Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Showing posts with label haji. Show all posts
Showing posts with label haji. Show all posts

Safar haji: Tikus kebulur dalam jelapang padi

May 25, 2009

Aku menyelak lembaran buku catatan perjalanan hajiku. Sebenarnya banyak lagi catatan perjalananku yang belum aku masukkan ke blog. Mungkin rasa tidak releven dan tiada keperluan. Namun, seminggu dua ini, aku hilang minat menulis. Mungkin tiada isu yang menuntut keperihatinan. Seharusnya tidak begitu. Dalam dunia luas ini, banyak sekali isu yang menuntut keperihatinan dan jika kita hendak menulis, banyak sekali yang boleh ditulis. Tulisan sebenarnya laksana sungai yang mengalir dari legeh pergunungan menuju kuala dan bersatu dengan laut khazanah cendikia terdahulu.

Aku ingin sekali menulis terus menerus. Menulis setiap derap langkahku. Menulis juga setiap kelibat yang melata di maya pada. Hidupku tidak sepanjang apa yang ingin aku tulis. Kenapa aku sia-siakan masa sehari dengan lakuna daripada menulis?

Sungguh sukar sekali mengimbangi antara keperluan menulis dan kemampuan menulis!

dalam kesempatan ini, biar aku tulis sedikit catatan safar haji yang tertunda yang sudah berkulat dalam buku catatan safarku.

Ini adalah berkenaan kejahilan seorang lelaki Arab Saudi.

Ketika aku bersama dengan jemaah haji KT54 dalam perjalanan pulang setelah 8 hari di Madinah, kami terpaksa solat subuh di Lapangan Terbang Madinah. Lapangan terbang di Arab Saudi sememangnya tidak menyediakan ruang solat yang selesa. Saya menyedari hal ini ketika sampai di Jeddah dahulu lagi. Dalam soal kemudahan solat ini, Lapangan terbang KLIA jauh lebih baik berbanding lapangan terbang di Arab Saudi.
Sahabat-sahabat yang pernah berkelana ke lapangan terbang negara-negara Arab yang lain juga menceritakan tentang tiada musalla di lapangan terbang negara-negara Arab.

Ironi sekali, sebuah negara yang saban tahun menerima jutaan jemaah haji, tidak menyediakan ruangan solat yang selesa di lapangan terbangnya.

Ketika kami sampai, waktu subuh pun sudah masuk. Kami ada kira-kira setengah jam lagi untuk boarding ke penerbangan balik ke Malaysia. Ketika itu, beberapa petugas di lapangan terbang, berbangsa Arab, mungkin yang menguruskan istiqbal para hujjaj, sedang menyusun naskhah-naskhah Al-Quran terjemahan untuk dibahagi-bahagikan kepada kami. Naskhah-naskhah tersebut dikeluarkan daripada kotak-kotaknya.

Oleh kerana kami tiada sejadah untuk solat subuh, salah seorang daripada kami mahu mengambil kotak-kotak yang telah kosong itu untuk dijadikan alas solat.

Lelaki Arab itu melarangnya. Aku menghampirinya dan bertanya kenapa tak boleh. Katanya, ada tertulis Al-Quran di atasnya. Aku meneliti tulisan di atas kotak tersebut. Tiada tulisan Al-Quran kecuali kalimah Arab iaitu:
مجمع الملك فهد لطباعة المصحف الشريف


Kalimah tersebut dikatakannya tulisan Al-Quran. Aku memberitahunya bahawa itu bukan Al-Quran dan mahu mengambil kotak itu buat alas solat subuh. Tetapi dia tidak percaya dan berhujjah seolah-olah dia pandai.

Aku menggeleng kepala atas kejahilan pak Arab tersebut. Sungguhlah kejahilan Arab menjadi sebab kenapa sampai hari ini mereka berpecah belah dan tidak mampu bersatu. Kadar buta huruf di kalangan rakyat Arab masih lagi tinggi. Yusuf Al-Qaradhawi pernah menulis tentang sebab-sebab 'Takhalluf ' umat ini dengan meletakkan sifat buta huruf Arab sebagai salah satu puncanya.

Tulisan terdahulu aku pernah menulis mengenai seorang lelaki Arab yang tak suka bercakap fusha dan mengatakan adakah wajar kita bercakap dengan bahasa yang tidak dipercakapkan. Kejahilannya menyebabkan dia berkata begitu. Dia tidak tahu atau mungkin buat tidak tahu bahawa Al-Quran bercakap dengannya.

Seharusnya, sebagai bangsa yang mendepani ilmu Islam, baik dari segi sejarah maupun tempat, mereka lebih terkehadapan daripada lain-lain bangsa di dunia.
Tapi mereka umpama tikus kebulur dalam jelapang padi.


