Ketika Ust Asri Rabbani diberitakan meninggal pada usia 40 tahun, saat sedang memanjat kemasyhuran dalam dunia seni hiburan Islam, aku terkenangkan diriku dan kematian. Sesungguhnya antaraku dan kematian tidak ada pemisah yang boleh menghalang. Insaflah aku bahawa kematian boleh menjenguk bila-bila masa sahaja tanpa mengira di kala usia berapa, sedang buat apa dan di mana.Sesungguhnya, memikirkan ragam kematian yang menjemput ini, membuatkan aku bimbang dan takut sekali. Takut ia datang saat aku amat mencintai dunia ini dan bimbang mengenai apa yang dipinjamkan kepadaku dalam dunia ini. Lebih malang, jika ia datang saat aku bukan dalam amal soleh dan dengan itu tertulislah kesudahan yang buruk buatku. Semoga Allah melindungi daku daripada ragam kematian yang seperti itu.
Ust Asri telah meninggal dunia saat sedang memegang mikrofon di Angkasapuri bagi menyanyikan lagu tema sempena pelancaran program Syahadah musim kelima terbitan RTM.
Rupanya ajalnya sudah tertulis sampai di situ sahaja. Kalau sahaja ajal itu mampu ditahan, tentu sahaja dia menginginkan agar ia dilewatkan, sekurang-kurangnya sehingga selesai program tersebut. Namun, Allah SWT ingin mengajarkan satu pengajaran buat orang yang berfikir, bahawa kekuasaan Allah mengatasi segala kekuasaan. Jika ajal telah ditetapkan, satu detik pun tidak akan Dia lewatkan.
Subhallah…Maha kebesaran Allah!
Ust Asri telah mengabadikan hidupnya dalam perjuangan dakwah melalui seni bercorak keislaman dibawanya. Semoga perjuangan itu adalah amal soleh dan dia telah meninggal di medan perjuangannya.
Almarhumnya ust Asri secara mengejut itu mengingatkan aku tentang diriku dan kematian. Bahawa kematian itu boleh menjengah bila-bila masa tanpa dijemput dan tanpa salam. Tiada sesiapa boleh meramal hari kematiannya. Ia laksna halalintar yang menyambar. Tanpa belas, muktamad dan pasti terlaksana. Itulah kematian.
Kalau sahaja mampu…aku ingin lari daripada kematian. Tetapi kematian itu akan mengejar walau kita bersembunyi dalam kubu-kubu teguh yang tidak berlubang. Firman Allah SWT:
أينما تكونوا يدرككم الموت ولو كنتم في بروج مشيدة
Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu di dalam benteng yang Tinggi lagi kokoh.
(Surah An-Nisak: Ayat 78)
Oh Tuhan…sesunggguhnya kematian itu satu keyakinan. Aku mengerti hal itu. Aku juga mengerti bahawa ia akan datang pada bila-bila masa tanpa permisi. Ia akan datang merenggut dan pergi membawa segala yang dimiliki seseorang.
Namun, aku sering melupai hal itu...
Tentunya jika aku diberi pilihan, aku akan katakan bahawa aku belum bersedia untuk mati dan tak mahu mati sekarang. Aku masih muda. Aku baru mula membina kerjaya. Aku baru berkeluarga. Anak-anakku kecil perlu dibela. Amalku sedikit tak seberapa. Tunggulah sehingga aku sempat mencicipi usia tua.
Mungkin itulah harapan yang bersiponggang dalam hati para anak muda ketika disebutkan persoalan kematian. Ada seribu alasan untuk memanjangkan usia di dunia. Memang itulah kehendak kebanyakan manusia. Rasa sayang pada dunia menguasai banyak jiwa manusia sehingga hidup di dunia dalam keadaan alpa.
Alangkah sedih…
seorang anak muda yang yang beristeri lawa
tiba-tiba direnggut malaikat pencabut nyawa
isteri menjadi janda
setelah bercerai talak tiada
akhirnya setelah iddah sempurna
dengan orang lain dia berumahtangga.
Alangkah sayu…
seorang anak muda
baru mula berniaga
baru meraih untung dan loba
simpanan baru bercambah bunga
baru memilik premis niaga
tiba-tiba direnggut malaikat nyawa
segalanya hilang menjadi sirna.
Alangkah sendu…
anak muda bekerja kerajaan
antara KWSP dan pencen
opsyen pencen jadi pilihan
kerana di sana banyak kelebihan
hari tua jadi sasaran
graduiti menjadi bayangan
datang malaikat penghapus bayangan
di usia muda umur ditamatkan
segala impian tak jadi kenyataan.
Alangkah menyentuh kalbu....
harta, kerjaya dan isteri jelita
semuanya akan ditinggalkan jua
walau dikumpul sekuat daya
terkuras semua kudrat yang ada
bila datang kesudahan nyawa
semua itu bukan dikira.
Muda dan tua bukan nilaian
ajal datang tanpa pilihan
walau dalam lautan impian
boleh mati disambar kematian
walau lemas putus harapan
namun mati tak kesampaian.
Mati itu laksana halalintar
menyambar manusia dalam tak sedar
di kala sibuk dunia dikejar
di kala kenyang dan juga lapar
Di kala tidur maupun sedar
di kala diam maupun berlegar
di kala kecil atau besar
di kala hina atau jadi pembesar
di kala sempit atau lebar
di kala jahil maupun terpelajar
di kala perang atau di kamar
di kala menetap atau dalam safar
di kala keluar atau dalam pagar
di kala kurus atau kekar
di jalan sesat atau benar
di kala tersembunyi atau terpapar
di kala goyang atau qarar
di kala merebak penyakit hawar
di kala hutang belum berbayar
di kala belum tertunai nazar
di kala harapan masih tersasar
di kala masih di alam pelajar
di kala semangat masih berkobar
Mati datang duniamu pun bertebar
Semoga kita sentiasa menginsafi sebuah kematian!
1 comments:
Masya Allah... gurindam yang hebat menyentuh jiwa.. Jazakumullahu khaira..
Post a Comment