Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Muslihat musuh....waspadalah

March 25, 2009

Firman Allah SWT:

وَقَالَتْ طّآئِفَةٌ مّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ آمِنُواْ بِالّذِيَ أُنْزِلَ عَلَى الّذِينَ آمَنُواْ وَجْهَ النّهَارِ وَاكْفُرُوَاْ آخِرَهُ لَعَلّهُمْ يَرْجِعُونَ
"Segolongan (lain) dari ahli Kitab Berkata (kepada sesamanya): "Perlihatkanlah (seolah-olah) kamu beriman kepada apa yang diturunkan kepada orang-orang beriman (sahabat-sahabat rasul) pada permulaan siang dan ingkarilah ia pada akhirnya, supaya mereka (orang-orang mukmin) kembali (kepada kekafiran)."
Surah Ali Imran: Ayat 72
Menjadi siasat kotor Yahudi pada zaman Rasulullah SAW di Madinah,  menyuruh kalangan mereka menyelinap masuk ke dalam kelompok Islam, mengaku sebagai Islam pada mulanya, tetapi akhirnya keluar dari Islam.  Tujuan mereka berbuat begitu hanyalah untuk menimbulkan keraguan  dan menggoyahkan pendirian orang-orang Islam terhadap agamanya sendiri.
Muslihat ini digunapakai oleh musuh-musuh Islam sepanjang zaman. Bagi yang berjuang dalam Islam tidak harus cepat gembira dengan beralih anginnya seorang musuh kepada perjuangan Islam, kerana mungkin dia menjalankan siasat dan muslihat klasik Yahudi tersebut.
Mendengar ucapan UYE malam ini yang mengaitkan tindakan Adun Bota yang sebelumnya pernah beralih angin menyokong pakatan rakyat setelah lama berjuang dalam parti asalnya, kemudian tak lama kemudian kembali ke kaduknya, sebagai muslihat jahat, aku segera teringatkan ayat yang kami bincangkan dalam daurah pada malam ini. Sesunguhnya Al-Quran telah memberitahu kita sebahagian muslihat kotor musuh perjuangan, namun sedikit yang mengambil iktibar.
Semoga sesudah ini, kita dapat belajar dari pengalaman ini. Renungkanlah ayat 72 surah Ali-Imran ini sedalam-dalamnya.

Tuah anak perempuan

March 22, 2009


"Berapa anakmu?", aku melontarkan pertanyaan kepada seorang sahabat yang sudah lama tidak bertemu.
"Lima...dua lelaki tiga perempuan...", jawabnya sambil tersenyum. Mungkin bangga. Harap bangga dalam syukur.
"Bertuahlah kamu, ada tiga anak perempuan...", balasku.
"Kenapa dengan tiga anak perempuan?",dia bertanya
"Mereka boleh menjadi penyelamat kamu dari azab neraka....jika baik didikanmu", aku memberitahu.

Anak perempuan bukan pilihan sebahagian ibu bapa. Pada zaman jahiliyyah, anak perempuan ditanam hidup-hidup kerana anggapan bahawa anak perempuan membawa malang. Ibu bapa zaman jahiliyyah tidak gembira dengan lahirnya anak perempuan.

Ini digambarkan dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah :
واذا بشر أحدهم بالأنثى ظل وجهه مسودا وهو كظيم , يتوارى من القوم من سوء ما بشر به أيمسكه على هون أم يدسه في التراب ألا ساء ما يحكمون

Dan apabila seseorang dari mereka diberi kabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah.. Ia menyembunyikan dirinya dari orang banyak, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup) ?. Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.

(Surah An-Nahlu: Ayat 58-59)
Walaupun zaman jahiliyyah dan segala tanggapan negatifnya terhadap anak perempuan itu telah lenyap, tidak dapat dinafikan bahawa masih ada ciri-ciri dan sisa-sisa mindset jahilliyah itu. Ini wujud dalam bentuk mengutamakan anak lelaki daripada anak perempuan dalam setiap harapan lahirnya orang baru.