Safar haji: Dalam jutaan manusia, aku betemu Muhairizal

February 25, 2009

Sudah lama...lebih lima tahun tidak bertemu dengan seorang sahabat lama dari Maktab Perguruan Kent. Ustaz Muhairizal. Dalam kebetulan yang tak disangka-sangka, satu hari ketika bersesak-sesak mencari ruang untuk solat Maghrib di Masjidil Haram, aku bertemu Muhairizal.
Sungguh ajaib takdir Allah swt. Dalam jutaan manusia, aku bertemu Muhairizal yang lebih lima tahun kehilangan khabar berita daripadaku. Menurutnya, dia datang ke Mekah membawa ayahnya. Seperti aku membawa ibuku.
Bercerita dengannya, dia mengkhabarkan perkembangannya. Dia sudah beranak tiga dan kini bertugas di Sk. Seremban Jaya.
Aku catatkan hal ini kerana kagum dengan takdir Allah swt. Allah yang mempertemukan manusia dan memisahkan manusia.
Para sahabat yang berkasih sayang...perlu sedar bahawa Allah yang mempertemukan mereka dan sampai saat, Allah juga akan memisahkan.
Para suami isteri yang diikatkan dengan akad perkahwinan...perlu insaf bahawa Allah yang menjodohkan mereka dan sampai saat, Allah akan memisahkan...sama ada di dunia atau dengan kematian.
Semua yang sedang bertemu...akan sampai saatnya berpisah. Semuanya disusun oleh takdir Allah yang maha esa. Jika kita memahami makna sebuah takdir sekecil ini, kita akan memahami beberapa takdir lain yang lebih besar. Lantas, kita akan meredhai semua takdir Allah tersebut.
Kita akan menjadi orang beriman yang dikagumi oleh Allah dan Rasulnya sebagaimana sabda Rasulullah dalam hadisnya:
عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير ، وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن ؛ إن أصابته سرّاء شكر ؛ فكان خيراً له ، وإن أصابته ضرّاء صبر ؛ فكان خيراً له
"Sungguh ajaib melihat keadaan seorang yang beriman, semua keadaan adalah baik baginya. Tiadalah keadaan ini ada pada orang lain melainkan ada pada orang beriman sahaja. Jika dia dikurniakan kesenangan, dia bersyukur. Keadaan itu menjadi baik untuknya. Jika dia ditimpa musibah, dia bersabar. Keadaan itu pun baik baginya".
(Hadis Riwayat Muslim)

Safar haji: Paklong Solah dari Kuala Kedah

February 22, 2009

Tanggal 16 Disember 2008, pulang dari solat Subuh di Masjidil Haram, aku bersarapan pagi di kantin hotel Sevilla. Duduk di sebuah meja, aku berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Paklong Solah. Orangnya sudah kelihatan agak berumur.namun bicaranya bukan sebagaimana orang kebanyakan. Ada kematangan dan keluasan pengetahuan. Cara pemikiran pula bukan seperti angkatan agamawan tradisonal.
"Anta tahu...Islam yang berada di tangan ulama-ulama pondok tidak berkembang dalam mesyarakat. Mereka hanya membina kelompok terpencil yang ghairah menuntut ilmu dalam koloni pondok mereka...Islam hanya tersebar bila gerakan Islam memainkan peranan dalam masyarakat. Sistem dan cara hidup Islam mula tersebar dalam masyarakat bila golongan yang terdidik dengan kesedaran gerakan Islam semakin ramai dalam masyarakat..para wanita ramai bertudung, sistem ekonomi Islam mula diperkenalkan...pemikiran politik Islam mula dihayati...", Paklong Solah mengulas isu sosial dengan penuh kritis menyebabkan aku menilainya sebagai kalangan bukan sembarangan.
Paklong Solah dari Kuala Kedah
"Anta kenal ustaz Nasir Zakaria?", Paklong Solah bertanya kepadaku setelah mengetahui aku berasal dari daerah Padang Terap.
"Kenal...dia berasal dari kampung yang tak jauh dari kampung ana", jawabku.
Ustaz Nasir Zakaria adalah Ahli Parlimen bagi Padang Terap. Dia berasal dari Kampung Masjid, tidak jauh dari kampungku. Cuma selang 2 buah kampung. Di Universiti Malaya dahulu dia adalah junior kepadaku. Dalam masa-masa tertentu, aku sering bersua dengannya di rumah bapa mentuaku. Sila Klik Ustaz Nasir Zakaria untuk ke laman webnya.
Aku bersama bapa mentuaku sebelum keberangkatan ke Tanah Suci
Dia selalu bertandang ke rumah bapa mentuaku sebelum dimasyhurkan sebagai calon ahli parlimen bagi Padang Terap dalam pilihanraya umum tahun 2008. Waktu itu, aku telah menduga bahawa ustaz Nasir mempunyai urusan dengan bapa mentuaku dalam hal berkaitan calon pilhanraya umum. Ini kerana bapa mentuaku itu adalah orang kuat parti PAS di daerah Padang Terap. Dia adalah timbalan yang dipertua Pas Kawasan Padang Terap. Namun, ramai mengatakan dia adalah perancang sebenar semua gerak kerja parti di Padang Terap.
"Pak Long kenal dengan Pak ya Saud?", aku melontarkan soalan kepada Paklong Solah.
"Mengapa tak kenal pula ...kami selalu makan bersama lepas ceramah atau mesyuarat di Kuala Kedah", jawab Paklong Solah.
"Dia adalah bapa mentua saya...", aku meberitahu Pak Long Solah.
Dia agak terkejut dengan kebetulan itu.
"Anta patut terjun dalam politik dan serius mendokong perjuangan ayahmu...", Paklong Solah memeberi nasihat kepadaku.
"Ana sebenarnya kurang berminat untuk serius dalam politik...",balasku berbasa basi.
"Tidak! anta kena bersiap dari sekarang...perjuangan Pak Ya perlu diteruskan...", tukas Paklong Solah.
Saat sudah balik ke Malaysia, aku bertanya ayah mentuaku tentang Paklong Solah.Mereka memang kenal rapat dan menurut ayah mentuaku, Paklong Solah pernah ditahan di bawah ISA.

