Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2021

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Qais bin Mulawwah

May 23, 2016

Seorang lelaki pencinta wanita telah terkorban kerana cintanya.  Itulah Qais bin Mulawwah yang hidup antara tahun 24 H hingga 68 H. Tempoh itu adalah zaman pemerintahan khalifah Marwan bin Al-Hakam dan Abdul Malik bin Marwan daripada dinasti Bani Umayyah. Kerana sangat mencintai Laila ِAl-'Amiriah, sepupunya yang membesar bersamanya sejak kecil, dia digelar sebagai Majnun Laila.

Cinta Qais dan Laila terhalang oleh kerana ayah Laila tidak menyetujuinya. Sebab kenapa ayah Laila tidak menyetujui percintaan dua kekasih itu adalah dikatakan berhubung dengan adat jahiliah yang masih diamalkan di kalangan kaum Badwi ketika itu yang memandnag hina kepada perkahwinan yang diasaskan atas cinta. Adalah satu keaiban buat ibu bapa gadis jika anak gadis mereka dicintai oleh seorang lelaki dan berkahwin kerananya. Menjadi satu kehebatan pula jika ibu bapa mengahwinkan anak gadis mereka mengikut pilihan merek.

Ada juga yang mengaitkan kengganan ayah Laila merestui hungan Qais dengan Laila adalah berkaitan permusuhan keluarga antara ayah Qais dan ayah Laila sendiri.Permusuhan tersebut berkaitan dengan harta pusaka yang mana ayah Laila menuduh ayah Qais mengambil haknya.

Maka cinta Qais tidak kesampaian. Laila dikahwinkan oleh ayahnya dengan seorang lelaki lain bernama Warad bin Muhammad Uqaili dari Bani Tsaqif  berasal dari Taif  Maka setelah berkahwin, Laila dibawa ke Taif dan tinggal di sana. Qais menjadi tidak menentu seperti orang gila dan berkelana antara Najad, Syam dan sekitar Hijaz. Pada akhirnya Qais didapati mati tergeletak di antara batuan di padang pasir.

Syair Qais bun Mulawwah yang menggambarkan cintanya yang amat sangat buat Laila:


أمر على الديــــــار ديار ليـلى ... أقبل ذا الـــــــجدار وذا الجـدارا
وما حب الديار شـــــغفن قلبي ... ولكن حب من ســـــــكن الديارا


Aku lalui negeri-negeri yang merupakan negeri Laila
Aku kucupi dinding-dindingnya
Bukanlah kerana cintakan negeri itu yang memenuhi hatiku
Namun hanya cintakan orang yang menghuni negeri itu.

Disebutkan  oleh periwayat cerita Qais, bahawa pada satu musim haji, beliau telah dibawa oleh ayahnya pergi mengerjakan haji di Makkah. Ayahnya memintanya berdoa di sana agar disembuhkan daripada penyakit cintanya.  Di sana , ayahnya suruh Qais bergayut di kelambu Kaabah dan memohon kepada Allah agar menyembuhkannya. Akan tetapi, lain pula yang diminta oleh Qais. Qais malah berdoa:


اللهم زدني لليلي حبًا وبها كلفًا ولا تنسني ذكرها أبدًا


" Ya Allah, tambahkan beban cintaku kepada Laila dan janganlah buatkan aku melupainya selamanya".





GURU BERNESAN ZAMAN (EDISI REVISED)

May 16, 2016

Insan bernama guru
Telah berdiri sebagai gapura ilmu
Untuk manusia menggapai apa mahu.
Untuk membuang jahil menjadi tahu
Dari meraba-raba lalu pasti tempat tuju.
Mengajar lurus pasak nawaitu
Memercik semerbak harum gaharu
Membawa ke puncak ke atas awan biru.

Insan bernama guru
Telah mengalirkan sungai bijaksana
dari legeh para pendeta .
Telah menyemaikan sebendang saujana mata
ilmu warisan para cendekia
Telah menanam taman rimbun merimba
buat teduh musafir kelana di dunia.