Terdapat alasan-alasan yang sering dikemukakan mengapa anak lelaki menjadi pilihan sesetengah ibu bapa. Antaranya, anak lelaki dikatakan dapat membantu keluarga, membela kehormatan keluarga, mewarisi legasi keluarga dan tidak susah dipelihara. Orang tua-tua pernah membuat tamsilan bahawa membela lembu sekandang lebih mudah daripada memelihara seorang anak perempuan. Kata-kata sebegini lebih membawa konotasi negatif berbanding maksud positif.
Islam mengangkat darjat anak perempuan dan ini seharusnya menjadi renungan para ibu bapa dan bakal ibu bapa. Para pejuang emansipasi juga perlu merenung dan menginsafi penghargaan mulia yang diberikan oleh Islam kepada anak perempuan.
Sabda Rasulullah SAW:
من كان له ثلاث بنات فصبر عليهن وأطعمهن وسقاهن وكساهن من جدته كن له حجاباً من النار يوم القيامة
"Sesiapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan, maka dia bersabar (membesar dan mendidik mereka), memberikan mereka makan, minum dan pakaian dengan bersungguh-sungguh, mereka akan menjadi pendinding baginya daripada neraka pada hari kiamat".
Hadis ini patut menjadi renungan para ibu bapa dan bakal ibu bapa. Kelahiran anak perempuan adalah satu hadiah berharga  daripada Allah SWT kepada kita. Pujian terhadap ibubapa yang memberi komitmen dalam mendidik anak perempuan melibihi pujian pendidikan ke atas anak  lelaki.

Jika kita telusuri sirah Rasulullah, baginda ada empat orang anak perempuan. Kempat-empat anak perempuannya dipanjangkan umurnya oleh Allah SWT hingga dewasa untuk menjadi contoh kepada ummat yang memelihara dan membesarkan anak perempuan. Keturunan dan legasi keluarga bukan sahaja boleh diteruskan oleh anak lelaki, sebaliknya anak perempuan juga. Keturunan Rasulullah yang menjadi rasa izzah dan kebanggan sesetengah pihak pada hari ini, adalah datang daripada puteri baginda yang bernama Fatimah.
Beruntunglah sesiapa yang ada anak perempuan lalu membesarkannya dan mentarbiahkannya dengan baik dan sempuna.

Bukan soal nama....

March 19, 2009

Aku suka makan roti bun. Aku percaya ramai juga yang suka makan roti bun. Tapi, di tempat aku tinggal, kalau pergi ke pasaraya untuk mendapatkan roti bun ini, yang dijumpainya kebanyakkan tidak ada lebel halal. Roti kegemaran kucing gemuk ( Fat Cat) dan Novelty adalah antara roti yang melambak di pasaraya. Ada bebarapa pilihan yang boleh disyorkan untuk penggemar roti bun. Pertamanya roti keluaran Rufaqaa. Dulu memang namanya roti Rufaqa. Namun, setelah syarikat Rufaqaa berdepan dengan ancaman diharamkan kerana dikatakan jelmaan baru kepada Al-Arqam yang diharamkan kerajaan,  namanya ditukar. Aku tak ingat berapa kali namanya ditukar. Aku ingat beberapa nama pada roti yang selalu aku beli di kedai roti Rufaqaa di Taman Airpot. Pernah nama Harmoni dipakai. Kini namanya Roti Ikhwan.

Kendatipun roti ini tiada lebel halal Jakim, masyarakat maklum bahawa pembuatannya oleh orang Islam.
"Banyak kali tukar nama roti ni...", soalku pada satu hari kepada seorang lelaki penjaga kaunter kedai roti tersebut.
"Biasalah...", balas lelaki tersebut. "Nama boleh ditukar biar seratus kali....ia bukan penting", lanjutnya.
Jawapan itu membuatkan aku terfikir satu perkara. Nama boleh ditukar. Memang nama Rufaqaa menghadapi ancaman pada satu ketika. Lalu nama produknya ditukar kepada nama lain agar survivalnya terpelihara.
Ada kalangan tertentu amat sensitif dengan nama. Seolah-olah nama adalah penentu segalanya.
Seorang pemuda memberitahuku bahawa PAS telah tersasar daripada landasannya kerana tidak lagi memperjuangkan negara Islam, sebaliknya memperjuangkan negara berkebajikan. Katanya, semata-mata hendak memikat rakan pakatan yang bukan Islam, nama negara Islam digugurkan dan digantikan dengan nama negara berkebajikan. Dia menghulurkan aku satu risalah yang menceritakan panjang lebar tentang asal usul nama negara kebajikan  (welfare state) yang dikatakan cetusan barat.

