Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2021

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

MAJLIS QURBAN 1433

October 28, 2012

Program Qurban berkelompok telah berjaya diadakan di masjid Al-Fajr, Sandakan. Sebanyak tujuh ekor lembu dan seekor kambing telah dikorbankan. Haiwan-haiwan korban tersebut adalah milik hamba-hamba Allah yang telah menyertainya dengan membuat pembelian bagi bahagian-bahagian korban yang dijual untuk umum oleh Jawatankuasa Korban Masjid Al-Fajr. Setiap satu bahagian dijual dengan harga RM400.00. Manakala kambing pula, ia merupakan korban seorang jemaah baru yang baru berdomisil di Taman Fajar.

Lembu-lembu korban pada tahun ini diambil daripada Felcra Estate Pertama, Sukau.Lembu tersebut telah diambil sejak rabu lepas dan ditambat di padang pinggir taman permainan bersebelahan masjid. Ia diletakkan di bawah kawalan AJK keselamatan dengan bantuan remaja gembala yang bertangungjawab memberi makan dan minum kepada lembu.

Majlis korban berlangsung dengan lancar dan mendapat kerjasama ramai petugas yang menyumbangkan tenaga. Pembahagian daging berjalan lancar dengan pengenalan sistem kupon. Jamuan makan juga dapat dibuat untuk para warga yang datang menjamu selera. 

Alhamdulillah dan tahniah kepada yang berkorban. Semoga Allah menerima amalan korban yang telah menyertai dengan niat ibadah kepada Allah SWT. 

Kalau umur panjang, tahun depan kita buat lagi.

Lembu dari Felcra Pertama.
Ust Sukri Menyerahkan bayaran RM14600.00
Seekor kambing boer bakal dikorbankan.
Lembu diturunkan di taman

Kerjasama melapah


Kerja berat jadi ringan

Medan sembelihan lembu.

Perbincangan menyelesaikan masalah.

Mengumpulkan daging


Penyampaian daging

Masa menikmati jamuan

Bawa keluarga bersama

Bantu menghidangkan makanan.


NEGARA BANKRAP

October 14, 2012

Mana satu negara dunia
jatuh bankrap kerana bantu rakyat jelata?
kerana berikan pendidikan percuma,
kerana turunkan harga
barang keperluan utama

Negara kita kaya raya
dalam bumi terbit minyak
permukaannya subur tumbuhan melata
rimba sawit dan juga tanah balak
limpahan makmur tidak terkata

Itulah kurnia Tuhan semesta
bukan kerana bijaknya penguasa
tak perlu mendabik dada
konon pandai mengurus negara

Kalau ada sikaya berjuta
beristana syuga di puncak maya
sedang rakyat hidup melarat
berumah usang di tanah menumpang
itu tanda negara tempang
harta negara dikaut ke gudang
buat si kaya makan seorang
si miskin mengutip yang terbuang.

Negara bankrap bencana Tuhan
untuk penguasa tidak berbudi
setelah diberi nikmat  limpahan
kufur kepada tuntutan ilahi

Sumber razeki pelbagai lapangan
habis dipagari dengan halangan
rumput panjang dalam pagar
rakyat meragut dari luar.
mereka makan dalam kepuk
lebihan ditabur rakyat mematuk

Khazanah negara hak bersama
jangan dibuat milik sendiri
jika hilang berkat Tuhan
tanah subur jadi kontang
negara tropika jadi sahara
minyak hilang dari bumi
ternakan dipelihara penyakit melanda
kontrak diberi nilainya juta
projek dilaksana tidak seberapa
lahir manusia temboloknya sahaja dibela
orang lain peduli apa
penguasa derhaka rakyat hina
hidup hanya mengejar dunia.

Negara bankrap kerana khianat
negara bankrap kerana rasuah
negara bankrap kerana tamak
negara bankrap kerana boros
bukan kerana bantu rakyat
bantu rakyat bawa berkat
negara berkat akan selamat
dikasihi Allah juga malaikat.

NEGARA KRISTIAN

Dakwaan bahawa DAP menganjurkan majlis berdoa agar Malaysia menjadi negara Kristian setelah PR memenangi pilihanraya dan memerintah Malaysia sebagaimana yang dilontar oleh Ahli Majlis Syura Pas, Nasharudin Mat Isa, bukanlah satu mencemaskan, sekalipun ia benar-benar berlaku.

Ini kerana berdoa meruapakan hak setiap orang dan ia merupakan fitrah yang Allah benamkan dalam diri setiap insan. Pada saat-saat tertentu, ketika diri terhimpit teruk, seorang insan akan panjatkan doa kepada Allah SWT. Kita tidak boleh menghalang seseorang daripada berdoa kerana jika doa itu tidak diungkapkan, ia akan dibisikan dalam hati. 

