Biarkanlah orang yang berkerjaya politik peringkat pimpinan berenggut. Siapa pandai dan bijak berpolitik, dialah yang memenangi sayembara itu. Aku percaya bahawa kemahiran politik adalah anugerah Allah yang tidak diberikan kepada semua orang secara sama rata. Siapa yang cemerlang, Allah taala jua yang berikan kemahiran itu sehingga dapat mengatasi orang lain. Lantas, dengan kemahiran itu, kuasa kepimpinan dan dominasi berada di tangannya. Keupayaan politik yang terhasil daripada pembelajaran dan latihan ada peratusannya yang kecil dalam membentuk keunggulan berpolitik.
Ini merupakan rahsia Tuhan dalam penciptaan yang kita belum cukup menggali rahsiaNya.
Parti PAS yang dulunya bermusuh dengan UMNO-BN, aku menjadi saksi sejarah akibat negatifnya. Ungkitan yang dimomokkan, bahawa berlaku anasir takfiri bukanlah satu yang mitos. Sebab kemunculan anasir tersebut, aku tidak mahu mengambil sikap muktamad sebagaimana perkataan sesetengah orang yang marah kepada pemimpin PAS tertentu. Mereka mengatakan ia berawal daripada Amanat Hj. Hadi. Untuk berlaku adil, kita perlu memungkinkan ramuan lain yang rencam dan kompleks yang menjadikan fenomena itu muncul.
Mungkin politik kalau berada di tangan orang agama, tendency untuk dijangkiti takfiri sangat besar. Bukan sahaja arena politik, khilaf agama kalangan agamawan juga banyak menatijahkan "takfiri". Kita telah saksikan hal ini berlaku depan mata kita.Khilaf mazhab (soal agama/kalangan agamawan) pun menyebabkan berlaku kafir mengkafir dan "tabdi'. Mungkin inilah antara ramuan yang boleh direnung dan dikaji selainkan menuding kepada "Amanat".
Mungkin politik kalau berada di tangan orang agama, tendency untuk dijangkiti takfiri sangat besar. Bukan sahaja arena politik, khilaf agama kalangan agamawan juga banyak menatijahkan "takfiri". Kita telah saksikan hal ini berlaku depan mata kita.Khilaf mazhab (soal agama/kalangan agamawan) pun menyebabkan berlaku kafir mengkafir dan "tabdi'. Mungkin inilah antara ramuan yang boleh direnung dan dikaji selainkan menuding kepada "Amanat".
Anasir takfiri itu begitu terjelma di kalangan orang-orang Melayu di kampung-kampung. Waktu aku masih lagi kecil, memang berlaku syak wasangka di kalangan orang PAS mengenai keimanan orang-orang UMNO. Kerana sokong parti sekular dan asobiyyah UMNO, imam UMNO tidak mahu diikuti, kenduri kendara ornag UMNO tidak dijengah, sembelihan orang UMNO tidak sudi dijamah oleh orang PAS. Ini bukan dongeng, bahkan ia benar-benar terjadi di peringkat akar rumput. Aku adalah generasi yang menjadi saksi sejarah ini.
Aku menyaksi simpang siur sejarah perjuangan PAS secara umum. Pas masuk Barisan Alternatif dan kemudian pecah. Pas membentuk Pakatan Rakyat bersama parti lain emlawan UMNO-BN dan kemudian pecah. Pas membentuk Gagasan Sejahtera dan kemudian senyap hilang khabar berita. PAS bersama UMNO membentukan gabungan atas nama Perpaduan Ummah dengan UMNO menentang kerajaan Pakatan Harapan. Ini merupakan simpang siur politik dan ia adalah satu yang normal. Politik memang sifatnya begitu.
Bukan siasah politik itu yang menjadi perhatianku dalam tulisan pendek ini. Apa yang yang aku suka catatkan di sini adalah "Rahmat Allah di sebalik sepak terajang politik".
Biar aku jelaskan agar ia jelas dan menjadi bahan fikir kita. Lalu kita bersyukur dan memandang positif tentang perkembangan politik yang terjadi.
Dulu, waktu Pas bermusuh dengan UMNO, alangkah pecah ranahnya kesatuan orang Melayu-Islam di kampung-kampung. Di kampungku sendiri, berlaku satu kejadian, bila orang UMNO diangkat jadi imam masjid kampung, ramailah orang kuat Pas "lari" meninggalkan masjid. Mereka bercempera pergi berjumaat di masjid luar kariah kerana tidak mahu berimamkan imam UMNO itu. Para bapa bolehlah buat hal tersebut. Anak-anak, banyak yang kecundang. Mahu ikut bapa solat di masjid yang jauh, mereka bukan larat sangat. Lalu, ramailah yang tidak datang solat jumaat. Tidak di masjid kampung dan tidak pula cari masjid luar kariah.
Sekarang, pada waktu Pas dan UMNO sudah berpadu atas nama Perpaduan Ummah walaupun belum secara rasmi, kerumitan masalah yang berlaku di kampungku itu nampaknya kian terurai. Satu ketika, aku pulang ke kampung dan orang kampung bercerita. Si"polan" dan "siyanu" yang dulunya lari tinggalkan masjid telah kembali solat di masjid kampung. Hubungan yang panas dengan imam masjid sudah menjadi kendur. Soal sah atau tidak berimamkan imam UMNO sudah tidak timbul lagi. Aku gembira melihat hal ini. Perkembangan ini adalah positif. Tanpa disuruh, perkembangan politik yang berlaku telah menyebabkan pelarian politik kampungan telah berubah arah. Mereka tidak "berlari" lagi. Mereka telah berhenti dan hinggap dengan tenang. Alhamdulillah!
Inilah rahmat di sebalik penggabungan. Apapun pandangan kita terhadap kerjasama politik Pas dan UMNO, sisi baiknya perlu kita syukuri. Masalah yang berkulat di kalangan orang Melayu di kampung-kampung dapat dirungkai. Lumut-lumut lama yang mencacatkan rasa dan nurani dapat dikikis. Inilah sudut positif yang akan aku kenang dan ceritakan kepada anak cucu. Bahawa sesunguhnya, Allah maha bijaksana. Ombak politik yang terjadi, pada akhirnya memperlihatkan hikmah yang tersimpan.
Sungguhpun hikmah itu bukan dalam senarai agenda orang yang berpolitik gabungan!
Sungguhpun hikmah itu bukan dalam senarai agenda orang yang berpolitik gabungan!
0 comments:
Post a Comment