Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Showing posts with label Pandangan. Show all posts
Showing posts with label Pandangan. Show all posts

Abu Bakar bukan ceti dan Umar bukan penzina

May 13, 2026

Sesiapa yang banyak becakap, kalau tersalah cakap, hendaklah istighfar dan minta ampun kepada Allah SWT. Kekadang kesilapan dalam percakapan itu merupakan satu teguran daripada Allah SWT. Kalau Allah mahu, Allah pelihara lidah kita daripada tergelincir. Tapi jika Allah biarkan lidah kita tergelincir, itu adalah kerana Allah meninggalkan 'ismah buat kita. Allah tak pelihara kita. Mungkin kerana sesuatu dosa yang kita buat  atau mazmumah yang bersarang dalam hati. Orang yang insaf akan cepat membaca rahsia kejadian dan segera bercermin diri. Bahawa, kekhilafan dalam bercakap itu ada sebab dan itu antara cara Allah mengajar kita. Apatah lagi jika khilaf dalam bicara itu memberi efek kritikan dan bantahan yang besar di kalangan massa dan ahli ilmu dalam masyarakat.


Jika tidak juga mahu mengaku kelemahan diri, sebaliknya berdolak dalik dan mempertahankan kesalahan dengan madah berhelah, itu adalah tanda kerasnya hati. Kerasnya hati adalah satu bala tambahan buat diri. Ketulan di atas ketulan. Sakit ditambah sakit. 

Seperti kata pepatah Arab:

زَادَ فِي الطِّينِ بِلَّةً

“Dia menambahkan lagi basah pada tanah liat.”


Misalan Arab ini bermaksud: sesuatu yang sudah rosak, ditambah rosak lagi. Satu yang sudah buruk keadaannya , diburukkan lagi. Sudah serabut, bertambah serabut. Pepatah Melayu yang sama maksudnya ialah "TIKUS MEMBAIKI LABU". Ada pepatah Melayu menyebut "Menyimbah Minyak ke api". Dalam situasi yang memburuk ia gambarkan dengan kata-kata " Sudah jatuh ditimpa tangga". Pokoknya, masal Arab itu dan pepatah-pepatah Melayu itu menggambarkan situasi yang bertambah rosak setelah kerosakan pertama.

Mengatakan Abu Bakar As-Siddiq adalah BAPA CETI dan menindas orang miskin untuk mengkayakan dirinya adalah perkataan yang melampau dan tidak punya asas dalam sirah para sahabat. Ia tidak diucapkan oleh mana-mana ulama yang mendalam dalam ilmu sirah. Walaupun pada zaman Jahiliyyah, Abu Bakar As-Siddiq adalah orang mulia. Jahiliyyah yang dikaitkan dengan kehidupan Abu Bakar sebelum Islam adalah jahiliyyah akidah. Berapa ramai kalangan Arab Quraisy yang hidup pada zaman Jahiliyyah, mereka menyimpan nilai mulia dalam akhlak, sikap dan perlakuan hidup seharian. Menyembah berhala, minum arak dan suka bergaduh bukan bermakna mereka menindas orang miskin untuk kaya. Abu Bakar As-Siddiq jauh sekali. Malah, beliau berada di kemuncak hidup bermaruah dalam masyarakat.

Banyak orang termakan budi Abu Bakar. Seorang bangsawan Taif yang bernama Urwah bin Mas'ud dalam peristiwa sebelum perjanjian Hudaibiyah mengungkapkan kemuliaan Abu Bakar di zaman Jahiliyyah. Mulanya dia memperlecehkan kesetiaan para sahabat Nabi Muhammad dan mengatakan mereka itu akan meninggalkannya. Perkataan itu didengar oleh Abu Bakar dan dia mengherdik Urwah bin Mas'ud serta menegaskan bahawa dia dan para sahabat Nabi tidak akan sekali-kali meninggalkan Nabi SAW. Urwah bin Mas'ud yang mendapat kecaman keras Abu Bakar tekejut dan bertanya suara siapakah yang mengecamnya itu. Lalu diberitahu bahawa yang bersuara itu adalah Abu Bakar As-Siddiq. Maka berkatalah Urwah bin Mas'ud:


أما والذي نَفسي بيَدِه، لَولا يَدٌ كانَت لك عِندي لم أجزِك بها لَأجَبتُك

"Adapun sesungguhnya, demi yang jiwaku berada di TanganNya, kalaulah tidak kerana engkau ada jasa buatku yang belum aku balas, tentu akan aku balas katamu kepadaku itu".


Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam sahehnya (No. Hadis: 2731). Ia menggambarkan bagaimana kehidupan Abu Bakar di masa Jahiliyyah. Orang seperti Urwah bin Mas'ud pun termakan jasanya dan hormat serta malu alah kepada Abu Bakar. Orang sebegini jauh sekali menjadi penindas masyarakat dan menopang hidupnya dengan perolehan harta haram.



Kita baca sirah, semasa orang Quraisy membina semula Ka'abah yang runtuh dipukul banjir, mereka tak cukup dana. Ka'abah asal zaman Nabi Ibrahim bebentuk empat segi tepat, namun kerana kekurangan dana , dibinalah Ka'abah empat segi sama. Selebihnya dibuat lingkungan Hijir Ismail. Kenapa tak cukup dana? Itu kerana orang Quraisy yang masih dalam zaman jahiliyyah itu tidak mahu harta haram digunakan buat membina Kaabah. 


Saat pembinaan semula Kaabah itu, usia Nabi SAW sekitar 35 tahun. Pemuka Quraisy yang mengatur pembinaan Kaabah dengan duit halal itu adalah antaranya Al-Walid bin Al-Mughirah, Umayyah bin Khalaf, Ubai bin Khalaf, Utbah bin Rabiah,  Abu Lahab  dan lain-lain saadat Quraisy yang kelak akan memusuhi dakwah Nabi SAW. Termasuk juga Abu Talib , Pakcik Nabi SAW yang menjadi pemimpin utama Mekah dewasa itu. Kalau mereka pun tahu harta halal dan haram dan jadikan ianya kayu ukur dalam pembinaan semula Ka'abah, apakah mereka itu lebih terhormat daripada Abu Bakar sehingga Abu Bakar jenis makan harta haram dan mengkayakan diri dengan sumberi haram?

