Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2021

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

September 30, 2008

Hari ini adalah hari terakhir bagi Ramadhan tahun 1429. Beberapa jam lagi, mentari terakhir Ramadhan tahun ini akan mencecah maghrib.  Kemudian, akan bermulalah 1 Syawal dan laungan takbir kemenangan pun akan berkumandang.Tinggallah Ramadhan, bulan penuh keberkatan. Itulah saat perpisahan yang berat. Ramadhan berlalu membawa segala kelebihan dan rahmatnya. 
Selamat tinggal Ramadhan...hati sendu orang yang berpuasa bersulam duka dalam gembira menyambut Syawal.
Ramadhan adalah sebuah madrasah tarbiah dan lahir daripadanya para graduan dengan segulung ijazah takwa.

Wahai pemuda Hizbut Tahrir

Abstrak
"Sebenarnya aku bukan suka berdebat dengan pemuda hizbi ini. Berdebat tidak menghasilkan apa-apa. Sekarang bukan masa kita berdebat mengenai siapa betul dan siapa salah. Sekarang adalah masa berkerja. Allah swt tidak akan menilai seseorang dengan melihat idea canggihnya tentang ummat Islam sejagat, tetapi Allah akan menilai apa yang orang itu lakukan untuk ummat Islam sejagat".
Seorang pemuda hizbi menghantar sms kepadaku memaklumkan bahawa anak bulan Syawal telah kelihatan di beberapa buah negara di timur tengah. Oleh itu pada hari ini adalah hari raya. Dia pun mengucapkan selamat hari raya.
Aku membalas sms tersebut dengan mengatakan bahawa jika anda yakin hari ini hari raya, silakan berbuka. Tetapi perlu diingat bahawa tidak berpuasa satu hari dalam bulan Ramadhan adalah dikira dosa besar. Pemuda tersebut membalas pula mengatakan bahawa berpuasa pada 1 Syawal pula adalah haram.
Aku sms pula mengatakan bahawa meninggalkan satu hari Ramadhan adalah dosa besar tetapi berpuasa pada hari yang diharamkan seperti 1 Syawal bukanlah dosa besar. Pilihlah...kataku.
Demikianlah dilema pemuda yang terpengaruh dengan idea hizbut tahrir. Mereka berpendirian bahawa jika ada sebuah negara telah nampak anak bulan sama ada Ramadhan atau Syawal, umat Islam seluruh dunia hendaklah mengambilnya sebagai ru'yah yang digunapakai untuk menentukan awal ramadhan atau Syawal. Mereka membawa idea penyatuan ru'yah ke arah penyatuan Islam yang bernaung di bawah seorang khalifah. Padahal, penyatuan rukyah yang didendangkan itu membawa perpecahan pula.
Sungguh merisaukan memikirkan kecenderungan golongan ini dalam beberapa isu.
Soal penentuan Ramadhan dan hari raya dengan ru'yah ini telah dibahaskan oleh para ulama. Sebuah hadis yang menjadi sandaran untuk memahami isu ini ialah;
الصوم يوم تصومون والإفطار يوم تفطرون والأضحى يوم تضحون
Maksudnya: Puasa itu ialah pada hari di mana kamu semua berpuasa dan berbuka (hari raya )adalah pada hari di mana kamu semua berbuka dan hari raya kurban adalah pada hari di mana kamu semua berkurban.(hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi dan disahihkan oleh Albani)
Hadis ini membawa maksud kita wajib berpuasa bersama orang lain yang berpuasa di negeri kita dan berhari raya bersama mereka. Kalau ia membawa maksud kesatuan ru'yah, tentu ia telah diperintahkan oleh Rasulullah pada zamannya.
Syeikh Usaimin mengatakan bahawa bulan digunakan untuk menentukan waktu bulanan dan matahari digunakan untuk menentukan waktu harian.
Bulan digunakan dalam menentukan imsak dan berbuka sebulan Ramadhan, manakala matahari digunakan untuk menentukan waktu imsak dan berbuka setiap hari. Setiap negeri berbeza dari segi waktu imsak dan berbuka setiap hari, maka, demikianlah setiap negeri juga berbeza waktu imsak dan berbuka bagi sebulan Ramadhan.
Dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah, Ayat 187
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
(Dan makan serta minumlah sehingga jelas bagimu benang putih (waktu siang) di antara benang hitam (waktu malam) iaitu waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga malam (maghrib)".}
Dan sabda Rasulullah SAW:
إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا ، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا ، وَغَرَبَتْ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ
(Apabila malam datang dari arah sini (timur) dan siang belalu dari sini (Timur) dan tenggelamlah matahari, maka sesungguhnya boleh berbukalah oleh orang yang berpuasa)
Kata Syeikh Usaimin: "Tidak mungkin seseorang boleh mengatakan bahawa dua dalil di atas adalah terpakai untuk semua orang Islam di semua negara secara serentak!
Kesimpulannya, ummat ini telah berlalu 14 kurun dan belum pernah terjadi penyatuan ru'yah. Perbezaan ru'yah pada zaman dahulu tidak mendatangkan akibat perpecahan. Mengapa pula hari ini datang segolongan umat ini mengajak ke arah penyatuan ru'yah dan mendakwa ia adalah untuk penyatuan Islam. Apakah ummat pada zaman dahulu berpecah belah dengan sebab berbeza ru'yah?

Rujukan
Islamqa
Islam online:1, 2 ,3

Aidul Fitri hari Rabu

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Malaysia mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada Rabu, 1 Oktober 2008".
-Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.-

SOLAT TASBIH

September 29, 2008

Pada bulan Ramadhan ini ada cadangan agar solat sunat tasbih dibuat, terutamanya malam raya. Sebenarnya amalan solat tasbih ini diperselisihkan di kalangan ulama. Bagi yang mengamalkannya, dasarnya adalah hadis berikut:

