Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Showing posts with label pengajaran. Show all posts
Showing posts with label pengajaran. Show all posts

GEMBALA UNTA LEBIH BAIK DARIPADA GEMBALA BABI

December 8, 2022

Kerajaan Bani Umayyah  yang berpusat di Kota Damsyiq tersungkur rebah pada tahun 132H. Khalifahnya yang terakhir, Marwan bin Muhammad ( Marwan Al-Himar) kalah dalam perang Az-Zab Al-Kabir yang menyaksikan runtuhnya puing-puing kerajaan bani Umayyah. Berikutan dengan itu, siri-siri pembunuhan kejam dan permbersihan politik digencarkan oleh para pemimpin kerajaan baru iaitu Bani Abbasiyyah. Saki baki keluarga Bani Umayyah yang dilihat berpotensi untuk menjadi ancaman di masa depan diburu dan dibunuh. 

Namun, Allah mentakdirkan seorang putera masa depan Bani Umayyah terselamat. Beliau adalah Abdurrahman bin Mu'awiyah bin Hisyam bin Abdul Malik. Beliau dapat melarikan diri demi menyelamatkan nyawanya. Kisah meriwayatkan bagaimana dia berenang menyemberang sungat Furat demi sebuah pelarian menyelamatkan nyawa dari kebuasan politik. Kala itu usianya masih belasan tahun.  Belia jadi buruan politik yang dikehendaki dan menyamar dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Dari Tanah Syam, beliau membawa nestrapanya ke Mesir hingga ke Tanah Maghrib. Beliau menyemberang lautan melalui Selat Gibraltar dan mendarat di Andalus yang saat itu berada di bawah pemerintahan para gabenor yang sentiasa berdepan dengan pemberontakan di sana sini. Fasa itu dinamakan fasa "'Ahdul Wulat".

Dengan kehebatan Abdurrahman, dia dapat mengambil alih posisi dan mententaramkan tanah Andalusia. Tidak hairan, Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur di Kota Baghdad mengakui Abdurrahman sebagai "helang Quraisy". KIsah pengkelanaannya sungguh menakjubkan. Namun atas segalanya. ia adalah susunan sebuah takdir Allah SWT.

Abdurrahman mewariskan sebuah daulah yang kuat untuk anak cucunya. Dia bertahta selama 33 tahun. Pada fasa berikutnya, kerajaan Bani Umayyah mencipta kemakamuran dan perluasan yang memancarkan cahaya terang ke seluruh Eropah. Ia menjadi pencetus peradaban yang dikenang sehingga kini. Hingga, pada zaman Abdurrahman An-nasir, dia mengambil gelaran Khalifah kerana kondisi kekhilafahan Abbasiyyah saat itu sangat lemah. Apatah lagi, di Mesir telah berdiri khalifah Fatimiyyah yang bermazhab Syiah Ismailiyyah.

Para khalifah Bani Umayyah bersilih ganti hinggalah zaman Al-Hakam Al-Mustansir Billah. Pengaruh seorang hamba  perempuannya   yang bernama Subuh Al-basytakiyyah telah mempercepatkan kejatuhan dinasti Bani Umayyah. Beliau menjadi dalang di balik naiknya anaknya yang bernama Hisyam Al-Mu'ayyad atas tahta. Kala itu, Sang hajib bernama Al-Mansur bin Amir menjadi pemegang kuasa sebenar.  dia memang berjasa dan hebat. Tetapi sesudahnya, penggantinya adalah orang yang tercela dan merosakkan kerajaan. Para umara bani Umayyah pula bersengketa dan bergaduh hingga mempercepatkan tamatnya riwayat kerajaan Bani Uamyyah di Andalus..

Apabila sudah demikian, berpecah belahlah kerajaan menjadi wilayah-wilayah kecil yang dikendalikan oleh raja-raja yang banyak. Itulah zaman yang disebut sebagai 'Ahdu Mulukut Tawaif. Pada masa inilah kerajaan Kristian dari Leon dan Castella yang diketuai oleh Raja Alfonso V memperkotak katikkan para raja-raja Muslim yang tamak dan mementingkan diri itu. Dia mengugut dan melaga-lagakan sesama mereka.



Dalam kemelut keruntuhan iman, moral dan wala' kepada Islam ini, muncul satu nama yang penting dari kalangan raja-raja kecil di Andalus. Dia adalah Al-Mu'tamid bin Ubbad, raja Isybilia ( Sevilla). Beliau cuba menghimpunkan semua raja muslim di Andalus agar berpadu melawan kemaraan raja Alfonso V. Namun, mereka menyatakan kelemahan dan ketidakmampuan untuk mendepani kemaraan raja Kristian itu. Itulah yang menyebabkan Al-Mu'tamid bin Ubbad mencadangkan agar diminta pertolongan kepada seorang penguasa muslim yang masyhur namanya di Utara Afrika, yang kerajaannya berpusat Kota Murakesh. Beliau bernama Yusuf bin Tasyafin, raja dan penguasa bagi Kerajaan Murabitun.

Para raja muslim Andalus mulanya keberatan kerana takut hilang kuasa kalau Yusuf bin Tasyafin masuk ke Andalusia untuk menolong mereka. Namun, Al-Mu'tamid bin Ubbad menegaskan dengan kata-katanya yang masyhur dan terukir dalam memori sejarah dengan pujian:

رَعْيُ الجِمال خَيْرٌ من رَعْيِ الخَنازِيْر

" Gembala unta lebih baik daripada gembala babi!".


Maka pertolongan Yusuf bin Tasyafin dipohon. Beliau seorang pemimpin hebat dan ada kesedaran utuh tentang menjaga wilayah umat Islam. Dengan semangat itu, Yusuf bin Tasyafin menyemberang laut ke Andalusia demi meyelamatkan maruah umat Islam. Terjadilah Perang Zallaqah pada tahun 479 H yang menyaksikan kemenangan gilang gemilang pasukan Islam dan tumpasnya pasukan Alfonso V. Sebagai tanda keikhlasannya membantu, selepas itu Yusuf bin Tasyafin pun menarik keluar semua tenteranya dari bumi Andalusia dan tidak membawa secuit pun ghanimah perang.

Namun, setelah Yusuf bin Tasyafin meninggalkan bumi Andalusia, para raja muslim di sana kembali bersengketa dan menjadi pengkhianat satu sama lain. Kekuasaan Kristian kembali bangkit dan melaga-lagakan mereka. Ini menimbulkan kemarahan Yusuf bin Tasyafin hingga membawa kepada penyemberangan kali ke-2 beliau ke Andalusia pada tahun 481H dan seterusnya kali ke-3 tahun 483H yang mengakibatkan tamatnya zaman Kerajaan Tawaif dan Andalusia kemudianya ditadbir oleh kerajaan Murabitun dari Murakesh. 

Al-Mu'tamid sendiri telah mendapat apa yang dia ibaratkan dalam kata-katanya iaitu menjadi gembala unta lebih dia sukai. Dia ditawan oleh kerajaan Murabitun dan dibawa balik ke Murakesh dan dipenjarakan di Aghmat, sebuah kota di selatan Murakesh. Di sanalah dia meninggal dan dikebumikan. Adapun di tanah Andalusia, kerajaan Murabitun angkat gabenornya untuk mentadbir dan memerintah bagi pihak kerajaan pusat di Murakesh.




Mencipta isyarat membantu orang

February 11, 2022

Cara kibarkan bendera putih itu adalah kreativiti semasa bencana Covid melanda dan rakyat berada dalam suasana PKP yang menekan kehidupan mereka. Melalui kibar bendera putih, orang  dapat mengetahui kesusahannya. Tidak ada alasan untuk mempertikaikan kaedah ini. Ini adalah satu kreativiti yang terbit daripada humanity.

Pada zaman dahulu, di Delhi India, antara tahun 1211 hingga 1229, ada seorang Sultan memerintah. Namanya Sultan Syamsuddin Al-Tutmish. Beliau seorang Sultan yang adil dan mahu mebela dan menjaga kebajikan rakyatnya. Baginda mencetuskan satu cara memudahkan bantuan terhadap rakyat yang dizalimi. Oleh kerana waktu itu kebiasaan rakyat di Delhi memakai pakaian bewarna putih, maka baginda memberi cara kepada orang yang sedang dizalimi memaklumkan dia mangsa kezaliman. Orang yang dizalimi hendaklah memakai pakaian yang bewarna ketika berada dalam pehimpunan atau ketika datang solat dimasjid. Jika Sultan atau pemgawai-pegawainya melihat ada rakyat yang memakai pakaian bewarna, maka tahulah mereka bahawa orang itu sedang dizalimi dan perlu dibantu.