Abu Bakar banyak mengorbankan hartanya untuk dakwah Rasulullah SAW yang suci. Sama seperti Khadijah isteri Rasulullah SAW. Melaui pengorbanan harta yang mereka lakukan, dakwah Rasululalh SAW berkembang. Apakah dakwah yang penuh keberkatan itu disokong oleh wang haram? Apakah mungkin Allah SWT jadikan pendana dakwah Rasulullah SAW mempunyai aset yang haram lalu aset itu jadi modal dakwah? 

Kerja batil akan menjemput dokongan harta yang kotor dan haram Sementara kerja mulia dan haq, terlebih lagi kerja dakwah Rasul akhir zaman, maka harta dan segala macam perbelanjaan yang menegakkan altarnya, sudah tentulah akan datang dari sumber yang halal. Ini kemuliaan yang Allah berikan kepada kerja risalah nubuwwah yang dibawa Rasulullah SAW. Allah berfirman dalam surah Al-Anfal, ayat 37:


لِيَمِيزَ اللَّهُ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَيَجْعَلَ الْخَبِيثَ بَعْضَهُ عَلَىٰ بَعْضٍ فَيَرْكُمَهُ جَمِيعًا فَيَجْعَلَهُ فِي جَهَنَّمَ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ 
“Agar Allah membezakan yang buruk daripada yang baik, lalu Dia menghimpunkan yang buruk itu sebahagiannya di atas sebahagian yang lain, kemudian Dia menimbunkannya semuanya, lalu Dia memasukkannya ke dalam neraka Jahannam. Mereka itulah orang-orang yang rugi.”
— Surah al-Anfāl: 37

Ayat di atas menggambarkan perbelanjaan dana golongan kufar Mekah untuk perang Badar. Dana mereka adalah bersumberkan yang haram. Dana itu termasuk hasil daripada rompakan dan penggeledahan atas harta kaum muslimin yang meninggalkan Makkah pergi berhijrah. Termasuk pemerasan secara paksa rela harta warga Makkah. Dana haram pergi kepada kerja haram. Demikianlah aturan sunnatullah. 

Justeru, kita perlu punya tanggapan dan keyakinan bahawa kerja mulia risalah nubuwwah adalah karamah dan terpelihara daripada menyerap dana haram. Kerana Abu Bakar As-Siddiq adalah pelabur utama, kita berkeyakinan bahawa harta Abu Bakar yang disumbangkan itu bukan jenis harta haram. Ia bukan harta pemerasan hasil kerja-kerja Ahlong atau disebut ceti haram. Memang kondisi masyarakat Mekah itu sarat dengan muamalat harta haram, sama hal dengan kehidupan dalam dunia perbankan ribawi sekarang ini. Namun, jangan samakan kita dengan Abu Bakar yang Allah takdirkan jadi donator dakwah Rasuluillah SAW. Bukanlah susah bagi Allah menjaga kemuliaan dakwah Nabi SAW dengan memelihara harta Abu Bakar r.a.


Sesungguhnya, Abu Bakar As-Siddiq masa Jahiliyyah tidak karam dalam kebobrokan jahiliyyah. Dia tidak meragut sepertimana ramai para hartawan lain meragut. Dia lebih mulia daripada mereka semua itu. Bahkan, Abu Bakar masa Jahiliyyah lebih bermaruah dan terhormat berbanding kita yang hidup dalam Islam di zaman ini! Camkan itu baik-baik.

Sementara Umar Al-Khattab pula, dia memang seorang preman di Kota Makkah. Namun, bukan preman bangsat seperti yang suka buat kerja-kerja mafia di zaman ini. Umar Al-Khattab adalah seorang yang terhormat dan cintakan perpaduan kota Makkah. Dia ta'asub dengan bangsa Quraisy dan leluhur. Kerana dia melihat Nabi SAW sebagai pemecahbelah masyarakat, dia membenci Nabi SAW. Sebagaimana kebiasaan para pemimpin Quraisy, Umar Al-Khattab menjalani kehidupam yang sentiasa menjaga maruah diri. Tidak benar sama sekali untuk dikatakan Umar Al-Khattab itu seorang womaniser atau kaki zina. Jauh sekali berwatak macam perompak atau lanun yang menyerang desa Semerah Padi dan merampas Si Dara tunangan Taruna untuk dinoda maruahnya. Itu perangai bangsa Melayu yang jahat di zaman dulu. Kita banyak dengar dari orang tua kita mengenai kisah  di zaman bahari dulu seperti hal sedemikian. Orang gagah dalam kampung perangainya macam setan. Bini orang dibuat macam bininya. Anak dara orang diculik dan dijadikan gundik. Hatta, Sultan Melaka sendiri menzinai isteri laksamananya sendiri iaitu Tun Biajid. Kisah ini direkodkan dalam buku hikyata Hang Tuah atau  Sejarah Melayu.

Itu perangai bangsa Melayu zaman dulu. Jangan samakan dengan perangai bangsa Arab Quraisy. Mereka bangsa yang ta'sub kepada keturunan dan salasilah. Penzinaan merosakan keturunan dan salasilah. Umar Al-Khattab tidak terlibat dalam aktiviti tidak bermoral seperti itu kerana ia melanggar norma masyarakat Quraisy yang menjunjung tinggi harkat keturunan dan salasilah mereka. Keturunan yang bersambung hingga ke nabi Ibrahim.A.S. Sementelahan tidak ada satu pun riwayat yang menggambarkan bahawa Umar Al-Khattab itu hobinya berzina. Kalaulah Umar Al-Khattab itu pernah berzina, tentu akan adanya anak zinanya. Masa dia jadi khalifah akan datanglah anak zinanya mengaku bahawa dia anak Umar. Tiada!