عَنْ عكرمة عَنْ ابنِ عبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ للعبَّاسِ ابنِ عَبْدِ المُطَّلِبِ : « يَا عبَّاسُ يَا عَمَّاهُ ! أَلا أُعْطيكَ ، أَلا أَمْنَحُكَ ، أَلا أَحْبُوكَ ، أَلا أَفْعَلُ بِكَ عَشْرَ خِصَالٍ ؟ إِذَا أَنْتَ فَعَلْتَ ذَلِكَ غَفَرَ اللهُ لَكَ ذَنْبَكَ : أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ ، قَدِيمَهُ وَ حَديِثَهُ خَطَأَهُ وَعَمْدَهُ ، صَغِيرَهُ وَكَبِيَرهُ ، سِرَّهُ وَعَلانِيَتَهُ ، عَشْرَ خِصَالٍ : أَنْ تُصَلِّيَ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ تَقْرَأُ في كُلِّ رَكْعَةٍ فَاتِحَةَ الْكِتَابِ وَسُورَةً ، فَإِذَا فَرَغْتَ مِنَ الْقِرَاءَةِ في أَوَّلِ رَكْعَةٍ فَقُلْ وَأَنْتَ قَائِمٌ : سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ وَلا إِلهً إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ خَمْسَ عَشَرَةَ مَرَّةً ، ثُمَّ تَرْكَعُ فَتَقُولُهَا وَأَنْتَ رَاكِعٌ عَشَراً ، ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنَ الرُّكُوعِ فَتَقُولُهَا عَشْراً ، ثُّمَ تَهْوِي سَاجِدَاً فَتَقُولُهَا وَأَنْتَ سَاجِدٌ عَشْراً ، ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنَ السُّجُودِ فَتَقُولُهَا عَشْراً ، ثُمَّ تَسْجُدُ وَتُقُولُهَا عَشْراً ، ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ فَتَقُولُهَا عَشْراً ، فَذلِكَ خَمْسٌ وَسَبْعُونَ في كُلِّ رَكْعَةٍ ، تَفْعَلُ ذلِكَ في أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ ، إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ تُصَلِّيَهَا في كُلِّ يَوْمٍ مَرَّةً فَافْعَلْ ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَفِي كُلِّ جُمُعَةٍ مَرَّةً ، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ شَهْرٍ مَرَّةً ، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ سَنَةٍ مَرَّةً ، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي عُمُرِكَ مَرَّةً
Hadis Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ibn Khuzaimah

-Maksud hadis tidak diperturunkan kerana tulisan ini membincangkan mengenai pandangan tokoh tentang taraf hadis ini.

Menurut Syeikh Usaimin, terdapat pandangan yang berbagai-bagai mengenai hadis di atas.. Ada yang mensahihkannya, ada yang yang menyifatkannya hadis hasan, hadis daif malah ada pendapat mengatakannya maudhu'.

Ibnu Al-Jauzi mengatakan bahwa hadis tentang solat tasbih di atas adalah daif dan belia meletakkannya dalam kitab Al-Maudhu'at. Imam Tirmizi mengatakan ia bukan hadis. Imam Nawawi meriwayatkan daripada Uqaili bahawa tidak ada hadis yang thabit mengenai solat tasbih.. Demikian Ibn Al-Arabi mengatakan bahawa hadis tentang solat tasbih itu bukan sahih dan bukan hasan. As-Sayuti memetik pendapat Al-Hafiz Ibn Hajar, beliau menyifatkan turuq hadis ini daif semuanya.

Melihatkan kepada komen-komen para ahli hadis mengenai hadis di atas, Syeikh Ibn Usaimin mengatakan bahawa beramal dengan solat tasbih bukan sunnah dan hadis tersebut adalah daif daripada beberapa aspek:-
  1. Asal ibadat adalah haram sehinggalah ada dalil soheh yang mensyariatkannya.
  2. Hadis mengenainya berbeza-beza 
  3. Tidak ada imam mazhab yang mengatakannya sunat-Ibn Taimiyyah
  4. Kalaulah solat tasbih ada dalam Islam, tentulah ia diriwayatkan tanpa keraguan dan tentu akan masyhur di kalangan umat Islam kerana besarnya faedahnya. 
Kata Syeikh Usaimin; "kami belum dengar ada satu ibadat yang dilebihkan sepertinya.Apakah ibadat yang begini besar kelebihannya tidak masyhur sehingga hadis mengenainya diperselisihkan dan para imam mazhab yang empat pula tidak menngatakannya sunnat...".


Ulasanku: Jika nas mengenai solat tasbih ini dipertikaikan kesahihannya oleh ramai kalangan tokoh, dan tidak disunatkan pula oleh imam mazhab, mengapa pula kita hendak lakukannya. Sesuatu ibadat hendaklah ditegakkan atas dasar yang qat'i. Solat tasbih tidak mencapai tahap itu. Bukankah banyak lagi ibadat sunat yang disebutkan oleh dalil-dali yang qat'i? Itupun tidak dapat diamalkan. Solat Tahajjud ada disebutkan dalam Al-Quran dan hadis. Apakah sudah tahajjud kurang memikat fadilatnya?


Meletak bunga di kuburan meniru perbuatan Rasulullah?

Pada satu hari Rasulullah telah lalu dua kubur lalu baginda bersabda kepada para sahabatnya:



إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ مِنْ كَبِيرٍ ثُمَّ قَالَ : بَلَى أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ يَسْعَى بِالنَّمِيمَةِ وَأَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لا يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ قَالَ : ثُمَّ أَخَذَ عُودًا رَطْبًا فَكَسَرَهُ بِاثْنَتَيْنِ ثُمَّ غَرَزَ كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا عَلَى قَبْرٍ ثُمَّ قَالَ : لَعَلَّهُ يُخَفَّفُ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا

Mafhumnya: "Sesungguhnya kedua-dua ahli kubur ini sedang disiksa dan mereka disiksa bukan kerana dosa besar". Kemudian baginda menambah:Adapun yang seorang disiksa kerana namimah (fitnah/adu domba) dan yang seorang lagi disiksa kerana tidan beristibra' ketika kencing". Kemudian baginda mengambil satu dahan pohon yang hijau  lalu dipecahkan kepada dua lalu dipacak setiap satu atas kubur dan baginda bersabda: "Mudahan diringankan daripada azab kedua-duanya selagi dahan hijau ini tidak kering".
(Bukhari dan Muslim)


Hadis ini menjadi dalil bahawa mayat dalam kubur boleh diringankan azab. Tetapi, apa kaitannya dengan dua dahan hijau tadi?

Ada pendapat mengatakan kerana dua dahan tersebut bertasbih dan tasbih meringankan azab . Namun, apakah dahan hanya bertasbih sementara ia masih hijau?ini tidak benar kerana semua benda bertasbih sama ada yang hijau atau kering sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Israk, ayat 44: 


( تسبح له السموات السبع والأرض ومن فيهن وإن من شيء إلا يسبح بحمده ولكن لا تفقهون تسبيحهم )

Maksudnya: Tujuh petala langit dan bumi serta mereka yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Tiada sesuatu apapun melainkan semuanya bertasbih memujinya, namun kamu tidak memahami ucapan tasbih mereka.


Justeru, daun hijau itu lebih merupakan syafaat Rasulullah SAW  yang khusus untuk baginda.

Bila seseorang disiksa dalam kubur...apakah ia melibatkan ruh dan jasad?