Syamsudin el-Tutmish, Sulan Delhi: 1211-1229


Cara itulah yang telah digunakan oleh puteri Sultan Syamsuddin Al-Tutmish sendiri, Radhiah binti Al-Tutmish. Selepas ayahnya mangkat, dan tahta diteruskan oleh abangnya Ruknuddin Fairuz Syah, abangnya itu berlaku zalim dan membunuh Izzuddin adiknya. Dia juga mahu membunuh Radhiah. Tapi Radhiah telah melarikan diri ke masjid besar Delhi dan memakai pakaian bewarna sehingga orang ramai pun sedar yang dia dizalimi. Mereka membantunya dan mengalahkan Ruknuddin Fairuz Syah. Akhirnya Radhiah sendiri jadi Sultanah yang memerintah di Delhi dan  memerintah selama 4 tahun antara tahun 1236-1240.

Apa yang dilihat lebih cepat menarik perhatian berbanding daripada  apa yang didengar. Kata orang, sebuah gambar menceritakan seribu bahasa sedangkan lidah hanya menceritakan dalam satu bahasa sahaja dalam satu masa.

Jangan terpedaya dengan luarnya.

October 7, 2019

Orang selalu menghukum berdasarkan apa yang mereka nampak. Apa yang tersembunyi tidak diketahui orang dan selalu disalahtanggapi. Seorang dimuliakan kerana penampilan luarannya. Jika kejelekan dalamannya terserlah, sudah tentu dia akan dipandang hina. Demikian pula, seseorang itu dihina kerana nampak jelik pada luarannya, namun kalaulah orang nampak kemuliaannya di dalam, sudah tentu dia akan disanjuing dan dipuja.

Ada sebuah cerita yang saya baca.

Cerita seorang pelukis tua yang tinggal dalam sebuah desa.  Dia pandai melukis dan dia menjual hasil lukisannya. Harganya pun mahal. Satu hari seorang miskin yang tinggal dalam desa itu datang kepada pelukis itu dan menegurnya. 

" Kamu banyak melukis dan banyak dapat duit daripada hasil jualanmu....tapi kamu tidak membantu orang susah dalam kampung ini", si miskin itu memberi komentar.

" Cuba kau lihat penjual daging di pasar itu, dia tidaklah kaya, tapi setiap hari sedekah daging kepada fakir miskin dalam desa", tambah si miskin.

Sang pelukis tua cua tersenyum dan tidka menjawab ocehan si miskin. 

Si Miskin itu, keluar daripada pelukis tua itu dan mengunjing kebakhilan si pelukis. Orang-orang dalam kampung pun membina persepsi buruk kepada si pelukis. Mereka melihat si pelukis itu banyak duit tapi kedekut. Dia tidak suka membantu orang susah dalam kampung.

Hinggalah sampai saatnya, si pelukis itu sakit, tiada yang sudi melawatnya. Sampai dia mati, mereka terus memboikotnya. Buruklah nama si pelukis itu di mata orang kampung. 

Setelah matinya si pelukis, orang miskin dalam kampung mula perasan. Penjual daging sudah tidak lagi memberikan sedeqah dagingnya kepada orang-orang miskin dalam kampung.  Saking kehairanan melihat perubahan sikap penjual daging, seorang pergi bertanya kepadanya. 

" Dulu, masa si pelukis masih hidup, dia memberikan saya sejumlah duit untuk saya sedekahkan daging kepada orang-orang miskin, kini, dia telah tiada. Tiadalah lagi duit bantuannya untuk orang miskin!', jawab si penjual daging.

Orang kampung tahu hal tersebut dan mereka terkesima. Si pelukis yang mereka cemuh sebagai bakhil itu rupanya seorang yang pemurah. Daging-daging percuma yang mereka sangka sedekah si penjual daging, rupanya sumbangan si pelukis.

Sesallah...sesal dulu pendapatan. Sesal kemudian tiada gunanya. Sebab itu jangan cepat menghukum orang bila nampak luarannya. Pandangan mata selalu menipu. Masa akan mendedahkan apa yang tersembunyi. Lalu, bersabarlah menggauli peredaran masa sehingga anda mengathui hakikat sebenar.

Pokoknya, perbuatan memperlecehkan orang tidak disukai oleh Allah. Jangan suka buat demikian!

LAFAZ PARSI TIDAK SEMESTINYA IRAN

February 21, 2014

Memang dalam hadis ada peringatan dari Rasulullah SAW tentang bahaya yang datang dari parsi seperti hadis-hadis yang menyebutkan tentang peristiwa keluarnya dajal. Sesetengah kalangan menjadikan hadis yang menyatakan dajal akan diikuti oleh 70 ribu Yahudi Isfahan sebagai amaran tentang bencana yang datang dari negara Parsi. Sekarang Parsi wujud sebagai negara Iran. Kebetulan pula Syiah yang telah berjaya membina kerajaan di sana. Maka kecurigaan ummat, khasnya dunia ahli Sunnah terhadap bumi yang dulunya dikenali Parsi menjadi kian menebal.

Namun, perlu diketahui bahawa Islam tidak membawa pemikiran membenci mana-mana wilayah atau negeri. Atas sifatnya sebagai sebuah kawasan yang punya sempadan geografi tertentu, Islam tidak pernah mengajar kita mencelanya dan membencinya. Termasuklah negeri Parsi atau Iran.

Kebencian itu adalah kepada kekufuran. Sekalipun di bumi Makkah, jika kekufuran bersenandung, kita wajib membencinya. Sekalipun du bumi para ambiya, jika bid'ah dan khurafat bergentayangan, kita wajib membencinya.

Perkataan Parsi atau Faris dalam hadis sering difahami secara berbeza di kalangan ulama. Dalam Sebuah hadis, nabi telah memuji Salman Al-Farisi ketika para sahabat meminta baginda merjelaskan maksud "kaum yang lain" sebagaimana disebutkan dalam Al-Quran ayat 38 Surah Muhammad:

هَا أَنتُمْ هَٰؤُلَاءِ تُدْعَوْنَ لِتُنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبْخَلُ ۖ وَمَن يَبْخَلْ فَإِنَّمَا يَبْخَلُ عَن نَّفْسِهِ ۚ وَاللَّهُ الْغَنِيُّ وَأَنتُمُ الْفُقَرَاءُ ۚ وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُم

Maksudnya:Ingatlah, kamu Ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang kikir, dan siapa yang kikir Sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling niscaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.

وأخرج الترمذي وابن حبان وغيرهما، ما لفظه كما روى الترمذي عن أبي هريرة رضي الله عنه أنه قال: قال ناس من أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم: يا رسول الله؛ من هؤلاء الذين ذكر الله إن تولينا استبدلوا بنا ثم لم يكونوا أمثالنا؟ قال: -وكان سلمان بجنب رسول الله صلى الله عليه وسلم- قال: فضرب رسول الله صلى الله عليه وسلم فخذ سلمان ، قال: هذا وأصحابه. والذي نفسي بيده لو كان الإيمان منوطاً بالثريا لتناوله رجال من فارس. وهذا الحديث قد صححه الشيخ الألباني وغيره.

Penjelasan;Ketika para sahabat menanyakan maksud kaum yang lain yang Allah akan bawakan menggantikan mereka, Rasulullah menepuk paha Sallman Al-Farisi dan bersabda : Mereka adalah orang ini dan rakan-rakannya (bangsanya). Demi Allah yang jiwaku dalam kekuasaannya, jika iman itu tergantung di bintang Tsurayya, sudah tentu ia akan digapai oleh para 'rijal" dari Parsi".

Perkataan Parsi ditanggapi dengan maksud yang pelbagai oleh ulama mufassirin:
1) Al-Hasan mengatakan ia bermaksud secara umum orang yang bukan berbangsa Arab (ajam)
2) Ikrimah manafsirkannya sebagai bangsa Parsi dan juga Rom.
3) Al-Muhasibi menegaskan bahawa Parsi yang dimaksudkan itu adalah bangsa Parsi dan beliau memuji agama orang Parsi sebagai yang terbaik selepas bangsa Arab.
4) Pendapat-pendapat lain ada yang menafsirkan Parsi itu sebagai Yaman, Orang Ansar, para malaikat dan generasi Tabi'in.

Mujahid pula meluaskan lagi maknanya sebagai mewakili semua manusia tanpa mengira bangsa dan keturunan.

