Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2021

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Tok Janggut, pejuang atau penderhaka raja?

September 11, 2011


Nama sebenar Tuk Janggut ialah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas. Beliau mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setahun, pokok buah-buahn sebanyak 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.

Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff iaitu seorang pegawai takbir British yang berasal daripada luar Kelantan, menggantikan Engku Besar. Pertelingkahan mengenai cukai dan pengurusan pengutipan cukai yang terlalu lambat membuatkan Haji Mat Hassan (Tuk Janggut) enggan membayar cukai. Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib menemui Tuk Janggut pada 29 April 1915. Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh, Tuk Janggut telah menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.

Kebangkitan Tuk Janggut menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu berasa terancam dan mengganggap Tuk Janggut sebagai penderhaka dan dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tuk Janggut telah dibunuh. Mayat Tuk Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa dalam satu hari. Mayat beliau digantung beberapa hari di depan istana, di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.

 Kebangkitan rakyat selalu dimomok sebagai penderhaka raja.  Raja hendaklah bersemayam dengan selamat dan dipuja rakyat. Inilah hukum feudal Melayu di zaman dahulu. Dengan kelebihan seperti ini yang ada pada raja-raja di negeri melayu, mereka menjadi tunggangan penjajah untuk menindas rakyat Melayu. Rakyat tidak boleh bantah. Ketika Inggeris telah menguasai negeri-negeri Melayu melalui residen dan pesuruhjaya tingginya, penentangan rakyat terhadap mereka akan ditagsirkan sebagai penderhakaan kepada Sultan. Inilah yang telah dilemparkan ke atas Tok Janggut .

Dulu, rakyat Melayu mungkin boleh terima. Dulu juga orang yang menyanjung Hang Tuah lebih ramai daripada yang menyanjung Hang Jebat.  Hang Tuah menjadi lambang kesetiaan rakyat Melayu. Sementara Hang Jebat menjadi lambang penderhaka raja. Sebagaimana Hang Jebat,  para pejuang di zaman penjajahan Inggeris, juga dituduh sebagai penderhaka. Namun mereka derhaka kerana tujuan yang mulia. Mereka derhaka kerana raja mereka telah menjadi tunggangan penjajah.  Hari ini, persepsi rakyat Melayu sudah banyak berubah.  Orang lebih menyanjung watak Hang Jebat dan melecehkan watak Hang Tuah.  Malah, hari ini, para pengkritik hikayat menyimpulkan Hang Tuah sebagai bacul, tidak bermoral dan tak ubah sebagai robot rekaan. Hukum hakam agama  tidak lagi dipedulikan Hang Tuah kerana sanggup menculik tunangan orang (Tun Teja ) demi melampiaskan nafsu buas sang raja.
 
Tok Janggut yang mati dan dilayan sebagai penderhaka pada zamannya kini dianggap perwira dan pahlawan bangsa. Soal derhaka kepada raja tidak menjadi masalah kepada rakyat kerana rakyat hari ini lebih menghargai perjuangan menagakkan hak dan kebenaran. Beliau tewas dan dihina pada masa kematiannya, tetapi hari ini dia diadili dan diangkat sebagai pejuang.  Di akhirat, mudahan dia mendapat pengadilan dan ganjaran yang lebih besar menantinya. Nama Tok Janggut bertinta emas dalam fikiran rakyat sedangkan nama sultannya tinggal lakaran kabur di nesan permakaman sepi.
 
Dari kisah ringkas Perjuangan Tok Janggut di atas, satu lontaran musykil wajar ditujukan kepada Prof. Zainal Kling dan anggota MPN yang menyokongnya. Kalau negeri Melayu tidak dijajah, kenapa Inggeris punya wewenang melantik Pegawai Tadbir Daerah (D.O) yang bukan dari  Kelantan. Orang luar dibawa untuk mentadbir daerah Jeram?  Bukankah ini menjadi petanda bahawa Inggeris sebenarnya menjajah negeri-negeri Melayu secara menyeluruh. Transaksi pegawai-pegawai talibarutnya  berlaku antara satu negeri dengan negeri yang lain. Pengamat sejarah, hendaklah menggunakan akal fikir dalam mentafsirkan kelakuan Inngeris ini. Bandingkan dengan perangai penjajah dinegara-negara terjajah di seantero dunia. Siapa yang menjadi Presiden di Afghanistan dan Irak kalau bukan talibarut penjajah!