Safar Haji: Habibur Rahman

Hari ini tanggal 7 Disember 2008. Aku berwukuf di Arafah bersama jutaan umat Islam seluruh dunia yang sedang melaksanakan ibadah haji. Aku bersama sekitar 2000 jema'ah haji Malaysia yang lain dalam kawasan khemah Maktab 76. Terdapat beberapa khemah lagi yang menempatkan jema'ah haji dari Malaysia seperti khemah Maktab 74,75 dan 78.Aku tidak hafal berapa banyak maktab yang melibatkan jema'ah haji Malaysia.

Sejak senja kelmarin iaitu 8 Zulhijjah, aku telahpun berada di Arafah. Keadaan di Arafah pada malam hari sangat sejuk. Cuaca sejuk itu berterusan dan semakin menggigit hingga ke pagi. Menjelang duha, keadaan semakin panas pula. Sementara menunggu matahari gelincir untuk dikira sebagai waktu bermulanya wuquf, aku lebih banyak menghabiskan masa dalam khemah.
Berbagai ragam para jema'ah haji. Ada yang tidur, bersembang, membaca quran, berzikir, berdoa dan sebagainya. Aku melakukan beberapa daripada aktiviti itu kecuali tidur. Mana mungkin tidur dalam saat dan kesempatan berharga di Arafah di mana terdapat saat mustajab berdoa.
Sebelah petang, cuaca panas sekali. Berada dalam khemah tidaklah selesa. Aku keluar berjalan-jalan keluar dari kawasan maktab 76. Aku menyusur jalan di depan khemah-khemah maktab jema'ah haji Malaysia. Aku bertemu sekumpulan Jema'ah haji dari Pakistan. Mereka sedang duduk di kaki lima jalan berteduh di balik teduhan dinding dan bayangan pokok.
Kelihatan mereka kumpulan orang-orang yang terpancar kesolehan di wajah mereka.
"Assalamu'alaikum...", aku melontarkan salam mesra menunjukkan semangat persaudaraan Islam.
"Wa'alaikumussalam...", mereka menjawab serentak
"Apa khabar kamu semua?", aku bertanya dalam bahasa Arab .
"Alhamdulillah...", jawab salah seorang daripada mereka dan kemudiannya bertanyaku dengan nada mesra, "mahu ke mana saudaraku?'.
"Saya berjalan-jalan...melihat gunung ganang dan merenung kebesaran Allah...di hari yang amat besar ini", balasku agak bersastera sambil tersenyum kepadanya sambil memberi isyarat tangan ke arah gunung berbatu di sebelah barat Arafah.
"Saudaraku dari Malaysia?", dia menduga.
"Ya...dan saudaraku ini dari mana pula?", aku pula bertanya ingin tahu.
" Pakistan",jawabnya.
Kami berbual-bual berbagai perkara. Dari hal ehwal latar belakang diri masing-masing kepada persoalan haji dan kesalahan-kesalahan haji yang diamalkan sebahagian jema'ah. Kami berbual mengenai ulama-ulama silam. Hanya seorang yang rajin bercakap. Namanya Habibur Rahman. Dia pengkagum Bin Baz yang dikatakannnya sebagai ulama besar yang menjadi gunung ilmu bagi ramai ulama lain sezaman dan sesudahnya.
Dia bertanya kenapa wanita Malaysia tidak berpurdah sedangkan purdah adalah wajib.
Aku sekadar mengatakan bahawa kami berpegang pendapat yang mengatakan bahawa muka dan tapak tangan wanita muslimah bukan aurat. Habibur Rahman amat tidak senang dengan sudut pandangan itu. Dia mengemukakan beberapa hujah. Aku kekurangan dalil dalam dhabitku untuk dihujjahkan kepada pemuda seperti Habibur Rahman. Aku hanya mendengar tanpa banyak respons.
Habibur Rahman memberitahuku bahawa dia dan kawan-kawannya itu baru tiba kelmarin dari Riyadh. Mereka tinggal di sana dan mengusahakan sebuah sekolah tahfiz Al-Quran di sana.
"Datang dengan isteri?", Habibur Rahman bertanya.
"Tidak, dengan ibu, isteri tinggal di Malaysia...",jawabku.
"Oh...anak yang baik, sudah punya anak?",tanya Habibur Rahman lagi.
"Sudah...satu...anak perempuan", aku memberitahu.
"Apa namanya", tanya Habibur Rahman.
"Zamila Salsabila", balasku.
"Masya Allah...nama yang cantik...kebiasaan para ulama memberikan nama yang mempunyai sebutan dan makna yang balighah pada anak-anak", Habibur Rahman memuji. Dia menggunakan istilah"da'bul ulama" untuk membawa maksud perkataan kebiasaan para ulama tersebut.
"Apakah bagimu juga ada anak?", aku pula bertanya kepada Habibur Rahman.
Aku mengesan ada bayang kemurungan di wajahnya walaupun dia menutupnya dengan senyuman.
"Tiada...belum dikurniakan razeki", jawab Habibur Rahman.
"Berapa tahun sudah berkawin?", soalku.
"5 tahun", balasnya.
Aku membacakan ayat Al-Quran kepadanya:
رَبِّ لا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنْتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ
"Semoga Allah berikan anda cahaya mata...".lanjutku.
"Kita bukanlah dari kalangan orang yang berputus asa..." Habibur Rahman menjawab dengan waqar di hati.