Sebab itu, dalam suasana kita diperingatkan mengenai bahaya Syiah, kita jangan sampai berputus harap mengenai Iran dan bangsanya. Ingatlah bahawa sahabat Salman Al-Farisi adalah dari wilayah yang kita sebut sebagai Iran hari ini. Ada hadis yang mengingatkan bahaya dari tanah Parsi dan ada pula memujinya jati diri bangsa tersebut.

Sebab itu, kita katakan bahawa bukan wacana pemikiran Islam untuk mencemuh mana-mana bumi dan mana-mana bangsa. Sebuah bangsa bangsawan boleh sahaja bertukar jadi haiwan bila meninggalkan jalan Tuhan. Sebuah bangsa hina yang tidak dikenali, corot dan tidak mempunyai akar tamadun yang jelas boleh bertukar menjadi bangsa agung bila jalan Tuhan yang digarap.

Aku sakit

June 22, 2013

Imam Bukhari meriwayatkan dalam Sahehnya hadis mengenai permohonan manusia kepada nabi Ibrahim untuk diberi syafaat di hari akhirat, lalu nabi Ibrahim berkata:

إني كَذَبت ثلاث كذبات

" Sesungguhnya aku telah berdusta sebanyak tiga kali"

Kerana itu menurut Imam Bukhari, nabi Ibrahim menolak hak memberi syafaat hinggalah syafaat itu dilaksanakan oleh nabi Muhammad SAW.

Pendustaan yang dimaksudkan nabi Ibrahim itu ialah:

1) Perkataannya : "Sesunguhnya aku sakit" (Surah As-Saffat: Ayat 89).

2) Perkataannya: "Bahkan yang besar (dari kalangan berhala) itulah yang meruntuhkan berhala sembahan kamu" Surah Al-Ambia: ayat 63)

3) Perkataan nabi Ibrahim bahawa isterinya Sarah itu adalah saudaranya sewaktu ditanya mengenainya oleh seorang penguasa zalim.

Sesungguhnya benar adalah sifat yang wajib bagi para Rasul Allah. Tentu sekali nabi Ibrahim tidak mendusta. Lalu, kenapa Ibrahim mengatakan dia berdusta 3 kali? Dusta apakah yang dimaksudkan? Apakah semua dusta itu dusta dan kemustahilan dustanya pada Rasul itu menafikan sebarang jenis dusta.

Nabi Ibrahim berkata "aku sakit" apabila ditanya oleh kaumnya mengenai kecicirannya dari menyertai pesta kaumnya. Dia bukan sakit pun tetapi cuma alasan untuk mengelak. Dari sudut itu nampaknya dia berbohong. Tetapi, dari sudut lain, hatinya memang sakit. Nabi Ibrahim dilihat sihat kalangan kaumnya tetapi sebenarnya dia sakit dan menderita melihat keukufuran kaumnya. Maka, betullah Ibrahim itu sakit. Dia bukan berbohong.

Nabi Ibrahim kata yang runtuhkan berhala kaumnya itu adalah berhala paling besar. Sedangkan dialah yang runtuhkan semuanya. Dia tinggalkan berhala besar itu dan tuduh berhala itulah yang bantai berhala kecil yang lain. Nabi Ibrahim bohongkah? Dia buat dituduhnya berhala besar itu. Lebih daripada itu, dia fitnahkah ke atas berhala besar itu? Tidak juga boleh dikatakan dia berbohong kerana ungkapan manusia bijaksana macam Ibrahim tidak wajar lurus macam orang bodoh. Orang bijaksana bila berbicara penuh kiasan dan simbolik. Seolah-olahnya nabi Ibrahim berkata:

"Berhala besar itu yang lebih berkuasa dari aku. Ia kan Tuhan? Ia yang lakukan...", sebuah perli maha tajam dari nabi bijaksana.

" Mana boleh...berhala tu tak boleh kelip matapun, apa lagi nak hayun kapak...", kaum bodoh berkata begitu.

" Nah, kalau begitu ia bukan Tuhanlah!", mantik nabi bijaksana mengena.

Itu soal bahasa sahaja. Bukan nabi Ibrahim cakap berhala itu yang buat kerja vandalis di rumah ibadat penyembahnya sendiri. Memang tak mampu pun dan Ibrahim tahu hal itu. Kaumnya juga tahu.

Sementara dakwaan nabi Ibrahim bahawa Sarah itu saudaranya, memang dia saudara nabi Ibrahim Saudara seagama dan seakidah.

Maka nabi Ibrahim tidak berbohong dan tidak berdusta walau dia kata dia ada tiga kebohongan. Kebohongan itu sifatnya nisbi dan hakiki. Yang hakiki itu mustahil buat para nabi dan isa buat kita juga. Yang nisbi itu tidak mengapa. Ia lihat pada keadaan dan situasi.

Bohong suami untuk mendamaikan empat orang isterinya yang bergaduh, itu nisbi. Bohong seorang nmak mendamaikan dua jirannya atau sahabhatnya yang bermusuhan, itu nisbi. Ringkasnya, kalau bohong itu memang perlu dan niatnya baik, itu bukan bohong yang sebenar. Itu cuma nisbi. Bukan hakiki.

Itulah dunia manusia. Kita bukan malaikat. Kita ada seni dan lenggok. Kita ada basa basi. Kita punya ragam dan rencam. Kita bukan lateral dan tidak boleh jadi lateralis. Firman dan sabda jangan ditafsirkan lurus bendul. Jangan pula sampai bengkang bengkok. Ada akal yang menterjemahkan. Namun, dan disiplin yang mengikat.

وَإِذَا مَرِضْت فَهُوَ يَشْفِينِ

Nabi Ibrahim pun sakit. Anda sihat?

Kalau begitu kita semua sering berbohong. Sakit dikatakan sihat. Sakit hati, sakit jiwa, gundah gulana, malas beramal soleh, kurang baca Quran, riya', ujub, tazkiah diri lebih dari orang lain dan seribu satu sakit membaluti diri, semua itu menjelaskan bahawa kita adalah orang-orang sakit belaka.

Yang sakit, penawarnya hanya Allah SWT.

Doa orang yang dizalimi

November 19, 2012


Sebuah cerita menggambarkan doa orang yang dizalimi. Bukanlah satu jenayah untuk mendoakam agar si penzalim diberi balasan. Si penzalim tidak akan dibela sekalipun dia muslim dan yang dizalimi itu kafir. Oleh itu, janganlah para penzalim merasa selamat.
 
Seorang nelayan miskin yang hidupnya menanggung keluarga dengan hasil tangkapan ikan. Malangnya tangkapan ikannya selalu tiada. Hanya menggunakan jala, dia menebarkannya di tepian pantai dengan harapan akan ada ikan yang tersangkut.Beberapa kali dicuba, nampaknya tiada razeki buatnya. Begitulah beberapa hari dan dia tidak berputus asa. Dia mempunyai kesabaran dan tekad berusaha yang tinggi.

Pada suatu hari, dia ke pantai lagi, menebar jala dengan harapan ada ikan yang tersangkut. Beberapa kali dicuba, namun tiada. Namun, dia mencuba juga dengan longlai dan penuh harapan. Lalu, Allah mentakdirkan seekor ikan besar terperangkap dalam jalanya. Alangkah gembiranya melihat ikan besar itu. Sambil menarik ikan tersebut, dia pun membayangkan apa yang akan dilakukan dengan ikan itu.

Akan aku beri makan kepada keluargaku sehingga kenyang. Kepada jiranku juga harus diberikan. Selebihnya barulah aku jualkan. Demikian nelayan itu merencanakan apa yang akan dibuatnya terhadap ikan itu. Razeki yang begitu sukar diperolehi.

Malangnya, ketika itu lalu seorang raja dengan askarnya. Raja itu sangat tertarik melihat ikan besar yang baru diperolehi nelayan itu. Lantas, disuruhnya pengawalnya mendapatkan ikan tersebut dari nelayan. Sudah tentu nelayan itu sangat keberatan. Setelah merasakan bahawa dia tidak dapat mempertahankan ikannya itu dari diambil oleh raja, dia pun meminta harga sebagai bayaran. Dengan angkuh pengawal itu merampas ikan itu dan mengatakan raja tidak membayar harga daripada apa yang dikehendakinya.

Maka, ikan itupun dibawa pergi. Bergenang air mata sang nelayan miskin yang daif dan tak mampu berbuat apa-apa. Haknya dirampas. Kepada siapa hendak dia mengadu? Hanya kepada Allah Tuhan yang satu. Dia pun  menadahkan tangan dan berdoa.

Sementara raja itu, dengan senang hati kerana dapat ikan, disuruhnya tukang masak istana segera masakan ikan itu. Ikan besar itu dia seorang yang makan.