Kepada Umar tidak berlaku sebagaimana yang diriwayatkan berlaku kepada Abu Sufian. Abu Sufian masa Jahiliyyahnya dia pernah berzina dengan seorang hamba di Taif yang bernama Sumayyah. Dia adalah hamba kepada Ubaid As-Tsaqafi dan lahirlah Ziyad pada masa nabi masih hidup. Namun, dia tidak sempat bertemu dengan Nabi SAW dan tidak dianggap sahabat. Ziyad anak Sumayyah itu kemudiannya dikenal sebagai Ziyad bin Abihi iaitu Ziyad anak bapanya. Abu Sufian, ketika melihat Ziyad berkhutbah dan khutbah Ziyad dikenali sebagai Khutbah Al-batraa', dia berkata kepada Saidina Ali yang bersamanya bahawa Ziyad itu adalah anaknya. Bila Ali bin Abu Talib persoalkan kenapa dia tidak berterus terang sahaja supaya semua orang tahu, Abu Sufian mengatakan dia takut kepada Umar Al-Khattab ( yang ketika itu merupakan Amirul Mukminin)

Perbuatan zina dalam masyarakat Arab Quraisy adalah janggal.  Abu Sufian pun menyimpan rahsianya dan tidak diberitahukan kepada sesiapa. Hanya kerana bintang Ziyad bersinar, dia membuat pengakuan khusus kepada Ali bin Talib bahawa dialah ayah sebanar kepada pemuda yang mengkagumkannya itu. Paling berani pun  dia ungkapkan dalam bentuk styair yang mengandung makna tersirart

Untuk lebih jelas mengenai tabiat  rata-rata pemuka Quraisy yang tidak menjadikan perzinaan sebagai hobi, kita teliti jawapan Hindun isteri Abu Sufian ketika dia masuk Islam dan diminta mengungkap Bai'atun Nisa di kota Mekah. Bila nabi SAW suruh mereka berjanji tidak akan bersina, Hindun keheranan tentang keperluan mengungkapkan aku janji itu kerana baginya wanita bangsawan Quraisy sepertinya tidak kenal perbuatan fahisyah itu. Dia berkata kepada Nabi SAW:
أوتزني الحرة ؟

" Apakah ada wanita merdeka itu berzina"


Hindun berkata demikian kerana setahunya wanita Quraisy tidak berzina. Maka apa perlunya membuat sumpah setia untuk tidak berzina?


Kalau begitu akhlak Hindun, apakah Umar Al-Khattab yang ditakdirkan Allah SWt menjadi sahabat Nabi dan orang kedua termulia selepas Abu Bakar menjadi kaki zina? Apakah dia lebih cemar dari Hindun? Apakah dia tidak punya fikrah yang lebih baik dari Hindun yang tidak pernah berzina? Hindunkah yang berdiri di tebing perlimbahan kotor perosak keturunan sedang Uamr Al-Khattab berenang dalam perlimbahan nista penzinaan??


Sebenarnya, ramai kalangan yang keliru dalam menilai makna kejahiliyahan bangsa Quraisy. Mereka beraggapan bahawa apabila Jahiliyyah, maka masyarakat yang jahiliyyah itu rosak serba serbinya. Hakikatnya, sesiapa yang menyemak sumber, akan menemui di sana ada gugusan nilai mulia yang diamalkan masyarakat Quraisy sebelum Islam, bahkan ada dalam masyarakat Arab keseluruhannya. Jahiliyyahnya mereka itu hanya zulmat pekat kelam dalam perkara akidah. Dalam soal akhlak, prinsip hidup dan etika, tatakelola, kejujuran, memuliakan tetamu, menolong orang msuatdh'afin, menjaga pusaka bangsa, tradisi dan sebagainya, ia masih bersinar di sana sini. Walau sinar itu ada bayang gelapnya.


Sahabat Nabi adalah orang terpilih. Abu Bakar As-Siddiq adalah mulia, baik masa sebelum Islam atau selepasnya. Umar pun demikian. Dia bukan kasanova. Dia bukan seperti mafia atau tokan dadah. Dia memang berwatak keras tapi punya maruah yang unggul. Dalam masyarakat dia menjadi benteng dan penjaga. Bukan perosak!


Semua sahabat Nabi , terutama 10 yang dikhabarkan Syurga punya latarbelakang mulia masa jahiliyyah walaupun mereka belum beriman. Tidak harus membuat cerita yang kalau ditampalkan kepada kita, kita pun tak sudi. Kalau orang sebut perangai sedemikian ada pada leluhur kita, kita merasa terhina. Kita yang lahir dan hidup dalam Islam pun belum tentu semulia akhlak dan perinsip mereka pada masa jahilliyahnya mereka!


Camkan baik-baik dan suluh diri sendiri kerana nilai kita tidak sekutil daging ketuat dihujung jari kelingking pun,  kalau nak dibandingkan dengan sahabat Nabi SAW! 

Jangan jadikan sunnah Syiah Rafidhah sebagai ikutan.

April 18, 2026

Golongan yang dikenali sebagai Syiah hari ini rata-rata terjerumus ke dalam sikap golongan yang dulunya disebut sebagai Rafidhah. Rafidhah ertinya yang enggan. Engan terhadap apa? Enggan terhadap kepimpinan. Asal mulanya mereka enggan terhadap sikap dan kepimpinan pemimpin mereka sendiri di masa itu iaitu Zaid bin Ali  (Assajjad) bin Hussain. Kemudian kengganan itu membarah dan dizahirkan kepada keengganan kepada kepimpinan khalifah kaum muslimin bermula daripada Abu Bakar As-Siddiq dan seterusnya. Kecuali terhadap kepimpinan khalifah Ali bin Abu Talib.

Golongan Syiah menjadikan kepimpinan sebagai perkara akidah.  Soal kepimpinan , jika salah pilih,  boleh rosak akidah. Dari situ, Syiah membina kelompoknya dengan mengkultuskan pemimpin pilihan mereka!

Syiah umumnya suka mencela. Hatta, mereka jadikan celaan sebagai ibadah. Mereka anggap perbuatan mencela itu dapat pahala. Bukan sebarang orang yang mereka cela. Sahabat besar Nabi. Abu Bakar As-Siddiq  dan Umar Al-Khattab.Isteri Nabi, Aisyah binti Abu Bakar dan Hafsah bintu Umar Al-Khattab juga dicela dan dilaknat. Disebut-sebut sebagai ahli neraka. Macamlah mereka itu dipastikan ahli syurga. Perangai menerakakan orang, ini perangai Syiah Rafidhah!