Marahkan orang berdoa adalah perangai haprak. Seorang muslim tidak perlu marah kepada non-mulim kerana berdoa kalau dia meyakini kedudukannya sebagai orang yang benar di sisi Allah SWT. Apabila marah kepada acara doa yang dibuat oleh non-muslim, ia menggambarkan seolah-olah muslim itu takut Allah makbulkan doa non-Muslim itu.  Bimbang negara Kristian tertegak di Malaysia hasil dari doa sekumpulan non-Muslim, adalah terlalu kebudak-budakan dan hanya lahir dari iman yang lemah.

Doa agar negara Kristian tertegak di Malaysia, dakwaan ini, selain tidak punya bukti kukuh yang boleh dipertanggungjawabkan, ia juga adalah gambaran pemikiran "haprak" yang memalukan kaum muslim.  Jika bukan makbulnya doa yang dibimbangi, tetapi hasrat dan cita-cita mereka yang berdoa itu yang mencurigakan, itu pun tetap tidak boleh diterima. Hasrat dan cita-cita orang, apakah kita punya daya untuk menghalang? Ia terbenam dalam sanubari para pemnyimpan hasrat dan cita-cita.

Masalah lain ialah, apakah Malaysia ini sudah menjadi negara Islam maka ketakutan kalau-kalau Malaysia menjadi menjadi negara Kristian diwar-warkan? Umum tahu bahawa Malaysia masih merupakan negara yang menjadikan sekular sebagai celupannya, sungguhpun ada adaptasi Islam dalam  pelbagai aspek tempelan. Secara prinsip, sekularisma masih menjadi idea pembentukan negara. Antara negara sekular dan Kristian mana lebih baik?

Sekular itu setaraf wasani. Sejarah menunjukkan kepada kita bagai gembiranya ummat Islam di zaman awal sebelum hijrah, ketika dapat tahu bahawa negara Rom dapat mengalahkan Parsi. Ini kerana Rom itu negara Kristian sedangkan Parsi adalah negara wasani yang mana majusi menjadi agama teras bernegara. Umat Islam lebih suka negara Kristian berbanding negara Majusi. Sekular itu dari kelompok Majusi juga kerana menjadikan material sebagai sembahan. Majusi sembah api sedangkan sekular menyembah mata benda dunia dan meniadakan Tuhan dalam kehidupan bernegara.

Umat Islam tidak disuruh memilih negara Kristian lagi kerana sudah ada negara Islam sebagai pilihan. Namun, hati umat Islam lebih lunak untuk negara Kristian berbanding negara Majusi. Sekarang, antara negara sekular dan negara Kristian, mana yang lebih seharusnya kita takuti? Kenapa ada orang takut tertubuhnya negara Kristian tetapi tidak gelisah berdirinya negara sekular?

Dalam dunia ini mana satu negara yang benar-benar Kristian? Demikian pula mana satu benar-benar Islam? Ada negara ummat Kristian tetapi ironinya, negaranya Islam. Keadilan tersebar dan rasuah dibenteras. Hak rakyat dimuliakan. Itu adalah antara ciri-ciri fundemental negara Islam. Sebaliknya pula, ada negara ummat Muslim, ironinya negaranya kafir. Kezaliman merata, rasuah merajalela dan rakyat dihinakan. Itulah ciri-ciri negara kufur kepada Allah SWT. 

Sebab itu, para mujahid Islam yang bijaksana hari ini tidak lagi bercakap mengenai nama negara Islam. Apabila disebut negara berkebajikan, yang disentuh adalah intipatinya.  Keadilan dan kehormatan rakyat dijaga dengan penuh amanah. Inilah sebenarnya negara Islam. Ia menjadi negara yang diampuni Tuhan (Warabbun Ghafur) jika para penguasanya adalah hamba-hamba Tuhan yang berwatak malaikat memerintah. Tidak akan ada keampunan Tuhan kalau para penguasanya adalah syaitan-syaitan... sekalipun syaitan yang dikenali.


WALIJAH

October 7, 2012

Kenapa dalam perjuangan Islam ada pengkhianat?
Mengapa pula ada para pejuang yang surut setelah bertahun-tahun berjuang?
Bukanlah si Polan itu dulunya seorang pejuang Islam? 
Mengapa kini bertukar menjadi pejuang kebangsaan?
Ada pula berjuang pula jalur yang berlainan berlainan daripada jalur para mustaqdimin dalam perjuangan Islam!
Kenapa pula si Polan yang masih nampak berjuang untuk Islam tetapi sering pula jadi lembu tunggangan musuh  perjuangan Islam? 

Kerana Islam diperjuangkan bukan semata-mata mentazkiah diri, bahkan juga mentazkiah bumi Allah dari kefasadan, maka para pejuang Islam berusaha meraih kekuasaan. Tanpa kekuasaan di muka bumi, solat tidak mampu ditegakkan, zakat tidak akan dapat dilestarikan, ma'ruf tidak mampu dita'mirkan dan kemungkaran tidak pula mampu dicegah seutuhnya. Justeru itu pula, dalam usaha meraih kekuasaan, tentu banyak cabarannya kerana kekuasaan itu salah satu cabang perhiasaan dunia yang banyak memperdaya orang. Cabaran itu sama ada dari tentangan para penguasa yang sedang bermewah dengan kekuasaan mereka atau para pendamba kuasa yang menyimpan cinta-cita dalam sanubari mereka.