Malangnya, beberpa hari setelah makan ikan itu, raja telah dijangkiti satu penyakit aneh. Penyakit itu pada mulanya hanya berupa bengkak pada ibu jarinya. Bengkak itu disertai dengan sakit yang sangat mengganggu keselesaannya. Lama-lama mula bernanah. Tabib istana dipanggil dan setelah dicermati, dia menasihatkan supaya ibu jari kaki raja itu dipotong. Raja enggan menerima nasihat tabib istana dan disuruh carikan ubat untuk sakitnya. Namun ubat tidak ditemui juga walau bermacam ikhtiar diusahakan. Beberapa hari kemudian, tabib istana yang merawatnya memberitahu bahawa penyakit itu telah merebak hingga ke buku lali. Kakinya hendaklah dipotong supaya penyakit tidak merebak ke atas. Raja masih enggan menenerima nasihat tersebut kerana dia sayangkan kakinya. Dia memerintahkan agar dicari tabib lain yang lebih handal. 

Seorang tabib dari luar di bawa. Setelah melihat penyakit di kaki raja, dia pun memberitahu bahawa penyakit di kaki raja itu telah merebak hingga ke betis. Kalau tidak dipotong betis, ia akan merebak ke atas lagi. Ketika itu, akurlah sang raja. Lantas betisnya itu pun dipotonglah.

Raja sangat sedih atas kehilangan betisnya. Namun, kesedihannya tidak tamat di situ. Dalam keadaan sugul kerana kehilangan kakinya, tiba-tiba negerinya dilanda gempa. Harta benda dan jiwa banyak yang musnah. Keadaan ini membuatkan raja sangat hairan.Lalu, raja memanggil seorang ulama dan bertanyakan maksud di sebalik semua musibah yang menimpanya itu.

" Tuanku telah menzalimi seseorang", ulama itu membuat rumusan.
" Seingat beta,  tidak pernah beta zalimi sesiapa", ujar raja.
" Cuba Tuanku ingat betul-betul, pernahkah tuanku zalimi seseorang?", ulama itu tetap dengan rumusannya.

Maka, ketika mengimbau kembali apa yang telah dilakukannya, raja pun teringat perihal ikan yang dirampasnya dari nelayan. Ketika dia merampas ikan itu, dia tidak merasakan itu satu kezaliman. Apalah harganya seekor ikan.

" Perkara kecil di mata tuanku adalah besar di mata nelayan itu", ulama itu mengingatkan.
 
Raja itu memerintahkan agar nelayan itu dicari dan dibawa mengadapnya.
 
" Apa yang telah kamu lakukan setelah ikanmu beta rampas?", raja bertanya kepada nelayan itu.
" Saya tidak lakukan apa-apa", jawab nelayan ketakutan.
" Ceritakan terus terang, kamu tidak akan beta apa-apakan", raja memujuk dan menenangkan nelayan yang ketakutan itu.
 
Akhirnya nelayan itu pun berkata...
 
"Setelah ikan itu tuanku rampas, saya hanya mampu berdoa..." 
 
"Apa doamu?", soal raja 
 
 Nelayan pun berkata: "Aku hadapkan wajahku kepada Allah dan berkata...

اللهم قد اراني قوته عليّ .. فأرني قوتك عليه


“Ya Allah, sesungguhnya dia telah memperlihatkan kekuatannya atasku...Maka tunjukkanlah kekuatanmu ke atasnya”.
 
 



لا تظلمن إذا ما كنت مقتدرا * * * فالظلم ترجع عقباه إلى الندم
تنام عينك والمظلوم منتبه * * * يدعو عليك وعين الله لم تنم
 
Janganlah kamu berbuat zalim saat kamu berkuasa***Maka kezaliman itu membawa akibat penyesalan
Kamu boleh lenakan mata tetapi yang dizalimi sentiasa berjaga***Dia berdoa ke atasmu dan mata Allah tidak pernah lena.
 
 


Jangan Tinggalkan Daku!

August 15, 2012

Ramadhan kian menginjak ke penghujungnya. Dari kiraan minggu menjadi hari. Dari hitungan hari akan menjadi helaan jam demi jam. Di kala takbir Eidul Fitri mula berkumandang, itulah saatnya Ramadhan melabuhkan tirainya. Gerbang syurga yang terbuka luas kembali tertutup. Tidak ada lagi pintu Rayyan yang dibukakan khusus buat insan berpuasa. Pintu-pintu neraka yang selama ini ditutup, pun dibuka semula. Maka, syaitan-syaitan dan jin derhaka pun kembali bercempera mencuri peluang tipu daya.

Sejurus Ramadhan yang kembali ke perkampungannya, tinggallah kita meneruskan perjalanan menempa bulan demi bulan sehingga kalau ditakdirkan Tuhan, akan bertemu lagi Ramadhan saat ia kembali semula. Oleh itu, dengarlah suara-suara teriak tangis yang bersenandung bersama sirnanya Ramadhan.

"Jangan tinggal daku!".

Segala amalan mulia sepanjang Ramadhan pun merintih. Puasa itu pokok amalan sepanjang Ramadhan.  Ia pun takut ditinggalkan. Maka lanjutkanlah dengan puasa 6 hari di bulan Syawal sebagai lambang dirgahayu buat Ramadhan. Menjaga lidah, amarah, pandangan mata, pendengaran telinga dan juga lintasan hati dari terjerumus noda, semua itu jangan ditinggalkan. Sebulan itu cuma latihan dan ia bukan cerminan diri. Sesiapa yang menghadam maksud, maka tertempalah pada amalan diri untuk 11 bulan berikutnya.

"Jangan tinggal daku!"

Masjid dan surau paling acap dizalimi. Ramadhan menjadi tempo singkat buatnya dikerumuni. Laksana artis terkenal atau pemimpin terkemuka, masjid dan surau menjadi kerumunan manusia untuk mendapat autograf rahmat, maghfirah dan kelepasan dari azab neraka. Sebagaimana saban tahun juga, manusia teramai hanya mengenali masjid dan surau di masa Ramadhan. Sudah menjadi madah pepatah, awal Ramadhan manusia penuh dan surut di penghujungnya. Akhirnya sirna bersama hilangnya hembusan Ramadhan.Hanya manusia yang terpilih sahaja yang Allah kekalkan dia menjadi pengunjung masjid dan surau untuk masa-masa seterusnya. Namun, itu sangat kecil jumlahnya.

"Jangan tinggal daku!"

Masa Ramadhan, lembaran Quran paling banyak dibelek dan dibaca. Tidak cukup dengan belek dan baca di atas sajdah, ia dilanjutkan dalam kereta dan ditempat kerja. Di masjid dan surau pula, berdengung suara alunan tadarus. Meriah amat orang meraikan Al-Quran. Tetapi, apakah pada Ramadhan sahaja Al-Quran dikenali? Padahal Al-Quran adalah kitab bacaan dan juga petunjuk sepanjang hayat. Quran jangan ditinggalkan walau sehari. Sehari ia dimahjurkan, tiga hari ia menyingkir dari kita!

"Jangan tinggalkan daku!"

Perempuan ini makhluk yang punya satu hal juga. Masa Ramadhan ramai yang pakai bersopan. Hormatkan Ramadhan katanya. Macam juga sesetengah orang perempuan hormatkan hari Jumuat dengan berpakaian menutup aurat atau separa menutup aurat. Tujuan menutup aurat bukan kerana Ramadhan, tetapi kerana Allah. Ramadhan pergi, Allah tetap hidup selama-lamanya. Amalan baik menutuo aurat masa Ramadhan itu janganlah ditinggalkan setelah Ramadhan. Sayang sekali penyucian diri yang dibuat sepanjang Ramadhan, akhirnya jadi percuma dan sia-sia.Hidup sebagai orang baik bukan hanya untuk sehari, tetapi ia seharusnya selagi hayat dikandung badan.

"Jangan tinggalkan daku!"

Bangun awal pagi, bersahur, itulah sunnah yang mulia. Ia juga baik untuk kesihatan. Di awal pagi, asid dalam perut dineutralkan dengan makanan yang masuk ke perut. Lepas sahur sempat pula ke masjid dan surau solat subuh berjemaah. Sahur melatih kita bangun pagi. Ia juga menjadi lambang jatidiri sebagai muslim yang sentiasa membedakan diri dari kelompok Yahudi dan Nasara.  Kalau sudah berlalu Ramadhan, amalan ini masih boleh diteruskan. Kalau pun tak mahu puasa, apa salahnya bangun waktu sahur. Makan waktu sahur itu sendiri punya kebaikannya. Kebaikan itu berganda dengan meraih pahala qiam sepanujang malam bila solat Subuh berjemaah di masjid. Amalan istimewa ini seharusnya diteruskan selama-lamanya.