Safar Haji:Pak Mardi, Antara Tariqat dan Salafi

February 21, 2009


Aku berkenalan dengan seorang lelaki dalam lingkungan 50-an dari Indonesia. Namanya Pak Mardi. Penampilannya, seperti kebanyakan pak kyai dari Indonesia, bersongkok dengan kain serban melilit leher.
"Mana lebih anda cenderung...pengamalan Islam secara tariqat atau Salafi?", Pak Mardi melontarkan persoalan itu kepadaku.
"Kalau saya, saya memilih salafi...",ujarku menjawab lontaran soalan Pak Mardi."Kalau Pak Mardi sendiri bagaimana?", aku seterusnya bertanya pula kepada Pak Mardi.
"Yah...kalau saya lebih cenderung kepada Tariqat...dalam ertikata lain meneruskan pengamalan yang bersifat tradisi seperti tahlil, talqin dan seumpamanya...", Pak Mardi mengemukakan jalan fikirannya.
"Kenapa memilih pengamalan agama sebegitu...?"seterusnya aku bertanya.
"Dengan cara itu kita bisa membersihkan hati... ",jawab Pak Mardi."Anda pula kenapa memilih pengamalan secara salafi...",dia seterusnya melontarkan pertanyaan.
"Itu lebih meyakinkan, tanpa simpang siur, merujuk generasi awal Islam sebagai teladan...",ujarku mengenai kewajaran jalan fikirku.

*****
"Anda kira apa yang dinamakan Masjidil Haram itu?"Pak Mardi bertanyaku.
"Pada saya, semua bangunan yang namanya masjid, ia Masjidil Haram...", aku menjawab menurut keyakinanku.
"Bererti di mana-mana solat dalamnya mendapat kelebihan 100 ribu kali darjat?",soal Pak Mardi.
"Ya, begitulah...", balasku.
"Saya berpendadapat yang namanya Masjidl Haram dan berhak diganjari 100 ribu darjat solat dalamnnya itu ialah bangunan asas yang dibina pada zaman Rasulullah dahulu...demikian juga Nasjid Nabawi....persis 30 meter dari Ka'abah kalau masjid ini...", Pak Mardi menyatakan pandangannya.
"Terusterang saya tidak bersetuju dengan jalan fikir Pak Mardi, kalau begitulah, nas difahami secara statik...padahal manusia bertambah...masjid makin luas...sekiranya masjid ini diluas hingga ke hotel tempat tinggal kita, ia menjadi Masjidil Haram dan solat di dalamnya diganjari 100 ribu kali lipat berbanding masjid lain...", aku menegaskan pandanganku pula.
Demikianlah sebuah anekdot perkenalan ringkas antara aku dan Pak Mardi. Dua jalan fikir yang berbeza antara dua negara serumpun. Namun, kami saling bertasamuh meraikan perbezaan jalan fikir tersebut. Terima kasih Pak Mardi.