Juga, perlu dipersoalkan kepada yang menafikan perjuangan kiri sebagai pejuang kemerdekaan, apakah Tok Janggut itu golongan kiri atau  kanan?

 

Merebut Kota Perjuangan


Kerana...

kemerdekaan ini anugerah penjajah
buat anak-anak terdidiknya
kitapun dipaksa melupakan
mereka yang telah berjuang
dalam selengkar masa
dengan lelehan peluh, air mata dan darah
diburu, dipenjara, dibuang negeri dan dibunuh.

Siapa berhasil merebut kota perjuangan
di sanalah dia memacakkan rayahnya

Manakala yang tewas
adalah untuk dilupakan

Kalau bukan pejuang kemerdekaan...


Prof Zainal Kling mewakili kumpulannya yang bernama Majlis Profesor Negara (MPN) dalam sebuah sidang medianya, menegaskan bahawa mereka menafikan tokoh-tokoh Melayu berhaluan kiri berjuang untuk kemerdekaan. Menurutnya, sungguhpun pada awalnya mereka berjuang untuk kemerdekaan daripada pentadbiran British, tetapi disebab agenda politik mereka untuk menubuhkan republik dan bersekongkol dengan komunis, mereka tidak layak dihargai sebagai pejuang kemerdekaan negara.

Golongan Kiri Melayu adalah merujuk kepada para penentang penjajah Inggeris ("pentadbiran Inggeris"- menurut Prof. Zainal keling) dengan menggunakan kekerasan dan dengan mengangkat senjata.

Sejarah mencatatkan ramai sekali tokoh Melayu yang menempuh aliran ini dalam membersihkan tanah tumpah darah mereka dari pemerkosaan penjajah. Siapakah mereka? Apakah MPN dengan teganya menanggapi mereka sebagai pengkhianat, pemberontak dan bersekongkol dengan komunis?
  1. Penghulu Dol Said di Naning,
  2. Datuk Siamang Gagap di Seri Menanti
  3. Yamtuan Tunku Antah di Sungai Ujong,
  4. Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor dan Sultan Abdullah di Perak.
  5. Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang,
  6. Tok Janggut di Kelantan.
  7. Raja Mahadi di Selangor.
  8. Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu.
  9. Tok Moris, Tunku Kudin dan Tunku Muhammad Saad di Kedah,
  10. Rentap, Roslie Dhoby dan Sharif Mashor di Sarawak.
  11. Mat Salleh, Antanum, Pak Musa dan Syarip Usman di Sabah.
  12. Ibrahim Yaacob, Hassan Manan, Abdul Karim Rashid, Mohd. Isa Mahmud, Ahmad Boestamam, Pak Sako, A. Samad Ismail, Said Zahari, dan ramai pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar ( AWAS) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang berjuang.
  13. Syed Sheikh Al Hadi, Burhanuddin Helmi, Ust Abu Bakar Al-Bakir dari Hizbul Muslimin dan ramai ulama yang berjuang.

    Mereka tidak disukai Inggeris. Mereka berkonfrontasi dengan penjajah itu. Mereka disebut beraliran kiri. Kerana musuh mereka adalah penjajah Inggeris, sama seperti pejuang komunis yang menubuhkan Parti Komunis Malaya (PKM), banyak kali mereka dituduh sebagai komunis pula.  Sementelahan komunis mempunyai kemudahan logistik, persenjataan  dan latihan, maka para pemimpin Melayu kiri mengambil manfaat daripadanya. Banyak orang menuduh Rashid Maidin, Abdullah Sidi dan Syamsiah Fakeh sebagai komunis sedangkan mereka adalah anak bangsa yang bermaruah, tidak rela diinjak penjajah dan tidak sudi bersekongkol dengan mereka. Mereka berbakat besar tetapi tidak menggunakan untuk kepentingan diri. Mereka mengorbankan kesenangan diri demi membebaskan tanah pertiwi mereka daripada Inggeris. Mereka juga adalah insan yang percayakan Tuhan dan bukan berakidah athies!

