Ulama memang ada dan ia thabit berdasarkan nas Al-Quran dan Hadis. Tetapi
kepimpinan ulama adalah satu ijtihad politik. Ijtihad yang betul, akan diganjari
dua pahala manakala ijtihad yang salah akan diganjari satu pahala. Ijtihad tidak
pernah tertutup pintunya kerana pembukanya tidak pernah menutupnya.
Tulisan ini tidak bermaksud untuk menghuraikan isu kepimpinan ulama secara panjang lebar. Ia sekadar menyatakan sikap dan kefahamanku berhubung selogan kepimpinan ulama yang dilagukan oleh setengah pihak dalam gerakan. Nampaknya, isu kepimpinan ulama menjadi hangat dalam muktamar Pas baru-baru ini.
Sesunguhnya, aku sedari dahulu tidak merelai pembahagian aliran pendidikan kepada aliran agama dan aliran sekular. Pembahagian tersebut adalah satu bentuk dualisma yang merupakan ciri utama pemikiran sekularisma.
Seseorang yang lulus aliran agama dari sesebuah sekolah agama, lalu menyambung pelajaran peringkat degree dan pasca degree dalam bidang agama, lalu mengatakan:
"Saya lulusan aliran agama...".
Dalam masa yang sama dikatakan seorang yang belajar di sebuah sekolah sains lalu melanjutkan pelajaran peringkat degree dan pasca degree dalam bidang-bidang sains seperti biologi, kedoktoran, enginering dan sebagainya sebagai lulusan aliran sekular.
Sesungguhnya perkataan seumpama ini adalah cetusan najis sekularisma yang bersemadi dalam pemikiran tanpa disedari oleh orang yang mendakwa dirinya aliran agama. Dia mengatakan agama itu universal, kaffah dan bersifat alami. Agama bukan suku-suku kerana suku-suku adalah ciri sekularisma. Dalam masa yang sama dia mensuku-sukukan aliran pendidikan. Maka, perbuatan mensukukan aliran pendidikan itu sendiri adalah biasan dari sekularima.
Dari isu aliran pendidikan ini, racun sekularisma melebar pula kepada pemecahan ulama dan profesional yang diperdebatkan secara hangat baru-baru ini.
"Kita mahu mengekalkan kepimpinan ulama!", bergema satu suara.
" Ulama dan profesional hendaklah berkerjasama...!", bergema pula satu suara lain.
Siapa mengajar kita memberikan lebel-lebel sekularisma ini. Kononnya kita menentang sekularisma, tapi masih mendokong aliran pemikiran dualisma yang menjadi ciri utama sekularisme.
Kepimpinan ulama tidak perlu dipertahankan sehingga menidakkan hak orang yang bukan dianggap ulama untuk memimpin. Banyak gerakan Islam dalam dunia dipimpin oleh orang yang tidak dipanggil ulama kerana belajar bukan bidang agama. Dia tidak memakai serban maupun kopiah, maka dia tidak dilihat sebagai ulama.
Sayyed Qutub bukan lulusan bidang agama, tapi menulis kitab tafsir fi zilalil Quran. Abdul Aziz Rantisi bukan dikenali sebagai ulama, tapi apakah orang yang kita kenal sebagai ulama di negara kita mampu mengatasi semangat dan pengorbanannya dalam gerakan Islam yang dipimpinnya? Demikian, Khalid Misy'al bukan ulama tetapi dia memimpin gerakan Hamas dan amat digeruni Yahudi-Zionis.
Justeru, berhentilah mendendang selogan kepimpinan ulama kerana ia ia bukan istilah yang baik. Ia istilah yang menjemput kebanggaan diri dan menjauhkan setengah golongan daripada gerakan dan perjuangan.
Kita lebih mulia dengan istilah kepimpinan Islam.Padamkan persaingan antara ulama dan profesional. Siapa yang bertaqwa, dialah ulama dan dialah pimpinan kita.
0 comments:
Post a Comment