Insan bernama guru
Telah membangunkan kota perkasa
untuk mengepung sejahtera pewaris citra.
Telah meluncurkan bahtera merdeka
agar generasi muka berdiri penuh maruah di dada
Telah mengajar para si buta
bangaimana mengenal semua panca indera
telah melukis sejarah bangsa dan nusa
Agar bangkit menguasai dunia.

Berkata bijak pendeta
ilmu lebih mulia daripada harta

ilmu menjaga kita
kita pula kalut menjaga harta

Ilmu bertambah jika disebar
Harta musnah bila terbiar

Ilmu mengangkatmu ke harkat malaikat
Harta menyaratkanmu ke karat bejat.

ilmu menggapai Sidratul Muntaha
sedang harta melata bersalut noda.

Tuan ilmu itulah guru
Tuan harta itulah juta

Guru bersila di langit pendeta
menghidu semerbak harum syurga
di atas dari angkasa raya
bargayut di bawah arasy mulia

Juta bergelut di kumbahan sengketa
Merebut harta membangun istana
Agar diri mewah ternama
Harta melimpah lanai berjela.

Tak akan sama guru tuan ilmu
Dengan si juta tuan harta!

Guru itu insan mulia
jiwa bersinar memancar citra
menyebar idealisma hidup berbangsa
mengangkat yang hina jadi mulia
memimpin yang mulia menyempurna karma
membuka jalan menuju syurga.

Harta mengalir melimpah dunia
legehnya datang dari ajaran guru
Empayar besar tegak beribu tahun
di garis pertama guru melakar
Manusia memanjat mikraj malaikat
gurulah meletak takah-takahnya

Guru terbenam di perut bumi
Nama didendang di sana sini

Walau jasad telah sirna
tidaklah makrifat hilang bersama.

Nama orang tertulis di nesan?
nama guru ditempa zaman.

Yang mati namanya dilupa
nama guru masih diwarta

Orang lain mati bergalang tanah
Guru mati didendang madah.

Wahai guru 
pacakkan nesanmu di dada zaman
sebutir benih yang kau tanam hari ini
Kan tumbuh sebagai pokok sidrah
Akarnya mencengkam pucuknya mengawan
akan berjuntai dahannya berabad
Daunnya bertunas tertulis namamu
Buahnya tidak luak dimakan berzaman.

Biar ringgitmu sekeping cuma
dengannya kelak kau rantaikan pahala
Terbujur engkau di Barzah sana
Bertemali jariah engkau terima
sebagai kalung bahagia di hari muka.

Wahai murid
pencakkan tarimu dengan gemalai cinta
pada guru yang menuntun tulis baca
mengajar hitung kira
mencanai minda bijaksana
menghiaskanmu akhlak calon syurga
satu masa jangan kau lupa
di mana langkahmu bermula
sebelum kau berdiri di menara jaya
Itulah pada sabarnya guru mulia.

Gurumu tidak bernesan dua
Dia bernesan zaman
Selagi ada roda masa
Akan kau baca namanya
Yang ditempa pada nesannnya….

Hasil Karya: Ust Kama

Dideklamasikan pada 16 Mei 2016 Sempena Sambutan hari Guru Peringkat SKSS


KEBAIKAN DAN KEBURUKAN TIDAK AKAN BERSAMA

May 7, 2016

Mereka yang banyak duit
berlumba menaja jutaan ringgit
untuk pasukan bola yang tenat sakit
dengan tujuan bingkas bangkit.


Setengah daripada kita mungkin rasa hairan. Apalah harganya menaja pasukan bola sepak dengan angka jutaan ringgit. semua itu hanyalah untuk permainan yang tidak menjanjikan pahala yang lumayan, apatah lagi untuk menjadi jariah yang berkekalan di hari kemudian. mengapalah tidak disalurkan semua itu untuk membangunkan rumah-rumah anak yatim seantero negeri, atau memantapkan infrastruktur maahad tahfiz, masjid-masjid atau seribu satu macam amal soleh jariah yang dipuji agama?