    Siapa mereka kalau bukan pejuang kemerdekaan....Wahai manusia pejuang ningrat (MPN)?

    Tauliah bukan buat para da'ei

    September 9, 2011


    Tauliah. Sekali lagi soal tauliah jadi isu apabila YB Khalid Samad dari DUN Shah Alam didakwa oleh Jais kerana menyampaikan kuliah agama di sebuah surau di Kapar, Klang, tanpa memiliki tauliah. Sebelum beliau, sudah banyak kali Jais buat hal. Jais menghalang para penceramah agama yang berilmu dan berbakat daripada menyampaikan ilmu agama dengan alasan tidak ada tauliah. Hatta, sampai ke peringkat individu yang diakui ketokohan di peringkat nasional dan ramai yang telah meneguk nikmat ilmunya, pun masih diasak oleh Jais dengan persoalan tauliah.

    Hari ini, JAKIM menyatakan tindakan Jais itu adalah demi memelihara agama Islam daripada dicemari. Maka kerana itu, pensyaratan tauliah adalaH syar'i. Siapa yang tidak ada tauliah, beliau dilarang menyampaikan ilmu agama. Dengan larangan itu, adalah diyakini oleh Jakim maupun Jais, agama Islam telah dapat dipelihara kesuciannya.

    Tetapi, betulkah pihak berkuasa agama itu mahu menjaga kesucian Islam dengan meletakkan ada tauliah sebagai syarat menyampaikan ceramah agama? Atau...apakah tidak mungkin dengan syarat itu akan memalapkah perkembangan ilmu agama dan akhirnya melemahkan agama Islam?

    Penguasa agama yang menambat diri dengan peraturan lapuk tauliah ini sebenarnya dengan mudah menjadi tunggangan pihak yang berkepentingan. Mensyaratkan adanya tauliah, baru boleh menyampaikan ceramah agama adalah peraturan warisan penjajah. Zaman penjajah, mereka menghalang kebangkitan rakyat dengan mensyaratkan lulus dari segi pendaftaran untuk menubuhkan sesuatu perkumpulan atau pertubuhan. Kita menyaksikan banyak pertubuhan yang menentang penjajah telah diharamkan oleh penjajah. 

    Waktu sebelum merdeka, hendak tubuh pertubuhan hendaklah mendapat tauliah daripada penjajah!

    Kini, hendak sebar Islam pun kena ada tauliah. Bid'ah apa ini? Bid'ah yang menghalang kebangkitan Islam. Kalau nak halang penyebaran ajaran sesat, tidak perlu guna selembar kertas bernama tauliah. Guna kaedah lain lagi berkesan. Tauliah, dalam realitinya, digunakan untuk menghalang kebaikan, bukannya kejahatan. Cuba, kalau hebat sangat hendak mempertahankan Islam, syaratkan tauliah untuk konsert nyanyian, pusat hiburan,restoran,  kedai makan dan sebagainya. Banyak maksiat tersebar, kenapa tidak guna tauliah untuk menghalang pencemaran ke atas Islam? Kreatiflah, jadikan tauliah untuk mencegah kemungkaran. Bukan menghalang orang menyampaikan ilmu Islam. Tidak sesuai untuk syaratkan para da'ei memiliki tauliah. Lebih sesuai panggil pengusaha rumah tumpangan yang bersepah di Selangor itu untuk ditemuduga kelayakan tauliah. Panggil juga penyanyi-penyanyi yang bakal merancakkan konsert hiburan untuk ditemuduga tauliah. Mereka yang lebih layak mengemis tauliah, bukan para pejuang Islam dan para du'atnya!


