Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Islam, Satu Malaysia & Perkasa

April 6, 2010

Aku tidak berminat untuk mengulas tentang Satu Malaysia. Aku beranggapan bahawa satu Malaysia cuma sebuah retorik yang satu ketika nanti kendur dan akhirnya berkubur sebagaimana telah kendur dan berkubur sejejeran retorik yang terdahulu. Pada satu ketika, kita mendengar tentang Islam Hadhari, tetapi, kini Islam Hadhari telah kendur dan tak lama lagi berkuburlah ia. Orang pun akan melupakannya.

Namun, seseorang telah melontarkan pertanyaan kepadaku dalam Daurah Quran semalam tentang konsep Satu Malaysia dan pandangan Islam terhadapnya dari sudut tolong menolong dalam perkara yang melibatkan praktis keagamaan. Dia membawa misal, pada satu ketika kita dibantu oleh rakan beragama kristian untuk menumpangkan kita pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat, maka pada satu ketika yang lain dia meminta kita untuk membantunya melancarkan pula aktiviti kegerejaannya. Si penanya menegaskan bahawa saling tolong menolong seumpama ini amat bersesuaian dan selari dengan konsep Satu Malaysia.

Aku katakan bahawa konsep yang berbunyi Satu Malaysia ini hendaklah dicerminkan dengan agama. Ia hendaklah selari dengan Islam sebagai agama anutan kita. Islam menegaskan bahawa kita hendaklah bertolongan dalam perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah bertolongan dalam perkara dosa dan permusuhan. Sebesar-besar dosa adalah kesyirikan kepada Allah SWT. Justeru, kita tidak harus sama sekali membantu penganut agama lain untuk melancarkan aktiviti agamanya yang berbaur kesyirikan itu.

Islam memberi ruang untuk kebebasa agama tetapi tidak menggalakkan penganutnya untuk menggalakkan dan menyumburkan amalan keagamaan penganut agama lain.

Mengambil jalan sederhana, aku menegaskan bahawa konsep satu Malaysia membabi buta adalah salah. Satu Malaysia dalam wajah pluralisma adalah ditolak. Satu Malaysia hendaklah dilihat berdasarkan cermin islam sebagai agama yang satu-satunya diterima di sisi Allah SWT.

Kosep satu Malaysia bukan pertama kali diadakan bagi sebuah negara yang sedang merancang agenda penyatuan kaum di kalangan penduduknya. Terdahulu, ratusan tahun lampau, semasa pemerintahan Maharaja Monggol di India yang bernama Akbar, orang menyebutnya Akbar Yang Agung, dia memperkenalkan konsep Satu India. Dalam menjayakan konsep ini, dia telah mencipta satu agama penyatuan pelbagai agama yang diberi nama "Den Ilahi". Dia berharap rakyat India yang sering bergaduh kerana berbeza agama itu dapat disatukan di bawah agama "Den Ilahi". 

Satu India yang Akbar lakukan tidak berjaya. Apabila dia mati, berkuburlah apa yang dibuatnya. Satu India tidak lagi disebut orang. Apa yang dilakukan Akbar menjadi kutukan orang-orang Islam terkemudian.

Kepelbagaian adalah fitrah manusia. Kepelbagaian tidak boleh dipadamkan dengan konsep ciptaan manusia. Namun. kepelbagaian bukan alasan untuk manusia bergaduh. Banyak cara untuk menyatukan manusia  dan sememangnya rakyat Malaysia hidup bersatu sebelum pun Satu Malaysia kumandangkan. Krisis-krisis antara kaum yang terjadi sebelum ini adalah angkara manusia yang berkepentingan yang sering menjadi batu api atau suka mengapi-apikan sentimen tidak bertempat.

Kewujudan PERKASA yang menjadikan sentimen pribumi sebagai agenda perjuangan adalah satu contoh kelompok orang yang membakar kepelbagaian menjadi api permusuhan. Bagi mereka yang mendokong idea Satu Malaysia  tidak munasabah bermain gendang persilatan PERKASA. Islam di atas Satu Malaysia. Mungkin Satu Malaysia boleh dinilai positif pada beberapa ideanya tetapi tidak pada kesemuanya.  Satu Malaysia dalam kerangka ideanya yang mendokong pluralisme agama adalah tidak boleh diterima. Mereka yang sering mendewakan demokrasi pun mahu agar demokrasi diamalkan bukan dalam erti kebebasan mutlak, maka demikian pula Satu Malaysia. Demokrasi perlu dicerminkan kepada keberadaan kita sebagai hamba Allah di samping maslahah-maslahah lain. Maka...demikian Satu Malaysia.

Sementara PERKASA, ia sama sekali tidak cocok dengan Satu Malaysia dalam kerangka ideanya yang manapun. Dengan Islam, PERKASA  lebih lagi tidak punya tempat.

