Dalam permainan catur, ada langkah mengorbankan permaisuri demi untuk membuat "checkmate". Kesanggupan membiarkan permaisuri dibaham oleh lawan akan membuat lawan syok sendiri. Namun, ketika sang raja musuh sudah di"checkmate", barulah lawan itu tahu bahawa dia telah diperdaya oleh pengorbanan yang dibuat ke atas sang permaisuri.
Aku mengamati teknik-teknik catur ini ketika sukan catur peringkat sedang rancak peringkat daerah baru-baru ini. Rupanya, kememangan dalam permainan catur banyak dipengaruhi oleh tektik-tektik rahsia selain daripada kepintaran pemain yang mempunyai daya jangkauan akal dan fikir.
Dalam permainan politik juga demikianlah. Aku percaya, orang masuk main catur padahal dia tidak mempelajari teknik-teknik, dia akan mudah dikalahkan. Sekadar tahu main catur, ia tidak menjamin kemenangan. Begitulah halnya dengan terjun berpolitik. Sekadar belajar ilmu politik melalui pembacaan buku-buku yang menghuraikan mengenainya, tidak menjadikan seseorang itu jaguh dan pemenang dalam persaingan sengit dunia politik.
Sudah tentu para aktor politik perlu mahir teknik dan tektiknya. Malangnya, apa yang kita lihat, ramai yang terjun ke dunia politik hanya tahu apa itu politik di permukaannya dan tidak tahu pula pusaran arus di bawahnya. Lebih malang lagi ialah apabila pemain politik tersebut datang daripada kalangan yang cuba menonjolkan citra politik Islam tetapi gagal mewajahkan kefaqihan dalam politik Islam.
Akhirnya, banyak kenyataan berbau politik yang mempamerkan kedangkalan ilmu politik. Orang-orang yang sebegini ibarat tikus yang cuba memperbaiki labu atau seperti sang gelojoh yang cuba merungkai benang yang kusut. Natijahnya tidak menambah baik masa depan , bahkan menambahkan lagi pening kusut yang telah sedia membelit.
Bila nabi SAW menegaskan bahawa apabila sesuatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran, kita perlu memahami bahawa keahlian itu adalah kemahiran. Tahu tetapi tidak mahir tidak menjadikan seseorang itu ahli dalam sesuatu urusan. Kemahiran dan keahlian bukan ada pada semua orang. Tidak asalkan belajar tinggi, dapat pangkat doktorat, digelar ulama atau tampil sebagai seorang ustaz gerakan, kita menjadi ahli dan mahir dalam permainan politik.
Sesungguhnya politik itu seni yang sukar. Lebih sukar daripada langkah-langkah permainan di atas papan catur.
0 comments:
Post a Comment