    Nah, satu hal lagi, di negeri Selangor ada berapa ribu guru agama yang menyampaikan ilmu agama kepada murid-murid. Sekarang ini, ditambah pula dengan ustaz dan ustazah dari program j-QAF. Jadikan syarat buat mereka semua, sebelum menyampaikan ilmu agama kepada murid-murid, memiliki selembar kertas bernama tauliah. Ia dikeluarkan oleh Jais atau Jakim.

    Kalau hendak dikira implikasi kepada sasaran akibat penyampaian ilmu yang salah, kesan ke atas murid lagi besar. Menyampaikan kuliah kepada beberapa kerat ahli jemaah surau, implikasinya tidak sehebat kesalahan penyampaian kepada beratus-ratus murid sekolah. Mereka adalah generasi pelakar masa depan negara dan ummat. Para ustaz dan ustazah di sekolah perlulah diberi tauliah untuk mengajar demi menjaga generasi baru  yang sedang tumbuh ini.

    Tapi, kalau ustaz dan ustazah di sekolah, mungkin akan dikatakan mereka sudah ditapis oleh institusi tempat mereka belajar. Mereka sudah diberi sijil lulus sebagai guru. Memadailah dengan kelulusan akademik itu. Tapi, bukankah sijil universiti atau maktab bukan tauliah Jabatan agama? Justeru, ia tidak sah. Ijazah pengajian Islam bukan tidak ada pada tokoh-tokoh yang dihalang Jais. Jadi, atas alasan apa lagi hendak bebankan mereka dengan tauliah.
    "Ustaz...pergilah mohon tauliah untuk berkuliah di masjid dan surau....", seseorang mungkin akan berkata begitu kepadaku. 

    Allahumma...tawallani fi man tawallait! 

    Hanya Allah yang memberi tauliah...

    Perjuangan dan pengkhianatan

    September 7, 2011

    Ada macam-macam orang berjuang. Orang berjuang akan disebut sebagai pejuang. Ada pejuang bangsa. Ada pejuang keadilan sosial. Ada Pejuang kemerdekaan. Ada juga pejuang Islam. Dari persepsi seorang muslim, pejuang Islamlah yang paling hebat dan berbaloi. Ganjaran besar menantinya di akhirat. Mati kerananya dianggap syahid. Sementara perjuangan selainnya adalah lecil dan sampingan. Mati kerana perjuangan selain Islam, bukanlah syahid, sekalipun orang selalu menyebutkanya sebagai "martyrdoom". Baru-baru ini, ketika menghadapi kebangkitan rakyat Libya, pemimpin berwatak algojo Muammar Gadhafi mengatakan dia hanya ada kemenangan atau syahid. mati kerana mempertahankan kuasa dan hagemoni peribadi, tidak sekali-kali akan syahid.

    Lewat terakhir ini, orang banyak bercakap mengenai perjuangan kemerdekaan. Persoalan yang direbutkan oleh pihak-pihak yang bhertelagah ialah siapakah pejuang kemerdekaan sebenar. Dalam peristiwa Bukit Kepong, timbul konflik persepsi, antara polis yang mati dibunuh komunis dengan komunis dan pihak yang bersama dengan perjuangan komunis melawan penjajah British, siapakah pejuang kemerdekaan. Kerajaan sejak berdekad menabur bunga di atas pusara polis-polis tersebut dan menganggap mereka mati dalam rantaian terkorbannya para pejuang kemerdekaan. Sementara, ada cetusan baru yang dipopularkan oleh Mat Sabu bahawa mereka bukan pejuang kemerdekaan, tetapi yang menentang merekalah pejuang kemerdekaan. Tumpuan diberikan kepada seorang watak hero Melayu bernama Mat Indera.

    Antara dua pihak yang berlawanan dalam kes Bukit Kepong, salah satunya sahaja boleh dianggap pejuang kemerdekaan. salah satunya juga boleh dianggap pengkhianat. Siapa yang diterima sebagai pejuang kemerdekaan, dialah pembela bangsa. Namun, siapa yang dilebelkan sebagai pengkhinat, maka dialah musuh pejuang kemerdekaan.

