Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Guruku Tok Wan Ali

May 17, 2010


Bila disebut guru, ramai yang nampak guru sekolah. Ucapan selamat hari guru banyak ditujukan kepada guru-guru sekolah. Drama-drama yang ditayangkan dalam TV sempena hari guru juga berkisar pengorbanan seorang guru sekolah. Tergambar, dalam minda ramai orang bahawa sambutan hari guru adalah sebagai mengenang jasa guru-guru sekolah.

Hari guru tahun ini, aku ingin mengenang jasa seorang guruku. Dia tidak pernah dipanggil guru maupun cikgu. Dia juga bukan dipanggil ustaz atau ustazah. Tetapi, bagiku, dia adalah seorang guruku yang amat berjasa kepadaku. Aku memanggilnya Tok Wan. Semua muridnya memanggilnya Tok Wan. Tok Wan Ali.

Tok Wan Ali berpangkat datuk saudaraku.Umurnya kini telah melebihi 80 tahun. Mungkin sudah mencapai 90 tahun. Dialah satu-satunya tok wan aku yang masih hidup. Alhamdulillah, sehingga kini dia masih sihat. Sewaktu-waktu aku pulang bercuti di kampung,  aku dapat mendengar suara Tok Wan Ali memecah kesunyian dini dari corong pembesar suara di masjid. Dia melagukan bacaan Quran sejurus sebelum subuh.  Seingatku sudah beberapa tahun dia melakukan kebiasaan itu tanpa ketinggalan satu pagi pun. Kata ibuku, saban pagi suara Tok Wan Ali pasti kedengaran memecah sunyi dini.

Hampir 30 tahun yang lalu, aku meladeni kehidupan kanak-kanak di kampung dengan disiplin warga yang sudah menjadi kemestian buat setiap anak yang sedang membesar. Terutamanya anak lelaki. Setiap kanak-kanak akan pergi mengaji Quran. Dalam kampungku, hanya ada dua orang yang menjadi tumpuan kanak-kanak untuk mengaji Quran pada masa itu. Satunya  Tok Wan Ali dan satu lagi seorang nenek perempuan bernama Tok Long. Aku tidak cukup kenal Tok Long tetapi cukup mengenali Tok Wan Ali.

Masa itu, kampungku belum ada kemudahan asas. Penduduknya masih berpelita ayam. Sumber air bergantung kepada air perigi dan bila musim kemarau yang mengeringkan perigi, air sungailah menjadi tumpuan. Dalam keadaan kekurangan itu, kami kanak-kanak kampung begitu rajin bertandang ke rumah Tok Wan Ali untuk mengaji Quran. Tok Wan Ali mengajar mengaji pada waktu malam, selepas solat maghrib. Setiap murid Tok Wan Ali akan datang mengaji dengan membawa pelita ayam masing-masing. Dari rumah datang membawa pelita ayam berdendeng daun pisang. Ada yang buat dendeng daripada tin susu atau tin minyak tanah yang ditebuk lubang. Dari lubang itu cahaya menyuluh gelap jalan.

Di belakang dinding serambi rumah Tok Wan Ali berceretek pelita ayam. Botol-botol minyak gas sering disembunyikan di belakang almari. Seringkali minyak gas murid Tok Wan Ali dikebas sesama sendiri.

Tok Wan Ali mengajar kami dengan sabar. Tiada sebarang bayaran ibu bapa kami berikan kepadanya. Kalaupun ada bayaran, adalah pejabat agama berikan hadiah setahun sekali. Itupun hanya sejumlah kecil wang. Seingat aku jumlahnya tak sampai seratus ringgit. Ya...tak sampai seratus ringgit untuk khidmat Tok Wan Ali mengajar kami setiap malam, kecuali malam-malam tertentu yang dia tidak mahu mengajar. Tok Wan Ali mengajar kami dengan ikhlas. 

Menghargai pengorbanan Tok Wan Ali, biasanya kebanyakan ibu bapa di kampungku menyerahkan zakat padi kepadanya. Fi sabilillah.