September 28, 2008


Perbualan di atas tangga surau Al-Fajar pagi kelmarin berkisar pelbagai isu. Memang begitu rutin hari cuti bagi beberapa kalangan guru agama yang solat subuh di Surau Al-Fajar. Dari topik agama, kemasyarakatan hinggalah isu-isu politik dan negara. Di sanalah sebuah kebebasan bersuara dileraikan...


"Apabila seseorang itu meninggal dan dimasukan ke dalam kubur, dia akan diazab atas dosa-dosanya, apakah azab tersebut ke atas jasad atau ruhnya, atau kedua-duanya?", salah seorang daripada kami melontarkan isu.

Bagiku, agak sulit menjelaskan hal ini kerana ia adalah persoalan ghaib. Dalam hadis disebutkan bahawa ruh seseorang manusia akan dikembalikan ke jasadnya untuk disoal mungkar dan nakir. Jika difahami hadis ini, tentunya ia membawa maksud mayat itu hidup dalam kubur. Orang tentu akan musykil, bagaimana pula jika mayat yang tak berkubur seperti yang hangus terbakar atau dimakan binatang buas?

"Kita tidak boleh menggunakan akal fikiran kita di dunia untuk mentafsir dan menghuraikan keadaan di alam ghaib dan alam akhirat...alam dunia dan alam akhirat tidak sama dan tidak boleh difikiri oleh kayu ukur fikiran yang kita miliki di dunia...sekadar yang dikhabarkan oleh Allah dan RasulnNya, itulah yang kita imani...", aku memberikan pandanganku. Sebenarnya, aku masih kekurangan dalil komprehensif untuk mengupas isu tersebut.

Setelah membuat sedikit rujukan dalam beberapa makalah dan fatwa yang terdapat dalam laman-laman berbahasa Arab seperti Islam Online, Al-Islam.com, Islamqa.com dan lain-lain, aku telah berjaya menemui beberapa dalil dan pandangan ulama-ulama muktabar dalam membicarakan alam barzakh dan alam akhirat.

Terdapat satu hadis Rasulullah yang berbunyi:

ما من أحد يسلم علي إلا رد الله علي روحي حتى أرد عليه السلام
Maksudnya: Tiada seorang pun yang memberi salam kepadaku melainkan Allah akan mengembalikan ruhku sehingga aku menjawab salamnya. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud-Disahihkan oleh Albani)


Syeikh Muhammad Rashid Ridha, dalam menghuraikan persoalan ini mengatakan....

"Ramai orang yang mendalami agama tenggelam dalam membicarakan perkara-perkara ajaib dan tiada yang lebih ajaib daripada alam ghaib. Mereka berhujan dengan pelbagai riwayat hatta riwayat yang daif malah maudhu'. Lalu mereka menjadikan riwayat-riwayat tersebut sebagai qias dalam menerangkan hal ehwal alam ghaib. Di kalangan mereka ada yang menjadikan mimpi sebagai hujah sehingga apa yang mereka perkatakan dan apa yang mereka tuliskan diambil oleh orang yang lemah dan penuh kekeliruan dalam masalah agama. Di anataranya sehingga mendakwa bahawa mayat dalam kubur itu makan, minum dan bersetubuh dengan perempuan..."

"Satu hakikat yang diijmakkan oleh para ulama ialah bahawa kehidupan akhirat adalah daripada perkara ghaib. Apa sahaja yang disebutkan oleh nas-nas yang qat'i daripada Allah dan Rasul, kita mengimaninya tanpa menyelidiki kaifiatnya. Kita juga perlu percaya bahawa alam ghaib itu tidak serupa dengan alam nyata, maka ia tidak boleh diqiaskan dengan sesuatu apapun dalam dunia ini".

Penjelasan Yusuf Al-Qaradhawi dalam hal ini mungkin memperjelaskan lagi bahawa kehidupan alam kubur semestinya dengan ruh dan jasad. Menurut beliau, semua kitab samawiyah mengakui bahawa kehidupan barzakh adalah dengan ruh serta jasad, miskipun sesetengah golongan nasrani mendakwa kehidupan syurga hanya secara ruh sahaja. Dakwaan kehidupan barzakh dan akhirat hanya ruh adalah berakar pemikiran falsafah. Telah jelas dalam kitab injil maupun Al-Quran bahawa nikmat dan sengsara di akhirat adalah dari segi fizikal. Sebagai contoh firman Allah dalam Al-Quran, Surah An-Nisa, ayat 56:


كلما نضجت جلودهم بدلناهم جلوداً غيرها ليذوقوا العذاب
Maksudnya: "Setiap kali kulit mereka (ahli neraka) masak dibakar, kami gantikan dengan kulit yang baru supaya mereka terus merasa azab".

Ustaz Abu Bakar bin Abd Aziz

Majlis berbuka puasa pada malam ini ditaja oleh KRT Taman Fajar. Selepas solat Maghrib, seorang penceramah jemputan iaitu Ustaz Abu Bakar bin Abd Aziz menyampaikan ceramah. Beliau berasal dari negeri Johor dan kini tinggal di Selangor. Pernah berkhidmat di Pusat Islam dan kini sebagai kaunselor Kementerian Pertahanan.

Mengambil nasihat Ibrahim bin Adham mengenai 10 sebab mengapa sesuatu doa ditolak, beliau menghuraikan dengan kupasan yang menarik diselang seli dengan kelucuan yang membuatkan para jemaah ketawa gelihati.

Ceramahnya banyak disulami dengan pendedahan khasiat ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran yang bertindak sebagai syifa dan rahmat bagi orang yang beriman.

"Jika seseorang dirasuk...mudah sahaja. Bacakan ayat 58-65 surah Yasin pada segelas air, kemudian masukkan air tersebut ke dalam mulut dan semburkan di ubun-ubun mangsa....insya Allah sembuh...", beliau menceritakan kelebihan ayat.

"Kalau anak-anak susah bersatu...bacakan pangkal ayat 103 surah Ali Imran sambil menggenggam sekepal nasi di tangan dan kemudian masukkan semula ke dalam periuk....",

Beberapa kelebihan lain yang disebutkan aku simpan dalam dadaku. Tidak semua bisa kulakarkan di sini...

Sedikit sahaja hambaku bersyukur...

September 27, 2008

Firman Allah SWT dalam surah Saba' ayat 13:

وقليلٌ من عبادي الشكور
Ertinya: Dan sedikit sahaja hambaku yang bersyukur

Selepas solat subuh pagi tadi, Ust Mohd Shahran menyampaikan tazkirah subuh yang agak menarik untuk kucatatkan sebagai kenangan. Sebuah cerita dibawakannya untuk menjadi renungan. Cerita penyedap telinga atau mungkin cerita rekaan. Tetapi, ada pengajaran dan renungan.