"Jangan tinggalkan daku!"

Jangan tinggalkan puasa, lanjutkan dengan yang sunat. Jangan tinggalkan semangat 'ismah diri dari dosa, teruskan waspada.Jangan tinggalkan masjid dan surau, terus kunjungi untuk solat berjemaah lima waktu di sana. Jangan tinggalkan amalan baca Quran, ia adalah teman karib selagi hayat dan juga sesudah mati. Perempuan-perempuan, teruskan tutup aurat kalian. Sumber fitnah dunia banyak datang dari kalian. Amalan pemakanan yang baik seperti bersahur, boleh jadi amalan yang ditradisikan buat diri. Moga sihat dan dapat berbuat amal sebanyak mungkin semasa hayat ini.

Latihan Ramadhan jangan ditinggalkan!


Perpecahan menjadi sunnah.

June 27, 2012

Sebelum diutuskan Rasul kepada satu masyarakat yang menjadikan kesesatan sebagai jalan hidup mereka, masyarakat itu bersatu padu. Kedatangan Rasul tersebut telah menyebabkan berlakunya perpecahan dalam masyarakat. Sebahagian daripada anggota masyarakat tetap dengan kesesatan mereka , manakala sebahagian yang lain mengikut para rasul tersebut. Demikianlah apa yang terjadi kepada kaum nabi Nuh, Hud, Lut, Soleh, Syuaib, dan seterusnya nabi Muhammad SAW. Allah telah menyebutkan tentang sunnatullah yang terjadi kepada kaum yang diutuskan Rasul sebagaimana firmanNya:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ فَإِذَا هُمْ فَرِيقَانِ يَخْتَصِمُونَ


Dan Sesungguhnya kami Telah mengutus kepada (kaum) Tsamud saudara mereka Shaleh (yang berseru): "Sembahlah Allah". tetapi tiba-tiba mereka (jadi) dua golongan yang bermusuhan.
(Surah An-Namlu: Ayat 45)

Perpaduan yang tegak tidak di atas kebenaran, tidak punya nilai di sisi Allah SWT. Tiada apa yang boleh dibanggakan dengan perpaduan yang sedemikian. Kalaulah perpaduan itu menjadi berharga, sudah tentu tidak perlu dibawa kebenaran untuk menggugat kesatuan yang telah sedia ada itu. Namun, disebabkan kebenaran itu lebih bermakna, maka perpecahan yang terjadi adalah harga yang murah sekali.

Hari ini, ada orang bercakap mengenai perpaduan Melayu.  Ketika datang kalangan yang mendakwahkan kebenaran dengan pakej pemulihan sosial dengan mengusahakan penyingkiran orang yang rasuah, merosakkan Islam dan menindas masyarakat, maka soal perpaduan dikumandangkan. Seruan agar kesatuan dipertautkan lalu digenderangkan. Kita katakan bahawa perpecahan memang jalannya untuk meruntuhkan kezaliman, jahiliah dan kesesatan. Demikian itulah yang menjadi sunnah perjuangan para Rasul 'alaihimussolatu wassalam.

Tidak perlu bercakap mengenai perpaduan Melayu semata-mata kerana jika Melayu tidak tegak di atas prinsip Islam, tidak ada gunanya berpadu. Perpaduan hanya di atas prinsip Islam dan perpaduan atas prinsip kebangsaan, kepentingan kelompok tertentu hanya fatamorgana.

Alhamdulillah, dengan perpecahan rakyat Mesir kini sedang melakar sejarah baru perpaduan.  Perpaduan yang berdiri di atas paksi keadilan rakyat dan nilai-nilai rabbani dalam sebuah negara Madani. Maka, jangan takut untuk berpecah kerana para Rasul yang datang kepada kaumnya telah memecahbelahkan mereka demi mendapat perpaduan di atas kebenaran.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya?

Allah Khairulmakirin

February 6, 2011

Ketika kita mengeluh resah dan gelisah melihat kedaifan ummat Islam berbangsa Arab yang tidak berdaya melawan penguasanya yang menjadi tunggangan negara Barat dan Yahudi, tiba-tiba Allah mencipta makarnya. Seorang pemuda tidak masyhur dari Tunisia membakar dirinya kerana memprotes ketidakadilan penguasa ke atasnya. Dia adalah salah seorang daripada jutaan ummat Islam seantero dunia yang merintih kerana ketidakadilan penguasa yang menunggangi ummat ini. Siapa sangka, dengan  tindakannya membakar diri telah mencetuskan revolusi yang menumbangkan "taghut" berlumut di negaranya.  Kemudiannya, api kebangkitan itu kini sedang bernyala dan menyambar membakar "taghut-taghut"  lain di negara tetangga. 

Ketika banyak gerakan Islam yang menyertai pilihanraya tewas, kedengaranlah bahawa pilihanraya tidak akan memungkinkan kemenangan Islam. Parti Islam yang pernah memenangi pilihanraya di Algeria satu masa dahulu, tidak dapat memerintah. Demikian, Hamas yang memenangi pilihanraya Palestin kecundang dengan permainan negara barat yang mendokong demokrasi, terhimpit hanya di semenanjung kecil bernama Gaza. Di Mesir, pejuang gerakan Islam Ikhwanul Muslimin tidak dapat memanfaatkan pilihanraya untuk memenangkan Islam. Tekanan demi tekanan dikenakan.

Lalu berkatalah sesetengah orang, bahawa Islam tidak akan menang dengan cara yang sedang ditelusuri oleh parti-parti politik berhaluan Islam di seluruh dunia. Sebahagian mencadangkan revolusi. Tetapi, sekadar mencadang tanpa keberanian, tidak ada gunanya. Islam menolak jalan yang mengundang mafasid yang lebih besar. selagi ada jalan yang ringan, maka tidak harus memilih jalan yang berat. Ada pula hanya bergantung kepada dakwah islahiyyah. Buat seminar, sebar risalah dan membina kader-kader du'at yang disuntik ruh perjuangan, namun, ibarat membina tembok pasir di tepi pantai, sekali ombak mendebur, berkecailah tembok pasir itu. Penguasa yang bermaharajalela di tampuk kuasa tidak mengizinkan rakyatnya didakwahkan. dengan begitu sahaja. Mereka mencipta lawan dan saingan sebagaimana lumrah kebaikan lawannya kejahatan. Sarana yang pelbagai digunakan untuk meruntuhkan binaan kesedaran  yang dibangunkan menjadi puing-puing yang berkecai. Media massa dan racun hedonisme ditebarkan sehingga generasi muda mejadi lesu longlai.

Tanpa meraih kuasa, dakwah tidak sempurna. Islam bukan datang untuk mengisi lakuna sosial di bawah kekuasaan taghut. Islam datang untuk merebut kekuasaan itu dan menjadi Islam di atas  segala isme-isme ciptaan manusia. Tidak akan sampai ke hadaf dan ghayah perjuangan kalau hanya bergantung kepada  idealisme dan kerja-kerja Islahiyyah. Sementara tidak menafikan pentingnya kerja-kerja Islahiyyah, merebut kuasa daripada penguasa yang menekan Islam adalah keperluan penting dalam perjuangan Islam.

Tidak pasti jalan mana Islam akan memang. Allah yang telah menjatuhkan Islam pada satu waktu dahulu sehingga ummat jadi lemah dan hilang jati diri. Maka, Allah juga yang akan mengangkatnya kembali. Namun, ia bukan bermakna kita duduk berpeluk tubuh. Berjuang untuk merealisasikan kebangkitan semula Islam itu adalah tawaran tukaran (tijarah)  yang paling menguntungkan Allah berikan buat pendokong agamanya. Siapa yang mahu meraih keuntungan akhirat yang lumayan, maka, hendaklah ia melakukan sesuatu yang terdaya olehnya. 

Makar Allah akan mengatasi makar semua orang. Betapa pun banyak penipuan dalam pilihanraya, Allah boleh memenangkan perjuang-pejuang agamanya yang meledeni jalan itu. Malah, Allah boleh mencipta jalan yang tidak terduga untuk memenangkan agamanya.

Renunglah kisah ajaib daripada Tunisia itu....
 

Ketika syaitan lari terbirit-birit


Hosni Mubarak, kini kehilangan sokongan para walinya. Demikianlah orang yang berwalikan selain Allah SWT, akan tiba masanya dia tergapai mencari tempat bergayut. Itulah wali yang menjadi dambaan jiwanya pada satu episod hidupnya. Namun, wali-wali selain Allah, tidak akan dapat menyelamatkannya di saat mana ia amat diperlukan. 

