك، أو يحل علي سَخَطُك، لك العُتْبَى حتى ترضى، ولا حول ولا قوة إلا بك‏


"Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah kepada siapa Engkau menyerahkan daku? Kepada musuh yang akan menerkam aku ataukah kepada keluarga yang Engkau berikan kepadanya urusanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keredhaan-Mu. Dalam pada itu afiatMu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya muka-Mu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akhirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahan-Mu atau dari Engkau turun atasku azab-Mu kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya upaya melainkan dengan Engkau"

Janganlah merasa diri bersih. Jangan rasa diri menjadi Musa Kecil dan yang lain adalah Firaun Kecil kerana Allah lebih mengetahui siapa yang lebih bertakwa. Peliharalah hati dalam perjuangan jika perjuangan itu benar-benar kerana Allah. Hati yang angkuh dan takbur akan dikhatimahkan dengan kegelinciran daripada perjuangan haq. Lihatlah bagaimana nasib yang menimpa Bal'am bin Ba'ura, ulama tersohor Bani Israil yang terjelir lidahnya kerana tergelincir daripada perjuangan dan merasa dirinya hebat.
Percayalah kepada teman-teman seperjuangan. Bukan hidup berjuang dalam sebuah jema'ah kalau tiada 'husnu thiqah'!

Membatalkan Perarakan Maulidur Rasul bukan menghina Islam.

February 15, 2010

Ketika melalui lorong-lorong di kejiranan kami, melihat beberapa rumah kaum Cina yang tidak  berhias  lampu warna warni, dan tiada petanda sambutan Tahun Baru Cina,  isteriku berkata:

"Bukan semua Cina menyambut Tahun Baru Cina...",

"Ada ramai juga Cina yang tak percaya dengan khurafat tarian naga menagih untung dalam nasib...",balasku.

Cina yang rasional dalam ruang kekufuran mereka pun dapat menolak kekarutan menyambut tahun baru yang saban tahun diasosiasi dengan perlambangan berasaskan binatang. Tahun ini tahun harimau. Begitulah haiwan yang mewakili tahun Baru Cina kali ini.

Melihat sikap setengah Cina terhadap sambutan tahun baru mereka yang sambil lewa dan tiada apa-apa acara meriah, malah rumah mereka pun tiada berlampu warna warni, aku teringat sikap segelintir Melayu terhadap sambutan hari-hari penting Islam yang diwujudkan dan diagungkan. Orang Melayu membesarkan hari 1 Muharam dengan sambutan Ma'al Hijrah, 10 Muharam sebagai Hari 'Asyura dan 12 Rabi'ul Awal sebagai Maulidur Rasul. Pada hari-hari itu, beberapa acara sambutan dilakukan. Umpamanya, Maulidur Rasul disambut dengan perarakan.

Apabila Ketua Menteri Pulau Pinang membatalkan perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri, ada kalangan yang melatah dan melihat pembatalan tersebut sebagai permusuhan kepada Islam. Beliau dilebel sebagai chauvinis, ekstremis, rasis dan mempunyai agenda sempit perkauman. Sikap ini terserlah dalam apa yang ditulis  Zulkifli Nordin dalam blognya.

Maulidur Rasul ertinya kelahiran Rasul. Namanya seolah-olah satu yang berkaitan dengan Islam. Namun sesuatu itu tidak boleh dikaitkan dengan Islam kecuali jika Allah dan Rasulnya mengaitkan dengan Islam. Sambutan Maulidur Rasul tidak pernah dikaitkan dengan Islam oleh Allah dalam Al-Quran dan RasulNya dalam hadis. Para sahabat Salafus Soleh dalam 300 tahun pertama dari kelahiran Islam juga tidak pernah mengaitkannya dengan Islam.

Perkaitannya dengan Islam dibuat pada zaman-zaman kemudian atas beberapa kaedah  yang bukan pokok untuk mengistinbat hukum. 

Apatah lagi jika sambutan Maulidur Rasul itu dijelmakan dalam bentuk perarakan. Islam tidak pernah memperakukan bahawa pada tarikh 12 Rabi'ul Awal hendaklah dibuat perarakan. Perarakan yang dibuat selama ini adalah hasil khayalan dan sangkaan manusia bahawa ia boleh menimbulkan cinta kepada rasulullah dan Izzah buat namanya. Realitinya, dalam konteks Malaysia, biarpun sudah bertahun-tahun perarakan Maulidur Rasul dibuat di peringkat kerajaan pusat, negeri, bandar, pekan ,daerah maupun kampung-kampung,  tidaklah menambah apa-apa buat rakyatnya. 

Jangan ada yang mengatakan bahawa hasil perakan Mulidur Rasul, rakyat Malaysia makin cinta kepada Rasul. Makin tahun kegamaan dan moral rakyat merudum jatuh. Berita terbaru tentang seorang bayi lelaki yang dibuang dalam tong sampah dan dibakar di Kuala Kerai (klik di sini), Kelantan membayangkan kroniknya keadaan agama dan moral di Malaysia. Zina sudah menjadi seperti mengunyah kuaci ketika menonton bola sepak.

Kesedaran agama dan cinta Rasul tak pernah terbit daripada kain rentang dan perarakan dengan ragam baju melayu yang berwarna warni.

Kalau Lim Guan Eng batalkan perarakan Maulidur Rasul, ia tidak pun mencalar Islam. Mungkin ia hanya mencalar perasaan sebahagian orang Islam yang dunggu dan terpinga-pinga dalam mengenali wajah Islam sebenar. Satu yang ditempelkan kepada Islam disangkanya Islam. Membuang tempelan itu disangkanya menghina Islam. 

Dari satu sudut, perarakan Maulidur Rasul itu membazir. satu yang dibuat tapi tak menghasilkan natijah positif, tentulah membazir. Lebih-lebih lagi Allah tak suruh dan nabi pun tak suruh. Khayalan dan perasangka sahaja yang mendorong. 

Orang Melayu Islam generasi baru ini hendaklah guna fikiran. Tidak perlu guna emosi dalam memperjuangkan Islam. Melayu Islam perlu tahu di titik mana Islam menuntut sensitiviti dan komitmen dalam memperjuangkannya. 

Biarlah Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Guang Eng membatalkan perarakan Maulidur Rasul, malah mengharamkannya sekalipun, ia bukan merugikan Islam. Perasaan orang-orang yang berkepentingan atau orang yang meraba-raba dalam mengenali Islam sahaja merasakan ia merugikan Islam.

Jika seorang pemimpin itu dapat menjimatkan setiap sen wang kerajaan daripada program yang tidak menghasilkan apa-apa, kita wajar memujinya. Sedangkan, berapa banyak wang negara dibazirkan oleh pemimpin yang korup dan hanya bermegah-megah dengan kemegaan projek yang tidak menguntungkan rakyat. Itu lebih patut dicela oleh orang yang suka mencela.

Apa yang aku ingin tegaskan, membatalkan perarakan Maulidur Rasul bukanlah menghina Islam! Jangan termakan dengan sensitiviti yang dibakar semberono oleh orang tertentu yang mencurigakan motif sebenarnya.