Mengapa jalan terang tidak dipilih tetapi jalan kabur berkabus juga yang dikelih. Jalan orang soleh tidak diraih, tetapi ditatih jalan orang safih.


Apa sudah jadi dengan hartawan dan jutawan kita?


Sejenak aku tersentak menyemak sepotong Firman:


لِيَمِيزَ اللَّهُ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَيَجْعَلَ الْخَبِيثَ بَعْضَهُ عَلَىٰ بَعْضٍ فَيَرْكُمَهُ جَمِيعًا فَيَجْعَلَهُ فِي جَهَنَّمَ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ


Supaya Allah memisahkan golongan yang buruk daripada yang baik dan menjadikan yang buruk itu sebagiannya di atas sebagian yang lain, lalu ditumpukkan satu sama lain dan dijadikannya isi neraka Jahannam. Mereka itulah orang-orang yang merugi.
(Surah al-anfal:37)


Disebutkan dalam tafseer Ibn Kathir bahawa Abu Sufian yang pulang membawa keuntungan dagangan setelah mengelakkan daripada disergap oleh kaum Muslimin telah berkempen kepada pemegang-pemegang sahamnya di Makkah agar mendermakan harta itu untuk menuntut bela kematian pemuka Quraisy dalam perang Badar. Lantas, mereka pun mendermakan harta mereka untuk melengkapkan upaya memerangi Rasulullah yang membawa kepada peperangan Uhud.


Allah mencela usaha mereka dan menggambarkan bahawa harta mereka yang digunakan untuk derma peperangan itu adalah dari sumber yang buruk dan kerana itu tidak akan pergi melainkan kepada yang buruk juga. Mereka memperolehinya daripada harta kaum muslimin yang dirampas setelah orang Islam berhijrah lalu mereka niagakan di Syam. Harta yang jelek itu kemudian akan tumpah kepada kerja-kerja memerangi Islam. Al-hasil wal mahsul tidak mendatangkan apa-apa kebaikan untuk mereka di dunia, apa lagi di akhirat!


Maka, falsafah harta, jika dicermati, kita akan mendapati perhitungan sedemikian. Jika harta itu baik, Allah akan lorongkan ia dibelanjakan ke jalan yang baik. Sementara, Jika harta itu jelek, ke tempat jeleklah ia dibelanjakan. Jika harta itu 'lagha', ke medan 'lagha'lah ia ditaburkan.


Tidak perlu hairan kenapa begitu mudah jutaan ringgit digunakan untuk kerja-kerja yang tidak berfaedah.Ya...apalah faedahnya bola sepak untuk agama? Malah, apalah faedahnya untuk bangsa dan negara. Belanjakan jutaan ringgit untuk permainan yang melalaikan itu tidak akan mendapat keuntungan hari akhirat. Ia mungkin nampak untung dalam dunia, tetapi dunia hanyalah fatamorgana.


Jika asalnya tanah, akan kembali kepada tanah. Barang yang rendah nilainya jatuh ke bawah. Jika tinggi mutunya, akan terbang hingga atas langit ke tujuh.

MENCOTENG HIKAYAT

May 5, 2016

Diceritakan oleh para penghikayat.

Pada satu ketika,Syeikh Ahmad Ar-Rifai telah menziarahi kubur nabi SAW di Madinah lalu di sisi kubur baginda , beliau berbicara sepotong kalam Syair:
 

إن قيل زرتم بما رجعتم يا أشرف الرسل ما نقول

" Jika ditanya kamu telah ziarah kubur nabi, apa yang kamu bawa pulang...Apakah akan kukatakan wahai Rasul termulia?