Aku diajar Tok Wan Ali mengaji dari alif ba ta sehinga pandai mengaji dan mampu menjadi guru pula kepada murid-murid baru yang lain serta murid-murid lama yang lambat meningkat. Sesungguhnya aku tidak melupakan jasa Tok Wan Ali kepadaku.  Aku sentiasa mengenang pengorbanannya mengajarku di saat masa lalu sewaktu aku lemah dan jahil.

Di kala aku membaca Quran hari ini dengan lancar, aku terkenang siapa yang mengajarku. Dialah Tok Wan Ali. Di saat aku mengajar murid-muridku hari ini mengenal alif ba ta, aku terhimbau mengenang suara-suara Tok Wan Ali di malam riuh mengaji berpandukan pelita ayam mengajarku alif ba ta.

Tok Wan Ali telah mengraduatekan ramai sekali murid. Aku tidak dapat menghitung bilangannya. Ramai yang lebih tua daripadaku, sebaya denganku dan yang lebih muda daripadaku, merupakan murid-murid Tok Wan Ali belaka.

Semenjak kampungku telah mendapat bekalan api elektrik, kanak-kanak yang mengaji dengan Tok Wan Ali sudah berkurangan. Banyak yang suka menghabiskan masa menonton tv. Waktu itu, aku berhenti belajar di rumah Tok Wan Ali. Aku mula menamatkan pengajianku di rumah Tok Wan Ali ketika Tok Wan Ali mula mengajarkan pelajaran tambahan iaitu fekah daripada kitab "Hidayatus Sibyan" dan "Munyatul Musolli". Lampu kalimantang yang terang benderang di serambi rumahnya mendorong Tok Wan Ali memasukkan pengajian kitab kuning di rumahnya. Namun, jiwa anak murid saat itu tidaklah seterang lampunya. Dalam kepala banyak berserabut dengan rancangan tv yang mahu diburu selepas habis mengaji.

Tok Wan Ali adalah guruku. Aku mengenangnya dan menginsafi pengorbanannya sebagai guruku yang amat bererti. Semoga Allah melanjutkan usianya dalam kesihatan dan ketaatan. 

Catatan ini adalah dedekasi hari guru 2010  buat Tok Wan Ali...

ABU HUZAIFAH BIN UTBAH: LIDAH TIDAK BERTULANG

May 15, 2010


Sebelum perang Badar, Rasulullah berpesan: “Sesungguhnya aku mendapat tahu bahawa dari  kalangan Bani Hasyim dan beberapa yang lain, mereka dipaksa keluar memerangi kita sedangkan mereka tidak menyukai untuk memerangi kita. Sesiapa yang menemui seseorang daripada Bani Hasyim, maka janganlah membunuhnya. Sesiapa yang menemui Abu Al-Bakhtari bin Hisyam, maka janganlah membunuhnya. Sesiapa yang menemui Abbas bin Abd Mutallib, maka janganlah membunuhnya. Sesungguhnya mereka itu dipaksa keluar memerangi kita”.
Ucapan Rasulullah SAW itu disalahtanggapi oleh seorang sahabat. Mungkin pada perkiraannya Rasulullah hanya mementingkan mereka yang punya hubungan darah dengannya. Beliau adalah Abu Huzaifah bin Utbah.
Belia telah menuturkan kata-kata berikut: “Adakah kita akan membunuh bapa-bapa kita, anak-anak kita, saudara-saudara kita dan kaum keluarga kita padahal kita membiarkan Abbas. Demi Allah, andainya kutemui Abbas, akan aku libas lehernya dengan pedang!”.
Perkataan Abu Huzaifah itu telah sampai kepada Rasulullah SAW yang ketika itu sedang duduk bersama para sahabatnya. Baginda berkata kepada Umar al-Khattab: Wahai Abu Hafs, adakah patut melibaskan pedang ke wajah bapa saudara Rasulullah?
Umar Al-Khattab, mengerti perasaan Rasulullah SAW lalu berkata kepada baginda: “Ya Rasulullah, izinkan aku pancung leher Abu Huzaifah, demi Allah, sesungguhnya dia telah menjadi munafiq.”
Permintaan Umar itu tidak dijawab oleh baginda Rasulullah. Abu Huzaifah mendapat tahu ketersinggungan Rasulullah SAW itu dan dia amat menyesal.
Abu Huzaifah berkata: “Demi Allah, aku tidak akan merasa aman setelah mengucapkan kata-kata itu dan aku sentiasa ketakutan  kecuali jika Allah mengampunkan aku dengan mematikan aku sebagai syahid!”.
Harapan Abu HUzaifah itu telah dikabulkan Allah SWT dan dia telah mendapat syahid dalam peperangan al-Yamamah yang meletus pada zaman pemerintahan khalifah Abu Bakar As-Siddiq. Allah meredhainya.
Pengajaran: Janganlah bercakap sesedap rasa. Sesungguhnya banyak kebinasaan disebabkan oleh lidah. Kata pujangga Melayu masa lalu, sesungguhnya lidah itu tidak bertulang. Telajak perahu boleh diundur, telajak kata buruk padahnya. Mujur Abu Huzaifah kembali menyesal atas kata-katanya dan bermohon keampunan daripada Allah. Kalau dia menjadi degil dan egoistic, maka tiadalah keampunan buatnya. Dia menuntut syahid sebagai bukti keampunan Allah buatnya dan Allah melunaskannya.

