"Mereka hanya berikan buih kepada rakyat!", Pak Said, seorang pemimpin tempatan di sebuah perkampungan sementara di Sandakan membuat penegasan. Dia begitu marah dengan janji-janji yang ditaburkan oleh pemimpin yang dipilih oleh mereka dalam pilihanraya tetapi tidak membela hak milik tapak rumah untuk mereka huni sehingga ke anak cucu. Pemimpin tersebut hanya tahu menawarkan bantuan-bantuan yang tidak kekal. Bantuan wang, enjin bot, zink, beras dan sebagainya itu hanyalah buih. Sifat buih, bila datang ombak, berkecailah ia. Ditiup angin, buih pun hilang sirna.
Apa yang diperlukan oleh rakyat adalah tanah untuk mereka tinggal berketurunan. Namun, keperluan itu tidak dapat dilunasi oleh pemimpin dengan baik. Rakyat yang tinggal di persiran pantai diasak dan dipindahkan sesuka hati. Bila dipindah ke sesuatu penempatan, mereka dijanjikan untuk tinggal di sana hanya buat sementara waktu. Penempatan kekal akan disediakan. Demikianlah janji yang ditaburkan. Namun, janji amat mudah semudah semburan air liur hanyir yang bercampur nafas auta.
Penduduk yang dikeluarkan dari perkampungan BDC, kini menyewa apartmen di Taman Mesra. Sewa beli bagi penempatan tersebut yang dituntut oleh rakyat tidak dipedulikan. Entah berapa tahun mereka akan bayar sewa. Tanah perkampungan mereka hilang demi hagemoni penguasa yang ingin menambah kekayaan. Penempatan yang diberikan pula tidak akan menjadi hak milik diri sendiri.
Demikian perkampungan Lopak Meluas Darat. Menurut Pak Said, dia sudah menempati perkampungan itu 17 tahun. Dulu, dia hanya dijanjikan tinggal sementara untuk 6 bulan. Janji 17 tahun yang lalu sudah entah di mana. Pak Said, sungguhpun orang kampung yang bertaraf setinggan, dia cukup faham mainan pemimpin. Tanah rakyat persisiran dirampas untuk kekayaan kaum tertentu. Sementara, penempatan sementara sudah menjangkau 17 tahun, datang pula taukeh Cina mengukur tanah yang menjadi penempatan sementara itu dengan dakwaan bahawa dia sedang mengukru tanahnya.
Hinanya bangsa yang merempat di bumi sendiri! Siapa yang membuat bangsa ini terhina?
Pak Said cukup pesimis tehadap masa depan perkampungan persisiran di Sandakan. Kampung Bukhara yang telah menjadi tempat bermastautin kaum Suluk dan Bajau bertahun-tahun tidak pernah diakui sebagai perkampungan. Sampai masa kelak, andai kerajaan mahukannya, maka rakyat di sana akan diarak ke satu penempatan sementara. Janji diungkapkan lagi bahawa ia hanya sementara sebelum siap penempatan baru yang lebih selesa. Kisah yang sama 17 tahun lalu untuk kampung Lopak Meluas Darat akan kembali berulang dengan skrip yang sama.
" Rakyat belum sedar...", keluh Pak Said.
Kampung Lopak Meluas Laut, Kampung Istimewa, Kampung Sundang Laut, Kampung Gas dan Kampung Bahagia adalah sederet nama perkampungan di Parlimen Batu Sapi yang statusnya hanyalah setinggan. Kampung-kampung tersebut tidak ada sebarang jaminan untuk terus bertahan sebagai perkampungan Melayu-Muslim sampai bila-bila. Nafsu pembangunan dan keperluan isi perut penguasa serta poket kroni akan menentukan kelangsungannya.
"Rakyat perlukan tanah, bukan buih!", kata-kata Pak Said tersebut seharusnya menjadi slogan rakyat yang bermaruah.
0 comments:
Post a Comment