"Ada malaikat yang turun ke dunia...mahu tanya tahap kepuasan beberapa makhluk tentang kejadian mereka...", Ust Mohd Shahran memulakan ceritanya.

"Malaikat tersebut pergi bertanya kepada seekor kerbau yang sedang berkubang dalam lumpur sawah...",

Cerita diteruskan...

"Wahai kerbau...apakah kamu bersyukur dengan keadaan kamu ini?", malaikat bertanya kerbau.

"Aku bersyukur dengan keadaanku...kerana aku lebih baik daripada kelawar", jawab sang kerbau.

Malaikat tersebut kemudiannya pergi bertemu pula dengan kelawar yang tidur bergantung di tempat gelap dengan kepala ke bawah.

"Wahai kelawar...apakah kamu bersyukur dengan keadaanmu ini",malaikat bertanya kelawar.

"Aku bersyukur dengan keadaanku kerana aku lebih baik dari penyu!", jawab kelawar.

Malaikat pergi pula bertanya penyu. Penyu sedang berjalan mengheret dadanya atas pantai, begitu susah payah sekali.

"Wahai penyu...apakah kamu bersyukur dengan keadaanmu ini?",

"Aku bersykur kerana aku lebih baik dari cacing yang tidak berkaki dan tinggal pula dalam lubang tanah, hidupnya sering terancam dipatuk ayam...", jawab penyu.

Demikianlah haiwan pun tahu bersyukur...tetapi manusia....amat sedikit yang bersyukur.

Oh Tuhan...jadikan aku kalangan yang sedikit... jadikan aku kalangan yang sedikit.

Wahai Tuhan yang membolak balik hati...tetapkan hati kami atas agamaMu dan ketaatan

September 26, 2008

"Kita punya sekeping hati yang berada antara dua jari Alllah dan Dia boleh membolak balikkan hati kita mengikut kehendaknya...", demikian antara lain isi kandungan tazkirah antara taraweh yang aku lontarkan malam ini.

"Seorang yang beramal soleh, belum tentu akan beramal soleh selamanya...seorang yang beramal derhaka, belum tentu akan beramal derhaka selamanya. Berapa ramai, dalam sejarah, orang baik bertukar menjadi derhaka dan berapa ramai juga orang derhaka bertukar menjadi baik...Allah yang memiliki hati manusia dan dia boleh membolak balikkan semahunya....", lanjutku menperjelaskan maksudku.

Aku menggapai sebuah cerita yang belum pernah aku temui sumbernya dalam mana-mana kitab tafsir atau buku sekalipun. Aku cuma mendengarnya dari Datuk Seri Sanusi Junid ketika dia masih lagi sebagai MB negeri Kedah dan menyampaikan ceramahnya di Kolej Mara Kuala Nerang.

Itulah cerita Firaun sebelum dia menjadi bejat dan derhaka sehingga dikutuk dan dilaknat. Menurut cerita itu, dahulunya Firaun adalah kesayangan Allah SWT kerana 3 amalan terpujinya iaitu ; suka bangun di awal dini, tidak membazir dan bersikap dermawan. Namun sikap itu telah dibuangkannya dengan nasihat Hamam, menterinya. Akhirnya Firaun menjadi bejat dan derhaka sehingga mengakui dirinya Tuhan.

"Subhanallah...ya muqallibal qulub...tsabbit qulubana 'ala dinik...", aku mengaitkan cerita Firaun itu dengan hakikat hati yang boleh dibolak balikkan oleh Yang Maha Pencipta.

Sebab itu Nabi ajarkan kita satu doa sebagaimana disebutkan dalam hadisnya:


Diceritakan oleh Abu Mu'awiyah daripada Al-A'masy daripada Abu Sufyan daripada Anas bahawa Nabi SAW banyak berdoa: Wahai Tuhan yang menetapkan hati, tetapkan hatiku atas agamaMU. Mereka (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah, kami beriman denganmu dan apa yang kamu bawa, apakah kamu masih takut lagi tentang kami?Jawab baginda: Ya, sesungguhnya hati-hati manusia berada di antara dia jari Allah, Dia membolak balikkannya. (Sunan Ibn Majah)

Khutbah Jumaat di Kg Sibugal Besar

Khutbah Jumaat di Masjid As-Syakirin Kg Sibugal pada hari ini bertajuk "kesan ibadah puasa ke atas pembentukan peribadi muslim". Inilah jumaat terakhir sebelum Ramadhan melabuhkan tirainya.

Sebelum menyampaikan khutbah, aku menyampaikan kuliah pendek sebelum jumaat memperkatakan mengenai Lailatul Qadr.

"Carilah malam al-Qadar itu pada malam-malam ganjil sepuluh yang terakhir Ramadhan...sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya....", aku membacakan hadis yang berbunyi;

 التمسوها في العشر الأواخر في الوتر
Selanjutnya, aku menyebutkan tentang ucapan yang sepatutnya diucapkan pada hari raya puasa nanti ialah bukannya ucapan "selamat hari raya ", sebagaimana biasa diamalkan. Ada sebutan lain yang telah disebutkan dalam hadis iaitu ucapan:
تقبل الله منا ومنكم

MENCARI MUSTAHAQQIN ZAKAT FITRAH

September 25, 2008

Beberapa hari lewat minggu terakhir Ramadhan ini, fikiranku masyghul memikirkan kepada siapa akan kuberikan zakat fitrahku. Aku telah beberapa tahun tidak menyalurkannya kepada amil yang dilantik. Aku lebih yakin dan untuk menyampaikannya sendiri kepada orang yang benar-benar memerlukan.
Kebetulan, pulang sekolah hari ini, aku hantarkan seorang muridku yang bernama Mohd Farhan Janroh pulang ke rumahnya. Sudah beberapa kali aku hantarkannya pulang sebelum ini, tetapi setakat ini hanya sekadar menurunkannya di tepi jalan utama. Aku hanya melihatnya masuk ke dalam satu kawasan yang ditanami kelapa sawit dan dia hilang di balik deretan pokok-pokok kelapa sawit. Aku tidak tahu di mana rumahnya.

Namun, kali aku aku ingin sekali menjengah melihat kehidupannya. Oleh itu, aku turut sama menyusuli denai-denai antara pepohonan kelapa sawit menuju ke rumahnya.