Rujukan: Tafsir Ibn Kathir

Mari Hayati Lagu Arab ini (terjemahan melayu)

May 9, 2010

Politik Islam Dalam Masjid

May 7, 2010

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Syah Al-Haj telah bertitah (berkata) bahawa masjid dan surau bukan tempat berpolitik. Oleh itu, mana-mana pihak dilarang untuk menjadikan masjid dan surau sebagai medan berpolitik kerana dikhuatiri akan menimbulkan perpecahan dan mencemarkan kesucian masjid.

Zaid Ibrahim, seorang peguam menganggap larangan yang dikeluarkan oleh Sultan Selangor itu adalah pandangan peribadi dan bukan arahan. Sebaliknya Khir Toyo, Ketua pembangkang DUN Selangor menganggap kata-kata Sultan Selangor itu adalah arahan. Apabila disebut sebagai pandangan peribadi, sebagaimana tanggapan Zaid Ibrahim, maka ia boleh diterima dan boleh juga ditolak. Sekadar pandangan peribadi. Apabila disebut sebagai arahan, maka ia hendaklah dipatuhi, terutama oleh rakyat di bawah pemerintahannya.

Perbezaan pandangan ini adalah satu khilaf pendapat yang biasa terjadi. Masing-masing punya hujah berdasarkan interpretasi sendiri berdasarkan cara memahami konsep raja berpelembagaan maupun undang-undang tubuh negeri.

Aku melihat beberapa aspek dalam isu ini untuk menggarap pendirianku :

1) Islam pada dasarnya tidaklah melarang aktiviti politik dalam masjid kerana Rasulullah SAW membuat keputusan-keputusan politik dalam masjid pada zamannya. Namun, semenjak pemahaman konsep politik menjadi medan pergaduhan dan bukan lagi medan mengatur urusan dunia dan agama, politik telah dilihat cemar, kotor, nista dan orang-orang politik dikatakan manusia paling pembohong dalam dunia. Inilah politik menurut kamus moden yang berasaskan isme ciptaan manusia. Sekiranya politik itu dilihat berdasarkan kamus Islam, ia adalah suci, bersih, murni dan orang-orang politik adalah insan terhormat yang menjadi pelaksana kepada tugas khilafah.

2) Memang kalau aktiviti politik yang dilarang dalam masjid itu adalah dalam bentuk ceramah politik yang menyerang pihak lawan, kata mengata, berbahasa kasar dan menghilangkan ketenangan masjid, ia memang wajar. Wajah politik yang menjadi begitu buruk hari ini sehingga enggan dibenarkan masuk ke dalam gerbang masjid oleh setengah pihak adalah kerana kesalahan dan cemar perilaku kebanyakan ahli politik. Ahli politik yang menjadikan kutuk mengutuk,  cela mencela, cantas mencantas dan matlamat menghalalkan cara sebagai ulam petai berpolitik telah merosakkan wajah politik yang sepatunya cantik dan mulia.