Sampai waktu...berkuburlah. Islam akan terus kekal berdiri menongkah zaman!


Terkenang Masa Lalu: Ahmad Najmi

April 4, 2010

Sewaktu aku bergelar mahasiswa di Universiti Malaya, aku ada seorang sahabat bernama Ahmad Najmi. Dia berasal dari negeri Kelantan. Aku tidak tahu di mana dia sekarang. Kali terakhir, aku mendapat tahu dia bertugas sebagai PTD di Puterajaya. Kami sama-sama dari kuliah Syariah dan menginap di Asrama Pantai Puri yang terletak di sebelah Hospital Pantai, Kuala Lumpur.

Ahmad Najmi Muhammad(Gambar dari facebook)

Beliau adalah antara sahabat rapatku. Banyak kenangan bersamanya. 

Sewaktu Demostrasi membantah kemasukan pasukan kriket Israel ke Malaysia, ramai mahasiswa yang terlibat. Ada mahasiswa ditangkap dan ramai yang diburu. Polis telah menceroboh masuk ke asrama dan mencari mahasiswa yang terlibat. Sesiapa yang matanya kemerahan dek air pemedih mata dari water canon, adalah sasaran pihak polis. Hari itu, aku solat jumaat di masjid Ar-Rahman. Ahmad najmi juga solat di sana. Selepas Jumaat, tiba-tiba ada laungan bersulam takbir. Aku dan Ahmad Najmi menggabungkan diri dalam arus mahasiswa di pintu gerbang masuk Universiti Malaya. Ketibaan polis dengan water canon agak cepat. Aku menyusup menjauh. Akhirnya lari pulang ke asrama. Setelah kejadian itu, Ahmad Najmi menunjukkan kepadaku penampilan beraninya dalam sekeping gambar. Dia berdiri di depan water canon sambil mendepangkan tangannya. Aku salute kepadanya atas keberaniannya serta semangatnya. Dalam hal ini ternyata dia lebih berani. Namun, dalam kejadian itu, dia tidak tertangkap.

Sebenarnya, sewaktu zaman pengajianku, banyak sekali siri demonstrasi. Pantang ada isu, para mahasiswa dan mahasiswi akan bangkit berdemostrasi di masjid dan juga simpang jalan. Mahasiswa zamanku itu, agresif dan responsif.

Pada satu ketika, aku membocengnya dengan motosikal miliknya pulang dari kuliah. Waktu itu, Akademi Pengajian Islam bernama Akademi Islam dan terletak di sebelah Fakulti Undang-Undang. Ketika kami melintas di depan perpustakaan, Ahmad Najmi memberitahuku supaya memperlahankan motosikal kerana ada sebuah kereta polis di depan kami. Katanya, polis dalam kereta itu tidak memakai tali pinggang kaleder. Dia mahu menegur polis-polis itu. Aku memotong kereta polis itu dan  kemudian Ahmad najmi memberitahu bahawa dia telah memberi isyarat tali pinggang kaleder kepada polis itu. Kami ketawa kerana puas dapat menegur polis. Polis selalu menyaman orang kerana tak pakai tali pinggang kaleder tetapi mereka sendiri tak memakainya. 

Aku memandu motosikal sehingga melepas Dewan TNC. Tiba-tiba sebuah kereta membunyikan hon di belakang. Ahmad Najmi memberitahuku bahawa kereta polis tadi sedang mengejar kami. Tak sempat nak memecut motosikal, kereta polis itu membuat potongan dan memberhentikan kereta di depan kami. Dua pegawai polis keluar dan menahan kami. 

"Apa kamu buat tadi?", salah seorang pegawai polis yang agak berusia dan gempal menyergah kami. Dia menyuruh aku mematikan enjin motisikal.

Enjin motosikal aku matikan. Aku terdiam. Kecut perut.

"Apa isyarat yang kamu buat tadi?, sekali lagi polis itu menyergah.

"Saya tegur encik tak pakai tali pingang keleder...", Ahmad Najmi bersuara. Mungkin antara berani dan takut juga.

"Ooo...kamu tahu ke undang-undang polis?, tanya pegawai polis itu dengan nada mengherdik.

Kami terdiam. Sejak kanak-kanak lagi polis adalah manusia yang aku takuti. Aku terbayang kertas-kertas saman di muka polis kerana pengalaman zaman remajaku menjurus ke arah itu.

"Kuliah apa kamu ni?"soal pegawai polis itu.

"Syariah perundangan encik",sahutku.

"Dah baca akta polis ka?"tanya pegawai polis itu lagi.

"Belum encik"aku cepat menjawab. Harapanku agar kami segera dilepaskan untuk meneruskan perjalanan. 

Disoal oleh polis amat merimaskan.