Bila sebut perangai Syiah, ia sebenarnya berasal daripada perangai Yahudi dan juga Nasrani. Yahudi terutamanya. Sunnah ummat terdahulu yang menajdi ikutan, masuk ke dalam rumah kaum muslimin dan diikuti sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta hingga ke lubang biawak, pintu masuknya adalah gerbang Syiah.

Syiah adalah pintu meresapnya sunnah Yahudi dan Nasara.

Mari kita kita semak, apakah amalan Syiah yang asalnya dari Yahudi dan Nasrani.

Yahudi dan Nasrani kata merekalah ahli syurga. Tak masuk Syurga melainkan kelompok mereka. Syiah pun mendakwa sedemikian. Hatta dengan beraninya menerakakan sahabat nabi. 

Seterusnya Syiah suka melaknat para sahabat. 

Syiah banyak berfikir siang malam tentang imamah( kepimpinan). Ertinya, kuasa jadi pusat tumpuan. Mereka mencipta konsep kepimpinan maksum. Orang yang nak jadi pemimpin mestilah seorang tanpa dosa. Lalu lahirlah negara yang dipimpin para mullah yang mewakili Imam Al-Mahdi. Dalam dunia Kristian pernah ada konsep ini. Ia dipanggil " State Of Theolgy".  Dunia Eropah pernah dibelanggu konsep pemerintah para agamawan gereja selama satu tempoh sehingga dirobohkan oleh Renaissance.

Syiah suka berbohong dan buat cerita. Sebab itu ulama hadis tak ambil riwayat tokoh yang dikenali sebagai Syiah, sebaliknya tokoh Khawarij diambil. Itu kerana orang Khawarij anggap buat dosa, tidak beriman. Masuk neraka. 

Syiah rasa Allah berada di pihak mereka. Apa yang mereka lakukan, sentiasa benar.

Ummat Islam dewasa ini banyak terpedaya dengan Syiah. Mengambil budaya songsang Syiah sebagai amalan. Dari hal-hal berkaitan akidah, ibadah dan bahkan muamalat dan akhlak. 

Banyak perkara yang boleh diuraikan. Ianya berserakan dalam fikiranku. Namun, aku cuma ingin menumpukan satu perangai dominan Syiah iaitu sebagai ahli laknat. Ahli Kecam. Pencela. Fahish!

Syiah paling berahi mencela para pemimpin ummat Islam. Perangai ini banyak berjangkit di serata tempat. Pemimpin Arab dicela dan dihina  keran tidak bersatu melawan Yahudi. Mereka berikan tapak di negara mereka sebagai pangkalan tentera US. Yang mencela dan kononnya membela Palestin itu hanyalah pemndekar keyboard yang kesiangan. Tidak sekutil budi dan jasa pun buat rakyat Palistin berbanding trilionan ringgit yang diberikan para pemimpin Arab kepada rakyat Palestin. 

Berahi mencela pemimpin adalah sunnah Syiah yang ditaburkan dan mempengaruhi ummat Islam yang kononnya Sunni.

Pemimpin negara sendiri juga dicela dan dikecam dengan sehabis perkataan. Kekadang, semua kata kecil dalam kamus perbendaharan kata digunapakai untuk dihamburkan buat pemimpin negara. Ini bukan akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini ciplakan sunnah Syiah. Ummat kita sedang menirunya. Ia berjangkit dan membarah dan akan membentuk sunnah ikutan yang kental. Selepas berlalu tempoh masa kepimpinan hari ini, kepimpinan baru yang naik akan memikul beban sunnah yang tercipta ini. Pemimpin hari ini dikecam dengan kata nista, pemimpin akan datang juga akan turut dikecam  dengan kata nista. Sunnah telah dibina. Perangai Syiah telah lazat dihirup. Ia menjadi pakaian sendiri.

Syiah anggap yang paling hebat mencela sebagai pencinta agama, pahlawan dan ikon. Ada upaya untuk mengangkat para pencela sebagai ikon dalam masyarakat kita. Ini juga satu ciplakan daripada budaya Syiah. Sedangkan, mereka yang berlidah fahish tidak layak mendapat kemuliaan, apatah lagi seabagi pahlawan.

Allahul Musta'an!


Menetapkan sikap dalam Perang Iran melawan US dan Israil

March 13, 2026

Antara Rom dan Parsi, orang-orang yang beriman dari kalangan sahabat Nabi Muhammad lebih merasa cenderung kepada Rom. Alasannya adalah kerana ada sedikit persamaan dalam iman. Orang Rom masih percaya Allah sebagai Tuhan walaupun mereka mensyirikkanNya. Mereka masih mengaku mengikut Nabi Isa walaupun mereka keliru menganggapnya sebagai anak Allah. Mereka juga percaya  bahawa injil adalah wahyu suci dan kalan Alalh SWT Sementara orang Parsi, mereka telah jauh tergelincir. Agama mereka adalah Majusi yang menjadikan api sebagai sembahan. Walaupun mereka masih percaya kepada Tuhan yang agung diberi nama Ahura Mazda, tetapi kessatan mereka telah jauh. Kesyirikan mereka telah larut pekat zulmat.

Allah menyatakan sebagaimana dalam Surah Ar-Rom pperihal orang beriman akan bergembira pada hari di mana Rom memenangi peperangan semula dengan Parsi setelah dikalahkan sebelumnya. Dalam kitab-kitab tafsir dijelaskan bahawa kaum kafir Mekah mendokong kerajaan Parsi dan berdalilkan kemenangan Kerajaan Parsi atas Rom itu sebagai bukti kebenaran agama penyembahan berhala. Parsi dengan mereka berada di atas garis agama yang sama. Sedangkan orang Islam mengharapkan Rom menang dan mereka tidak gembira bila Parsi menang pada kali pertama. Apabila Rom menang kemudiannya, mereka merasa gembira.