    Secara peribadi, aku cenderung menolak pengorbanan polis-polis penjajah. Penjajah yang menguasai negara-negara Islam sering melantik "antek-antek" untuk melawan bangsa peribumi. Belanda banyak menggunakan kaedah ini untuk menahan kebangkitan tokoh pejuang kemerdekaan Indonesia. Di Afghanistan, sewaktu penjajahan Rusia, mereka melantik boneka mereka dan dengan itu dan bangkitlah para Mujahidin menetang penjajahan Rusia menerusi boneka itu. Apakah para Mujahidin itu dianggap sebagai pengkhianat? Media massa negara kita yang paling kuat mendewakan pasukan bersenjata Melayu yang bertugas di bawah penjajah  di zaman penjajahan ( atau naungan menurut Prof Khoo Kay Khim), pun tidak lekang menyebutkan rakyat Afghanistan yang bangkit menentang boneka itu sebagai para Mujahidin. Mujahidin ertinya para pejuang.

    Dalam setiap perjuangan ada pengkhianat. Dalam perjuangan menentang penjajah Belanda di Indonesia, kita pernah mendengar nama hebat Pangeran Diponegoro. Perjuangannya akhirnya ditewaskan oleh Belanda dengan sebab adanya pengkhianat dari bangsa peribumi sendiri. Soal pengkhianat perjuangan ini ada di mana-mana tempat. Dalam konteks melawan penjajah, pengkhianat adalah yang bersekongkol dengan penjajah. Yang menghalang perjuangan menentang penjajah, itulah pengkhianat. Dalam sebuah negara yang sedang berhempas pulas menggapai  hak memerintah sendiri dan terlepas dari konkongan penjajah, tumpuan nombor wahid adalah menyingkirkan penjajah. Jika ada pihak yang melawan usaha ini, merekalah pengkhianat perjuangan kemerdekaan.

    Perjuangan kemerdekaan? Apakah ia sebahagian daripada perjuangan Islam? Ini tentunya bergantung kepada persoalan niat memerdekaan negara itu. Jika merdekakan negara itu hanya untuk lepas dari penjajah dan memerintah sendiri dengan menciplak teori pemerintahan penjajah, tentunya ia tidak akan menjadi perjuangan Islam. Maka, mati demi perjuangan kemerdekaan yang sebegitu tidak membawa kepada syahid.

    Beruntunglah mereka yang mati dalam perjuangan demi Islam.

    Tangkal Azimat dan Ilmu Gagah bukan ajaran Islam


    Dicatatkan mengenai Mat Indera, pada 14 Oktober 1952, beliau dijemput ke sebuah perjumpaan di Kampung Seri Medan, dan dihidangkan tempe goreng dan air kopi yang bercampur dgn kecubung ungu,yang boleh menyebabkan rasa mengantuk dan dipukau jika meminumnya. Mat Indera setelah diberi minum air kopi bercampur kecubung itu telah tidak sedarkan diri; maka pada ketika itulah Mat Tukyo mencabut segala tangkal. Di katakan tangan Mat Indera diikat dengan lalang dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Seri Medan.Pengkhianatan terhadap pejuang tanah air ini merupakan satu pengkhianatan yg teramat besar . Adalah dipercayai kehilangan tangkal dan ikatan lalang menggugurkan semua kekuatan ilmu kebatinan beliau.

    Dicatatkan juga bahawa beliau adalah seorang hafiz al-quran, gemar bernasyid, berkasidah dan berzanji. Beliau pernah bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.

    Aku teringat cerita lisan emakku mengenai seorang bernama Tok Janggut yang pernah hidup di sekitar kampung kami di negeri Kedah. Tok Janggut merupakan seorang yang berilmu dan agamawan. Dia dapat menukarkan daun kayu menjadi wang di kala hendak beli barangan.Dia juga ada ilmu kebal. Dia hidup di zaman Jepun menjajah tanah Melayu. Pernah dia ditembak, pakaiannya yang berlubang-lubang dek peluru, tetapi dia tak jadi apa-apa. Banyak cerita hebat mengenainya. Dia juga dikatakan dapat berada di tempat yang jauh dalam masa yang pantas. Di atas semua cerita ini, dakwaan bahawa dia seorang agamawan membuatkan aku merenung hakikat beragama orang dulukala.