Sebab itu meraih kekuasan perlukan jihad. Jihad merebut kekuasaan dari pemboros kekuasan dan jihad melawan nafsu diri yang mendambakan kekuasaan untuk tujuan yang sama seperti pemboros kekuasaan itu juga. Dalam jihad meraih kekuasaan itulah akan berdepan dengan ujian Allah  SWT. Allah menguji dengan ujian dari dalam dan ujian dari luar.

Ujian luar sering menyatukan para pejuang Islam dalam bulatan perjuangan Genggaman tangan kian erat berpadu dan semangat kian kuat berkobar bila ancaman luar makin kuat. Laksana kera di dahan kayu yang memeluk erat batang kayu di kalau ribut kencang tetapi akan jatuh di kala angin sepoi nyaman bertiup.

Allah menguji para pejuang kerana dalam perjuangan ada walijah. Ada juga orang yang bersaudara dengan walijah dalam cita-citanya.
 
أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تُتْرَكُوا وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنْكُمْ وَلَمْ يَتَّخِذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلَا رَسُولِهِ وَلَا الْمُؤْمِنِينَ وَلِيجَةً وَاللَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ


Apakah kamu mengira bahwa kamu akan dibiarkan, sedang Allah belum mengetahui (menapis) orang-orang yang benar-benar berjihad di antara kamu dari mereka yang mengambil walijah selain Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.
(Surah At-Taubah: Ayat 16)


Walijah itu umpama serigala di dalam  kelompok domba. Walijah itu persis musang berbulu ayam. Walijah itu gunting dalam lipatan, api dalam sekam.  Walijah itu ketika berjalan di siang hari laksana malaikat tetapi di malam hari bertukar menjadi syaitan keparat. Ketika senyum manis terpamer, ada masam hati yang tidak zaher. Pencak perjuangannya tangkas,  tetapi muslihat dunia yang diburu. Saat buruannya jauh terlepas, segala gerak turun lesu dan tindak tanduknya pun jadi tidak menentu.

Walijah bukan dari keluarga perjuangan Islam tetapi ia menumpang dalam perjuangan. Sayangnya ia Ia bukan semata-mata menumpang  sebagaimana para hulafa', tetapi menjadi antena musuh perjuangan Islam untuk memporak perandakan barisan. Saat telunjuknya lurus kelingkingnya berkait. Ketika sepakat telah terpatri kalangan warga perjuangan Islam dalam musyawarah, walijah akan menari berlainan irama. Ketika bicara menyalahi teman-teman, walijah berlindung di balik kalimah "pendapat peribadi". Walijah tidak menjunjung wala' tetapi hanya mahu dipanggung wala'. Walijah tidak menebar barra' tetapi hanya mengungkap riak. 

Walijah menyimpan nifak perjuangan. Dia sendiri masuk secara misteri dan menebar misteri dalam perjuangan Islam. Kekadang pada satu waktu, seorang pendekar perjuangan Islam itu adalah mukhlis tetapi malangnya dia bukan mukhlas. Ia yang menakutkan. Semua pejuang Islam yang hari ini merasakan dirinya ikhlas kerana Allah perlu menyimpan ketakutan bukan tergolong kalangan mukhlas sebab yang namanya Ikhlas itu sifatnya berubah-ubah. Sebagaimana hatinya sifatnya laksana pantai dipukul ombak, maka demikianlah sifat hati yang namanya ikhlas. Tetapi, mukhlas itu adalah anugerah Allah dia ia adalah suratan azali yang tersimpan kemas dalam ilmu Allah SWT.

Ketika datang walijah, terhalau pergilah ikhlas. Lalu bertukarlah yang mulanya mukhlis menjadi tidak mukhlas. Walijah datang menghasut dengan menggumankan bisikan was-was perjuangan. 

"Wahai pahlawan, landasanmu ternyata salah dan lari dari manhaj yang betul. Rakan-rakan seperjuanganmu sedang digerogoti walijah!", walijah membisikkan ragu, rela mencemarkan dirinya sendiri sebagai pembuat angkara.

" Wahai jagoan perjuangan, kamu dipinggirkan!",
" Wahai teman, kamu tidak dilayan dengan adil!", 
" Wahai kasihan, apa yang kamu dapat setelah begini lama kamu berjuang? ", 
" Sepatutnya kamu yang menjadi calon!", 
" Jawatan itu kamu yang berhak!", 

Bisikan-bisiskan itu adalah walijah-walijah yang menjadi hamazat bersiponggang.