Safar Haji: Pemuda Penjaga Kubur Ma'la

February 20, 2009

Hari ini tanggal 4 November 2008. Sepulang dari solat subuh, aku merasa bosan untuk berkurung di bilik hotel. Beberapa hari aku banyak banyak menghabiskan masa di kamar hotel saban kali pulang dari solat waktu di Masjidil Haram. Cuaca panas dan kesihatan yang tak memberangsangkan membuatkan aku jarang keluar kecuali untuk mengejar waktu-waktu solat di masjid.
Hari ini, bosan sekali menghabiskan masa pagi hari dengan berada di bilik hotel atau sekadar di lobinya. Aku mengambil keputusan untuk membawa kaki menyusur sekitar kota Mekah. Aku ingin sekali pergi ke kawasan perkuburan Ma'la kerana beberapa lepas aku bertemu dengan seorang pemuda Indonesia yang bekerja di sebuah kedai buku di satu lorong jalan kota Mekah. Dalam pertemuan tersebut dia memberitahuku bahawa kalau mahu membeli kitab-kitab yang murah harganya, serendah 5 Riyal, ada sebuah kedai buku di kawasan yang tidak jauh dari perkuburan Ma'la. Katanya, kitab-kitab berkulit keras, tebal dan karya ulama terkenal, dijual dengan harga yang murah.
Itulah antara tarikan utama aku menyusur kaki mencari perkuburan Ma'la. Aku tidak tahu ke mana arahnya Ma'la. Sekadar menduga ke sana sini, aku mengikut gerak hatiku.
"Kam Ujrah ila Maqbiratil Ma'la...", aku bertanya kepada sebuah teksi yang berhenti di tepi jalan.
"'Isyrin....", balasnya.
Aku tidak jadi naik teksi. Setahuku, dari cerita-cerita yang aku dengar, perkuburan Ma'la bukan jauh sangat. Pemandu teksi itu meminta 20 riyal. Itu tambang yang sangat mahal. Memang pemandu teksi di Mekah amat menghisap darah di musim haji. Mereka berhabis-habisan mengaut keuntungan di musim haji. Aku pernah bertanya kepada seorang pemuda yang membawa teksi sewaktu aku dan ibu menaiki teksinya dengan jema'ah haji lain menuju Tan'im buat berniat Umrah, berapa hasilnya semusim haji. Kata pemuda itu, biasanya 10 ribu riyal.
Aku menyusur di celah bangunan tinggi mencari perkuburan Ma'la. Setelah bertanya seorang polis pak pacak, dia menunjukkan aku arahnya. Akhirnya aku nampak papan tanda yang tertulis kawasan Ma'la. Tidak jauh dari situ kelihatan pagar kawasan tanah perkuburan yang agak luas. Aku masuk ke dalam dan kelihatan tanah perkuburan yang berceretet dengan batu-batu nisan yang diletak sana sini.
Tanah Persemadian Ma'la
Tanah perkuburan Ma'la tidak bernisan melainkan batu yang diletak atasnya dan boleh dipindahkan kalau diangkat. Tiada nama yang ditulis. Jika anda bertanya, "kubur siapa ini?', tiada jawapan bagi pertanyaan seperti itu. Dan pertanyaan seperti malah dilarang dan dipandang sinis oleh penjaga kubur di sana. Anda mungkin dicurigai sebagai "ubbadul kubur".
Di satu pondok, aku mendapati kitab-kitab diedarkan percuma. Terdapat kitab pelbagai bahasa yang membicarakan pelbagai isu. Umumnya, banyak berkisar mengenai amalan haji dan persoalan akidah yang bersih daripada kekhurafatan.
"Kalau saya ingin belajar bahasa Inggeris, di mana saya harus belajar, di Malaysia, India atau Indonesia?, aku ditanyai seorang pemuda Afrika bernama Umar yang bekerja menjaga perkuburan dan menjadi juru edar kitab-kitab dan risalah penerangan di pondok perkuburan Ma'la itu. bahasa Arabnya mudah difahami dan dia menggunakan Arab Fusha.
Umar, Pemuda Afrika.
Tel : 00962552821102
"India memang maju bahasa Inggerisnya tapi, sebuatannya agak ketara huruf 'ra'nya...kalau di indonesia saya rasa lebih baik di Malaysia'.Aku memberi jawapan menurut persepsiku.