Ketika aku sampai di rumah Farhan, hatiku tersentuh melihat lokasinya. Rumahnya dibina di pinggir sungai cetek yang sangat keruh airnya. Rumahnya pula dibina daripada kayu-kayu hutan. Sebenarnya ia adalah rumah makciknya. Farhan tinggal bersama dua makciknya. Rumah mereka berkembar.Berbual-bual mengenai kehidupan mereka, makcik Farhan yang bernama Aina itu menceritakan bahawa dia sekarang tidak bekerja setelah berhenti bekerja sebagai cleaner di Giant, Sandakan. Suami telah meninggal kini dia tinggal bersama seorang anak perempuannya yang sepatutnya sudah memulakan persekolahan tahun satu. Namun, kerena kelewatan mendaftar, anaknya itu belum disekolahkan. Ditambah pula faktor kewangan kerana katanya kehidupannya miskin.Sebelum pulang, aku menghulurkan sebahagian wang zakat aku serta isteri dan anakku.
"Saya ni tak pandai menerima, ustaz...", makcik Aina itu meluahkan keserbasalahannya.
"Tak perlu kata apa-apa untuk terima, terima sahaja...", aku mempermudahkan.

Sememangnya begitulah memberi zakat. Kalau aku memberi dengan niat zakat, jadilah ia zakat. Sementara si penerima tak perlu niat atau mengatakan apa-apa. Kebiasaan yang dibuat orang antara pemberi zakat dengan amil, itu hanya formaliti yang tidak punya kepentingan apa pun dalam kesesahan perlaksanaan zakat.

Aku membahagikan dua zakat fitrahku tahun ini. Sebahagian zakat untuk makcik aina dan sebahagian lagi kepada makcik penjaga Farhan. Aku lebihkan daripada kadar yang wajib atasku dan keluargaku. Tidak salah melebihkan dalam memberi zakat. Apa yang melebihi kadar wajib akan menjadi sedeqah sunnat.

Makcik Aina menghadiahkan aku satu beg plastik ketam. Aku ingin menolak tetapi memikirkan dia amat beria-ia, aku terima. Sesungguhnya walaupun mereka miskin, mereka juga ingin memberi.
Lebarkan peluang orang lain memberi...Aku memilih pendekatan itu.

"Kamu bangsa apa Farhan...", sambil berjalan aku bertanya kepada Farhan ketika dia menemaniku kembali ke keretaku yang terletak di tepi jalan utama.
"Kagayan...",jawab Farhan.
"Mana ibu ayahmu?",
"Ayahku dan meninggal...ibu pun dah meninggal...", jawab Farhan
"Kamu berapa beradik?"., tanyaku.
"Enam...".
"Mana yang lain...?"
"Satu kerja jaga kuda, di sanalah dia tinggal, yang lain ada di Kagayan...dijaga satu orang abangku..."Farhan mengungkapkan kisah keluarganya.
"Kamu pernah ke Kagayan?", tanyaku.
"Pernah ustaz...jauh...mau beberapa jam naik kapal...".

Kagayan merupakan sebuah pulau antara kepulauan di Filipina dan penduduk yang berasal dari sana dikatakan berbangsa Kagayan dan merekalah mojoriti warga Kampung Sibugal Besar. Kebanyakan mereka, kini telah menjadi warganegara Malaysia.

Alhamdulillah...hari ini telah sempurnakan kewajipanku. Dalam menyempurnakan kewajipan ini, aku telah dapat melebarkan ukhuwah dan persaudaraan.

Kampung Sibugal Besar-Masih menanti jalan beraspal

September 23, 2008


Aku telah lama memikirkan untuk membuat catatan ini. Sedikit catatan tentang tempat berkhidmat baruku. Itulah sebuah kampung bernama Sibugal Besar.
Menulis sesuatu memang punya resiko yang tersendiri. Namun, berfikir tentang resiko, kita tidak ada satu apapun yang boleh kita lakukan. Justeru...aku menetapkan bahawa aku akan menulis segalanya yang hatiku ingin menulisnya.


Kampung Sibugal Besar tidak jauh sangat daripada bandar Sandakan. Di sana terletaknya Sk. Sibugal Besar. Dari jalan Sg Batang, untuk sampai ke sekolah tersebut jaraknya sekitar 2 KM. Menurut anggaran rambang yang aku petik dari sumber perbualan dengan beberapa individu yang telah lama menghuni kampung tersebut, penduduk kampung Sibugal Besar mencecah 5 ribu orang dan kebanyakannya berketurunan Kagayan.
Jalan masuk ke kampung Sibugal Besar, sehingga hari ini belum berturap. Aku mencongak tahun berapa sekarang dan berapa lama sudah negara merdeka. Tahun 2008, sudah 51 tahun negara merdeka. Jalan ke kampung Sibugal Besar masih berbatu, dengan lopak-lopak takungan air berlumpur di musim hujan dan menebarkan debu-debu kuning dan merah di musim kemarau. Jika kampung Sibugal Besar terletak nun jauh di ulu Sabah, ia tidak menghairankan, tetapi ia terletak sekitar 10 batu dari Pusat Bandaraya Semulajadi Sandakan. Di mana silapnya maka sehingga kini jalannya masih belum berturap?
Aku sempat mendengar keluhan warganya. Kata mereka, menjelang pilihanraya 2008 baru-baru ini, kerja-kerja mengukur telah dimulakan. Jentera-jentera yang bakal digunakan bagi tujuan menurap jalan telah di bawa masuk ke kampung Sibugal Besar.Ketika itu, warga tersenyum syukur kerana penantian bertahun akhirnya membuahkan hasil. Tetapi, sebaik sahaja pilihanraya tamat, penantian mereka terus menjadi penatian tak berpenghujung. Harapan tinggal harapan apabila semua jentera dibawa keluar dan semua kerja-kerja menurap yang sepatutnya bermula tidak juga bermula.
Barangkali...penantian perlu dilanjutkan lagi untuk 4 tahun mendatang!

Wat Ban Prak Tham

September 22, 2008


Pada satu hari, ketika memeriksa peti surat di rumah sewaku, aku menemui satu risalah yang bertajuk" Wat Ban Prak Tham". Risalah itu mengandungi satu anekdot seperti berikut:


Saya Lee Kuang Meng (016-503xxxx) adalah seorang perniagaan. Dalam beberapa tahun ini, perniagaan saya jatuh. Dalam keadaan ini, saya pun bermain judi sampai pinjam along, saya rasa nak bunuh diri tetapi saya ingat keluarga saya. Saya pun putus fikir, saya ingat tuhan boleh tolong saya...


Pada masa itu saya balik rumah, saya nampak peti surat saya ada bil elektrik, saya lagi susah, saya pun ambil sajalah, tetapisaya nampak ada sekeping iklan master, saya ingat master ini mesti boleh tolong saya. Saya seorang peniagam, tak pernah beli nombor, dalam keadaan ini saya terpaksa meminta pertolongan dengan master, dalam telefon master suruh saya jangan risau. Oleh itu, master bagi nombor 7182 dan suruh saya beli sebanyak RM120.00 besar dan RM80.00 kecil di sebelah magnum. Pada malam itu, 7182 betul-betul sudah buka tempat pada hadiah pertama. Pada masa itu saya tanya mastermahu hantar wang berapa, master kata tidak perlu...cuma suruh saya tolong orang susah dan mesti mahu buat perkara yang baik.