Tidak mudah untuk Allah menerima gelaran pejuang Islam kerana ia adalah gelaran branded sejak zaman-berzaman. Allah mengenakan pelbagai ujian penapisan untuk menyingkirkan para walijah dalam perjuangan. Allah mahu menyatakan kepada kita siapakah yang sebenarnya para pejuang tulin. Maka, untuk apa digelisahkan terhadap pengkhianatan mereka yang khianat? Untuk apa digundahkan gugurnya  para mutasaqitun? Seharusnya semua kejadian penyingkiran walijah itu ditafsirkan sebagai ma'unah Allah untuk perjuangan Islam. Ia hendaklah ditafsirkan sebagai karamah dalam perjuangan. Medan yang lama lagi mulia bernama dataran perjuangan Islam, tidak akan menerima bunga-bunga beracun dan busuk untuk tumbuh mewarnainya.

Maka...berdoalah kepada Allah wahai mereka yang berjuang untuk Islam walau sekecil mana asiosasi anda,  agar walijah dijauhkan dari menerjah kalbu sendiri. Mohon juga agar diri bukan setongkol walijah yang mencemarkan dataran perjuangan Islam. Kekallah sebagai pejuang dan ikhlaslah niat. Barulah Allah dengan rahmatnya memilih untuk menjadi mukhlas.

Semoga Allah memberikan daku husnul khatimah. Ameen.

Islam itu luas

Islam itu luas
jangan disempitkan!

Islam itu bukan hanya sebuah agama
tetapi ia tatakerama kehidupan
dari Tuhan buat manusia
dan seisi dunia.

Islam mengajar sebesar perkara
juga menyuluh sekecil hama

Islam menjangkau segala yang tergapai pancaindera
Islam melangkau apa yag tersemat di hati terdalam
Islam bukan hanya bersenda di dunia
tetapi juga bercanda di syurga.

Islam mendamai politik insan
Islam menyemai ekonomi sekalian
Islam memandu budaya warisan
Islam mengatur bicara pergaulan
Islam menjernihkan hubungan manusia dan Tuhan

Politik Islam itu luas
jangan disempitkan dalam perjuangan
pada lingkungan lebel
lalu mengabaikan inti

Ekonomi Islam itu luas
jangan dihimpit peluang
jangan disempit pada institusi
Pada istilah bukan berpaksi


Kebudayaan Islam itu luas
bukan pada pada seni ukiran tertentu
bukan pada seni bina berkubah
bukan pada budaya Arab semata.
Ajam juga turut berkongsi
Sekalipun di kampung orang asli


Islam itu luas jangan disempitkan,
perubatan Islam bukan hanya pada ruqyah,
sastera Islam bukan  hanya kisah nabi dan sahabat
pakaian Islam bukan hanya kopiah dan jubah,
Seni Islam bukan hanya pada nasheed dan berzanji
binaan Islam bukan pada kubah bangunan
kereta Islam bukan pada hon bismillah

Islam bukan untuk komersial
rumah Islam
pakaian Islam
sekolah Islam
pasar Islam
resort Islam
tasbih Islam
kismis Islam
selipar Islam
serba serbi Islam
demi pamrih keuntungan niaga.

Islam bukan pada wajah
Islam itu pada prinsip

Islam bukan pada nama
bukan juga pada jenama
Islam pada isi kandungannya
berteras prinsip ilahi rabbi

Luaskan Islam sehabis maya pada
biar melonjak ke sidratul muntaha!
citranya tertancap di syurga loka...

SUNGGUH MULIA BUDIMU TUAN

October 5, 2012

Sunguh mulia budimu tuan,
Untuk kami orang bawahan,
RM500  tuan taburkan,
Wang kami tuan sedekahkan,

Tuan berikan kami hanya secubit,
Duit sekupang dikata seringgit,
Duit seringgit dipuji melangit,
sambil menghulur mata mengenyit,

Mulia budi tuan bangsawan,
Sekupang untuk kami rakyat bawahan,
Emas seguni tuan taruhkan,
tak habis makan tujuh keturunan.

Puji tuan berjiwa rakyat,
Buruh petani hidup melarat
Tuan membela mengaku sahabat
kepala digosok punggung disebat,

Kami dapat wang saku
Baru dapat tuan sapu
Buat membeli gula sebuku
Habis diguna belum seminggu

Tuan dapat emas tempawan
kemerlip permata juga intan
serta mutiara dasar lautan
Tahi tuan jadi jualan.

Sungguh mulia budimu tuan,
hutang kami  jadi tuntutan,
Hutang korporat tuan maafkan,
Sekupang dituntut sejuta diabaikan.

Di mata tuan siapalah kami
Kami layak berumah merpati
Rumah tuan tidak terperi
Luas menjangkau separuh negeri.

Sungguh baik budi tuan
Tuan muncul musim mengawan
Menabur janji bawa pembangunan
50 tahun begitulah keadaan.

Waktu kami minta bantuan
Tuan berjalan dongak ke awan
Kala tuan di hujung kekuasaan
Kami menjadi sembahan tuan.