Selama lebih 30 tahun, kekuasan Hosni Mubarak disokong oleh tentera Mesir. Kini, petanda bahawa tentera Mesir tidak lagi mahu menyokongnya kian terserlah. Dalam menangani kebangkitan rakyat Mesir menentang Hosni Mubarak, tentera mengambil jalan lebih santun dan tidak mengerasi rakyat dengan tindakan bersenjata. Negara-negara kafir yang selama ini teman akrab Hosni Mubarak kian menjauhi diri mereka. 

Sesungguhnya Hosni telah hilang kebaikannya. Mubarak telah sirna keberkatannya.

Jenayah Hosni kepada Mesir dan Islam sama sederet dengan jenayah Raja Farouk yang telah hancur dimamah cacing dan mungkin sedang berdepan persoalan berat dalam kubur mengenai kepimpinan bengkok yang dibawanya semasa hayat. Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna yang juga telah berpulang kepada "Rabnya" dengan meninggalkan haruman darah dan nama bertinta emas, menjadi suri teladan kepada penerus gerakan Islam seantero dunia, kini di negeri yang sama dengan Raja Farouk. Negeri barzakh. Sementara Raja Farouk meninggalkan hembusan nafas hanyir dan nama bertinta darah merah para syuhada. Berhitunglah di sana. Dengan apa akan dibayar segala kekejaman buat Imam As-Syahid Hasan Al-Banna yang mati terbunuh angkara tembakan polis rahsia yang meurut telunjuknya?

Ketika pemerintahan raja Farouk tumbang menyembah bumi, bangkit pemerintahan ketenteraan di bawah Muhammad Naguib dan kemudian digantikan dengan  Gamal Abdul Nasser. Gamal Andul Naseer telah melumuri tangannya dengan darah para pejuang Ikhwanul Muslimin. Sayyed Qutb dan Ali Audah  adalh dua orang tokoh besar Ikhwanul Muslimin yang menemui tali gantung di bawah pemerintahan kejam Gamal Abdul Nasser. Ramai lagi tokoh dan anggota Ikhwan yang dibunuh, dipenjarakan dan dihilangkan dari muka bumi tanpa nesan.  Mereka yang terkorban mendapat kemuliaan syahid.

Sekejam mana Gamal Abdul Naseer, kini dia juga telah mati dan berada di negeri yang sama dengan mereka yang dibunuh syahid olehnya. Kini, rasailah penyesalan dan tunggulah hari perhitungan di hari penghisaban. Dengan apa hendak dibayar segala kekejama ke atas insan-insan pejuang yang dikasihi Allah tersebut?

Kemudian, Mesir mendapat Anwar Saadat sebagai pemimpinnya. Beliau juga menodai lembaran kepimpinannya dengan kekejaman dan pengkhianatan terhadap Islam kerana bersahabat dengan Israil. Pemimpin sebuah negeri umat Islam yang besar dan bertuah, menjadi budak suruhan negera barat, khususnya Amerika Syarikat. Allah membunuhnya di tangan seorang tentera biasa Mesir bernama Khaled Islambouli.

Timbalan Presiden Anwar Saadat yang bernama Hosni Mubarak menggantikannya. Pemerintahan Hosni Mubarak tidak berbeza dengan pendahulunya. Derita rakyat Mesir belum juga berakhir. Kebanggaan yang diharapkan daripada kepimpinan yang menegakkan Syariat Allah dan amanah terhadap harta rakyat masih menjadi igauan, khusunya di kalangan anggota gerakan Islam Ikhwanul Muslimin. Sudah lebih 30 tahun Hosni Mubarak terpacak di atas piramid negeri Mesir mengungkapkan kalam durjana sang Firaun "ana rabbukumul a'la". Kini, sampainya waktunya Allah SWT menentukan pusingannya.Yang berkuasa pasti jatuh. 

Kebatilan itu mungkin lama tetapi ia tidak akan kekal. Kebenaran itu mungkin lemah tetapi ia pasti menang. Inilah keyakinan dan inilah sunnatullah.

Ketika kebatilan telah tewas syaitan-syaitan yang menompang bebannya pun lari terbirit-birit. Sebelum perang Badar berlaku, tentera musyrikin Makkah dimotivasikan dan dijanjikan kemenangan oleh syaitan yang menjelma sebagai manusia di kalangan mereka. Saat peperangan berlangsung, syaitan itu ikut serta dan menjelma dalam rupa Suraqah bin Malik. Namun, ketika tentera Islam mula meraih kemenangan, syaitan itupun lari terbirit-birit.

Seseorang yang semasa hidupnya memiliki kemegahann dunia hasil ilmu syaitan yang dipelajarinya ada titik kesudahannya. Berapa lama seorang yang memiliki ilmu kebal akan kebal? Berapa lama perempuan yang kelihatan cantik kerana memakai susuk akan kekal cantik? Dan berapa lama seorang yang membela hantu raya boleh berbangga dengan khadamnya si hantu raya itu?

Pada saat datangnya sakratul maut, larilah syaitan yang menompang kemegahan duniawinya itu. Lari terbirit-birit. Saat itulah tidak berguna segala wali selain Allah. Allahu Akbar. 

Malanglah mereka yang selama hidupnya bergantung kepada selain Allah. Semua itu bukan kawan yang setia. Lihatlah bagaimana nasib presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali. Semua syaitan telah lari terbirit-birit. Tunggu dan lihat pula bagaimana nasib Hosni Mubarak. Syaitan-syaitannya sedang luruh satu demi satu. Demikian akan menyusul pemimpin-pemimpin Arab yang lain. Mereka yang menegakkan kekuasaan dengan bantuan syaitan-syaitan dari kalangan manusia dan jin.

Itulah pengajaran berguna buat para pemimpin di sebuah negara tumpah darahku bernama Malaysia. Saat kejatuhan sudah di ambang mata, tiada guna kembali menjanjikan amanah. Tiada guna kembali mendakwa mampu menegakkan syariat Allah. Dua bekalan kepimpinan ini (Al-Qowiyyul Amin) hanya boleh dibuktikan sementara kekuasaan masih teguh selesa. Saat kegoncangan telah datang, terimalah kehancuran dan Allah tidak miskin untuk menggantikan penerus yang melangsungkan takdirnya. Dialah zuljalali wal ikram. Pemilik kekuasaan di langit dan bumi. Dia mentakdirkan segalanya!

Ya Allah...berikan kekuasaan kepada orang yang kau cintai. Hampirkan hari-hari kemenangan buat agamamu!


Mengapa bermimpi bulan turun ke riba?

April 27, 2010

Orang kita, khususnya yang berbangsa Malayu ini, begitu kuat tarikannya kepada perkara yang mengajaibkan minda. Jika seseorang itu boleh menzahirkan hal-hal yang memukau dengan sebab keajaibannya, itulah yang menjadikan seseorang itu dikerumuni dan dikagumi. Kalau tidak, mengapa di tengah Kota Raya, sekitar masjid India begitu ramai orang mengerumuni penjual ubat yang membuat demonstrasi memukau minda orang ramai.

Mungkin suka melihat benda ajaib dan luar biasa ini sudah menjadi tabiat asal manusia. Maka, sebab itu, semua Rasul utusan Allah dibekali dengan mukjizat hissi yang melunaskan kedahagaan manusia agar menjadi jambatan keyakinan buat rasul.

Rasa suka kepada perkara ajaib ini berterusan sehinggalah ke zaman kini. Kini, kita sering menyaksikan orang terpengaruh kepada seseorang dengan sebab keajaiban yang dapat ditimbulkannya.

Orang-orang jahil banyak disesatkan oleh guru-guru ajaran sesat yang memukau pengikutnya dengan perkara luar biasa. Guru silat kebatinan lebih diminati daripada guru silat olahraga. Bomoh-bomoh masih dikerumumuni orang untuk menyelesaikan pelbagai persoalan. Ketika sakit kerana kayap, ada kalangan yang lebih suka memilih bomoh berbanding jumpa doktor sebab dr beri ubat sedangkan bomoh cuma hembus. Ajaib. Sewaktu benda milik sendiri hilang, ada yang lebih suka bertemu tukang tuduh agarkan barang yang hilang dapat ditemukan semua.  Tukang tuduh cuma perlu menyusun formasi tertentu bilah-bilah lidi atau membilang-bilang jarinya untuk mengatakan tempat beradanya barang hilang itu. Ajaib.

Dari perkara yang berkaitan kehidupan harian, sehinggalah hal-hal ibadat dan taqarrub, kebergantungan kepada keajaiban  terus berlagsung.