    Masa aku belajar sekolah agama dulu ada sebilangan kawan-kawan yang memakai tangkal di pinggang. Tangkal pengasih. Agar perempuan sayangkan si pemakainya. Demikianlah rahsia tangkal itu. Apa yang mengujakan ialah sumber ilmu mengenai tangkal itu diambil daripada kitab jawi simpanan ayah-ayah yang kuat beragama. Aku pernah diberikan sebuah kitab oleh seorang teman. Kitab itu milik ayahnya yang merupakan seorang yang belajar pondok di pelbagai tempat. Kandungannya mengajarkan pelbagai ilmu. Waktu itu aku terpesona dengan ilmu ghaib yang diajarkan dalam kitab itu. Cara agak mudah dan aku cuba amalkan. Namun, aku tidak dapat mengghaibkan diripun. Kitab Tajul Muluk dan Mujarabat menjadi bacaan yang menarik dan mengkagumkan kalangan kami para pelajar sekolah agama masa itu.

    Ada banyak cerita mengenai kehebatan orang dulu. Mereka adalah nenek moyang kita yang meninggalkan sejarah kehebatan diri dan zaman untuk menjadi ranungan kita di masa ini. Sebahagian cerita mengenai mereka ditafsirkan orang sebagai lambang kehebatan ilmu nenek moyang kita. Siapa tidak tahu mengenai Kyai Saleh Selempang Merah yang berjaya menangkis serangan Komunis di Johor? Ilmunya menjadikan senapang komunis tidak meletup dan dia dan pasukannya dilihat " besar "  oleh pasukan komunis.  Diceritakan pula  bahawa ilmunya itu adalah zikir Yazaljalali Wal Ikram.

    Demikian kita dihidangkan dengan kisah sejarah mengenai tragedi 13 Mei 1969 di mana menceritakan kehebatan ilmu parang terbang orang Melayu yang membunuh Cina. Bagi orang Melayu yang tidak teliti,  mungkin merasa bangga dengan cerita-cerita sebegitu. Ilmu Parang Terbang itu dikatakan khazanah bangsa dan lambang  kejaguhan Melayu. Padahal, ia tidak lebih dari penghinaan buat bangsa Melayu.


    Mengenai Mat Indera yang dibincangkan ramai orang ini, ia juga merupakan salah satu watak orang dulu yang tidak terlepas daripada gambaran yang ada itu. Sungguhpun dia seorang yang dikatakan beragama, dia seorang yang bergantung kepada tangkal azimat. Dia memiliki ilmu kemegahan duniawi yang hari ini kalau kita bahaskan, akan membawa kita merumuskan penyimpangan daripada ajaran Islam. Ilmu ghaib, kebal dan bermacam-macam ilmu yang pernah dimiliki oleh nenek moyang kita dulu bukannya ilmu Islam pun. Perolehannya pun tidak mengikut lunas Islam.

    Cerita mengenai orang beragama di zaman dulu begitulah gambarannya. Hatta, Wali Songo yang merupakan sejumlah da'ie hebat dari Tanah Jawa ditempelkan dengan cerita-cerita "khawariqul 'adah" yang jika diteliti mencurigakan dari segi kesucian akidah dan amalan Islam. Memang begitu yang tumbuh dalam budaya kita. Seorang tokoh yang hebat akan diperhebatkan dengan riwayat kecanggihan ilmunya. Seorang yang mempunyai ilmu yang canggih itu pula akan disempurnakan dengan lebel sebagai tokoh agama, ulama, pelajar pondok, berguru dengan ulama itu dan ini serta sebagainya.