Sungguh lembut bicara tuan
Tawadhuk diri mengaku syaitan
Apa sahaja sanggup lakukan
Demi diberi hayat kekuasaan.

Kuasa itu putaran roda,
Sampailah masa bertukar mahkota
raja bukan selamanya bertahta
kini masa hamba berkuasa

Raja rakyat hanyalah nama
bila berkuasa seorang hamba
berilah nama sebagai raja
raja pula namakan hamba.

Miskinlah sudah budi tuan,
Tuan memberi air minuman
kini dilihat sebagai kumbahan
Belanjawan tidak menjemput senyuman.

Onar noda banyak sekali
Tuan bersaudara tidak berbudi
Amanah rakyat banyak dikhianati
Marhaen mengais mencari razeki.

Sayang sekali dataran permata
Rakyat mengais merata-rata
Hanya kerikil yang dijumpa
Tuan bersaudara kebas semua.

Sungguh baik budi tuan,
Seperti budi kera di hutan
Dusun dijaga buah dimakan
Dahan patah buat bergayutan.

Kejahatan sedikit orang baik VS Kejahatan menggunung orang jahat.

October 4, 2012

Lumrah terjadi dalam masyarakat, kalau orang baik dalam masyarakat seperti ulama, ustaz, tok imam, pak haji dan juga anak-anak mereka terpalit dengan sesuatu perbuatan keji, perhatian masyarakat terhadap kejahatan itu akan sangat berlebihan. Cemuhan dan kejian ke atas mereka pun amat hebat berbanding jika perbuatan keji yang sama di lakukan oleh orang lain terutama jika dari kalangan yang sudah dikenal jahat. Kalau memang orang itu sudah dikenali jahat, perbuatan kejinya tidak menarik perhatian cemuhan orang pun. Malah, kekadang orang tidak peduli lantaran sudah lali dengan perbuatan kejinya.

Kejahatan pada orang baik amat ketara dilihat. Namun, kejahatan yang lebih dahsyat sekalipun pada orang jahat dipandang tak bena sahaja, malah kekadang tidak terlihat oleh masyarakat.

Demikian halnya dengan situasi negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat (PR) dewasa ini. Media Massa arus perdana yang dikuasai oleh kerajaan persekutuan sering dendangkan kebobrokan yang kononnya dibuat oleh pemerintah kerajaan Pakatan Rakyat. Negeri Selangor diperlihatkan sebagai teruk amat dengan isu air, perumahan, tanah, pasir dan sebagainya. Demikian juga kerajaan Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Semua negeri yang diperintah PR itu diceritakan dalam media massa sebagai kerajaan yang penuh dengan masalah.

Sementara 9 negeri lagi dalam Persekutuan Malaysia ini diperlihatkan sebagai tidak bermasalah dan jika ditimbulkan masalah-masalah, dinyatakan pula bahawa kerajaan negeri tersebut dapat menyelesaikannya dengan jayanya.

Bila malaikat buat salah, memang ia akan jadi bahan orang mengata. Tetapi bila syaitan buat onar, orang sudah tidak kuat dan tidak ghairah mengata lagi.Kita pun tahu siapa yang dikatakan syaitan yang dikenali dalam negara kita. Betapa banyak kejahatan dan kebobrokan yang syaitan itu lakukan, tetapi media massa sentiasa pendamkan. Cemuhan dan kejian tidak ditimpakan ke atas angkara murka sang syaitan. Memang begitulah lumrahnya kejahatan orang jahat.


Namun sebaliknya pula yang berlaku ke atas malaikat yang tidak dikenali. Kerana namanya malaikat, khilaf yang sedikit akan berdengung gemanya seluruh buana. Cerita tentang kejahatannya yang sejengkal akan dilebarkan jadi sehasta. Kalau dapat, ditarik lagi menjadi sedepa, sebatu dan sesaujana mata. Sungguh teruk  malaikat yang kamu puja itu. Sangat jahat dia. Demikian yang media massa arus perdana cuba tanamkan dalam minda jelata. Sehinggalah malaikat dilihat sebagai jahat.


Syaitan dilihat baik dan malaikat dirasakan jahat. Inilah keterbalikkan yang akan berlaku di akhir zaman dan ia sedang berlaku kini.


Kerajaan PR itu, kalau difahami dari ungkapan bersejarah Dr. Mahathir Muhammad, adalah umpama malaikat. Namun sayangnya ia malaikat yang tidak dikenali atau belum dikenali. Sebagaimana lumrah hidup orang baik dan orang jahat dalam dunia, kerajaan yang mengambil watak sebaik malaikat akan dihujani dengan kejian dan tohmahan. Memang tanda orang baik akan dikeji dan dikutuk kalau buat salah. Walaupun kesalahan itu amat sedikit. Kejian dan kutukan selalunya melebihi kadar kesalahan jika ia berlaku pada orang baik. Malah, dalam banyak hal, orang baik selalu difitnah keranah menfitnah orang baik itu menyeronokan bagi kaki fitnah. Fitnah orang jahat tidak ada guna.


