Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Kasihan keluarga si mati!

December 15, 2010

Ada jemputan solat jenazah di kampung Kerasak hari ini. Malam kelmarin ada orang meninggal di kampung Bagan. Minggu lepas di kampung Sireh. Ketiga-tiga jemputan solat jenazah itu aku gagal menghadirkan diri. Ada baiknya juga aku gagal hadir solat jenazah tersebut. Setiap orang yang hadir solat jenazah dibayar RM5. Terpulang kepada kita sama ada mahu terima atau tidak. Namun, ramai yang datang solat menerima bayaran tersebut atas alasan sedekah daripada keluarga si mati untuk menjadikan pahalanya buat si mati. Untuk yang datang berkereta, jika kereta itu kereta biasa seperti Kancil atau Proton Saga, pemandunya akan diberikan RM10. Jika kereta itu jenis Van, pemandunya diberikan RM20.
 

Demikianlah adat yang diamalkan di kawasan ini. Kawasan lain aku tidak pasti. Namun, yang pasti, adat sebegini aku tak temui di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur maupun Sandakan. Di kampung-kampung di Sabah pun tiada adat kebiasaan seperti ini. Sebenarnya, ini bukan adat semata-mata. Ia telah dikaitkan dengan agama kerana dikatakan sedekah dan tujuannya menambahkan pahala buat si mati.
 

Setiap keluarga yang menghadapi musibah kematian, secara paksa rela perlu memenuhi tuntutan kebiasaan masyarakat sebegini. Jika tidak, secara peribadi keluarga tersebut akan merasa malu. Masyarakat akan membuat pelbagai andaian. Sebahagiannya mungkin positif dan simpatik. Namun sebahagian akan pesimis dan prasangka. Jumlah orang yang datang untuk solat jenazah pun tidak akan ramai.


Masibah di atas musibah. Demikianlah situasi yang dapat kita rasakan bagi keluarga si mati. Dari pengurusan jenazah sehinggalah majlis-majlis tahlil yang diadakan pada malam-malam sesudah kematian, semuanya merupakan tambahan kepada musibah sedia ada yang sedang ditanggung keluarga si mati. Kemudian, ditambah pula dengan amalan upah mengupah dalam amal ibadat untuk dikirimkan pahalanya kepada si mati, semuanya dengan sejumlah harga yang perlu dibayar oleh keluarga si mati. Upah solat sunat hadiah, menjaga kubur, baca Quran di kubur, meratib 70 ribu kali dan banyak lagi tambahan baru yang sedang dijual oleh mereka yang menjanjikan pahala untuk kiriman buat si mati!
 

Siapa yang akan membela penindasan yang ditimpakan kepada masyarakat ini? Ada individu yang membantah amalan sebegini tetapi kuasa dan pengaruh mereka yang mempertahankannya lebih besar. Seperti biasa, penentang amalan seperti ini akan terpalit dengan tuduhan sebagai wahabi. Siapa yang yang berani secara terbuka mengistiharkan bara'ah daripada kebiasaan ini, akan secara terbuka pula dituduh sebagai wahabi.
 

Akal yang sihat boleh mengenal keburukan kebiasaan ini. Namun, akal yang mencetak agama dalam otak dan amalan secara taqlid akan menghalalkannya dan ditambah pula dengan kepentingan pamrih laba duniawi yang sedikit. Aku ingin sekali meringankan beban keluarga si mati, tetapi kekuatan besar diperlukan untuk meruntuhkan legasi songsang yang mencengkam ini. Legasi songsang yang diwarisi melalui restu tokoh agama yang menunjangi masyarakat desa.
 

Setiap kali berlaku peristiwa kematian di kawasan ini, terlintas dalam benakku...Kasihan keluarganya.


Ayohlah para da'i yang punya nama dan kehormatan di desa, jujurlah dengan ilmu dan bantulah masyarakat yang teraniaya.

Doa Akhir dan Awal Tahun Bukanlah Sunnah.

December 6, 2010

Tahun lepas, majlis bacaan doa akhir tahun dan awal tahun dibuat di Masjid Negara dan diraikan secara rasmi dengan kehadiran Yang Dipertuan Agung serta ramai pimpinan utama negara. Timbul pertanyaan di kalangan tertentu, apakah doa akhir tahun dan awal tahun itu sunnah? Dengan kata lain, apakah nabi Muhammad SAW melakukannya? Atau, apakah para sahabat mengamalkannya?

Jika dicermati dengan minda pencerahan, dengan mudah kita dapat menarik kesimpulan bahawa doa awal dan akhir tahun itu bukanlah sunnah. Ia dikatakan mudah kerana kita maklum bahawa di zaman nabi SAW tidak ada kalender hijrah yang dikira bermula daripada Muharram. Penggunaan taqwim hijrah yang memulakan Muharram sebagai bulan pertama dan tahun hijrah nabi SAW  ke Madinah sebagai tahun pertama hanya bermula pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab. Justeru bagaimana harus dikatakan ia sebagai sunnah?

