Sekarang ini tempoh setiap parti yang masuk bertanding pilihanraya mempengaruhi khalayak untuk memilih mereka sebagai wakil rakyat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Gunakanlah kaedah yang"BENAR" dalam mempengaruhi rakyat. Kaedah makar, indoktrinasi, ugutan dan seumpamanya adalah kaedah "TIDAK BENAR". Rakyat sebuah negara Malaysia pada hari ini telah mencapai peratusan tahap celik akal dan mampu berfikir yang jauh lebih baik dari zaman-zaman silam. Maka, dalam sistem demokrasi pilihanraya yang diamalkan dewasa ini, berikan ruang kepada rakyat berfikir dan menentukan pilihan secara bebas.
Perkara mengundi memilih pemimpin ini adalah satu perkara "ijtihadi". Ia bukan "idhtirari". Ijtihadi bermakna setelah dibentangkan segala hujjah berbentuk dakwah, penerangan, ajakan, kesedaran termasuk manefesto pilihanraya, maka massa akan berfikir menentukan. Tidak dinafikan bahawa ada kegagalan dalam berfikir kerana faktor-faktor tertentu. Namun, sifat ijtihadi sebuah proses pemilihan tidak boleh dihilangkan dengan kekurangan-kekuarangan tadi.
Bila rakyat dipaksa memilih seseorang pemimpin dan diugut sama ada ugutan itu berbentuk duniawi atau ukhrawi, ia merupakan kekangan kepada kebebasan ijtihad mereka. Rakyat yang matang harus tahu melepaskan diri daripada ugutan-ugutan tersebut. Rasional mereka akan menentukan pilihan mereka.
Di negara Barat, rakyat telah mencapai tahap berfikir yang cukup tinggi. Mereka matang membuat pilihan dan kadar dedah maklumat yang mereka perolehi adalah tinggi. Kita sebagai sebuah negara juga wajar mensasarkan kemenjadian rakyat ke arah itu. Namun, proses perlu berjalan dari sekarang dan seterusnya.
Sebagai sebuah sarana ijtihadi, pemilihan yang dibuat mungkin salah. Konsep ijtihadi, jika betul diganjari 2 pahala. Jika Salah, diganjari satu pahala. Ini merupakan cara Islam mengajak manusia membangunkan akal yang matang dan sihat. Berfikir dan mempertimbangkan dan tidak dicela kalau sesudah itu salah perkiraan berlaku. Itu memang lumrah manusia dan aktiviti membuat pilihan.
Sebuah masalah, tidak akan dapat diselesaikan dengan sekali lalu. Ada beberapa siri usaha menyelesaikan masalah akan berulang-ulang sehingga kiamat atas nama usaha "islah". Itulah hakikat sebuah dunia.
Jangan kecewa sekalipun gagal.
0 comments:
Post a Comment