"Kalau tak tahu buat cara tahu...untuk  pengetahuan kamu, kalau polis naik kereta resmi, polis tidak terikat dengan undnag-undang jalan raya. Polis boleh tak memakai tali pinggang kaleder kalau ia mmenyusahkannya...mungkin menghalang kelancarannya memburu penjenayah....", pegawai polis itu menjelaskan.

Dia meminta lesen. Mujur aku ada lesen. Setelah puas berleter dia pun berlalu. 

Pengalaman itu tak dapat kulupakan. Sesekali, ketika mengenangkan, aku terseenyum sendirian. 

Apakah Ahmad Najmi masih ingat peristiwa itu?

Mengingat Ahmad Najmi, aku teringat kereta volkswagen putihnya yang di gelar si Kumbang Durjana. Dalam masa yang sama, aku dikaitkan dengan Si Belalang Padi oleh sesetengah teman kerana mempunyai sebuah motsikal hurricane. Motosikal tersebut masih aku simpan di kampung dan masih boleh dinaiki biarpun sudah  lebih 12 tahun berlalu. Aku sayangkannya kerana ada nostalgia padanya.

Mengingat Ahmad Najmi aku teringat keluhannya kepadaku pada satu ketika bahawa dia telah jatuh hati kepada seorang siswi teman sekuliah bernama Zainab, seorang gadis Kedah. Luahannya itu di saat kami sedang sibuk menyiapkan tesis akhir di tahun empat. Ahmad Najmi memintaku karangkan sebuah surat untuk diberikan kepada Zainab. Aku pun karangkan dengan ayat-ayat metafora dan rayuan cinta. Ahmad Najmi menambahkan beberapa perkataan yang ingin ditambahkan. Dia menulis tambah...dari Perindu Mimpi. Surat itu dimasukkan dalam sampul dan keesokan harinya dia mengajakku mencari motosikal Zainab. Selepas Kuliah, dia meberitahuklu bahawa surat itu telah diletakkan dalam raga motosikal Zainab.

Hari-hari sesudah itu, aku mendapat tahu mereka telah saling menerima satu sama lain. Selepas tamat pengajian, mereka telah berkahwin. Ahmad Najmi mendapat tawaran jawatan PTD sementara aku berkelana ke Pahang memikul idealisma perjuanganku. Sesekali turun ke Kuala Lumpur, aku singgah bertandang menziarahi pasangan sahabat sekuliahku itu.

Kini setelah sekian tahun berliku yang bersilih ganti, kami telah saling menjauh. Aku telah terhumban pula ke Sabah dalam tugas keguruan.

Kini, dalam masa terluang dan menjernihkan memori, aku mengenang sahabat silam  itu yang pernah berpencak tari denganku dalam secebis episod kehidupan.

Renungan Subuh (040410)

Sesekali...ketika melihat tapak tanganmu yang putih kemerahan, bersih....kenangkanlah saat saat ia mungkin menjadi hangit hitam di bakar api neraka. Alangkah sayangnya tanganmu itu! Lihat jemarimu yang runcing, kuku-kukunya yang bersih dan cantik...kenangkan saat ia menjadi hangus kerana dibakar api neraka.

Oh Tuhan...saat merenung anugerah ciptaanMu pada sekujur tubuhku...aku menjadi bimbang sekali kalau semua anugerah ini tidak selamat daripada siksaan api nerakaMu.

Dalam hening subuh sebentar tadi...aku terhimbau segala episod masa yang telah dikurniakan Tuhan buatku. Dari zaman kanak-kanak yang kecil suci dari dosa sehingga kini zaman dewasa bergelut pelbagai noda dunia. Terpalit nista dosa. Terumbang ambing antara syurga dan neraka.

Aku mengenangkan kehancuran tubuhku saat dimamah tanah dan cacing dalam kubur. Kulitku yang cantik akan berburat membusuk dan hancur. Dia hari akhirat, jika aku ke neraka, kulit yang cantik ini akan menghitam dibakar panas api neraka.

Rasanya, mejadi kerdil sekali diri dalam bayangan ini. Menjadi hina segala kecantikan diri. Menjadi rendah segala rasa kebanggaan pada kesempurnan anugera ilahi.

Wahai Tuhan...dosaku berkata; "Akan kuhumbankan kamu ke neraka!"
Wahai Tuhan...pahalaku merintih: "Aku kecil tak berdaya menerbangkanmu ke syurga!"

Wahai Tuhan...bantulah daku...

TAHNIKLAH ANAKMU...