Rangkaian doa yang dikatakan doa akhir tahun dan awal tahun itu pula bukanlah daripada nabi. Fadhilat yang dinyatakan untuk mereka yang membacakan doa tersebut di mana di katakan syaitan akan kecewa, diampunkan dosa untuk setahun itu dan aman daripada tipudaya syaitan untuk setahun mendatang adalah satu rekayasa yang tidak bersandarkan nabi SAW. Bagaimana kita boleh mempercayai bahawa nabi  SAW menitipkan satu doa dengan fadhilat tertentu dan ia dikaitkan dengan awal Muharram sedangkan Muharram pada zaman nabi SAW belum lagi dijadikan bulan pertama dalam taqwim Islam?

Berdoa memang bagus. Namun mengamalkan doa akhir tahun dan awal tahun seolah-olah ia adalah sunnah Rasul dan diberi pahala dan fadhilat tertentu bagi yang mengamalkannya adalah satu pencemaran kepada keaslian agama. Hanya Allah dan Rasul sahaja yang boleh menjanjikan fadhilat untuk sesuatu amal. Orang lain hanya membuat rekaan belaka! Rekaan atas nama nabi adalah jenayah!

Umar Al-Khattab meletakkan taqwim Islam bermula daripada bulan Muharram dan menjadikan tahun nabi berhijrah ke Madinah sebagai tahun pertama bukanlah untuk disambut. Lebih-lebih lagi , bukan untuk diritualkan dengan amalan yang disandarkan kepada agama seperti doa akhir tahun dan awal tahun. Ia adalah untuk memperlihatkan kebesaran peristiwa hijrah dan menjadi lambang tajdid hayat bagi setiap Muslim melaui konsep hijrah.

Bukan budaya Islam merayakan awal tahun seperti mana golongan kuffar meraya penghujung Disember dan awal Januari. Justeru, jika ditanya tentang apakah sunnah Rasulullah SAW sempena akhir tahun dan awal tahun, ia adalah persoalan yang perlu diketepikan dan tiada  jawapan untuknya.  Islam tidak menginstitusikan awal dan akhir tahun untuk diritualkan dengan amalan tertentu. Tiada sunnah khusus untuknya!


Tok Wan Li kembali kepada Rabnya

November 16, 2010

Takdir Allah telah menentukan bahawa ajal guru Al-Quranku, Tok Wan Li sampai setakat kelmarin sahaja. Kebetulan juga Allah mentakdirkan aku sempat bertemu dengannya di penghujung usianya biarpun pertemuan itu tidak mengizinkan lagi dia berbual atau bertanya khabar. Saat aku sampai di kampung, aku menziarahi setelah berehat seketika. Aku melihatnya sudah terbaring sakarat. Anak-anaknya dan kaum kerabat silih berganti menziarahinya. 

Petang itu, aku datang melihatnya. Dia terbaring dengan mata terpejam. Dia sedang sakit. Sakit dalam perut. Ibuku kata ada bisul dalam perutnya. Beberapa orang menyebutnya sebagai barah. Abangku kata sakit dalam perut itu kebiasaan untuk orang tua seusianya. Usia Tok Wan Li telah menjangkau lebih 90 tahun. Sungguhpun sebelum ini dia amat sihat tapi, kelmarin dulu yang kulihat, dia telah kurus dan cengkung. Kali terakhir aku dihubungi Tok Wan Li melalui telifon ialah pada bulan Ramadhan yang lalu.  Ketika itu aku masih di Sabah. Dia menceritakan kepadaku tentang puasanya satu hari yang ditinggalkan kerana sakit. Aku mengatakan bahawa Allah memaafkan puasa yang ditinggalkannya itu.

Beberapa minggu yang lalu, ibuku memberitahu tentang sakit Tok Wan Li. Ibuku membayangkan kemungkinan aku tidak akan sempat bertemunya lagi. Aku berserah kepada Allah. Allah yang menentukan ajal. Aku sudah pernah kematian Al-marhum bapaku sewaktu aku di perantauan. Bagiku, pertemuan terakhir tidak lebih penting berbanding pertemuan sebelumnya. Apa yang paling penting ialah pertemuan di hari akhirat. 

