Aku tujukan kata-kata ini kepada diriku dan sahabat-sahabat seperjuangan dan yang pernah dalam perjuangan bersama.
Kelmarin baru sahaja berlalu. Tentu masih segar dalam ingatan. Kita bersama-sama memburu kelebihan dalam kehidupan beragama. Kita saling berlumba dan cemburu dalam beribadat. Kita, saat itu secemburu hud-hud kepada Balqis ratu Saba' yang kufur menyembah matahari. Lalu, mengadu kepada Sulaiman, utusan Ilahi.Kita sama-sama solat berjemaah. Kita sama-sama menyahut seruan hidup berjemaah. Kita sama-sama menekuni usrah. Kita tangkas menyeluk poket menghulurkan infaq fi sabilillah saat diminta dan tidak diminta.Kita mencintai majlis ilmu dan rajin pula menyampaikan kuliah.
Namun...kadang-kadang kita seperti pantai yang berubah. Kita katakan kita cuma seperti pasang surut air lautan. Sedangkan kita umpama sungai yang mengalir dari legeh pergunungan yang bersih merentasi hutan belantara dan menerobosi desa dan kota yang bernoda. Tiada sungai akan berpatah ke pergunungan! Tetapi tercemar di kuala.
Sesungguhnya aku bimbang sekali dengan diriku sendiri jika kemarinku lebih baik dari ini. Sedangkan derap langkahku sentiasa mendekati kematian.
Sesungguhnya, hati kita berada di antara jari-jari Allah dan Allah boleh membolak balikkannya sebagaimana yang Dia kehendaki. Hal ini ditegaskan dalam sebuah hadis:
كان النبي يكثر أن يقول: يا مُقَلِّب القلوب ثبِّتْ قلبي على دينك. فتقول له عائشة: يا رسول الله، تُكثِر أن تدعو بهذا، فهل تخاف؟ قال: وما يؤمنني يا عائشة، وقلوب العباد بين أصبعين من أصابع الرحمن يقلبها كيف يشاء، إذا أراد أن يقلب قلب عبد قلبه؟
"Nabi Muhammad SAW banyak menyebutkan: Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu. Lalu Aishah r.a bertanya: Ya Rasulullah, kamu banyak sekali berdoa dengan doa ini, apakah kamu takut? Lalu jawab baginda: Apakah yang boleh membuatkan aku merasa aman wahai Aishah, sedangkan hati-hati hamba itu berada di antara dua jari di anatar jemari Allah, Dia membolak balikkan sebagaimana yang Dia kehendaki. Bila Dia menghendaki mebalikkan hati seseorang, Dia akan membalikkannya."
Apabila Allah membalikkan hati kita...
Kita yang dulunya rajin dalam ibadah akan menjadi malas.
Kita yang dulunya dermawan dan banyak berinfaq, akan jadi bakhil dan sayangkan sekali dengan harta.Kita yang dulunya rajin hadir dalam majlis-majlis ilmu, kini lebih senang bersantai dikedai kopi berbual-bual kosong.
Kita yang dulunya rajin mengikuti program-program jemaah akan menjauh dan meninggalkannya.
Dahulunya kita rajin solat berjemaah, kemudian kita akan susut dan mula ghuyub dari masjid dan musalla.
Ini lah penyakit yang menimpa manusia dipanggil malas dan futur.
Ia adalah sebuah keterbalikan sekeping hati yang menjadi raja tubuh kita.
Kerana itu nabi menyarankan kita agar selalu dan memperbanyakkan doa ini:
اللهم إني أعوذ بك من العجز والكسل والجبن والهرم، وأعوذ بك من فتنة المحيا والممات، وأعوذ بك من عذاب القبر
"Ya Allah..sesungguhnya aku mohon perlindungan denganMu dari penyakit lemah, malas takut dan tua nyanyuk. Dan aku mohon perlindungan denganMu dari fitnah kehidupan dan kematian. dan aku mohon perlindungan denganMu dari azab kubur".
(Hadis Bukhari)
0 comments:
Post a Comment