Aku telah membaca risalah itu dan penghujahannya tidak menarik dan tidak praktikal. Aku mengambil sikap bahawa nama bukan perkara penting.
Allah bukan menilai nama seseorang atau sesuatu. Jika namanya Muhammad, tapi perangainya seperti Abu Lahab, apalah erti nama yang hebat itu. Demikian, jika namanya Abu Jahal, tetapi kalau wataknya mencontohi nabi Muhammad, tentu dia lebih baik daripada yang bernama Muhammad tadi.
Maka demikianlah, bukan nama yang perlu kita perjuangkan. Dalam dakwah, kita perlu bijaksana. Gunakanlah nama negara apa sekalipun, kalau isi kandungan idealisma pembentukan negara tersebut tidak lari daripada konsep negara Islam, ia tetap negara Islam.Kalau nama negara Islam itu menakutkan, guna nama yang tidak menakutkan.
Tak perlu pukul gendang.
Kami mahu negara Islam!
Kami mahu undang-undang hudud!
Kami menolak asabiyyah dan sekularism!
Kami hanya mahu negara khalifah!
Pemuda perjuangan perlu membuat anjakan.  Dari tradisi memukul gendang kepada bergerak dan bekerja. Bergerak dan bekerja membangunkan Islam ibarat semut kongkiak membangunkan busut.  Bergerak dan bekerja meruntuhkan jahiliyyah ibarat anai-anai meruntuhkan dinding dan tiang rumah tinggalan.  
Cuba renungkan satu babak dalam perjanjian Hudaibiyyah.
Dalam hadis sahih diceritakan bahwawa Rasulullah memanggil Ali untuk menulis nas perjanjiaan, Baginda merencana kepada beliau dengan katanya: "Bismillah al-Rahman al-Rahim" Kata Suhail: "Ada pun lafaz al-Rahman itu kami tidak mengetahuinya, tapi tulis sahaja: "Bismika Allahumma". Baginda menyuruh Ali menulisnya, kemudian direncana lagi "Inilah apa yang persetujui oleh Muhammad Rasulullah" kata Suhail: Kalau kami percayakan kau sebagai Rasulullah pasti kami tidak menghalang kau atau memerangi kau, oleh itu tulis namamu Muhammad bin Abdullah sahaja. Kata Rasulullah: "Sesungguhnya daku ini Rasulullah, Pesuruh Allah walaupun kamu mendustaiku". Baginda pun menyuruh Ali menulis "Muhammmad bin Abdullah serta memadam lafaz "Rasulullah', tapi Ali enggan memadamnya maka Rasulullah memadamnya dengan tangannya sendiri, dengan itu selesailah pembentukan format perjanjian.
Bagi pengamat sirah ini, akan faham bahawa Rasulullah tidak mengutamakan nama. Baginda sanggup menggugurkan kalimah "Bismillahirrahmanirrahim", dan menggantikannya dengan "Bismikallahumma" kerana hanya kalimah itu yang diterima Suhail bin Amr. Baginda juga menerima bangkangan Suhail bin Amr agar tidak menggunakan gelaran Rasulullah di hujung namanya. Padahal, kalau Rasulullah mahu, baginda boleh bertegas tentang dua nama itu. Rasulullah bukan berada pada kondisi  yang lemah pada ketika itu.
Kita menjunjung tinggi idealism perjuangan menegakkan daulah Islam. Tapi kita tidak harus dunggu dan membuta tuli dalam perjuangan. Kita tidak perlu menjadi jaguan yang menang sorak kampung tergadai. Kita bukan juga pragmatis yang rela mengorbankan prinsip.
Buat pemuda-pemuda yang punya semangat berkobar-kobar, memikul idealisma perjuangan, hendaklah bersifat murunah dalam beberapa hal. Persoalan nama bagi menggambarkan idea perjuangan yang disentuh dalam komentar ini, adalah salah satu yang menuntut murunah pada sikap dan tindakan.
Renungkan firman Allah dalam Al-Quran:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah Lembut terhadap mereka. sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu[246]. Kemudian apabila kamu Telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.
(Surah Ali Imran: Ayat 159)

ISLAM UMPAMA POKOK MACHANG...