Aku pulang daripada ziarah Tok Wan Li petang itu dan merasakan saat dia dipanggil Rabnya tidak lama lagi. Tetapi aku tidak tahu bila saat dan jamnya. Itu adalah rahsia Allah SWT. Namun, dia benar-benar sudah berada di penghujung hayat. Apa yang merungsingkan aku ialah kedudukan baringan Tok Wan Li yang diletakkan oleh anak-anaknya tidak menghadap ke arah kiblat. Aku melihat perlakuan qiam seperti dalam solat dilakukan oleh Tok Wan Li ketika sakitnya itu. Aku mendapat tahu, kedudukan Tok Wan Li tidak dihadapkan ke kiblat oleh anak-anaknya yang menjaganya sejak beberapa lama. Itulah merisaukan aku.

Petang itu aku berdoa kepada Allah agar memberikan aku kekuatan untuk melaksanakan misi penting merentangkan jalan akhir yang berbahagia buat Tok Wan Li. Aku mahu biarlah Tok Wan Li berhijrah meninggalkan dunia ini dalam keadaan berwuduk dan selesai solat yang dilakukan dalam keadaan suci. Sungguhpun perlakuannya memperlihatkan dia seperti solat, dia tidak diwudukkan. 

Selepas solat Maghrib di masjid kampungku, aku terus menziarahi Tok Wan Li sekali lagi. Ketika itu hanya ada  anak beranaknya. Aku duduk di sebelah Tok Wan Li yang kelihatan lali. Aku memberanikan diri untuk meminta izizn mengambilkan wuduk untuknya. Aku minta semangkuk air daripada anaknya. Alhamdulillah, mereka membawakan air tersebut. Aku bisikkan ke telinga Tok Wan Li bahawa aku akan mewudhukkannya. Lalu aku wudukkannya. Aku celupkan tanganku ke dalam air dan sapu di muka, tangan hingga siku, kepala dan kaki. Aku bisikan kepada Tok Wan Li bahawa aku telah selesai wudukkannya dan meminta kebenaran anaknya untuk mengubah posisi Tok Wan Li agar menghadap kiblat. Setelah itu, aku bisikkan ke telinga Tok Wan Li bahawa dia telah menghadap kiblat dan boleh solat maghrib kerana maghrib sudah masuk.

Kami duduk diam di sisinya, melihatnya menunaikan solat. Aku tidak pasti apakah dia solat atau tidak. Namun, beberapa kali tangannya diletakkan atas dada seperti orang qiam.

Setelah aku rasakan dia selesai solat, aku beritahu Tok Wan Li bahawa aku akan bacakan surah Al-Kahfi dan memintanya mendengar. Setahuku, Tok Wan Li hafal surah itu kerana pada satu ketika dahulu, sewaktu aku membacakan surah itu di sisi datukku yang sakit, dia menegur satu kesalahan baris yang kulakukan. Aku baca beberapa puluh ayat yang aku ingat sahaja. Aku ulang beberapa kali ayat yang menegaskan agar jangan mensyirikkan Tuhan. Mudah-mudahan tipu daya Iblis sirna di perjalanan akhir Tok Wan Li.

Setelah insya telah menghampiri, aku minta diri. Sebelum pergi aku sekali lagi mengingatkan Tok Wan Li tentang masa. Ketika itu jam 8 malam. Sebentar lagi akan masuk  insya. Nanti, kalau sudah masuk insya, solatlah. Aku ingin belikan beberapa keperluan untuk Tok Wan Li di Kuala Nerang.  Aku andaikan bahawa hayat Tok Wan Li ada beberapa hari lagi. Itulah harapanku. Aku mahu beli pampes agar pakaiannya boleh sentiasa dibersihkan. Dengan itu mudah untuknya solat. Solat amat penting terutama di penghujung hayat.

Aku pulang lewat. Sampai di rumahku, aku mendapat panggilan telefon daripada adikku yang berada di rumah Tok Wan Li, bahawa Tok Wan Li telah kembali bertemu Rabnya. Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Jam menunjukkan 10.20 malam. Itulah noktah muktamad untuk hayat seorang Tok Wan Li. Pada usia lebih 90 tahun. Pada khatimah yang baik, insya Allah

Semoga Allah menempatkan Tok Wan Li pada tempat terbaik di akhirat. Dia adalah guruku yang amat berjasa. Mengajarkan aku mengenal Al-Quran. Di kampungku, berapa ramai anak muda sebayaku, lebih muda daripadaku, malah lebih tua daripadaku, pernah punya pengalaman belajar Al-Quran di rumah Tok Wan Li dan bergurukan Tok Wan Li. Dari zaman pelita minyak tanah hinggalah zaman lampu kalimantang. Aku rasa bilangan murid Tok Wan Li amat ramai dan tidak tahu aku menjumlahmnya. Bukan angka puluh malah angka ratusan. Mungkin tidak ribuan. Namun, jika dicampurkan dengan murid kepada murid-muridnya, seperti murid-muridku, mungkin sudah ribuan.