"Boleh berikan saya nama-nam kolej yang boleh saya belajar di sana?", Umar si Afrika itu meminta.
"Oh...kalau itu saya tidak dapat memberinya sekarang....", aku meminta maaf kerana aku bukannya ada alamat kolej-kolej terkemuka di Malaysia.
Kami berbual-bual seketika mengenai latar belakang diri sebelum aku meneruskan jelajahku ke kakwasan lain di tanah perkuburan tersebut. Di satu sudut, aku melihat kawasan berpagar hijau. Aku merasakan itu adalah kawasan perkuburan Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid, Ummul Mukminin.
Di pinggir pagar itu ali bacakan doa buatnya dan buatku juga. Aku bisikkan dalam hatiku...
"Wahai Tuhan...jadikan puteriku seperti Khadijah binti Khuwailid Ummul Mukminin...".
Tidak dibenarkan berlama-lama di perkuburan utama. Penjaga kubur akan segera datang jika ada aktiviti yang mencurigai. Akan dilarangnya dengan keras jika ada orang bertamassuh untuk tabarruk dengan mana-mana bahagian di kawasan tanah perkuburan. Membaca Quran di atas tanah perkuburan juga dilarang.
Aku bertemu dengan seorang pemuda Champa bernama Abd Ghani. Dia juga bertugas di Ma'la untuk membanteras amalan yang bertentangan dengan syrai'at. Dia Fasih berbahasa Melayu.
Abd Ghani, Pemuda Champa
"Boleh saya ambil gambar pagar perkuburan Ummul Mukminin?",aku bertanya pemuda itu. Dia fasih bercakap bahasa Melayu. Katanya dia pernah belajar di Giat Mara di negeri Kelantan.
"Itu adalah dilarang...", dia tersenyum dan menyatakan keberatannya.
"Sebagai kenangan...", dia menggeleng kepala. Aku tidak memaksa.
"Kalau begitu gambar kamulah....sebagai kenangan saya...", aku tetap mahu ambil gambar juga. Dia bersetuju.
Setelah puas melihat sana sini, aku pun beredar. Sebelum beredar, kupanjatkan doa buat mereka yang bersemadi di sini.
"Sesungguhnya kamu beruntung kerana terpilih untuk permukiman abadi di tanah suci. Aku?entahlah. Di bumi mana aku akan bersemadi dan hancur bertulang temulang".Aku mengeluh sendiri.
Di tepi pintu pagar keluar, aku duduk berehat sebentar. Seorang lelaki Indonesia juga duduk di situ.
"Kamu dari Malaysia ya?", dia bertanya ramah.
"Ya...", aku mengiyakan.
"Wah...orang Malaysia kaya-kaya yuk...", ujarnya.
Aku tersenyum. Geli hati pun ada. Rupanya begitu persepsinya terhadap orang Malaysia.
Aku tidak menemui kedai buku yang kucari. Zohor sudah hampir. Aku menyusur mancari cari jalan menuju Masjid Haram. Tidak susah mencari arah Masjidil Haram. Lihat sahaja arus manusia, mereka berbondong-bondong menuju Masjidil Haram kalau waktu solat fardhu sudah mendekat.
Aku menjenguk Pasar Ghazzah.
Sebuah pasar jualan di kota Mekah
Di kaki lima sebatang jalan, ada kedai-kedai yang masih beroperasi sedangkan waktu solat telah hampir. Seorang petugas yang hanya bermotor kapcai mengeluarkan arahan supaya barang-barangnya dirampas dan disumbat ke dalam lori sampah. Nampaknya polis pengawal waktu solat ini berkuasa merampas semua jualan yang melanggar batas waktu.
Seorang polis sedang mengarahkan barang yang masih dijual dirampas dan disumbat ke lori sampah.
Aku berjalan kaki jauh sekali hari ini hari ini. Aku tidak tahu berapa kilometer aku berjalan. Namun, terasa lenguh sekujur kaki.
Akhirnya aku sampai di Masjil Haram. Manusia...ramainya...masya Allah. Masjid seluas itu, setiap ruangnya berisi manusia. Melimpah keluar dan memenuhi halaman.Mereka semua mahu mendirikan solat. Aku sukar sekali mencari ruang untuk solat. Akhirnya aku menemui juga di bawah panas terik mentari.
Alangkah ramainya ummat nabi Muhammad. Aku merasa kerdilnya diriku di laut manusia ummat Muhammad.