    Kalau benar sebagaimana diriwayatkan orang mengenai Mat Indera yang hilang kekuatannya setelah tangkal-tangkalnya berjaya dibuangkan dari tubuhnya, tahulah kita di tahap mana agama panutan Mat Indera. Semoga sebelum matinya dia telah bertaubat meninggalkan semua kekusutan dalam beragama itu.

    Rasulullah SAW bersabda:

    من علق تميمة فقد أشرك

    "Sesiapa yang menggantungkan tangkal, maka sesungguhnya dia telah berbuat syirik".
    (Hadis Riwayat Ahmad (4/156), Silsilatus Saheh :No. 492)

    Bersyukurlah kita hidup pada zaman ini yang mendapat pendedahan ilmu dan mengembalikan kita kepada Islam yang yang lebih dekat dengan ajaran Rasulullah SAW.


    "Wira Sebenar"

    September 4, 2011

    Alayarham Noramfaizul yang terbunuh di Somalia kerana terkena peluru sesat itu merupakan seorang wartawan  yang ikut serta Kelab Putera 1 Malaysia untuk misi kemanusiaan di sana. Kelab Putera 1 Malaysia adalah sebuah NGO yang diketuai oleh Datuk Abd Azeez Abd Rahim yang juga merupakan pengerusi Putera UMNO Malaysia. Pendek ceritanya, Kelab Putera 1 Malaysia dengan Putera UMNO itu adalah dua badan yang kepalanya sama.Maka, misi kemanusiaan yang dilakukan oleh Kelab Putera 1 Malaysia itu secara tidak langsung adalah untuk memperlihatkan kepada rakyat dan juga dunia mengenai keperihatinan UMNO dalam membantu manusia sejagat. Sebab itulah, di samping petugas-petugas misi kemanusiaan yang pergi, turut serta adalah gerombolan wartawan, juru kamera dan individu-individu pengamal media kerajaan. Tujuannya adalah untuk melaporkan kerja-kerja kemanusiaan itu buat tatapan rakyat Malaysia.

    Takdir Allah, pada kali ini seorang wartawan yang ikut serta misi kemanusiaan di Somalia itu telah terbunuh. Samada betul-betul peluru sesat atau sengaja ditembak, Allahu a'lam. Namun, kematian Noramfaizul itu telah mendapat publisiti meluas. Di peringkat kerajaan Malaysia, ia digelar "wira sebenar". Demikianlah apa yang diluahkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang bergegas pulang dari percutiannya di Australia kerana ingin menyambut jenazah seorang "pejuang" yang terbunuh di luar negara.

    Kepulangan jenazah alayarham Noramfaizul dilaporkan secara dramatik dalam media elektronik. Kerandanya berbalut bendera Malaysia sebagai tanda penghormatan sebagaimana penghormatan kepada tokoh-tokoh yang berjasa. Kerajaan pula berjanji akan menyalurkan bantuan khas kepada keluarga yang ditinggalkannya.

    Ironinya, baru dalam seminggu dua ini heboh dalam negara kita perdebatan dalam media mengenai wira negara yang disebut pejuang kemerdekaan.  Isunya timbul apabila Mat Sabu, Timbalan Presiden Pas menyifatkan anggota polis yang terbunuh dalam peristiwa serangan komunis di Bukit Kepung pada tahun 1952 itu bukan pejuang kemerdekaan. Lontaran Mat Sabu itu telah menimbulkan kekecohan di kalangan penganut sejarah perjuangan kemerdekaan versi UMNO sebagai kerajaan yang memerintah. Mat Sabu dianggap sebagai buta sejarah, pengkhianat bangsadan seorang komunis.