Ada orang berzikir untuk merasai kejaiban pada hatinya. Hati yang disucikan dengan zikir diharap dapat menyuluh kemajhulan malakut. Ada yang suka bangun solat malam kerana terdorong mahu melihat keajaiban dalam hidupnya. Razeki murah, wajah berseri dan kalamnya ditaati. Terdapat tanggapan salah tentang kewalian apabila wali Allah dikaitkan dengan keajaiban. Seseorang yang berada dalam 2 tempat berasingan dalam satu masa dikatakan sebagai wali Allah. Seseorang yang mengatakan sesuatu lalu terjadi apa yang dikatakan, dikatakan wali Allah. Banyak orang dikatakan wali Allah semasa hidupnya kerana kemampuannya menimbulkan khawariqul 'adah!.

Seseorang pernah bertanya kepadaku dalam cbox perbualan blog ini mengenai cara apakah untuk bangun awal dini sebelum subuh. Aku katakan kita tanamkan saja keazaman yang kuat untuk bangun. Kuatnya keazaman tersebut mungkin boleh disertai dengan bantuan jam lonceng. Sekarang, handphone pun boleh berperanan mengejutkan tuannya untuk bangun solat subuh dengan cara berjemaah di masjid.

Soalan yang ditanya, apakah ayat atau doa yang boleh diandalkan agar dapat bangun awal?Aku tegaskan bahawa pergantungan kepada ayat dan doa sebagai penyelesaian kepada masalah tidak dapat bangun awal adalah jalur pemikiran yang addicted kepada keajaiban. Berusahalah dengan cara yang ikhtiyari seperti, berazam dan dengan bantuan alat-alat, itu adalah lebih praktikal. Berdoa tidak menjadi kesalahan, malah amat terpuji tetapi jangan menggantungkan keberhasilan hanya kepada doa. Berhenti sekadar doa adalah ciri orang yang suka bergantung kepada keajaiban.

Banyak sekali orang percaya bahawa menampalkan ayat Quran di dinding rumahnya boleh menghalang hantu dan syaitan daripada masuk mengganggu ahli rumahnya. Misalnya ada yang menampal ayat kursi di pintu rumah dengan keyakinan bahawa rumahnya akan selamat daripada kemasukan pencuri. Pernah seketika dahulu seorang kenalan menghulurkan kepadaku sebuah risalah yang mengandungi testimoni pelanggan tentang kejaiban beberapa barang yang dijual dalam bentuk tangkal azimat. Ia adalah khatamun nubuwwah dan histogram ashabul kahfi dan anjing mereka. Kononnya rumah akan selamat daripada pencuri  dan kebakaran dengan menyimpan tangkal azimat tersebut dan kereta pula  akan selamat daripada kemalangan. 

Sesungguhnya inilah kecenderungan kepada keajaiban yang sering menghantui ummat Muhamamd. Bukankah kalau mahu selamat daripada pencuri, kunci dan mangga rumah. Kalau pencuri masuk juga, itu kerana Allah menghendaki dia masuk. Kalau terbakar, itu kehendaklah juga. Kalau hendak minta supaya Allah selamatkan rumah kita daripada kecurian atau kebakaran, berdoalah kepadaNya. Apa perlunya bersimpang siur dengan kaedah dan kaifiat yang membingungkan sedangkan sebenarnya ia adalah mudah.
Malang sekali kalau dalam keadaan kita tak sedar, kita telah menyekutukan Allah!

Malam Jumaat, ramai datang baca Yasin di masjid. Di sesetengah tempat, botol air bersusun di depan 'khalifah' bacaan yasin. Air dalam botol itu ditakzimkan dan ditaqdiskan. Ia dianggap penawar banyak masalah dan penyakit. Sungguh menghairankan pula, ada masjid di sebuah kota besar seperti Kuala Lumpur, ada ahli jemaahnya yang dari kelas menengah berfikiran seperti ini.

Sesungguhnya nabi Muhammad SAW adalah manusia terbaik dalam dunia ini.Di lempar batu,  dia luka berdarah. Dia, disihir, kena. Dia berpeluh dan merasa penat perjalanan. Hidupnya berpijak di bumi nyata. Dia berusaha gigih melebar dakwah dengan segala mehnah dan cabarannya. Dia tidak mengajar kita takluk kepada kejaiban. 

Kita hendaklah realistik dan praktikal! Inilah sunnah baginda Rasul.Sesungguhnya bulan tidak akan turun ke riba. Usahlah bermimpi....

Renungan: Apa makna kutukan buat Abu Lahab?

March 7, 2010

Kita lahir dari satu keturunan. Kita akan menurun zuriat dan keturunan pula. Hubungkait kita dengan nenek moyang yang melahirkan kita dan dengan zuriat yang kita lahirkan, mewujudkan konsep "Syu'uban wa qabaila". Wujudnya kepelbagaian bangsa dan suku dalam dunia ini adalah lanjutan daripada peroses melahirkan dan dilahirkan ini.

Nabi Muhammad dilahirkan dari nenek moyangnya yang dipanggil bani Hasyim (suku hasyim). Kemudian, daripada nabi lahir keturunan dari puterinya fatimah Az-Zahraa' yang berkahwin dengan Saidina Ali kw. Keturunan nabi mendapat gelaran pelbagai di pangkal nama. Syed, Sayyid, Syarif dan Habib adalah serangkai gelaran yang dinisbatkan kepada keturunan nabi.

Entah satu masa nanti...mungkin beratus-ratus tahun lagi,  akan lahir satu bangsa baru dari keturunan nabi Muhammad itu.

Nenek moyang nabi ramai yang kafir. Dalam sebuah hadis, nabi menyebutkan bahawa bapanya adalah penghuni neraka. Ini bermakna bapanya kafir. Kaum kerabat nabi yang terdekat seperti Abu Talib dan Abu Lahab juga  adalah kafir. Dalam surah Al-Masad, Allah mencela Abu Lahab dengan satu celaan yang mengalir sepanjang zaman.

Nabi datang bukan untuk membela keluarganya. Kalau bapa sendiri pun nabi kata dia ahli neraka, apa lagi orang lain. Sesiapa yang tidak beriman dengan apa yang baginda bawakan, mereka ahli neraka semuanya. Nabi tidak dapat membelanya. Jauh sekali untuk memperjuangkan mereka di dunia ini.

Inilah yang perlu difahami oleh mereka yang berjuang atas nama bangsanya! 

Memperjuangkan bangsa, kalau itu perjuangan murni, tentu nabi sudah mendahului kita sebab nabi amat suka kepada segala kemurnian. Sudah tentu nabi akan mempertahankan nenek moyangnya yang kafir kerana merekalah yang telah membangsakan nabi. Kerana titih keturunan daripada mereka nabi jadi berbangsa Arab. Paling utama, tentu nabi akan membela bapanya sekalipun dia kafir. Membela mereka adalah perjuangan menegakkan sebuah bangsa. 

Tetapi...pernahkah nabi berjuang untuk keturunannya sama ada yang sebelumnya maupun sesudahnya?

Inilah dalil paling logika bahawa nabi tak pernah menampilkan satu garis perjuangan di atas nama keturunan dan bangsa. 

Perjuangan nabi adalah atas garis keimanan. Siapa yang beriman, merekalah yang berada dalam garis perjuangan nabi. Sebarang perjuangan lain adalah fatamorgana belaka dan di hari akhirat, para pejuangnya akan menanggung kerugian. Yang terkorban, tidak mendapat syahid dan yang menikmati kemenangan dunia, menanggung penyesalan di depan mizan amal.



قَدْ خَسِرُوَاْ أَنْفُسَهُمْ وَضَلّ عَنْهُمْ مّا كَانُواْ يَفْتَرُونَ

Cahaya muka...

March 5, 2010

"Kalau hati bersih, kebersihan itu akan terpancar di wajah. Demikian pula, jika hati kotor, kekotoran itu akan terpancar di wajah!", aku menegaskan buat murid-muridku hari ini. Aku sedang menerangkan tentang kesan-kesan solat pada air muka. Dengan nada mengancam, aku mendakwa aku dapat melihat tanda pada muka murid-murid yang tidak solat dan yang solat. 

Kelihatan riak kebimbangan pada muka sesetengah murid.

Sebenarnya, tidaklah aku mengetahui perkara ghaib sedikit pun. Tidaklah aku mengetahui siapa yang solat dan siapa yang tidak solat. Tanda di wajah hanyalah sebuah sangkaan. Sangkaan, kebanyakkan adalah dosa.

Aku sekadar mendidik anak muridku agar mengerjakan solat dengan istiqamah. Meninggalkan solat akan mencemarkan wajah!