Maka, apa nak dihairankan kalau media memaparkan bahawa negeri Selangor sejak diperintah malaikat, amat banyak masalahnya. Banyak penyelewengan para malaikat dan urus tadbir. Dari masalah pasir yang kini telah hilang ketajamannya, ia beralih kepada masalah-masalah berderetan yang tidak pernah habis. Negeri Selangor, satu-satunya negeri yang berani melaksanakan projek air percuma buat rakyatnya digambarkan kehabisan air sehingga perlunya menyedut air dari negeri Pahang yang mewah airnya tetapi rakyat tidak mendapat air secara percuma.Tidak cukup dengan masalah air, negeri Selangor berdepan dengan masalah penempatan, perumahan kos rendah dan macam-macam lagi. Sehinggakan, orang-orang dunggu yang mendengar khabar berita dari media penyebar adu domba akan berfikir bahawa Selangorlah negeri yang rakyatnya paling menderita dalam Malaysia. Mereka menderita kerana diperintah oleh malaikat yang turun darim langit padahal rakyat tidak mengenali mereka.


Negeri-negeri lain yang diperintah para malaikat, semuanya begitu. Sarat dengan pelbagai masalah. Negeri Kelantan yang sudah lebih 20 tahun diperintah malaikat, nampaknya tidak juga pernah selesai masalahnya. Kalaulah syaitan yang perintah, sudah tentu belum pun lima tahun, semua masalah akan sirna. Bagaikan syaitan sahaja bijak memerintah di bumi.

Pulau Pinang diperintah oleh malaikat yang bertopeng. Ironinya malaikat yang anti Islam, chauvinis dan anti Melayu. Demikian yang digambarkan tentang malaikat yangs satu ini. Padahal, semasa Pulau Pinang diperintah oleh syaitan dulu, keadaannya baik sekali. Duit rakyat, tanah rakyat, perniagaan rakyat semuanya selamat. Mungkin kerana syaitan tidak suka Islam, maka khabarnya peruntukan untuk pentadbiran Islam di Pulau Pinang hanya sekadar cukup makan sahaja. Ia berbeza dengan apa yang disalurkan oleh kerajaan malaikat yang majhul sekarang.


Kalau mahu dituruti segala umpat keji dan cemuhan orang terhadap orang-orang baik, kita akan jadi bengong dibuatnya. Lebih-lebih lagi jika kata-kata nista itu terbit dari kelompok syaitan dalam masyarakat.  Memang syaitan akan selalu mencari keburukan malaikat. Kalau tidak ada keburukan pada malaikat sekalipun, syaitan akan mencipta keburukan supaya kebaikan malaikat di mata khalayak akan terhakis.

Menarah rerumput di padang ternak tentu lebih menyeronokkan dari menarah pasir di gurun. Mencuci najis di ladang babi hanya membuang masa berbanding mencuci tahu cicak di lantai masjid. Setitik noda hitam di kain putih amat ketara berbanding celupan najis d kain hitam. Menuduh orang baik adalah nikmat bagi penfitnah sedangkan menuduh orang jahat hanya menghabiskan air liur sahaja.

Falsafahnya, orang baik selalu dikeji dan orang jahat sering tidak dipeduli.

Jika kerajaan PR empat negeri selalu dihunjam dengan pelbagai tuduhan, itu bermakna ia kerajaan yang baik. Jika dituduh menzalimi rakyat, ia sebenarnya lebih adil kepada rakyat. Jika dituduh tiada air, ia sebenarnya mengalirkan air kepada rakyat. Rakyat digambarkan tiada rumah, menunjukan rakyat banyak yang dapat rumah. Mafhumnya adalah mukhalafah.

Mungkin terlalu  taksub jika kita mengatakan bahawa semua yang didendangkan media massa adalah auta. Sebuah kerajaan manapun akan punya masalah dan kekurangannya. Kesempurnaan kerajaan hanya ada pada kerajaan langit atau kerajaan syurga loka. Namun, banyaknya keburukan sebuah kerajaan negeri di warwarkan sebagai serabut bermasaah, padahal ia berkungsi selajur tanah yang sama dengan beberapa negeri lain, menunjukkan kerajaan negeri itu lebih baik dari kerajaan negeri yang tidak digambarkan keserabutannya.

Kalau tidak baik, manakan diteliti orang. Sehingga lubang cacing pun dicarigali untuk mencari tahu luas sempitnya. Petanda apa di sebalik semua ini wahai orang-orang yang berfikir?

NASIHAT BUAT PARA GURU YANG MOHON TUKAR.

October 3, 2012

Sahabat-sahabat guru Semenanjung...