April 3, 2010

Semalam, sahabatku bernama Ust Luqman menjemputku menghadiri majlis kesyukuran atas kelahiran anak ketiganya. Seorang putera dan diberi nama Muhammad Baihaqi. Antara lain, majlis semalam juga  adalah majlis mentahnik anaknya itu. Semoga Allah memberkati kelahiran baru dalam keluarganya tersebut dan menjadikan ia sumber kebahagian keluarga dalam dunia dan akhirat.

 gambar hiasan

Ketika Asma' binti Abu Bakar mengandungkan Abdullah bin Zubair, beliau telah berhijrah meninggalkan Makkah. Kandungannya waktu itu sudah mencapai umur sembilan bulan. Beliau berhenti di Quba' dan di sanalah Abdullah dilahirkan. Setelah itu, puteranya itu dibawa bertemu Rasulullah SAW. Rasulullah meminta agar buah tamar dibawakan kepadanya. Buah tamar tersebut dikunyah dan kemudian dimasukkan ke dalam mulut putera Asma' itu. Baginda membaca doa buatnya dan Allah memberi barakat kepada nya. Kelahiran Abdullah dicatat sebagai kelahiran pertama selepas hijrah dan ia mengembirakan orang-orang Islam kerana ia membatalkan omongan Yahudi yang mendakwa orang-orang Islam tidak akan melahirkan anak kerana telah disihir oleh Yahudi.

Imam An-Nawawi menyebutkan dalam Syarah Al-Muhazzab:

"Adalah sunnat ditahnikkan anak yang baru dilahirkan dengan buah kurma iaitu dengan mengunyahnya dan memasukkan ke dalam mulut anak tersebut sehingga masuklah rasa manis itu ke dalam perutnya.Berkata sahabat-sahabat kami (syafi'iyyah), jika tidak ada kurma, maka boleh apa sahaja yang manis rasanya. Petunjuk tahnik dan menggunakan kurma adalah bersandarkan hadis yang soheh.intaha".


Pada zaman Rasululullah SAW, para sahabat selalu membawa anak-anak  yang baru lahir kepada Rasulullah untuk ditahnik dan mendapat berkat daripada baginda. Mengambil berkat daripada Rasulullah adalah wajar kerana baginda adalah manusia pilihan Allah yang dibekali dengan keberkatan. Sebahagian ulama menolak konsep mengambil berkat terhadap individu selain Rasulullah SAW. Dengan kata lain, nas-nas yang membuktikan amalan tabarruk dengan Rasulullah SAW daripada para sahabat, adalah khusus untuk Rasululah SAW sahaja.

Maka, dalam soal tahnik, tidak perlu lagi mencari orang lain sebagaimana para sahabat mencari Rasulullah SAW. Cukuplah ia dilakukan oleh ibu atau bapanya sendiri.

Namun sebahagian kalangan orang Islam lebih selesa menyerahkan urusan tahnik kepada orang-orang yang dikenal soleh dalam masyarakat.

Apa yang penting, dalam amalan tahnik sebagai sunnah ialah menyerapkan rasa manis buah tamar ke dalam pori-pori mulut bayi dan membiarkan ia ditelan. Kalau tiada tamar, maka boleh juga apa sahaja yang manis seperti madu atau gula. Bertahnik dengan bahan-bahan lain seperti garam, asam jawa dan air zamzam yang terdapat dalam amalan tradisi masyarakat Melayu adalah tidak punya asas sunnah.

Kajian sains moden telah membuktikan rahsia kelebihan tahnik dengan makanan yang manis. Antara lain ia mengaktifkan sistem penghadaman seorang anak yang baru lahir sehingga kesediaannya menerima susu ibu berada pada tahap yang  baik dan memperkuatkan sistem penghadapamnya. Rasa  manis itu sendiri sebenarnya akan membentuk satu psikologi positif buat anak tersebut.

Nabi melakukan tahnik dan kemudian berdoa. Tidak warad apakah doa yang nabi ucapkan. Tentunya doa untuk kebaikan anak tersebut.

Sebahgian orang menyarankan agar dibacakan ayat  surah Al-Insyirah pada jari dan kemudian mencalitkan kurma yang sudah dikunyah ke jari itu lalu di masukkan jari itu ke dalam mulut bayi  sambil membacakan ayat Al-Quran berikut:


فَلَمَّا وَضَعَتْهَا قَالَتْ رَبِّ إِنِّي وَضَعْتُهَا أُنثَى وَاللّهُ أَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ وَلَيْسَ الذَّكَرُ كَالأُنثَى وَإِنِّي سَمَّيْتُهَا مَرْيَمَ وِإِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maka tatkala isteri 'Imran melahirkan anaknya, diapun berkata: "Ya Tuhanku, Sesunguhnya Aku melahirkannya seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak laki-laki tidaklah seperti anak perempuan. Sesungguhnya Aku Telah menamai dia Maryam dan Aku mohon perlindungan untuknya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk."
(Surah Ali Imran: Ayat 36)

 Setelah itu berdoa untuk bayi tersebut dengan apa-apa doa yang sesuai.