Inti dari kisah kegembiraan orang beriman dengan kemenangan Rom atas Parsi ialah sesiapa yang lebih dekat keimanan dengan kamu, kamu patut bergembira dengannya. Iran hari ini diperintah oleh kelompok Syiah yang masih mengakui sebagai muslim. Masih berkiblatkan Kaabah. Mereka mengakui kerasulan Nabi Muhammad. Mereka masih menuturkan dua syahadah walaupun ada tambahan. Mereka menjalankan ibadah teras yang diamalkan oleh ummat Islam secara umum seperti solat, puasa, zakat dan haji. Mereka juga beriman dengan hari akhirat dan mereka juga mengambil Al-Quran sebagai kitab suci walaupun ada dakwaan ada Quran lain yang mereka sedang tunggu kemunculannya.

Persamaan antara Syiah dengan kaum Muslimin Ahlu Sunnah banyak sekali. Perbezaan pun ada dan tidak dinafikan. Memang diakui ada perbezaan dalam beberapa persoalan akidah.

Kekafiran syiah jadi perdebatan kalangan sarjana Islam. Ada beberapa sebab yang samar bagi sesetengah pihak untuk dihukumkan kekafiran mereka.

Namun, kekafiran Yahudi Zionis dan Amarika Syarikat itu jelas sebegaimana jelasnya matahari di siang hari. Siapa yang tidak kafirkan Yahudi dan Amerika, maka boleh dikatakan dia turut kafir sebagaimana mafhum hadis yang menyebutkan bahawa Sesiapa yang tidak mengkafirkan orang kafir, maka dia kafir.

Namun, siapa yang tidak kafirkan Syiah, belum boleh dihukumkan keengganan itu sebagai kekafiran! Ini kerana sebab kekafiran syiah itu adalah bersifat ghumudh.Sementelahan asal kelompok syiah adalah Islam. Kemudian masuk akidah dan pegangan yang bercampur aduk menimbulkan kebid'ahan dalam aliran mereka. Pengkafiran Sytiah tidak boleh dijatuhkan secara pukal. Ia boleh jika hendak dibuat secara ta'yin atau khusus berdasarkan individu.

Memahami situasi ini penting untuk kita letakkan diri kita di mana dalam kondisi perang antara dua rival utama di Timur Tengah masa ini. Amerika Syarikat dan Israil dengan Iran.  Kita hendak sokong yang mana? Kalau pun dua-dua kita tidak mahu sokong, kita rasa gembira yang mana satu kalau mendapat musibah. Apakah kita patut mengucapkan syukur apabila Iran dibom dan pemimpinnya mati? Apakah kita merasa tidak wajar Iran meluncurkan rudal-rudalnya ke Pangkalan Tentera Amerika yang berserakan di negara teluk seperti Arab Saudi, Qotar dan Bahrin?

Sikap sesetengah orang yang mengangkat isu Syiah dan Ahli Sunnah pada saat perang Iran melawan Amerika dan Israil menimbulkan tandatanya. Ada banyak masa lain untuk debatkan isu itu, kenapa saat darah sedang bertumpahan di Iran, isu itu pula diangkat?

Mari kita renungkan cerita yang disebutkan oleh Al-Imam Ibn Kathir dalam Al-Bidayah Wan Nihayah, telah datang seorang lelaki dari Kufah kepada Ibn Umar bertanyakan tentang darah nyamuk yang kena pakaiannya kerana dibunuhnya pada masa Ihram. apakah perlu bayar dam atau tidak? Ibn Umar berkata dengan menempelak:

انظروا إلى أهل العراق يسألون عن دم البعوض ، وقد قتلوا ابن بنت رسول الله صلى الله عليه وسلم

" Lihatlah perangan orang Irak ini, mereka bertanya tentang darah nyamuk, sedangkan meeka telah membunuh cucu Rasulullah SAW!"

Masalahnya bukan tidak ada jawapan tentang kes darah nyamuk itu. Tetapi ketika tumpuan fikir umat sedang terarah kepada isu pembunuhan kejam terhadap Hussain bin Ali, ada orang dari rantau yang terlibat  bertanyakan soalan yang picisan. Masa tidak sesuai! Seolah-olah jangan buang masa perdebatkan isu yang tidak penting pada masa yang menuntut tumpuan diberikan kepada isu yang lebih penting. 

Begitulah isu Syiah VS Ahli Sunnah dalam situasi perang melawan hagemoni US dan Israil di Timur Tengah. Jadilah ummat Muhammad  SAW yang bijak memilih masa. Tindakan dipandu akal dan strategi , bukan emosi dan dendam. Pragmatik bila perlu dan jangan statik pada isu yang menerima angkubah!







ADAB ORANG KAFIR

September 6, 2022

 Adab tidak hanya dimiliki oleh orang Islam. Memang Islam mengajar adab yang sempurna kerana nabi SAW adalah berada pada kemuncak kesempurnaan adab. Namun, berapa ramai orang Islam yang tidak dapat mengamalkan adab mulia yang diterapkan Islam. Hatta, dalam beberapa hal adab, orang Islam dikalahkan oleh orang kafir.

Saya ingin petik satu perkataan yang diungkapkan oleh Abu Jahal , musuh ketat nabi SAW dan antara bapak kafir pada zaman Nabi SAW. Saking ketatnya kekufurannya dan permusuhannya terhadap nabi SAW, dia mati dalam keadaan kafir di medan Badar dan mayatnya jadi penghuni telaga Qulaib!

Namun, Abu Jahal ini telah meninggalkan kepada kita satu cermin sikap bermaruah untuk jadi contoh buat kita. Tatkala dia bersama para 40 orang gangsternya mengepung rumah nabi SAW di malam sebelum hijrahnya baginda, ada kalangan pemuda-pemuda upahan Quraisy itu mencadangkan agar malam itu juga mereka ceroboh masuk ke rumah nabi Muhammad SAW dan membunuhnya.

Namun, Abu Jahal mencegah dan mengungkapkan kata. Kata-kata yang dirakamkan dalam sejarah:


 أتريد أن تقول العرب عنا أنا تسورنا الحيطان وهتكنا ستر بنات محمد؟


" Apakah kamu mahu nanti kelak bangsa Arab akan mengatakan bahawa kita ini jenis orang yang memanjat dinding dan memecahkan tirai anak-anak perempuan Muhammad??"