Sudah berapa lama khidmatmu sebagai guru kau tebarkan di bumi Sabah ini? Apakah sudah berbuah pohon generasi yang kau semaikan? Kalau pun tidak berbuah, sudahkah ia berbunga? Barangkali, perasaanmu merasakan sudah lama benar di bumi perantauan. Tiga tahun tidak lama. Lima  tahun pun belum cukup lama. Sepuluh tahun mungkin lama. Namun, berapa lama pun dirimu terlantar di bumi orang, jangan sampai hilang pertimbangan. Tindak tanduk hendaklah dipandu dengan akal dan keimanan.

Di kala lama masa sudah mula dirasai, berbondong-bondonglah para guru asal Semenanjung yang berkhidmat di Sabah dan juga Sarawak mengemukakan borang permohonan untuk perpindahan balik berkhidmat di Semanjung. Hal yang sama juga berlaku bagi mana-mana guru yang berkhidmat di negeri Semenanjung yang mahu kembali lebih dekat dengan rumah tempat ibunya melahirkannya. Memang begitulah, tinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya ke belakang kerbau juga tempat hinggapnya. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri.

Apa yang mengesalkan, dalam proses memohon balik ke Semenanjung ini, terdapat sebilangan para guru yang hilang pertimbangan. Demi melunaskan keinginannya untuk balik ke negeri sendiri, terdapat guru yang mencalit diri dengan dosa besar melakar rasuah dalam tugas sucinya. Mungkin ada alasan-alasan yang menyandarkannya kepada konsep darurat dan sebagainya. Namun, rasuah tetap dosa dan darurat tidak boleh menjadi jalan keluar gamblang untuk mengghalalkannya. Lebih-lebih lagi darurat digunakan untuk kepentingan peribadi yang sempit.

Apa maknanya jika pegawai atau individu tertentu yang bertugas di bahagian pertukaran disogok sejumlah wang agar pertukaran menjadi lestari? Dengan sewenang-wenangnya, sogokan tersebut ditafsirkan pula sebagai wang pengurusan. Apa yang mahu diuruskan lagi dengan wang tersebut padahal pegawai tersebut telah dibayar gaji untuk menjalankan kerjanya? Hanya kerana dia akan membuat kerja luar biasa, mungkin, maka wang pengurusan diperlukan. Kalau sudah kerja luar biasa yang akan dia buat, itu ertinya dia telah khianat dengan amanah tugasannya. Jika kita bayar untuk dia khianat dalam tugasannya, apakah kita boleh merasa selamat dari dosanya khianat dalam tugasannya?

Itulah adalah rasuah! Ia tetap rasuah sekalipun tujuannya adalah untuk mendekatkan suami isteri yang telah sekian lama berjauhan. 

Ada pula kecenderungan kalangan guru-guru yang minta tukar untuk dapatkan sokongan dari orang politik. Pertolongan itu ditafsirkan sebagai istighasah yang merupakan amalan yang dibenarkan syarak. Surat sokongan tokoh poilitik dikepilkan bersama surat permohonan pertukaran. Tanpa rasa bersalah, perbuatan tersebut dibuat oleh ramai pemohon pertukaran.

Kenapa minta tolong ahli politik? Kenapa tidak minta tolong dengan pegawai yang menguruskan pertukaran itu sendiri kerana menukarkan orang memang tugas dan kerjanya yang diamanahkan kepadanya! Apabila ada surat sokongan ahli politik disertakan dalam permohonan pertukaran, ia merupakan satu perbuatan campurtangan orang yang tidak berkenaan dalam tugasan pegawai. Ahli politik itu menggunakan pengaruh dan kedudukannya untuk mengubah sesuatu keputusan yang sepatutnya berlainan. Pegawai yang menjalankan tugas pertukaran juga tidak bebas dan dibayangi ketakutan, malu alah, tekanan dan sebagainya. 

Ini satu pencerobohan terhadap bidang kuasa orang lain dengan menggunakan  pengaruh dan kedudukan diri. Siapa yang minta sokongan ahli politik untuk tujuan tersebut, dia telah menyuburkan budaya ahli politik menggunakan pengaruh dan kedudukannya untuk tujuan yang salah. Ahli politik tersebut tidak ada kena mengena dengan bidang pertukaran. Hanya kerana dia menteri, setiausaha politik kepada menteri dan sebagainya, maka dia dirasakan boleh menggunakan pengaruh dan kedudukannya ke atas penjawat awam. Ini salah dan ini menjahanamkan negara.

Jika semua orang mengamalkan budaya ini, negara tidak perlu lagi peraturan pertukaran. Kuasa dan pengaruh orang politik menjadi jawapan kepada semuanya. Jika itu terjadi, rasuah akan merajalela. Ahli politik akan merasakan kedudukan dan pengaruhnya sangat bermanfaat dan tentunya akan sampai satu peringkat dia merasakan perlu mengurusniagakannya. Kala itu, rasuah akan menyubur dan membarah dalam masyarakat.

Subhanallah!Ppara guru mendidik generasi jadi manusia baik, beriman dan generasi pemimpin negara akan datang. Bagaimana akan lahir generasi yang baik dari didikan guru yang menyemai watak ahli politik perasuah dan menyalahgunakan kuasa?