Pagi tadi selepas solat Subuh, dalam remang pagi berembun, aku menziarahi pusara Tok Wan Li. Tidak jauh daripada pusara bapaku. Aku berdiri di sisinya sambil berdoa di kepada Allah...

" Ya Allah, Engkau tahu bahawa hambaMu yang sedang terbujur dalam bumi ini adalah guru yang mengajarkan aku baca Al-Quran. Berama ramai pemuda dalam kempungku, dialah guru mereka. NabiMu bersabda bahawa sebaik-baik orang ialah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya. Jadikanlah Al-Quran sebagai temannya dalam kubur, pembelanya di hari akhirat. Jadikan kuburnya satu taman syurga dan jauhilah daripada menjadi lubang neraka...amin

Aku bersaksi atas zawahir yang aku kuasai, Tok Wan Li menjalani husnul khatimah. "Wallahu yatawallas sara ir"

Kesatuan hanya ada dalam Islam

November 11, 2010

Firman Allah SWT:


وَلَوْ شَآءَ رَبّكَ لَجَعَلَ النّاسَ أُمّةً وَاحِدَةً وَلاَ يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ  إِلاّ مَن رّحِمَ رَبّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ


Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu, dan untuk Itulah Allah menciptakan mereka.

(Surah Hud Ayat 118-119)

Perselisihan di kalangan manusia sering berlaku. Perselisihan itu terjadi dalam pelbagai aspek samada agama, pegangan, mazhab, pendapat dan sebagainya. Ikrimah mengatakan bahawa perselisihan yang dimaksudkan adalah dalam aspek hidayah. Hasan Al Basri menambah, perselisihan itu juga berlaku dalam soal razeki yang tidak sama rata. Namun, dalam konteks ayat sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibn Kathir, perselisihan itu adalah dalam aspek agama.

Semua manusia berselisih kecuali mereka yang memilih untuk mengambil jalan para rasul dan berpegang dengan perintah agama. Merekalah golongan yang mendapat rahmat Allah SWT sebagaimana ditegaskan dalam ayat. 

Golongan tidak berada di atas landasan petunjuk Allah SWT, walaupun mereka mereka satu negeri, satu bangsa dan satu agama, mereka sebenar berpecah. Kesatuan yang mereka pamerkan kepada kita hanyalah palsu. Namun, golongan yang berada di atas landasan petunjuk Allah, biarpun mereka berbeza negeri, berlainan bangsa dan berbeza mazhab, mereka adalah bersatu. Merekalah golongan yang mendapat rahmat yang mana terkecuali daripada penyakit perpecahan sebagaimana dapat difahami daripada ayat.

Jika dilihat daripada aspek perjuangan, hanya mereka yang berjuang untuk Islam sahaja yang benar-benar bersatu. Perjuangan untuk selain Islam tidak bersatu. Jangan terpesona dengan penampilan bersatu yang ada pada perjuangan selain Islam. Selama perjuangan Islam menjadi manhaj perjuangan, maka selama itulah kesatuan sejati akan menyertai.

Penyatuan dalam Barisan Nasional yang menyerlahkan seolah-olah ada penyatuan yang teguh antara komponen di dalamnya adalah solekan sahaja. Di dalamnya, hakikatnya berbirat dengan retakan dalam segala bentuk rupa. Perlumbaan, dengki, prasangka, pesimis dan opurtunis bergentayangan dalam kesatuan palsu mereka. Ini kerana perjuangan kebangsaan tidak pernah boleh diasosiasikan dengan Islam.

Dengan rahmat Allah, mereka yang berjuang untuk Islam akan diselamatkan daripada perpecahan itu. Peliharalah perjuangan Allah, nescaya Allah akan memelihara perjuangan anda. Inilah renungan yang amat penting buat para pejuang yang bersenandung lagu perjuangan dalam Pas. Biarpun sudah bertahalluf siasi dalam Pakatan Rakyat, Pas tidak boleh mengambil sikap "mudahanah" kerana ia akan meleburkan istiqamah. Bila istiqamah telah lebur, tiadalah lagi karamah dalam perjuangan kerana istiqamahlah semulia-mulia karamah. Jika karamah istiqamah sering mengiringi, rahmat Allah akan sentiasa bersama. Kesatuan pun menjadi mantap.

Manusia tanpa istiqamah dengan perjuangan bukan wali Allah walau sederet khawariqul 'adah dapat dipamerkannya. Demikian juga sebuah jemaah atau parti Islam,  tanpa istiqamah, tidak bermakna siri-siri kemenangan yang diraih atau sokongan padu yang menakjubkan. Tanda sebuah jemaah atau parti Islam itu terpilih menjadi wali Allah di bumi adalah apabila ia kekal istiqamah dengan jalan-jalan hidayah yang digariskan nabi dalam perjuangan.