3) Menolak sama sekali cakap-cakap politik dalam masjid juga tidak wajar kerana politik adalah sebahagian daripada Islam. Jika politik itu dalam bentuk memahamkan khalayak pendengar tentang ketinggian Islam, keadilannya dan keperluan meruntuhkan jahiliyyah serta membangunkan sistem Islam, maka ia adalah satu keperluan. Adalah memalukan dan lekeh kalau dikatakan dalam masjid hanya boleh bercakap soal batal sah wuduk, nikah kahwin, hukum haid dan nifas dan hukum hakam yang berkisar pada kehidupan ibadat seseorang. Persoalan politik banyak membentuk wajah kehidupan manusia, maka perkara itu lebih wajar diperjelaskan. Masjid boleh menjadi medannya.

4) Adalah merbahaya jika pihak yang mempunyai kefahaman bahawa persoalan politik sama sekali tidak boleh dibacarakan dalam masjid. Politik dalam ertikata mengurus kehidupan dunia dan menegakkan agama. Penafian hak berpolitik dalam masjid, dan menjadikan masjdi hanya tempat solat dan belajar fardhua ain semata-mata akan membawa kepada iktikad pemisahan dunia dari agama yang selalu disebut "agama suku politik suku". Islam tidak menerima pemecahan ini kerana seseorang yang memasukki Islam hendaklah masuk secara keseluruhan.

5) Kata-kata seorang sultan bukanlah firman atau sabda. Kata-kata manusia biasa terdedah kepada khilaf. Jika benar, kata-kata itu hendaklah disokong dan jika salah hendaklah dibetulkan. Tiada bezanya kata-kata benar seorang Sultan dengan kata-kata benar seorang pengemis. Sokongan adalah kepada kebenaran kata-kata bukan kepada siapa yang berkata. Bantahan dan pembetulan adalah kepada kata-kata yang khilaf bukan kepada siapa yang berkata.

Ketika Abu Bakar dilantik menjadi khalifah, beliau telah berpidato kepada orang ramai:


“Aku telah diangkat menjadi pemimpin kalian, padahal aku bukan yang terbaik diantara kalian. Oleh karena itu, jika aku benar bantulah aku dan jika aku berbuat salah tegurlah (luruskanlah) aku”

6) Mengkritik Sultan selalu dilebel sebagai menghina Sultan. Apakah benar pesepsi ini? Dalam Islam, tiada manusia yang maksum kecuali para nabi dan rasul. Melarang dan mendefinasikan sebagai menghina sebarang kritikan kepada Sultan akan membawa kepada fikrah mentaqdiskan sultan. Nabi Muhammad sendiri melarang sahabat mentaqdiskannya. Khalifah Abu Bakar, sehebat-hebat pemimpin selepas Rasulullah SAW, pernah dikritik. Khalifah Umar Al-Khattab pernah ditempelak keras oleh seorang perempuan ketika Umar Al-Khattab berhasrat mengeluarkan arahan penetapan kadar mahar. 

Lihatlah kaum salafussoleh yang terdidik dalam tarbiah nubuwwah, mereka telah dibebaskan daripada perhambaan sesama makhluk kepada memperhambakan diri semata-mata kepada Allah SWT. 

Semoga kita menjadi rakyat yang mendaulatkan Islam di atas segala daulat manusia. Kita hanya menjadi hamba Allah dan membebaskan diri daripada perhambaan kepada manusia. Kita memiliki akal merdeka yang tidak menyandarkan untung nasib kepada manusia tetapi hanya kepada Allah. Kita gunakan seluruh ruang hidup yang dipinjamkan ini buat menyampaikan misi Islam dan meninggalkan misi rekaan manusia di belakang.

Allhummahdina wa thabbitna...!