Di sini saya ingin mengucaopkan ribuan terima kasih kepada master dan tiap-tiap tahun ingin mengedarkan 80 ribu keping risalah ini sebagai tanda terima kasih kepada master. Harap oprang ramai yang menghadapi masalah kewangan, jangan ragu-ragu lagi, segala telefon master.


Melihat kepada susunan bahasa surat ini, besar kemungkinan ia ditulis oleh seorang bukan melayu. Banyak kesilapan ayat. Noktah dan koma tidak mengikut peraturan sepatutnya.


Entah apa tujuan sebanar pengirim risalah ini.Kalau mengikut perenggan terakhir risalahnya, mungkin boleh difahami bahawa pengiriman risalah ini adalah amal baiknya menolong orang susah dengan mencetak 80 ribu salinan dan menyebarkannya.
Aku melihat dua kemungkinan:
  1. Risalah ini rekayasa syarikat judi nombor ekor untuk melariskan pembelian.
  2. Risalah ini adalah dakyah golongan yang mencemarkan akidah umat Islam.
Persoalannya, siapakah master tersebut. Tajuk risalah tersebut sebenarnya telah menjelaskan kepada kita bahawa risalah ini ada kaitan dengan wat siam iaitu rumah berhala masyarakat Siam yang menganut ajaran Budha. Justeru, andaian mudah kita ialah, master ini mungkin seorang sami budha.

Risalah sebegini dimasukkan ke dalam peti surat semua orang tak kira siapa. Dalamnya disertakan nombor telefon master. Bagi orang Islam yang lemah iman dan sedang dilanda masalah hutang pula, barangkali mengambil jalan mudah dan terpengaruh dengan cerita Lee Kuang Meng tersebut. Mungkin ada yang akan menalifon master itu untuk menyelesaikan masalah.


Di sini titik bahaya risalah ini. Jika sampai ada orang Islam yang mencuba saranan tersebut dan menalifon master untuk membantu masalahnya, dia telah merungkai izzah agamanya sendiri. Master yang beragama budha itu mungkin dilihatnya penyelamat dan Allah tidak berperanan lagi.


Akidah boleh tergelincir jika mempercayai dan melakukan seperti saranan surat ini.

Wahai Tuhan...temukan kami Lailatul Qadar

September 21, 2008


Ketika aku menunggang motosikal menuju Masjid Fajar malam ini, anjing di sebuah rumah warga berbangsa cina menyalak terhadapku. Di antara tanda lailatul ialah pada malam itu tiada salakan anjing dan nahiq keldai. Aku fikir, dengan sebab bunyi salakan anjing tadi, tentu malam ini bukan malam Al-Qadar.
Hajatku mahu iktikaf di Masjid Fajar. Namun, ia kelihatan lengang. Sahabat yang berjanji untuk tidur dan iktikaf di Masjid Fajar malam ini juga tidak nampak kelibatnya. Aku tak jadi iktikaf di Masjid Fajar malam ini. Sementelahan memikirkan salakan anjing tadi.
Malam ini bukan lailatul Qadar...bisik hatiku.
Di malam Al-Qadar tiada salakan anjing. Mungkin itu cuma alasanku. Alasan orang malas. Tiada salakan anjing di malam Al-Qadar antara alamat yang aku jumpa dalam banyak artikal berbahasa arab ketika membicarakan tanda-tanda malam Al-Qadar. Namun, setakat hari ini, aku belum menemui ia disebut berserta dengan dalil dari mana-mana hadis
.
Syeikh Usaimin rahimahullah menyebutkan bahawa di antara tanda lailatu qadar ialah:

  1. Pada malam tersebut, ada cahaya yang lebih kuat berbanding malam-malam yang lain dan permandangan ini hanya akan dirasai bagi orang yang berada di daratan yang jauh dari kawasan yang berlampu.


  2. Orang yang beriman pada malam tersebut akan merasakan ketenangan hati dan lapang dada lebih berbanding malam-malam yang lain.


  3. Angin pada malam tersebut tenang dan jauh sekali ada angin kencang atau ribut.


  4. Kadang-kadang kepada orang tertentu Allah kurniakan mimpi tentang malam itu dan ini pernah berlaku kepada sahabat nabi.


  5. Solat taraweh pada malam tersebut lebih terasa lazat berbanding malam lain.

Demikianlah antara petanda lailatul Qadar menurut Syeikh Usaimin. Beliau tidak pula menyebut tentang tiada bunyi salakan anjing dan suara keldai. Wallahu A'lam....

Ceramah di Sambay Hotel

September 20, 2008

"Apabila seseorang manusia telah cukup bilangan harinya dalam rahim ibu sebanyak 120 hari, Allah perintahkan malaikat meniupkan ruh kepadanya lalu dituliskan 4 perkara. Empat perkara tersebut adalah mengenai rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya..."demikian antara lain isi ceramahku di Sambay Hotel hari ini kepada sekumpulan kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia kawasan Pantai Timur Sabah.
Aku bersandarkan sebuah hadis yang terdapat dalam kumpulan 40 hadis pilihan Imam Nawawi dan terdapat dalam sahih Bukhari dan juga Muslim yang bermaksud:
" Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas'ud r.a, katanya Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya : ' Sesungguhnya sesaorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian seketul daging seperti yand demikian itu juga, iaitu 40 hari. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat pekara : rezekinya, ajalnya, amalannya, celaka dan bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya sesaorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya ( suratan takdir ) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya sesaorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu. "
Persoalan mengenai ketetapan takdir azali ini masih menimbulkan polimik dalam jiwa ramai orang. Para peserta bertanyakan soalan mengenai apa perlunya berusaha kalau sudah ditetapkan amal dan kesudahan kita. Aku menjelaskan bahawa ketetapan tersebut berada dalam ilmu Allah dan kita sebagai hamba tidak tahu dan tidak akan pernah tahu apa yang ada dalam ilmu Allah sebelum terjadinya satu ketetapan tersebut.Kerana itu, kita berbuat sesuai dengan ilmu kita. Apa yang menjadi ilmu kita ialah bahawa kita perlu berbuat baik dan jika berbuat baik akan dibalasi syurga kerana itulah janji Allah. Apa yang akan berlaku kepada kita bukan sesuatu yang perlu kita dalami kerana itu menjadi rahsia Allah SWT.
Ceramah pada siang tadi di bawah tajuk AL QURAN: PANDUAN DAN PEMBIMBING PERJALANAN HIDUP MANUSIA DI DUNIA DALAM MENGEJAR ALFALAH DI AKHIRAT. Ceramah pembukaku berkisar tentang kelebihan sepuluh yang akhir daripada Ramadhan, amalan-amalan yang digalakkan dalam tempoh tersebut dan beberapa fakta tentang Al-Quran.

