Dakwaan bahawa DAP menganjurkan majlis berdoa agar Malaysia menjadi negara Kristian setelah PR memenangi pilihanraya dan memerintah Malaysia sebagaimana yang dilontar oleh Ahli Majlis Syura Pas, Nasharudin Mat Isa, bukanlah satu mencemaskan, sekalipun ia benar-benar berlaku.
Ini kerana berdoa meruapakan hak setiap orang dan ia merupakan fitrah yang Allah benamkan dalam diri setiap insan. Pada saat-saat tertentu, ketika diri terhimpit teruk, seorang insan akan panjatkan doa kepada Allah SWT. Kita tidak boleh menghalang seseorang daripada berdoa kerana jika doa itu tidak diungkapkan, ia akan dibisikan dalam hati.
Marahkan orang berdoa adalah perangai haprak. Seorang muslim tidak perlu marah kepada non-mulim kerana berdoa kalau dia meyakini kedudukannya sebagai orang yang benar di sisi Allah SWT. Apabila marah kepada acara doa yang dibuat oleh non-muslim, ia menggambarkan seolah-olah muslim itu takut Allah makbulkan doa non-Muslim itu. Bimbang negara Kristian tertegak di Malaysia hasil dari doa sekumpulan non-Muslim, adalah terlalu kebudak-budakan dan hanya lahir dari iman yang lemah.
Doa agar negara Kristian tertegak di Malaysia, dakwaan ini, selain tidak punya bukti kukuh yang boleh dipertanggungjawabkan, ia juga adalah gambaran pemikiran "haprak" yang memalukan kaum muslim. Jika bukan makbulnya doa yang dibimbangi, tetapi hasrat dan cita-cita mereka yang berdoa itu yang mencurigakan, itu pun tetap tidak boleh diterima. Hasrat dan cita-cita orang, apakah kita punya daya untuk menghalang? Ia terbenam dalam sanubari para pemnyimpan hasrat dan cita-cita.
Masalah lain ialah, apakah Malaysia ini sudah menjadi negara Islam maka ketakutan kalau-kalau Malaysia menjadi menjadi negara Kristian diwar-warkan? Umum tahu bahawa Malaysia masih merupakan negara yang menjadikan sekular sebagai celupannya, sungguhpun ada adaptasi Islam dalam pelbagai aspek tempelan. Secara prinsip, sekularisma masih menjadi idea pembentukan negara. Antara negara sekular dan Kristian mana lebih baik?
Sekular itu setaraf wasani. Sejarah menunjukkan kepada kita bagai gembiranya ummat Islam di zaman awal sebelum hijrah, ketika dapat tahu bahawa negara Rom dapat mengalahkan Parsi. Ini kerana Rom itu negara Kristian sedangkan Parsi adalah negara wasani yang mana majusi menjadi agama teras bernegara. Umat Islam lebih suka negara Kristian berbanding negara Majusi. Sekular itu dari kelompok Majusi juga kerana menjadikan material sebagai sembahan. Majusi sembah api sedangkan sekular menyembah mata benda dunia dan meniadakan Tuhan dalam kehidupan bernegara.
Umat Islam tidak disuruh memilih negara Kristian lagi kerana sudah ada negara Islam sebagai pilihan. Namun, hati umat Islam lebih lunak untuk negara Kristian berbanding negara Majusi. Sekarang, antara negara sekular dan negara Kristian, mana yang lebih seharusnya kita takuti? Kenapa ada orang takut tertubuhnya negara Kristian tetapi tidak gelisah berdirinya negara sekular?
Dalam dunia ini mana satu negara yang benar-benar Kristian? Demikian pula mana satu benar-benar Islam? Ada negara ummat Kristian tetapi ironinya, negaranya Islam. Keadilan tersebar dan rasuah dibenteras. Hak rakyat dimuliakan. Itu adalah antara ciri-ciri fundemental negara Islam. Sebaliknya pula, ada negara ummat Muslim, ironinya negaranya kafir. Kezaliman merata, rasuah merajalela dan rakyat dihinakan. Itulah ciri-ciri negara kufur kepada Allah SWT.
Sebab itu, para mujahid Islam yang bijaksana hari ini tidak lagi bercakap mengenai nama negara Islam. Apabila disebut negara berkebajikan, yang disentuh adalah intipatinya. Keadilan dan kehormatan rakyat dijaga dengan penuh amanah. Inilah sebenarnya negara Islam. Ia menjadi negara yang diampuni Tuhan (Warabbun Ghafur) jika para penguasanya adalah hamba-hamba Tuhan yang berwatak malaikat memerintah. Tidak akan ada keampunan Tuhan kalau para penguasanya adalah syaitan-syaitan... sekalipun syaitan yang dikenali.
0 comments:
Post a Comment