March 18, 2009

Asar tadi , aku duduk mendengar bayan yang disampaikan oleh seorang lelaki dari jema'ah Tabligh yang datang daripada Kelantan. Dia memulakan bayan lepas asar itu dengan menceritakan satu ibarat. Pokok machang. Itulah kisahnya tamsilannya.Katanya pokok machang banyak di Kelantan. Di satu jajahan di Kelantan, nama machang telah diambil menjadi namanya iaitu jajahan Machang.
Buah bacang (machang)
Pokok machang sangat suka dihinggapi oleh burung cet-cet. Bila burung cet-cet berak di mana-mana dahan pokok machang, akan tumbuhlah sejenis pohon menumpang yang dipanggil dedalu. Dedalu memang hidup subur jika dibiarkan terus di mana-mana dahan pokok machang. Kalau tidak disingkirkan, dedalu itu akan merimbun Bila banyak sudah dedalu di pokok machang tersebut, orang yang tak kenal pokok machang akan kata daun pokok machang macam daun dedalu itulah. Tanggapan itu menyebabkan mereka merasakan pokok machang tidak ada apa istemewa, padahal pokok machang itu ada buahnya. Buahnya pula berbau harum sehingga timbul pepatah Melayu, bau-bau bacang bagi menggambarkan hubungan persaudaraan yang jauh.
Dedalu, sejenis pokok menumpang.
Demikianlah Islam ini, kata karkun yang memberi bayan itu. Satu tamsil ibarat yang menarik. Para pendakwah yang membawa cerita-cerita santai begini adalah memikat. Pendengar suka mendengar kerana ia tamsil ibarat yang bekisar di sekeliling kehidupan mereka.
Islam yang suci dibawa oleh nabi, ditempelkan dengan kefahaman yang pelbagai. Sehingga seseorang yang inginkan Islam, apabila melihat sesuatu yang disandarkan kepada Islam, dan sesuatu itu menarik hatinya, dia pun kata, inilah Islam. Padahal ia bukan Islam.
Islam itu bukan apa-apa dan bukan sesiapa. Islam hanyalah apa yang dibawa oleh Rasulullah. Apa yang bukan datang daripada Rasulullah, ia bukan Islam, biar betapa cantik dan betapa indah sekalipun.
Orang yang mahu ikut Rasulullah dan berminat dalam bidang perniagaan, dia akan kata perniagaan cara Rasulullah itulah Islam. Bagi yang minat kepada poligami, dia akan poligami itulah Islam. Bagi yang minat berpakaian jubah atau serban, dia akan kata jubah dan serban itulah Islam. Demikianlah bila Islam mengikut selera yang menilainya.
Syukurlah kerana nabi Muhamamad meninggalkan dua bekalan penting yang tidak akan sesat selamanya selagi mana kita berpegang dengan keduanya, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Sabda Rasululah SAW:

تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب الله وسنة نبيه
"Aku tinggalkan pada kamu dua perkara, kamu tidak akan pernah sesat selamanya selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Al-Quran dan sunnah Nabi".
Tamsilan lain yang selalu dipakai orang untuk menggambarkan kepelbagaian tasawwur mengenai Islam ialah 5 orang buta yang memberi maksud gajah. Yang pegang badan, kata gajah macam dinding. Yang pegang telinga, kata gajah macam kipas. Yang pegang kaki, kata gajah macam pokok. Yang pegang belalai, kata gajah macam ular. Yang pegang perut, kata gajah macam atap. Demikianlah orang mendefinisi Islam berdasarkan akal fikiran. Akal fikiran tak dapat menentukan kebenaran.
Apabila seseorang berkata sesuatu berdasarkan fikiran, dia mungkin salah. Jika dia membawa dalil al-Quran dan Hadis dan betul istidlalnya, maka benarlah dia.
Sebab itu, jangan terpesona dengan penampilan, perkataan, akhlak dan tingkah laku, karamah dan sebagainya. Jadikan al-Quran dan Hadis sebagai ukuran. Untuk menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai ukuran, perlulah berilmu. Orang tak berilmu selalu sesat dan kekadang menyesatkan.
Isteriku memberitahuku bahawa seorang ustazah, semasa dia belajar dahulu memberitahu pelajarnya, bahawa seorang lelaki yang berkahwin lebih daripada satu tidak boleh diterima kesaksiannya. Alasannya, lelaki berpoligami adalah sering berdusta. Aku katakan kepada isteriku bahawa perkataan ustazah itu tak boleh dipakai kerana terbit dari akalnya. Apa dalilnya? Tiada! Lebih buruk lagi, dengan berkata begitu, dia seolah-olah mengatakan nabi, para sahabat dan semua mereka yang berpoligami itu pendusta.
Sesungguhnya Islam bukan Feqah. Islam bukan Teologi. Islam bukan Sufism. Islam bukan Wahabism. Islam bukan Syiah. Islam bukan Salafi. Islam bukan tariqat. Islam bukan liberalism. Islam bukan kaum tua atau kaum muda. Islam bukan Pas atau Umno. Islam bukan mana-mana firqah. Islam bukan semua yang didakwakan.
Islam adalah apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Itu sahaja. Titik.