Meneliti secara cermat dan lebih dekat, kita akan dapat mengenal pasti ada perbuatan rasuah tersirat di sebalik surat sokongan orang politik ini. Sudah tentu sokongan ahli politik itu mengharapkan bayaran.  Pemohon pertukaran minta surat sokongan dan secara tersirat menawarkan harapan kepada orang politik itu bahawa dia akan menyokongnya dalam pilihanraya (sekalipun nantinya parti atau ahli politik lain yang diundinya). Orang politik berikan sokongan pertukaran guru dengan bayaran harapan tersebut. Sudah ada pertukaran barang di sini biarpun kita tidak nampak zat barangnya. Duit harapan sokongan dalam pilihanraya dihulurkan guru dan orang politik pula serahkan projek pertukaran kepada guru berkenaan.

Tidakkah hal ini menyerupai amalan rasuah politik yang sering kita dengar?  Seorang ahli perniagaan jumpa menteri minta projek. Patut projek tersebut milik orang lain. Tapi kerana dihulur sejumlah wang, dengan kuasa, pengaruh dan kedudukan menteri itu, projek tersebut diberikan kepada ahli perniagaan tadi yang mana sebenarnya sedang bersaing mendapatkan projek tersebut dengan rakan-rakan perniagaannya.

Seorang guru jumpa atau telefon menteri atau orang politik. Minta tukar. Dengan muka kasihan, janji muluk untuk sokong menteri tersebut dalam pilihanraya, atau tunjuk muka baik dengannnya hingga menteri itu merasakan orang ini ada harapan jadi pengundinya, maka itulah huluran rasuah. Apabila menteri atau orang politik itu keluarkan surat sokongan dan ditambah pula telifon pegawai pertukaran guru supaya orang ini dipindahkan balik Semenanjung, maka itulah umpama projek yang diberi secara salah, bawah meja, pintu belakang dan khianat oleh menteri itu. Kalau kelak, dengan sokongan ahli politik itu, guru berkenaan dapat ditukarkan ke tempat yang diingininya, guru itu akan berkecenderungan untu merasa terhutang budi kepada ahli politik tersebut. Perasaan terhutang budi orag lain merupakan harta yang sangat penting buat para ahli politik.

Maknanya, kalau minta tukar, guna pengaruh menteri dan orang politik, itu adalah salah. Salah. Salah. Salah. Ia adalah rasuah. Ia khianat dalam proses pertukaran yang sepatutnya telus dan adil. Ia subhat dalam pekerjaan dosa. Ia bukan usaha mendapat hak diri sendiri tetapi upaya pintu belakang mengambil hak yang entahkan sepatutnya milik orang lain.

Pertukaran yang ditentukan Allah adalah terbaik. Keimanan yang sejati, tahan godaan dan sabar merupakan ramuan-ramuan untuk menongkah kecenderungan ramai menggunakan cara salah untuk menukarkan dirinya balik ke Semenanjung. Jika sudah sampai takdir Allah SWT, kita akan ditukarkan. Boleh jadi yang kita suka itu buruk untuk kita. Boleh jadi pula yang kita tidak suka itu, ia baik untuk kita. 

Perhatikan diri masing-masing wahai para guru yang mendapat pertukaran secara salah. Memberi rasuah dan menunggangi pengaruh orang politik untuk pertukaran tidak boleh diterima sebagai usaha ikhtiar yang halal. Bahawa, sebarang khilaf, duka nestapa dalam tugas di tempat baru serta sebagainya yang dilihat merugikan diri, adalah natijah daripada menyongsang takdir secara paksa. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Allah tempat kita panjatkan permohonan. Isi borang online, hantar secara manual kepada pegawai bertugas, pergi Putrajaya atau Cyberjaya bertemu pegawai bertanggungjawab untuk minta pertimbangannya dengan tulus ikhlas, adalah usaha dan ikhtiar yang berada dalam landasan yang betul. Ia betul kerana mereka adalah ahli dalam menukarkan guru. Mereka memang ditugaskan untuk itu. 

Apabila kita dapat pekerjaan secara khianat, apakah hukumnya gaji yang kita makan saban bulan. Fikirkan, jika kita rampas dusun duiran seseorang, lalu kita makan hasilnya, apakah halal untuk kita? Demikian hal jika kita bertukar tempat bertugas dengan cara yang salah, rasuah dan khianat orang politik menggunakan pengaruh dan kedudukannya, maka apakah kedudukan pendapatan pekerjaan di tempat baru itu?

Tepuk dada tanya iman. Tidaklah aku paksakan lontaran ini dianut oleh guru-guru yang mohon pertukaran. Namun, lapangkan dada dan fikirkan dengan fikiran yang jernih. Usah didorong kepentingan diri yang amat terdesak mahu lunaskan impian diri. Iman dan takwa akan menjawab duduk perkara dalam persoalan ini.

Semoga Allah pelihara daku dan saudara-sadaraku para pendidik....