Kelmarin hari Selasa. 19 hb Feb 2019. Waktu Maghrib, meninggal seorang lagi tua kampungku. Nama panggilannya Lebai Hamzah. Dia terbilang orang kaya dalam kampungku. Masa aku kanak-kanak dulu, rumah dialah antara rumah dalam kampung yang ada TV. Kebun dan tanahnya pun banyak. Anak pula tiga orang sahaja. Aku ingat nama mereka. Faridah, Mat Nawi dan Rabiatul. Yang nama faridah itu kahwin dengan Abg Qosim Tabligh yang berasal dari Sungai Baru, Alor Setar. Mereka sekeluarga pernah dua kali bertandang ke rumahku di Sandakan dulu, waktu menghantar anak perempuan mereka Nadiah yang buat kali pertama posting di kawasan Sukau.
Meninggallah sudah Lebai Hamzah. Sakitnya taklah lama mana. Tak selama sakit ibuku. Pengorbanan kami adik beradikku , termasuk aku sendiri menghadapi masa-masa keuzuran ibu adalah satu tempoh masa menyemai pahala yang merupakan anugerah istimewa Allah SWT. Jangan pula ada orang secara simplistik membuat kesimpulan lamanya sakit sebagai azab Tuhan. Ia nikmat buat orang yang mengerti. Ia rahmat sebagai kifarat pembersih dosa. Agar dunia ditinggalkan dengan dosa yang nipis. Anak-anak yang berbakti pula dapat meraih pahala menjaga ibu yang sakit. Ada baiknya sakit lama ibu dan bapa. Sesuai dengan kemampuan anak-anak, Allah panjangkan tempoh sakit orang tua. Ibuku secara khusus, walaupun sakitnya lama, dia tetapi solat di atas pembaringannya dan tidak pernah meninggalkan solatnya. Itu tentu lebih baik jika seornag yang sakit dua tiga hari tapi selama sakitnya, solat diabaikan.
Ibuku dulu juga meninggal hari Selasa. Tanggalnya telah kucatatkan dalam tinta bertajuk Bergemulahlah Ibuku. Sebelum ibuku, meninggal juga Paklong Che Mat. Orang kampung selalui panggil Che Mat Hitam. Mungkin kerana kulitnya agak gelap, maka itulah sebabnya dia dipanggil Che Mat Hitam. Che Mat hitam itu bapa mentua kepada tukang kebuh sekolahku. Sk Sg Seluang. Abg Mat nama panggilannya . Dia kahwin dengan anak Pak Long Che Mat yang bernama Munah. Matinya Pak Long Che Mat itu jatuh pada hari Selasa juga. Aku tidka berapa ingat tarikhnya. Tarikhnya sama dengan tarikh aku balik ke Kulim untuk esoknya bertolak ke Kuala Lumpur dalam rangka melancong. Pelancongan sebelum ibuku meninggal. Jika demikian seminggu sebelum ibuku meninggal, itulah tarikh meninggalnya Paklong Che Mat.
Hari Selasa.
Abg Mat Tukang Kebun sekolahku berkata:
" Semua mati hari Selasa ya...?", dia membuat komentar sambil menyebutkan kematian terbaru, Lebai Hamzah. Baru aku sedar, tiga kematian warga tua kampung datuk, semuanya hari Selasa.
Kata Abg Mat, sabun mandian mayat mati hari Selasa boleh mengubat penyakit gatal. Waktu ibuku meninggal hari itu, dia minta aku simpan sabun untuknya. Katanya buat anak saudaranya yang gatal-gatal. Aku telah tunaikan permintaannya dan dapatkan sabun sisa mandian mayat itu. Abg Mat kemudiannya beritahuku bahawa sabun itu sangat mujarab dan penyakit gatal anak saudaranya telah sembuh.
Apakah istemewanya matinya hari Selasa? Aku tak tahu. Abg Mat kata hanya sisa sabun mandian mayat mati hari Selasa sahaja boleh dibuat ubat. Apakah itu benar? Sains tak boleh terangkan. Itu petua orang tua dan kemujarabannya telah dikhabarkan oleh Abg Mat. Kalau percaya , cubalah. Kalau tidak, abaikan sahaja. Tapi , kalau ada penyakit gatal yang tak sembuh-sembuh dengan ubat farmasi, tidak salah mencuba petua orang tua-tua. Ini tidak sampai membawa kepada syirik. Asalnya yakin penyembuhnya adalah Allah SWT.
0 comments:
Post a Comment