Tuduh orang berzina bukan perangai orang soleh. Orang soleh, sekalipun
melihat sendiri dengan mata kepalanya perbuatan zina yang dilakukan oleh
seseorang, dia tidak akan mengeluarkan tuduhan sehingga dia yakin
mempunyai bukti yang cukup menurut hukum syarak. Syarak telah menetapkan
empat orang saksi diperlukan. Jika tiada empat orang saksi, maka si
penuduh itu telah melakukan dosa besar. Dosa qazaf. Si pelaku dosa qazaf
dihukum dengan sebatan 80 kali.
Fitnah laksana api dan apilah buat penyebarnya. |
Inilah hudud Allah. Sudah banyak kali diterangkan oleh para ulama,
dibahaskan dalam seminar dan dibentangkan dalam media yang pelbagai. Sebahagian anggota masyarakat masih bebal dengan kejahilan dan
kebodohannya. Kebodohan itu kian ketara apabila keluar suara sumbang
agar orang dituduh melakukan zina itu melakukan sumpah. Disarankan pula
sumpah di masjid dan menjunjung Al-Quran. Orang yang membuat tuduhan
tidak pula dipersoalkan. Maka, dia makin girang dan merasakan dirinya
sebagai orang yang berbuat baik kerana kononnya mendedahkan kemungkaran.
Ini semua kerja orang fasiq. Orang yang menyebarkan tuduhan tanpa bukti
adalah kepala fasiq di atas semua orang yang mendendangkan lagu meminta
sumpah penafian dibuat. Dalam Al-Quran Allah menegaskan:
إِنَّ
الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ
أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak Mengetahui.
(Surah An-Nur: Ayat 19)
Jalan fikir orang fasiq memang tidak lancar. Kejahilan dalam agama ditambah pula dengki dan busuk hati menyebabkan mereka tidak lagi menghiraukan nasihat dan petunjuk para ulama. Malang pula, ada orang yang kononnya pandai agama membuat seruan yang sama seperti golongan fasiq tersebut. Demikian itu kerana hati mereka sendiri mula was-was dengan jalan yang ditetapkan agama.
Kaedah agama jelas. Jika seseorang membuat tuduhan dan gagal mendatangkan 4 saksi sebagai bukti, si penuduh itu perlu dihukum 80 kali sebatan. Dia dihilangkan kredibeliti sebagai saksi sepanjang hidupnya. Dia adalah orang hina dalam masyarakat yang tidak boleh dipercayai lagi.
Kita boleh bayangkan betapa kalutnya masyarakat jika orang boleh menuduh orang lain berzina sesuka hatinya. Kelmarin si dia dituduh berzina, liwat, melakukan biseks dan sebagainya. Hari ini orang lain pula dituduh melakukan seks dalam tandas. Esok siapa lagi? Jangan fikir anda selamat. Lusa mungkin adik beradik anda, isteri, anak atau mungkin anda sendiri pula yang akan dituduh berzina. Apakah ketika anda dituduh berzina lalu ketika itu anda pun menyahut seruan orang-orang fasiq yang bodoh itu membuat sumpah penafian. Kalau begitu, akan bergemalah suara sumpah dimasjid dan merata tempat. Sungguh senang menyelesaikan masalah tuduhan zina yang mencalar maruah orang. Hanya minta yang tertuduh bersumpah menafikannya. Apa pula tanggungjawab orang yang menuduh? Mereka sememangnya orang fasiq. Jika diminta bersumpah, apalah nilainya dosa sumpah palsu itu berbanding dosa qazaf?
Media massa perdana menampakkan kejahilan murakkab yang amat sangat. Mungkin juga lebih kepada kedegilan hati kaum Yahudi yang bersemadi dalam diri. Mangsa tuduhan zina diasak agar bersumpah. Tanpa dasar agama, mereka mengulang-ulangkan cabaran itu. Menyambung pula lidah beracun orang-orang yang dikenali rendah tsiqah dan reputasi mereka dalam masyarakat. Pelbagai cara digunapakai untuk menusuk was-was dalam dada ummat. Hubungan antara suami isteri cuba diporak perandakan. Hubungan antara anak dan ibu dikeruhkan. Memanglah media massa seperti ini adalah sejenis pengamal sihir yang salah tujuannya belajar sihir sebagaimana mereka yang belajar sihir daripada Harut dan Marut.
وَمَا
أُنزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ
أَحَدٍ حَتَّى يَقُولاَ إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلاَ تَكْفُرْ فَيَتَعَلَّمُونَ
مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ
...dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: "Sesungguhnya kami Hanya cobaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir". Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya.
(Surah Al-Baqarah: Ayat 102)
Para penyebar cerita fahishah dalam masyarakat, semuanya adalah manusia fasiq. Para blogger yang membuat tududuhan tidak membawa saksi adalah pemilik bahagian terbesar dalam dosa. Para penyambung lidah mereka, ada bahagian dosa masing-masing. Para perencana unsur pemberitaan yang liar dan hina, termasuk para pembaca berita fitnah, dusta dan adu domba, adalah mereka yang meraih razeki yang haram. Tidak ada gunanya pergi umrah saban tahun kalau hasilnya daripada menabur kalam dan ucapan sihir yang cuba memperdaya manusia. Amal baik dari jerih kejahatan tidak akan diterima Allah SWT.
Bagi siapa yang ada taqwa dalam hatinya, tinggalkan kerjaya pemberita TV dan pembantu media pendosa. Allah menjanjikan jalan kelepasan dan razeki yang tidak disangka bagi mereka yang meninggalkan kerjaya maksiat demi menegakkan ketakwaan dalam pencarian razeki.
وَمَن
يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجاً وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
...barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya
(Surah At-Talaq: Ayat 2-3)
Pada saat ahli sihir Firaun meninggalkan Firaun dan beriman kepada risalah nabi Musa, Allah menjanjikan mereka balasan syurga. Media massa pada masa kini, yang kerjanya menjadi penyebar pesona dalam masyarakat, adalah watak-watak ahli sihir zaman moden. Seharusnya, saat para ahli sihir moden itu berubah sudah sampai. Apakah perlu menunggu sehingga Firaun lemas di lautan, baru mahu berlepas diri. Ambilah sirah ahli sihir sebagai contoh dalam memburu maghfirah. Mereka berlepas diri pada saat belum terlewat, iaitu ketika melihat hujjah nyata daripada Allah SWT.
Katakan tidak kepada fitnah dan cerita nista dan perangai keji suka menjatuhkan maruah orang. Sesungguhnya orang-orang hina sedang cuba memahkotakan dirinya dalam masyarakat. Mereka ada seribu satu jalan kerana syaitan sentiasa mewahyukan kalamnya kepada mereka!
Allahumma baddilna ila ma huwa khair!
1 comments:
Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kita perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu
Post a Comment