Allah Berfirman :
لئن شكرتم لأزيدنكم ولئن كفرتم إن عذابي لشديد
“ Jika sekiranya kamu bersyukur, nescaya aku tambahkan untuk kamu nikmatku dan jika sekiranya kamu kufur, maka ketahuilah azabku sangat pedih”
(Surah Ibrahim: Ayat 7)
Bersyukur atas nikmat Allah, Allah janjikan tambahan. Nikmat Allah sangat banyak dan tidak mampu dihitung. Orang-orang selalu ditarghibkan supaya bersyukur kerana dia mendapat razeki harta benda, sihat tubuh badan, ada anak yang sihat, ada kereta dan rumah yang selesa, dapat pekerjaan yang baik dan bermacam-macam lagi nikmat dunia.
Dengan semangat supaya segala nikmat itu ditambahkan lagi, seseorang sangat memerhati syukurnya. Lalu dia mengucapkan "Alhamdulillah!". Kemudian dia menggunakan nikmat itu sesuai dengan kehendak Allah SWT. Itulah dua jalan bersyukur yang sering disyarahkan para asatizah dalam televisyen dan radio-radio menerusi slot motivasi dan kuliah.
Kuliah Subuh pagi ini di masjid Al-Fajr disampaikan oleh Sdr. Nurdin dengan mengubah dimensi kefahaman bersyukur atas nikmat tersebut kepada dimensi akhirat. Sebagaimana dinyatakan dalam surah Al-Fatihah, kita memohon agar Allah memberikan kita hidayah ke jalan lurus yang telah diikuti oleh orang diberikan nikmat ke atas mereka. Menerusi tafsiran dengan ayat Quran yang lain, golongan yang diberikan nikmat itu tidak lain tidak bukan adalah empat golongan iaitu:
a) Para Nabi
b) Para Siddiqin
c) Para Syuhada.
d) Orang-orang Soleh.
Nikmat apa yang dikurniakan kepada mereka sehingga kita disuruh minta supaya jadi seperti mereka? Sudah tentu ia bukan nikmat harta, anak-anak, tubuh badan, rumah, pakaian, negeri dan kekuasaan atau sebaginya urusan duniawi. Jika kita menelaah perolehan terbesar mereka yang disifatkan nikmat, ia adalah nikmat iman dan Islam. Inilah dua nikmat terbesar daripada Allah kepada kita yang jarang kita rasa mahu bersyukur mengenainya melebihi rasa syukur kita kepada pencapaian dunia kita.
Sepatutnya, rasa sykur itu patut dialirkan sebanyak-banyaknya buat menginsafi dua nikmat agung ini.
Alhamdulillah aku dilahirkan Islam!
Alhamdulilah aku ditentukan jadi orang beriman!
Kekalkan Islam dan iimanku selama-selamanya wahai Allah!
Marilah kita bersyukur untuk soal akhirat kita. Jangan hanya bersyukur untuk benda fatamorgana yang bakal sirna.
2 comments:
MOHON UNTUK DIKONGSIKAN TAZKIRAH INI UNTUK TATAPAN UMUM...
SALAM...
mohon izin copy tazkirah ustaz untuk renungan bersama.
Post a Comment