Lihat, begitu maruah Abu Jahal dalam soal adab terhadap memlihara kehormatan wanita. Apakah sebahagian orang Islam lebih hebat daripada Abu Jahal dalam soal ini. Para sekodeng, usahlah mendabik dada  bahawa kalian lebih mulia daripada Abu Jahal. Peringatan yang sama perlu dilontarkan kepada para penguatkuasa agama yang kekadang melanggar adab memecahkan pintu-pintu rumah orang atas nama nahi mungkar. Apakah agama membenarkan kita menceroboh batas keaiban seseorang yang tidak dibukakan mereka? 

Termasuk akhlak buruk apabila ada orang  Islam melakukan kerja-kerja menjatuhkan keaiban orang di media sosial. Diselongkar gambar-gambar memalukan orang lain dan disebarkan di media sosial. Ini kerja yang setanding dengan panjat dinding rumah orang dan merobek aurat anak perempuan nabi Muhammad SAW yang Abu Jahal sendiri tidka sanggup lakukan!

Ada satu lagi perkataan warisan jahiliyyah yang mengkagumkan.Tatkala Nabi menerima para wanita mukminat yang mahu berbai'ah kepada baginda selepas Fathu Makkah, antara akujanji yang nabi mahu mereka terima ialah: 

bahawa mereka tidak akan berzina.

ولا يزنين

Hindun bin Utbah, Isteri Abu Sufyan  mencelah dengan kata-katanya:


أو تزني الحرة؟


" Apakah perempuan meredeka ada yang berzina?!"



Hindun berkata demikian kerana baginya adalah satu yang pelik bin ajaib kalau wanita merdeka berzina. Kalangan bangsawan kota Mekah, wanita merdeka mereka tidak menceburkan diri dalam perbuatan bejat itu.

Wanita-wanita hari ini yang kononnya elit, terpelajar, berpangkat dan ada gelaran dalam masyarakat, tapi terjerumus dalam maksiat zina, bandingkan diri anda dengan Hindun binti Utbah pada zaman jahiliyyahnya!

Sesungguhnya, dalam soal adab, kekadang orang kafir lebih mengatasi apa yang orang Islam punya. Adab adalah suatu yang tersemat dalam hati dan ia menjadi pakaian sejak dilahirkan. Ilmu dan didikan akan menambahkan sempurnanya. Jika hadir dalam dunia dengan dengan tabiat serigala, bolehlah ilmu dan didikan mengubahnya menjadi  tabiat kuda, namun sesekali keserigalaan itu akan menunjukkan dirinya. Sementara seornag yang datang dengan tabiat kuda, maka didikan serta ilmu akan menambahkan lagi kesempurnaan tabiaat kekudaannya.

Dalam dunia hari ini, kita akan melihat perbezaan dalam beberapa aspek adab. Ada hal yang orang Islam jatuh tercorot markah adabnya berbanding orang kafir. Lihat sahaja misalnya dalam soal kebersihan , penjagaan alam sekitar, kecekapan dalam kerja, telus dalam memegang amanah dan banyaklah lagi dimensi yang kita boleh katakan bahawa orang kafir bersama kekufuran mereka mendominasinya.

Di mana silapnya? Negara Barat kelihatan indah permai dan bersistem yang tertib. Negara Islam caca marba, kotor, rakyat dizalimi, penguasa rasuah dan alam sekitar dirosakan!

Ya wailah!




Mengaku jadi imam Mahdi

April 25, 2022

Sejak nabi Muhammad SAW wafat hinggalah ke masa kini, sangat banyak orang yang mengaku atau didakwa sebagai Imam Al-Mahdi. Bahkan, tidak kurang yang mengaku atau didakwa menjadi nabi Allah. Bagi yang tidak berani mendakwa sebagai imam al-Mahdi atau nabi Allah SWT, timbul pula pengakuan sebagai wali Allah. Ada yang mengaku jadi wali Qutub, Ghauth dan sebagainya. Mahu dilebihkan daripada orang lain, mengakulah sebagai khatimul auliyaa dan jawatan-jawatan besar dalam dunia kewalian. Dakwa dakwi dan pengakuan sebegini, semuanya bertitik tolak dari kemahuan fitrah manusia yang ingin" taraffu' " di atas orang lain.

Selagi ada dunia, selagi itu ada orang sebegini. Orang yang mahu memposisikan diri di atas orang lain. Jika tidak dapat di alam realiti, guna alam khayal. Kalau tidak bertempat di alam maya, dia bina tahta di alam malakut. Alam jabarut namanya bukan kepalang! Kalau tidak boleh dalam bidang dunia, guna bidang agama.

Bidang agamalah paling menguntungkan. Kata orang, tunggang agama lebih menguntungkan daripada tunggang unta!

Pada 20 November tahun 1979, di Kota Mekah, dalam Masjidil Haram, tampil seorang bernama Juhaiman Al-Otaibi mendakwa seorang bernama Muhammad bin Abdullah Al-Qohtan sebagai Imam Mahdi. Plot cerita yang membawanya hingga kepada dakwaan itu dibina agar menyamai apa yang dinyatakan dalam hadis. Apa yang didakwa oleh Juhaiman Al-Otaibi ini mempunyai tasyabbuh dengan riwayat mengenai Imam Al-Mahdi dalam Nas lebih tepat berbanding ratusan kes lain seumpamanya yang mengaku jadi Imam Al-Mahdi. Ada orang mengaku Imam Mahdi, sedangkan dakwaan itu berlaku di negerinya yang jauh dari Kota Makkah. Mengaku jadi Imam Mahdi, sedang dia tinggal di benua India, di Maghribi, Pulau Jawa, Malaysia dan lain-lain. Dakwaan itu dibuat bukan depan Kaabah sebagaimana nas menyebutkan tentang pertama kalinya kemunculan Al-Mahdi.
Juhaiman Al-Otaibi


Kalau mahu terpedaya, dakwaan seperti dakwaan dalam kes Juhaiman inilah yang dapat memperdayakan. Namun, sejarah mencatatkan Syeikh Bin Baz yang pada saat itu menjadi guru yang mengajar di Kota Madinah dengan tegas menolak keimaman Muhammad bin Abdullah Al-Qohtan. Bahkan beliau menyifatkan kelompok yang bersamanya itu adalah kelompok syaitan yang cuba merobek kesucian Tanah Suci.