Ulasan hadis: Awalnya Rahmat, pertengahannya Keampunan dan akhirnya adalah pembebasan daripada neraka-hadis daif, munkar.

September 19, 2008


شهر رمضان أوله رحمه و أوسطه مغفرة و آخره عتق من النار


Awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya adalah pembebasan daripada neraka. Demikianlah bunyi maksud hadis di atas yang kerap dibacakan dan dihuraikan sepanjang bulan Ramadhan. Ramadan yang 30 hari dibahagikan kepada 3 bahagian. satu bahagian 10 hari. Dengan pembahagian tersebut, ia dapat disesuaikan dengan maksud hadis di atas yang membahagiakn kepada tiga fasa dalam bulan Ramadhan.
Sama ada sedar atau tidak, hadis yang begitu mendominasi bicara para pentazkirah dan penceramah sepanjang Ramadhan tersebut merupakan sebuah hadis daif.
Menurut Allamah Albani rahimahullah, dalam kitabnya As-silisilatul Ad- Da'ifah, cetakan ke empat, m/s 70, hadis di atas tergolong dalam kelompok hadis munkar.

Di mana lailatul qadar?


Sekarang ini Ramadhan 1429 berada di penghujungnya. Penghujung Ramadhan menjanjikan satu malam yang amat bermakna iaitu malam Al-Qadar. Itulah malam yang disarankan agar kita mencarinya sebagaimana sabda nabi Muhammad SAW dalam sepotong hadisnya:
التمسوها في العشر الأواخر في الوتر
(carilah ia-malam Al-Qadar-pada sepuluh yang akhir pada malam-malam yang ganjil)
Bagaimana kita hendak mencarinya? Apakah tanda-tandanya? Sedikit semakan terhadap perbincangan ulama, aku merumuskan tanda-tanda malam Al-Qadar adalah seperti berikut:
1. Jika kita berada di kawasan gelap, kita akan merasakan adanya cahaya yang kuat pada malam tersebut. Perasaan ini tidak dapat dirasakan jika kita tinggal di kawasan yang banyak cahaya lampu.
2. Perasaan tenang dalam jiwa pada malam tersebut melebihi malam-malam yang lain.
3. Angin bertiup tenang pada malam tersebut dan tidak ada angin kencang ataupun ribut.
4. Kekadang Allah memperlihatkannya dalam mimpi orang-orang tertentu.
5. Perasaan orang qiam pada malam itu lebih lazat berbanding malam-malam yang lainnya.
6. Menjelang paginya matahari akan terbit dalam bersih dan keadaan tidak memancar cahaya yang mencucuk mata. Ini disebutkan dalam hadis Sahih Muslim riwayat Ubai bin Ka'ab bahawa nabi telah mengkhabarkan:
أنها تطلع يومئذ ٍ لا شعاع لها
(Sesungguhnya matahari yang terbit pada hari itu tiada cahaya memancar padanya)
Carilah malam Al-Qadar, jangan menunggunya. Carilah dengan beriktikaf di masjid.

Slot ceramah agama di Pusat Penyelidikan Perhutanan Sepilok

"Ustaz...kata ustaz, sesiapa solat berjemaah 40 hari dengan mendapat takbir pertama, dia dibebaskan daripada neraka dan sifat munafik, bagaimana dengan kami yang terpaksa bekerja dan kadang-kadang outstation ke dalam hutan, tentu susah untuk mendapat solat jemaah sebegitu, munafiqlah kami..." seorang kakitangan Pusat Penyeldikan Perhutanan Sepilok melontar persoalan tersebut setelah selesai sesi ceramah dan bermulanya sesi soal jawab.
Soalannya tersebut merujuk kepada sepotong hadis yang baru kubacakan berbunyi:
من صلى لله أربعين يوماً في جماعة ، يدرك التكبيرة الأولى ، كتب له براءتان: براءة من النار ، وبراءة من النفاق
(Maksudnya: Sesiapa yang solat 40 hari berjemaah, serta mendapat takbiratul ula, dituliskan baginya dua kelepasan: Kelepasan daripada neraka dan kelepasan daripada nifak)
Persoalan itu kujawab dengan satu bandingan. Kataku, jika aku mengatakan kepada sekumpulan kanak-kanak, "sesiapa yang dapat mengambil Al-Quran ini, dia adalah orang pandai...". Perkataanku tersebut tentulah tidak membawa maksud bahawa orang yang gagal mengambil Quran itu sebagai bodoh.Perkataanku tersebut cuma menarik semangat perlumbaan kanak-kanak tersebut bagi mengambil Al-Quran tersebut. Maka, demikianlah Rasulullah, saat menuturkan kata-kata tersebut, bukanlah bermaksud bahawa orang yang tidak solat berjemaah 40 hari dengan mendapat takbiratul ula sebagai munafiq dan ahli neraka semuanya. Adalah salah jika memahami hadis tadi sebagaimana si penanya tadi.
Persoalan tersebut adalah antara 10 soalan yang dilontarkan dalam sesi soal jawab selepas slot ceramah yang kusampaikan kepada kumpulan kakitangan Pusat Penyelidikan Perhutanan Sepilok hari ini.
Ceramahku pada hari ini adalah atas jemputan En. Anuar, seorang pegawai penyelidik di sana. Beliau merupakan warga di kawasan kejirananku yang kerap bertembung denganku dalam sesi solat sunat taraweh di masjid Al-Fajar.
Ceramah yang bermula jam 10.15 itu memakan masa hampir 2 jam. Jam 12 baru berakhir. Itupun kerana desakan waktu kerana hari ini adalah hari Jumaat.

Solat Taraweh 8 rakaat bersulam tazkirah.

September 16, 2008


Mengimbau malam-malam Ramadhan di kampungku, sewaktu aku masih kanak-kanak dan remaja, solat sunat taraweh diadakan dua puluh rakaat. Dua puluh rakaat tersebut diadakan secara berterusan diselangi dengan tasbih-tasbih dan solawat. Rasa letih dan mengantuk tidak dipedulikan asalkan dapat menghabiskan dua puluh rakaat. Amat seronak kalau imam taraweh membaca secara ekspress. Agar cepat habis. Bila habis dua puluh rakaat, hati pun puas. Kemudian para jemaah akan pulang dan datang lagi pada malam esoknya.