Lalu tiba-tiba kedengaran suara dari kubur nabi SAW, Rasulullah menjawab:

قولوا رجعنا بكل خير واجتمع الفرع والأصول

"Kamu pulang membawa kebaikan yang banyak...Dan telah berhimpun bersama keturunan dan leluhur"

Kemudian, diceritakan bahawa Syeikh Ahmad Rifa'i bersyair lagi:

فامدد يمينك كي تحظى بها شفتي

" Maka hulurkan tangan kananmu agar dua bibirku mendapat keberuntungan dengan menciumnya".

Lalu keluarlah tangan baginda Rasulullah SAW dari dalam kubur dan disalami serta dicium oleh Syeikh Ahmad Rifa'i. Menurut Sayyid Muhammad Abul Huda As-Soyadi dalam kitabnya Qiladah Al-Jawahir, peristiwa itu disaksikan oleh 90 ribu orang yang hadir bersama termasuk Syeikh Abdul Qadir Jailani.

Inilah di antara cerita ajaib yang dirwayatkan oleh kalangan yang menisbahkan diri sebagai ahli Sufi. Cerita ini juga turut dihikayatkan oleh penceramah-penceramah kita atas nama karamat para wali. Tanpa mahu merendahkan kemuliaan Syeikh Ahmad Ar-Rifai yang disebutkan dengan sebutan mulia oleh para ahli sejarah Islam seperti Az-Zahabi, Ibn Kathir, Ibn Khalikan serta lainnya, cerita tersebut sangat pelik dan cacat dalam banyak aspek.

Cerita itu adalah rekaan para pentaksub kepada Syeikh Ahmad Ar-Rifa'i (Qaddasallahu Ruhahu). Antara alasannya adalah kerana dalam cerita ini digambarkan bahawa nabi bersyair sedangkan nabi tidak pernah mengungkapkan bait syair semasa hayatnya. Dalam sebuah hadis daripada Aisyah dan diriwayatkan oleh Ahmad, Baihaqi, Toyalisi dan lain-lain, beliau menyatakan bahawa:

كان الشعر أبغض الحديث إليه

"Syair merupakan bicara yang paling tidak disukai oleh Rasulullah SAW".

Bagaimana pula Rasulullah boleh berbahasa Syair dengan Ahmad Ar-Rifa'i sedangkan semasa hayat baginda, tidak pula baginda berbual dengan irama syair atau sajak dengan sahabatnya? Sementelahan ungkapan syair itu , jika dinilai oleh para ahli dalam bahasa Arab, akan mendapati ada "lahn' dan "syaz". Kelihatannya syair itu dikarang oleh orang yang lemah dari aspek bahasa.

Selain itu, catatan bahawa peristiwa itu disaksikan oleh 90 ribu orang saksi yang hadir bersama, juga adalah satu yang berlebih-lebihan. Kapasiti Masjid Nabawi, lebih-lebih lagi pada zaman tersebut, tidak mampu menampung sejumlah itu. Kalau pun dapat sejumlah itu, sudah tentu akan bersesak dan berhimpit dan tentunya tidak semua dapat melihat keajaiban itu. Ironinya, cerita nabi keluarkan tangan dan bersalam dengannya itu tidak masyhur dan tidak diriwayatkan secara meluas di kalangan ulama. Kalau 90 ribu menyaksikannya, tentulah kita akan mendapat cerita itu dalam bayak riwayat serta karya para ulama.

Maka, selain Syiah yang suka mengada-adakan cerita kehebatan para imam maksum mereka, kalangan melampau daripada ahli tasawwuf juga mengambil jalan yang sama. Banyak cerita ajaib mengenai syeikh direka dan ditokok tambah. Sedangkan tentang nabi SAW pun ada cubaan " memaudhu'kan", apatah lagi para ulama dan auliya selepasnya. Mujurlah nabi SAW dipagari dengan ketat oleh ilmu periwayatan hadis, maka kecederaan pada keperibadian nabi dapat dikurangkan. Tetapi, tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam, tidak dapat dikawal tuntas oleh ilmu periwayatan. Maka cerita bohong dan dusta berlegar-legar.

Tinggal lagi kita berfikir sebelum menelan cerita. Jangan asal berkilau disangka permata!