Apabila didedahkan sendiri oleh Datuk Phahrolrazi Mohd Nawawi bahawa punca krisisnya dengan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abd Razak itu ialah kontrak bernila RM600 juta yang diberikan kepada sebuah syarikat yang terkait dengan seorang pemimpin UMNO bahagian, dapatlah kita fahami duduk perkara (bukan duduk perkara pergeseran dan percanggahan pendapat itu sahaja, yang telah mengganggu tumpuan dan kerja orang lain), tetapi, duduk perkara yang lebih penting adalah tahap pemikiran exco yang terbabit. Dalam pemerintahan negeri, bagaimanakah keutamaannya?
Kalau orang sanggup bergolak gadai demi RM600 juta, kita tahulah bahawa jumlah itu baginya sangat berharga. Kalau tidak, masakah beralang-alang menyeluk pekasam. Kestabilan negeri jadi goyah hanya semata-mata RM600 juta. Para sahabat kepimpinan pelbagai peringat terganggu tidur lantaran bunyi bising dalam dapur kerajaan negeri. Banyak kerja lain pula terpaksa dibelakangkan hanya kerana terpaksa pergi menegok dan tolong selesaikan pergaduhan tersebut.
Pergaduhan yang bertitik tolak daripada hal yang sepele.
Saudaraku dari kedah mengatakan ia adalah pergaduhan budak kampung. Dalam politik, kalau ia pergaduhan ahli politik, kita boleh terima. Pergaduhan ahli politik dilihat profesional. Tetapi pergaduhan budak-budak kampung, ia membosankan serta memalukan. Katanya, konflik yang terjadi dalam PKR banyak pergaduhan orang politik. Beberapa ADUN dan MP dari PKR yang melompat, itu adalah pergaduhan ahli politik. Ia dapat ditangani secara politik oleh PKR. Namun, pergaduhan di Kedah itu adalah pergaduhan budak kampung. Budak inggusan! Itu kata saudaraku dari Kedah. Dia sangat marah kerana dia adalah antara pekerja parti yang bertungkus lumus di musim p[ilihan raya dan bekerja keras menconvertkan pemuda parti lawan ke dalam Pas.
Gelagat pemimpin yang menggoncang kestabilan kerajaan negeri dengan hal sepele itu amat mengecewakan. Pada sangka pemimpin seperti itu, apakah mereka diperlukan oleh pengikut bawahan?!Kalau sudah tidak sanggup bertasamuh dan membuang kepentingan diri, dipersilakan keluar dari lingkungan batu batan pemerintahan. Itu juga keluhan saudaraku itu.
RM600 juta, kenapa perlu digundahkan? Kalau dapat kepada syarikat terkait dengan pemimpin UMNO bahagian, apakah itu salah? Orang akan jadi gundah kalau dia sendiri mengharapkan RM600 juta itu dapat kepadanya. Politik yang semberono memang tidak benarkan orang lain berkongsi laba. Itu politik penuh dendam. Kerana para pemimpin UMNO itu telah mengaut banyak kekayaan semasa pemerintahan terdahulu, kalau boleh dia perlu diharamkan dari sebarang kontrak kerajaan dalam pemerintahan sekarang. Ini jalur fikiran ahli politik yang tidak berwawasan dan berbaur dendam. Lebih jelik kalau disasarkan pula projek untuk diri sendiri. Ini ahli politik oppurtunis.
RM600 juta itu nilainya kecil berbanding ukhwah dalam jamaah. Amat kecil berbanding kestabilan negeri yang perlu diperlihatkan kepada rakyat, terutama pada ketika deruan angin pilihanraya umum kian membadai. Tolol amat kalau kerana RM600 juta, rela melihat kerajaan yang dikendong berantakan!
Padaku, biarpun hal ini kononnya telah selesai, ia tetap menimbulkan parut. Sekalipun yang mencetus angkara telah kembali ke pangkal jalan dan bertaubat, ia tidak senang untuk dilupakan. Ada madah politik menyebutkan, kesalahan lain ada kemaafannya. Namun, kesalahan dalam politik tidak boleh dimaafkan. Madah ini ada benarnya kerana apabila berpolitik, seorang pesalah politik telah berdosa kepada puluhan ribu orang yang berada di bawahnya.
Para pencinta perubahan, pendokong perjuangan dan petugas hizbullah perlu terus lestari. Pemimpin yang memperlihatkan aulawiyat buat hal sepele tidak perlu dilanjutkan pada tahun-tahun mendatang kerana tahun-tahun tersebut akan lebih banyak ujiannya. Kilauan pedang dan permata akan bertambah dan akan kian menggerunkan dan mempesonakan.
0 comments:
Post a Comment