Demikianlah saban malam Ramadhan sehingga berakhirnya Ramadhan. Bila Ramadhan menutupkan tirainya, semua orang yang berhempas pulas menghabiskan dua puluh rakaat saban malam dahulu pun sirna. Mereka ucap selamat tinggal kepada masjid dan surau.

Dari sanalah aku mula belajar bertaraweh. Dari sanalah aku terasuh bertaraweh. Cuma...sekarang masa sudah berubah. Pengetahuan juga telah bertambah dan paradigm pemikiran juga sudah berganjak. Dahulu, aku cuma memahami taraweh sekadar solat sunat yang mensasarkan bilangan dua puluh rakaat. Aku tidak memahami pun konsep taraweh.

Solat taraweh adalah solat santai penuh kerehatan. Sambil solat sambil taraweh. Itulah yang terkandung dalam makna perkataan"taraweh".

Justeru, pada malam pertama solat taraweh di Majid Al-Fajar, aku menjelaskan kepada jemaah yang datang bahawa slot tazkirah akan dimasukkan setelah selesai 4 rakaat taraweh(solat taraweh dilakukan 8 rakaat). Kataku dalam mewajarkan slot tazkirah tersebut, ia adalah untuk memaknakan pengertian "taraweh" dalam bentuk amalan. Para jemaah boleh beristirehat sambil mendengar tazkirah ringkas yang disampaikan oleh para muzakkair. Aku memberikan penekanan tersebut kerana terdapat suara-suara yang mempertikaikan kewajaran tazkirah Ramadhan yang diadakan dibanyak masjid terutama dibandar-bandar besar.

Mudah-mudahan dengan tazkirah, ada manfaatnya sepasang telinga yang dibawa ke surau dan masjid. Sementara di kalangan telinga itu, ada yang sangat enggan mendengar nasihat. Mudah-mudahan juga, ada manfatnya bagi sejulur lidah yang berbicara, kerana kalangan lidah itu ada yang sangat keras menarikan bait-bait nasihat.

Budaya tanduk syaitan mengancam akidah remaja

September 13, 2008


Pada malam 31 Ogos yang lalu, aku bersama teman-teman seperjuangan telah turun ke lapangan dalam misi dakwah menyebarkan risalah kesedaran. Sebagaimana saban tahun, malam tersebut disambut dengan pelbagai acara. Paling tidak , ia disambut dengan tembakan bunga api yang ditaja oleh pihak-pihak tertentu. Bandar Sandakan tidak terkecuali.


Ketika kami sampai, orang ramai, khasnya para remaja berkumpul sepanjang tembok pinggir laut Sandakan. Memang manusia bersesak-sesak. Sungguh kasihan melihat para remaja yang berada di lokasi tersebut dengan pakaian yang tidak menggambarkan identiti serta budaya ketimuran, jauh sekali untuk dikaitkan dengan Islam. Kebanyakan mereka masih terlalu mentah dan berada pada peringkat umur belasan tahun.


Melihat fenomena ini, tergambar betapa kemelut genarasi masa depan berada pada tahap yang merisaukan.


Media massa meriwayatkan, kini telah muncul satu budaya baru di kalangan ramaja iaitu memakai "tanduk syaitan". Tahun-tahun yang lepas tidak ada budaya sebegini. Pada tahun ini, budaya songsang ini telah muncul dan menjadi ikutan.


Amat menghairankan, mengapa syaitan yang dipilih sebagai ikutan. Mereka dengan bangga tanpa silu meletakkan dua tanduk di kepala. Dua tanduk tersebut dengan mudah difahami sebagai tanduk syaitan oleh sesiapa yang melihat.


Kalaupun mereka ingin mengikut sesuatu, kenapa mereka tidak memilih untuk meniru malaikat. Kenapa memilih syaitan? Kenapa pakai tanduk yang sinonim dengan syaitan? Kenapa tak pakai sayap yang sinonim dengan malaikat? Itupun kalau sudah teringin sangat meniru!


Kasihan anak bangsaku...

Kenapa mesti menteri yang menyampaikan zakat?

September 9, 2008

Bila Ramadhan menjelang, kita sering dengar majlis penyampaian zakat kepada asnaf disampaikan oleh para pemimpin. Dalam kesempatan ini para pemimpin tersebut menggunakan wang zakat sebagai tunggangan untuk melebar dan memantapkan pengaruh mereka. Rakyat bawahan yang menerima agihan zakat yang disampaikan oleh para pemimpin tersebut akan merasa terhutang budi kepada mereka. Tanpa mengetahui bahawa wang zakat itu sememangnya hak mereka, mereka merasa itulah kebaikan dan jasa pemimpin tersebut kepada mereka.
Sesungguhnya penggunaan wang zakat untuk tujuan memperkasakan pengaruh politik adalah penyalahgunaan dalam agama. Adalah lebih baik jika wang zakat tersebut disampaikan oleh pentadbir institusi zakat sendiri tanpa campurtangan orang-orang politik.

KONVENSYEN PENDAKWAH KALI KE-3


Konvensyen Pendakwah Kali Ke-3, anjuran JAKIM bersama JHEAINS telah diadakan di Kompleks Tabung Haji, Kota Kinabalu pada 5-7 September 2008. Konvensyen kali ini bertemakan "memperkasa akidah remaja" disertai oleh kira-kira 150 peserta dari seluruh negeri Sabah, mewakili pelbagai latarbelakang dan NGO.Ia bagi membincangkan mengenai persoalan remaja hari ini dan kaedah terbaik menyelamatkan mereka dari gejala kronik yang sedang memamah kehidupan mereka.

Dari Sandakan, aku bersama 10 individu yang lain turut serta. Kami bertolak ke Kota Kinabalu pagi jumaat, sekitar jam 9.00 pagi dan tiba sekitar jam 3.30 petang. Selama 3 hari 2 malam kami menginap di hotel Tabung Haji dan berkonvensyen di dewan Tabung Haji serta berbengkel di bilik-bilik seminar yang terdapat di sana.


Pada hari Ahad, sekitar jam 1.00 kami bertolak pulang ke Sandakan. Aku menaiki keretaku bersama dengan Ust. Ahmad Farihan dan Ust Mohd Isa Saud. Kami sempat sampai ke masjid Gum Gum dan beroleh razeki berbuka puasa di sana.

Ahlan Ya Ramadhan...

September 1, 2008


Alhamdulillah...Aku masih diberi kesempatan untuk melangkah masuk ke madrasah Ramadhan pada tahun ini. Ini adalah peluang yang amat besar bagi meraih segala keberkatannya. Semoga Ramadhan tahun ini dapat mendidikku dan aku bakal menjadi graduan yang berjaya.
Amin ya Rabbal 'Alamin.