Safar Haji: Aku Melontar Jumrah, Bukan Merejam Syaitan

February 18, 2009

Semasa aku berada di Mina, berehat-rehat dalam khemah, bersama-sama dengan pakcik-pakcik dan abang-abang yang lebih berumur daripadaku, kami berbincang mengenai pekerjaan melontar Jumrah yang akan kami lakukan sebelah malamnya nanti. Seorang daripada kami kemudiannya menyebutkan tentang doa melontar jumrah yang telah dihafalnya.
بسم الله ألله أكبر رجما للشياطين وحزبه
Mendengar doa yang dibacakannya, aku berterusterang mengatakan ia bukan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Apa yang Rasulullah ajarkan hanya lafaz:
بسم الله ألله أكبر
"Melontar Jumrah bukan untuk merejam Syaitan. Melontar Jumrah hanya semata-mata mengikut sunnah baginda Rasulullah".kataku kepada kumpulan pakcik-pakcik dan abang-abang senior yang bersamaku dalam khemah di Mina.
"Mereka yang beriktiqad merejam syaitan semasa melontar Jumrah telah berbuat salah dalam ibadah haji...Kalau nak melontar Syaitan, kita gunakan batu yang lebih besar, biar syaitan benar-benar cedera...",demikian aku melontarkan logik.
"Betul tu ustaz...kita melontar ikut perintah Allah sahaja, bukan kerana yang lain...", seorang pegawai dari Mada menyatakan persetujuannya dengan apa yang aku utarakan.

Demikianlah, pelajaran yang bercapur baur dalam kursus haji dan dari pelbagai sumber telah menimbulkan kefahaman salah bagi sesetengah konsep amalan haji. Aku sendiri, sebelum menjejaki kaki ke Makkah, membeli buku doa-doa untuk amalan haji buat digantung dileher supaya mudah dibaca sepanjang mengerjakan haji. Namun, apabila aku tiba sahaja di Jeddah, pemuda-pemuda Arab yang bertugas mengedarkan risalah haji kepada bakal-bakal haji yang baru tiba, memberikan aku buku mengenai beberapa fakta menyimpang yang selalu diamalkan semasa haji, timbullah kesedaran dalam hatiku.
Sementelahan, dalam kunjunganku ke perkuburan Ma'la, aku telah mendapat banyak buku percuma mengenai ibadah haji. Aku membacanya dan memahami perlaksanaan ibadah haji menurut pandangan ulama-ulama Arab Saudi. Ia cukup mudah dan berdasarkan dalil daripada amalan Rasulullah.
Ada suara menasihatiku di Malaysia sebelum safar haji, bahawa aku perlu berhati-hati dengan buku-buku yang diedarkan percuama di Makkah dan Madinah. Kata mereka, itu buku-buku Wahabi.
Sebenarnya aku tak peduli tentang Wahabi. Aku bersikap terbuka dengan ilmu dan berpegang pula dengan satu prinsip bahawa sebarang ibadat dan akidah perlu bersandarkan dalil Hadis atau Quran.
Aku pernah berkata kepada seorang yang mencurigai karya ulama-ulama ArabSaudi tentang ibadat haji.
"Mereka adalah orang yang paling dekat dengan Ka'abah dan Masya'irul Haram, mereka paling tahu tentang haji berbanding kita yang tinggal beribu batu jauhnya dari Makkah. Mereka mengkaji tentang haji lebih kerap berbanding kita yang hanya mengkaji di musim-musim haji sahaja...dan mempelajari haji berdasarkan teori",
Aku telah melihat keperihatinan ulama-ulama masjidil haram, malah pengawal-pengawal Masjidil Haram mengawal penyimpangan dalam ibadah haji. Mereka melarang keras tamassuh dengan ka'abah, solat sunat di belakang Maqam Ibrahim dalam kesibukan manusia, ikhtilat lelaki perempuan dalam saf solat, merakamkan video dalam kawasan Hasjidil Haram dan sebagainya.
Kita hanya ajam yang berdatangan dari seluruh pelusuk dunia ke bumi di mana mereka adalah pemegang amanahnya. Sesungguhnya Allah tidak akan silap meletakkan amanah dua kota sucinya ke tangan orang yang merosakan agamanya. Justeru, kerana mereka boleh disandarkan menjaga dua kota suci Islam, maka Allah mentakdirkan apa yang sedang berlaku.
Ibadah haji akan menjadi berkecamuk dan berbaur khurafat dan penyimpangan sunnah jika ummat dibiarkan beribadah haji mengikut kehendak sendiri.

Aku sarankan untuk dibaca sebuah artikal Dr. Asri Zainal Abidin bertajuk : Haji: Antara falsafah, tokok tambah dan nas.


Widak buat teman-teman yang menjengah

November 8, 2008

Esok saya balik kampung. Beberapa perkara perlu dipersiapkan sebelum berangkat ke Tanah Suci pada 19 November 2008. Ini bermakna saya berhenti rehat sementara daripada posting untuk blog ini. Di kampung kemudahan akses internet agak sukar. Lagipun kesempatan untuk itu hampir tiada.
Kepada teman-teman yang lewat lalu menjengah ke sini, saya mengucapkan "widak" buat semua. Mudahan widak ini cuma sementara dan akan bertemu kembali pada tahun hadapan.
Safar haji yang akan aku telusuri ini tentunya satu perjalanan kerohanian dan pengalaman yang penting dan mungkin boleh dikongsikan bersama nanti. Mudahan Allah memberkati perjalanan saya. Ameen.

