Program Korban yang diadakan di masjid Al-Fajr, Taman Fajar, Sandakan, pada hari raya kedua baru-baru ini berjalan dengan lancar. Sebanyak 6 ekor lembu telah berjaya dikorbankan. Lembu-lembu tersebut dibeli daripada Felcra Pertama di Sukau.Sehari sebelum hari raya, wakil yang ditugaskan membeli lembu tersebut telah pergi ke Felcra tersebut. Perjalanan ke sana menempuh jalan yang susah. Dari pintu masuk ke Malangking Palm Oil Estate, jalan grable sejauh kira-kira 30 km terpaksa ditempuhi. Sebanyak 4 pintu pagar estate perlu dilintasi sebelum sampai ke lokasi di mana lembu diperolehi.
Pegawai Felcra bertugas, En Masran Upot telah mengarahkan pekerja menangkap 16 ekor lembu ditangkap. Lambu-lembu tersebut ditimbang dan dijual dengan harga RM9.00 sekilo Secara purata, berat lembu-lembu tersebut adalah berada pada sekitar 150-190 kg seekor. Walaupun lembu yang disasarkan adalah berat melebihi 200 kg, nampaknya lembu-lembu seberat itu tidak ditangkap oleh pihak pekerja Estate.
Dua buah lori telah digunakan untuk mengangkut lembu-lembu tersebut keluar. Kos pengangkutan adalah RM170.00 untuk seekor. Kerana kelewatan sampai, pengangkutan kemalaman di estate. Walau bagaimanapun pengangkutan diteruskan juga. Alhamdulilah, lembu-lembu tersebut dapat dihantar sampai ke lokasi menjelang tengah malam hari raya. Lembu-lembu tersebut diturunkan di pelbagai lokasi seperti SMK elopura 2, SMK Merpati, SK. Kg. Padas, SMK Sandakan 2, Masjid Tinusan dan Masjid Al-Fajr. 4 ekor diturunkan di Masjid Al-Fajr. Dua ekor lembu lagi yang menjadi korban di masjid Al-Fajr adalah didatangkan daripada pihak Kastam dan sumbangan peribadi seorang pemimpin tempatan.
Korban lembu di masjid Al-Fajr pada kali ini dibuat setelah beberapa tahun berselang tiada program korban dilaksanakan. Kedatangan orang ramai sangat menggalakkan. Lembu-lembu yang hendak dikorbankan ditumbangkan oleh 'Kumpulan Matador' yang telah dibentuk dalam mesyuarat perlaksanaan sebelumnya. Dengan kerjasama erat para petugas, kerja-kerja tersebut berjalan dengan lancar. Lembu-lembu yang telah siap disembelih oleh muzabbih yang telah dilantik dengan segera dilapah oleh kumpulan yang telah dibentuk. Kemudiannya ia diproses oleh jawatankuasa pembahagian dan dibungkus. Daging bungkusan untuk peserta ditimbang sebanyak 2.3 kg. Peserta juga diberikan tulang sebangak sekilo dan perkakas dalaman seperti hati, limpa dan jantung. Dianggarkan 1/3 lagi bahagian lembu korban adalah untuk sedekah dan 1/3 lagi adalah untuk masakan orang ramai yang datang.
Menjelang Zohor, masakan siap dan jamuan dihidangkan selepas solat Zohor. Secara keseluruhannya, program korban pada tahun ini telah berjalan dengan lancar dan cukup meriah. Insya Allah...pada tahun-tahun mendatang program seumpama ini boleh diulang lagi dan dikembangkan dengan perancangan yang lebih awal.
0 comments:
Post a Comment