Kerajaan para wali

April 22, 2022




Mulanya dalam sejarah Islam, puak Syiah yang menciptakan khayalan ini untuk dianut oleh para pendokongnya. Disebabkan ada tekanan pihak kerajaan yang berkuasa, dan gagal meraih tampuk kuasa, para alawiyyin yang kemudiannya tumbuh sebagai Syiah dengan segala cabangnya, mencampakkan ke dalam minda para pengikutnya kepercayaan bahawa para pemimpin mereka memerintah di alam yang lain. Alam tak kasat mata. Alam ghaib. Alam yang mana para imam mereka  hidup dengan kehidupan yang istemewa.

Sebab itu kaum Syiah 12 percaya bahawa Imam Al-Mahdi telah ada dan berada di alam yang lain. Kelak akan keluar ke alam nyata ini dari Sirdab yang dia hilang di dalamnya. Al-Mahdi Al-Muntazor yang dinantikan itu akan menegakkan hal untuk ahli bait dan mengangkat para Syiah  ke tampok kuasa.

Fahaman sebeginilah yang mempengaruhi aliran tasawwuf yang membawa kepada wujudnya wali-wali yang berkuasa tasarruf atas alam ini. Diberilah nama wali-wali itu dengan nama tertentu seperti Ghauth, Kutub, Abdal, Nujabaa, Nuqabaa dan sebagainya. Mereka itu hidup dan mentadbir alam. Mereka wali dan bertemu dengan wali-wali yang sedang hidup di alam nyata. Mereka melantik wali-wali baru agar wali di muka bumi terus ada. 

Wali yang dipercayai itu menjadi satu kasta tinggi orang-orang suci yang tidak akan dicapai oleh orang awam termasuk para ulama Syariat Nabi Muhammad SAW sepanjang zaman!

Kepercayaan seperti ini pada asalnya lahir dari sifat putus asa orang yang gagal dalam mencapai matlamat dunia. Gagal mencapai sasaran kuasa, kemuliaan ilmu dan rif'ah di mata manusia, maka dibentuklah lingkaran kuasa baru di alam ruhiyyah yang tidak dapat direbutkan kuasa itu dan dibentuklah kemuliaan ilmu baru yang dilebelkan sebagai hakikat dan makrifat yang tidak tergapai oleh para ulama Islam serta diciptalah segala macam dogma meninggi diri yang tidak mampu dicapai oleh sesiapapun.

Itulah mula asalnya sebelum ia berkembang menjadi satu teologi yang mengental dalam otak sehingga membodohkan sekian banyak manusia!

TAHUN-TAHUN TANPA HAJI

April 5, 2020

Pusat Kajian king Abd Aziz, Arab Saudi, menyatakan sepanjang sejarah tidak kurang daripada 40 kali ibadah haji tidak dapat dilakukan. Jika kita mengamatinya, terdapat pelbagai sebab kenapa ibadah haji tidak dapat dilakukan. Ada sebab peperangan, ketidakstabilan politik, kekacauan dalam perjalanan, ekonomi, wabak dan sebagainya.

Telah tercatat dalam sejarah, pada tahun 317H, buat pertama kalinya haji tidak dapat dilaksanakan apabila Kota Mekah diserang dan dikuasai oleh puak Qoramitah. Mereka, malahan telah membunuh ribuan jemaah haji yang sedang bersiap-siap untuk menunaikan haji pada tahun tersebut. Puak ini juga telah mencungkil Hajaral Aswad dan dibawa balik ke negeri mereka yang terletak di wilayah Bahrin hari ini. 10 tahun ibadah haji dilakukan sesudah itu tanpa Hajaral Aswad.

Kemudian, terdapat pelbagai peristiwa yang mengekang perlaksanaan ibadah haji. Kekadang ibadah haji hanya dilakukan oleh orang-orang Islam yang tinggal di tanah Hijaz sahaja. Itu dihitung sebagai tahun-tahun di mana ibadah haji gagal dilaksanakan.

Justeru, jika ibadah haji tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini, tahun 1441H, kerana Corona Virus, janganlah buat spekulasi seolah-olah inilah kali pertama dalam sejarah. Lalu digembar-gemburkan bahawa tahun inilah Imam Al-Mahdi akan muncul dan sebagainya. Orang dulu-dulu pun pernah diriuhkan dengan isu yang sama. Namun imam Al-Mahdi belum muncul. Yang muncul para pendusta yang cuba mengaku dan mengambil kesempatan.

Imam Al-Mahdi akan muncul. Bila? Allahu a'lam. Bukan kemampuan kita menetapkan tahunnya. Serahkan sahaja ilmunya kepada Allah. Hiduplah di dunia dan beramallah. Sebelum munculnya beliau, usah dicekcokkan.
 
Rujuk:Al-Hurra

Pendusta di zaman kini

February 29, 2020

Banyak cakap, banyak salah. Banyak salah, banyak dosa. Banyak dosa dibalas neraka!

Dalam dunia hari ini, dengan adanya media sosial, ramailah orang suka membebel dengan menggunakan jemarinya. Diketiknya keyboard tanpa henti. Lalu mengalirlah segala tulisan yang beraneka. Mungkin ada yang menjadi pahala, dan banyak sekali yang menjadi dosa.

Siapa yang sayangkan diri, tahanlah. Orang lain bersengketa, kita tumpang mengata. Orang lain sudah berdamai kita masih mamai.Orang lain dapat habuan, kita tak keruan!

Aku peringatkan diri, dalam seratus berita di media sosial, 99 aku pandangn sebelah mata. Cuma satu aku ambil perhatian. Pendusta sangat banyak. Bukan lagi musang yang menjadi haiwanun makir, tetapi dajajah juga tumpang sekaki. Jangan terpedaya dengan penampilan luaran. Jangan lahap mengambil pandangan sekalipun orang bernama Dr atau professor. Masing-masing berlumba menebar kecenderungan dan kepentingan. Keadilan bukan lagi jadi timbang tara.