BAHAN KURSUS HAJI 4

BAHAN KURSUS HAJI 3

BAHAN KURSUS HAJI 2

BAHAN KURSUS HAJI 1

HAJI TAMATTU'

November 4, 2008


Mengikut jadual penerbangan yang diberikan kepadaku, keberangkatanku ke Makkah bagi KT54 adalah pada 19 November 2008 bersamaan dengan 21 Zulkaedah 1429. Miqat yang ditentukan untuk penerbangan tersebut adalah Qarnul Manazil. Bermakna, penerbangan tersebut akan membawaku mendarat di Lapangan Terbang Jeddah.

Dari tarikh ketibaan di Makkah sehingga ke tarikh 8 Zulhijjah, aku mempunyai sekitar 17 hari. Ia tentunya satu tempoh yang agak lama dan wajarlah haji Tamattu' menjadi pilihan.

Dalam melaksanakan ibadah haji, terdapat 3 kaedah perlaksanaan haji yang dibolehkan iaitu Haji Ifrad, Haji Tamattu' dan Haji Qiran.

Aku kurang mendalami ilmu haji sejak zaman persekolahan dahulu. Pelajaran haji yang dimasukkan dalam silibus semasa tingkatan 5 di sekolah menengah dahulu aku belajar sambil lewa sahaja kerana belajar tanpa praktikal memang susah untuk diingati. Aku sekadar mendengar pembahagian haji berdasarkan nama-nama tersebut namun aku tidak cukup memahaminya. Masih kebingungan dan keliru. Kendati sehingga baru-baru ini pun aku kurang memahami istilah-istilah ini. Semuanya kerana aku tidak bersungguh-sungguh mempelajarinya kerana ketiadaan keperluan. Kursus bersiri haji yang diadakan oleh pihak Tabung Haji aku tidak hadiri kerana hujung minggu yang sering padat dengan program. Aku cuma menampakkan diri dalam Kurusus Intensif dan Kursus Perdana dan dari sana aku bertekad untuk memahaminya.

Tambahan pula lambaian haji sudah mula terasa. Dan kini setelah mendapat kepastian terpilih untuk melaksanakan haji pada tahun ini, aku melipatgandakan pembacaan mengenai haji untuk memahaminya dengan lebih mendalam.

Haji Tamattu' adalah bagi orang yang bukan tinggal di Makkah yang datang awal. Apabila melalui Miqat makani (tempat berniat) yang telah ditentukan, hendaklah berniat melakukan umrah dan memakai pakaian ihram. Apabila sudah berniat umrah dan memakai pakaian ihram, perlulah mematuhi pantang larang yang telah ditetapkan iaitu pantang larang berkaitan pakaian, wangian, kecantikan, alam sekitar dan hubungan suami isteri. Masuk ke Makkah, lakukan Tawaf, sa'i dan kemudian bertahallul dengan menggunting atau mencukur rambut. Dengan tahallul tersebut, bebaslah dari segala pantang larang yang dikenakan. Keadaan bebas daripada segala pantang larang tersebut berlangsung sehinggalah hari ke-8 bulan Zulhijjah. Pada hari tersebut, kita perlu berniat ihram semula untuk melaksanakan haji pula. Oleh kerana kita sudah berada di Makkah dan tak perlulah lagi keluar ke Miqat. Berniat sahaja di penginapan sendiri dan pakailah ihram. Setelah itu laksanakan rukun-rukun dan wajib haji yang telah ditentukan sehingga selesai sambil menjaga segala pantang larangnya. selepas bertahallul buat kali yang kedua, perlulah membayar dam iaitu denda. Denda memang tak dapat dielakkan bagi haji tamattu'. Pertama kerana kita telah bersedap-sedap membebaskann diri daripada pantang larang semasa ihram dengan bertahallul kali pertama dahulu. Keduanya kerana kita berniat tidak di miqatnya. Damnya adalah sekurang-kurang seekor kambing.

Aku faham kini haji yang akan aku lakukan. Haji Tammatu'. Mudahan Allah menerima hajiku.


حجًّا مبرورًا، وذنبًا مغفورًا، وعملاً متقبلاً إن شاء الله تعالى

Rujukan: Islam Online

JADUAL PENERBANGAN HAJI

October 24, 2008





Pada hari ini aku mendapat jadual muktamad bagi penerbangan haji pada tahun ini. Sengaja aku publish di sini agar menjadi rujukanku dan kenangan abadi dalam sejarah hidup. Untuk melihat jadual penerbangan di atas secara jelas, sila klik petak di atas.