    Sejarah kemerdekaan versi UMNO menyifatkan Tengku Abd Rahman sebagai Bapa Kemerdekaan. Apabila disebut sebagai bapa, maka ertinya dialah pencetus perjuangan kemerdekaan. Selepas beliau barulah lahir anak-anak yang berjuang untuk kemerdekaan. Tentunya bagi mereka yang ikhlas menela'ah sejarah sukar menerima anugerah nama ini kepada Tengku Abd Rahman. Sebelum beliau sudah ada ratusan tokoh yang berjuang untuk memerdekakan negara. Perjuangan untuk kemerdekaan telah ada sebelum Tengku Abd Rahman lahir lagi.  Maka jika dia menjadi Bapa Kemerdekaan, siapalah pula mereka yang telah berjuang sebelumnya. Kalangan mereka, ada yang berkorban nyawa dan sebahagiannya dipenjara dan dibuang negeri.

    Penolakan Mat Sabu terhadap sanjungan melampau kepada tokoh-tokoh UMNO sebagai pejuang kemerdekaan inilah yang tidak disenangi oleh para pemimpin UMNO sekarang. 

    Kejadian terbaru ini memperlihatkan kepada kita tingkat tahap pemikiran para pemimpin UMNO dalam menilai keperwiraan seseorang. Tidak hairan kalau mereka boleh mengannggap polis yang berkhidmat dengan British di zaman penjajahan itu sebagai perwira negara. Ratusan pahawan Melayu yang mengangkat senjata buluh dan runcing sejak zaman silam diterima sebagai penderhaka raja dan sultan. Pejuang Melayu yang berperang melawan British berganding bahu dengan komunis dilebelkan sebagai komunis.

    Persoalan siapa perwira sebenar menjadi soalan yang sukar dijawab oleh para pemimpin UMNO. Dua puak yang berlawan, hanya salah satunya sahaja layak digelar perwira. Di zaman penjajah, ada kumpulan yang melawan British. Kalau kita rela menamakan British sebagai perwira, maka yang menentangnya adalah pengkhianat. Justeru, yang mati kerana mempertahankan hagemoni British, juga bolehlah dianggap perwira negara. 

    Amat aneh dan melucukan kalau ada orang sanggup menamakan British sebagai perwira negara. 

    Sekarang, demam mencari perwira negara itu menyebabkan para pemimpin itu menjadi mamai dan memberi gelaran "wira sebenar" kepada seorang yang terbunuh sebagai jurukamera di sebuah negara bergolak di bawah program anjuran Putera UMNO. Wartawan terbunuh ketika menjalankan tugas, telah sering terjadi kepada wartawan-wartawan dari negara lain. tetapi, mereka tidak pula berlebihan dalam meratapinya. Tidak pula dianugerahkan "wira negara". Namun, negara kita di tangan mereka yang berjiwa kerdil. Hal yang sepele bagi negara lain menjadi besar dalam negara kita.

    Dari sudut pandangan lain, sebab perhatian istimewa yang diberikan kepada alayarham Noramfaizal itu adalah kerana dia bertugas di bawah panji Putera UMNO.  Kalaulah dia bertugas di bawah panji lain, masakan akan pedulikan sedemikian rupa. Sememangnya semua perwira negara itu adalah yang bernaung di bawah panji UMNO. Sebab itu sejarah kemerdekaan dilakar sedemikian rupa dan menonjolkan zaman setelah adanya UMNO. Zaman sebelum ada UMNO, perwira negara tidak ada atau kurang penting. 

    Ada orang kata, kalau mati demi UMNO, jadilah dia perwira negara. Kalau mati demi Islam, dianggap sebagai pengganas, pengkhianat dan berbagai-bagai lagi gelaran negatif. Di tangan anda pilihan. Matilah demi apapun, tetapi ingatkanlah nasib di akhirat. Kesyahidan itu hanya kerana anda mati demi Islam.

    Kematian alayarham Noramfaizul memang tragis. Meninggal di perantauan amat menyakitkan bagi yang ditinggalkan. Semoga Allah mengampunkannya dan menempatkannya di kalangan orang yang beriman. Semoga juga, keluarganya dapat bersabar atas mehnah Allah yang diberikan.

    KHUTBAH JUMUAT: Istiqamah Sesudah Ramadhan

    September 2, 2011

    Petikan khutbah Jumuat hari ini:




    Teks penuh Khutbah boleh didapati di sini: Istiqamah Sesudah Ramadhan