"Mas..awak punya wajah yang cantik....tapi ada satu yang kurang pada wajahmu...",aku membuat telahan terbuka kepada seorang murid perempuan yang mendahului ramai kawan-kawannya dalam personaliti dan  pencapaian pelajaran.

Dia tersipu-sipu. Mungkin kerana dikatakan cantik.

"Tiada cahaya di wajahnya....", seorang murid lelaki membuat penghakiman. Aku tersenyum. Nampaknya mereka memahami pengajaranku yang membicarakan falsafah cantik wajah dan cahaya wajah.

Semoga muridku akan berlumba-lumba mengerjakan solat kerana memburu cahaya muka. Sekurang-kurangnya itulah buat permulaan sebuah ketaatan.

Orang dulu mengembara mencari ilmu

September 28, 2009

Ketika menyampaikan pelajaran bertajuk:"Adab menuntut ilmu"...

Aku menyatakan keada murid-muridku bahawa orang zaman dahulu terpaksa bersusah payah menuntut ilmu. Hang Tuah lima bersaudara terpaksa memanjat Gunung Ledang untuk berguru dengan Aria Putra yang tinggal disana. Demikianlah orang-orang dahulu, terpaksa memanjat gunung,merentas belantara dan mengharung lautan untuk mendapat sekelumit ilmu. Misi memburu ilmu dengan cara sebegini menjadi amalan pada zaman dahulu dan itulah juga yang menjadi "da'bul ulama" zaman silam.

Imam Syafie sejak kecil telah meninggalkan negeri tumpah darahnya untuk menuntut ilmu. Syeikh Abdul Qadir Jailani diceritakan telah disuruh ibunya mengembara mencari ilmu sejak kecil lagi. Malah ibunya melarangnya pulang sebelum menjadi ulama. Membaca biografi kebanyakan ulama-ulama Islam, kita akan menemui episod pengembaraan mencari ilmu dalam riwayat mereka.

Begitu susah orang dahulu mendapatkan ilmu. Namun kesusahan itu tidak lagi dirasai oleh orang zaman sekarang. Zaman kini sudah ada pusat pendidikan di peringkat awal usia lagi. Ada pra sekolah,tadika-tadika, Pasti, Taski dan sebagainya. Sudah ada sekolah randah di merata-rata tempat. Sudah habis sekolah rendah, ada pulak sekolah menengah. Sesudah itu kolej dan universiti menanti. Pendeknya mencari guru yang boleh mengajarkan pelbagai bidang ilmu, cukup dengan mengunjungi pusat-pusat pengajian tadi sebagai pelajar. Di sesetengah tempat, kedapatan banyak pusat pengajian berorientasikan agama tumbuh. Ada pondok,pesentren,ma'ahad tahfiz, madrasah dan sebagainya. Semua itu membuka ruang dan jalan mudah bagi mendapat ilmu.

"Sekarang anda semua cuma perlu rajin ke sekolah untuk mendapat ilmu...", kesimpulan itu menamatkan pengajaranku hari ini.

Singkirkan keraguan dan tetapkan pendirian

April 3, 2009

Syaitan suka menebarkan keraguan. Demikian juga mereka yang berwalikan syaitan. Keraguan yang ditebarkan syaitan akan diberikan nama-nama canggih seperti kebebasan berfikir, persamaan hak, kebenaran semua agama dan berbagai-bagai selogan yang kekadang boleh memikat hati manusia. Sesungguhnya syaitan dan pendukungnya ramai dan punyajentera yang yang ampuh.

Demikianlah iktibar sepanjang sejarah. Namun, kemenangan sentiasa berpihak kepada hamba Allah yang membela agamanya. Cuma, kemenangan itu bukan mee segera yang boleh dicapai dengan mudah. ia memerlukan kesabaran dan perjuangan. Allah memberikan jalan panjang ke arah kemenangan agar hamba-hambanya dapat meraih sebanyak mungkin ganjaran dalam perjuangan.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW telah bersabda:
يأتي الشيطان أحدكم يقول من خلق كذا من خلق كذا، حتى يقول من خلق الله، فإذا وجد ذلك فليقل آمنت بالله ورسوله ولينتهي
"Syaitan akan datang kepada seseorang kamu dan dia akan berkata: Siapa menjadikan demikian itu? Siapa menjadikan demikian itu? Sehinggalah dia akan berkata siapa yang menjadikan Allah?Apabila kamu mendapati sehingga ke tahap itu, hendaklah berkata, aku beriman dengan Allah dan rasulNya dan cukuplah (usah melayani keraguan itu lagi)."
(Hadis Bukhari)
Sebab itu, kita perlu tetap pendirian. Kita berpegang dengan prinsip dan tidak akan goyah biar apapun yang melanda. Allah berfirman dalam Al-Quran:
الذين قالوا ربنا الله ثم استقاموا تتنزل عليهم الملائكة أل تخافوا ولا تحزنوا وأبشروا بالجنة التي كنتم توعدون
"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah" Kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, Maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang Telah dijanjikan Allah kepadamu".
(Surah Fussilat: Ayat 30)

Lihatlah jari-jari tanganmu wahai muridku...

February 19, 2009

Adaptasi satu sessi pengajaran dalam menghuraikan makna sebuah firman:


لقد خلقنا الإنسان في أحسن تقويم
"  Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya "
Surah At-Tin : Ayat 4
Dalam kelas hari ini, aku menceritakan kesempurnaan kejadian manusia kepada murid-muridku. Aku merumuskan bahawa kesempurnaan ciptaan Allah terhadap manusia adalah disebabkan akal yang dibekalkan untuk manusia. Berbanding semua makhluk lain, kehebatan akal yang ada pada manusia telah menyebabkan manusia berkembang maju.
Dari manusia bercawat menjadi manusia berpakaian.. Dari manusia yang menghuni gua-gua batu menjadi manusia yang membina rumah-rumah dan bangunan pencakar langit. Dari manusia yang bergerak dengan berjalan kaki, menjadi manusia berkenderaan sehingga boleh bergerak sepantas roket.
Sungguh hebat akal manusia....hebat lagi pencipta akal tersebut.
Aku bentangkan buat murid-muridku itu lebihnya manusia dengan sebab akal mereka.
Biarpun kalau berlawan lari, manusia akan kalah kepada cheetah, tetapi manusia boleh bergerak lebih pantas daripada cheetah dengan terciptanya kenderaan yang bergerak pantas seperti kereta, motosikal, jet dan sebagainya.

Cheetah boleh berlari dengan kelajuan antara 112 hingga 120 km/j
Biarpun kekuatan manusia tak dapat mengatasi kekuatan seekor gajah yang bisa menumbang pohon kayu sepemeluk, manusia telah mencipta bulldozer yang boleh meruntuhkan gunung ganang yang lebih besar.
Biarpun manusia tak dapat berenang seperti ikan, manusia boleh menyelam ke dasar laut dengan kapal selam yang diciptakan oleh manusia.
Biapun pun manusia tak dapat terbang seperti terbangnya burung, manusia boleh terbang dengan kapal terbang yang sarat dengan muatan.
Sunggu hebat akal manusia....hebat lagi pencipta akal tersebut.
Pencipta akal itu memang bijaksana. Dialah Allah yang telah menciptakan manusia dengan kejadian yang sempurna. Aku menunjukkan kepada muridku tentang ajaibnya kejadian jari jemari tangan.
"Kenapa Allah tidak ciptakan jari-jari ini sama panjang? ", aku melontarkan pertanyaan yang tidak menuntut jawapan. 
Aku menayangkan lima jemari tangan kananku.
"4 jemari ini, jari telunjuk, jari hantu, jari manis dan jari kelingkin adalah bandingan manusia yang pelbagai tingkat kehidupan dan tarafnya di dalam dunia ini. Sementara jari ibu adalah ibarat Allah yang maha kuasa...semua manusia tunduk kepada Allah yang maha kuasa sebagaimana jari-jari ini tunduk di deoan ibu jari....dan apabila mereka tunduk di depan Allah, mereka semua adalah sama depan Allah sebagaimana jari-jari yang mulanya tak sama panjang menjadi sama di depan Allah...", aku membengkokkan empat jariku di depan jari ibu.
"Pencipta jari-jari ini amat bijaksana....", aku mengeluh dan murid-muridku khusyuk mendengar tamsil ibarat yang aku lontarkan.
Kubacakan ayat Al-Quran :
أليس الله بأحكم الحاكمين
"Bukankah Allah itu paling bijak di atas segala orang yang bijak?".
Surah At-Tin : Ayat 8