Saya pernah menegaskan....jika orang menabur pahala di jalanan, janganlah pula kau tiru. Seharusnya kau kutip pahala dan membuang dosa.

Bersenda dengan para pelakun pentas politik buatkan anda hilang banyak dosa. Anda mengata si fulan. Anda menuduh si fulan. Anda tengok ada tangkap layar tentang seseornag, anda kongsi. Anda dengar , sebelum benar-benar faham, anda sudah menyeranah. Anda dihasut, terus anda telan hasutan itu.  Yakinlah ...anda sedang menempa kerugian. Jauhilah, supaya di hari perhitungan anda tidak terkesima.

Sebilangan orang rajin berkomentar. Semua khabar yang sampai kepadanya, diriwayatkan. Sabda Rasulullah SAW dalam Saheh Muslim:


كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع

" Cukuplah untuk menjadi pembohong jika seseorang itu menceritakan semula apa sahaja yang didengarnya".


Banyak yang anda baca dalam FB, Whatsapp, Blog, Portal dan seumpamanya. Jika anda share semuanya, andalah pendusta. 

Adab seorang mukmin yang cakna sabda Kanjeng Junjungan, tidak meriwayatkan kecuali yang baik dan pasti.






MULIAKAN APA YANG DIMULIAKAN ALLAH

June 21, 2019

Ada seorang perempuan, namanya Khaulah bin Tsa'labah. Dia seorang sahabat nabi dari kalangan mukminat. Suaminya bernama Aus bin Somit. Khaulah itu telah datang bertemu Rasulullah SAw mengadu perihal suaminya yang telah menziharkannya. Bertitik tolak daripada aduan Khaulah itulah, Allah menurunkan wahyu memperakui bahawa aduan Khaulah itu didengar oleh Allah SWT (Rujuk Surah Al-Mujadilah: Ayat1)


Satu hari di zaman Khalifah Umar Al-Khattab, beliau telah disekat oleh Khaulah untuk mengutarakan beberapa teguran kepada Umar. Berdepan dengan Khaulah itu, Umar diam dan menunjukkan rasa hormat. Umar diam mendengar kata-kata Khaulah sehingga Khaulah selesai. Para sahabat Umar bertanya beliau tentang perlakuannya yang menunjukkan hormat dan takzim terhadap perkataan seorang perempuan tua bernama Khaulah itu. lantas Umar menjelaskan:


" Apakah patut aku tidak mahu mendengar perkataan seorang wanita yang kata-katanya didengar oleh Allah dari atas langit yang tinggi? Demi Allah, andainya aku perlu bersabar untuk mendengar perkataannya sehingga esok pagi, aku akan lakukan!".

Umar memuliakan bicara Khaulah kerana Khaulah pernah dapat kemuliaan apabila kata-katanya dapat perhatian Allah SWT. Orang yang dimuliakan Allah, tidak harus dihinakankan sama sekali. Inilah sikap yang ditunjukkan teladannya oleh Umar.

Lalu, mari kita lihat diri kita. Apakah kita mengamalkan adab penting ini dalam hidup kita? Allah berfirman dalam Al-Quran:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ



" Sesungguhnya Kami telah muliakan anak Adam".


( Al-ISrak: 70)

Allah muliakan anak Adam. Semua manusia itu daripada keturunan Adam. Baik muslim atau kafir. Bangsawan atau hina dina. Miiskin atau kaya. Semuanya anak Adam. Namun , berapa ramai kalangan kita saling hina menghina antara saty sama lain. Mereka yang dimuliakan Tuhan, kita hinakan tanpa sebab yang membolehkannya. Hanya kerana dia bukan Islam, kita hina dia. Itu tidak boleh. Hanya kerana dia pengemis, orang miskin, tidak berpangkat dan keturunan biasa, kita hina dia. Itu tidak boleh.

Allah muliakan anak Adam. Kenapa kita tidak muliakan kerana kemuliaan yang Allah berikan itu? Kenapa kita tidak menjadi sikap Umar itu sebagai pantulan tingkah laku kita?

Ayuh! Insafi diri....mari kita peringatkan diri bahawa memuliakan Insan itu lambangkan kita muliakan Allah SWT.

PUTARAN PERISTIWA AHZAB

May 31, 2019

Tafakkur Syawal

Bulan Syawal mengingatkan kita kepada kisah tentera Ahzab menyerang Kota Madinah. Pasukan Musyrikin Quraisy dengan sekutunya yang terdiri daripada kabilah-kabilah Arab serta Yahudi Bani Qairuzah telah mengepung Kota Madinah, sehingga menimbulkan kegerunan di kalangan orang Islam. Bukan sedikit ujian iman yang perlu dipasak kukuh dalam hati kaum Muslimin ketika itu. Namun, dengan pertolongan Allah, tentera Ahzab hancur dan pulang dengan kekalahan. Islam tetap teguh berdiri dan menang.

Peristiwa Ahzab jadi bahan renungan sejarah. Ummat Islam dalam berjuang akan sentiasa berhadapan dengan tentera ahzab.  Peristiwa di zaman nabi akan sentiasa menjadi cermin  dan ia menjadi bahan motivasi untuk mengukuhkan saf perjuangan.

Namun, dalam pergelutan politik sesama ummat Islam dewasa ini, wajarkah peristiwa Ahzab ini ini menjadi pantulan untuk mengarcakan diri pada posisi Nabi SAW serta kaum muslimin? Para pelakun politik perebutan kuasa yang ada pada hari ini amat berbeza dengan para mujahidin yang  yang bersama dengan nabi menghadapi serbuah tentera Ahzab. Selain persengketaan politik melibatkan sesama Islam, setiap yang berada dipentas politik dan menang, akan diganjari dengan elaun sebagai ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri. Kemudian bersama dalam dewan berbahas menentukan hala tuju negara.

Sangat sukar melekapkan tamsilan Ahzab pada salah satu pihak.  Kedua-dua pihak sedang berenggut untuk makan gaji sebagai YB.  Yang membezakan adalah keihklasan dan soal keikhlasan tidak dapat dibuktikan. Masing-masing mengaku ikhlas tetapi Allah yang maha tahu. 

Maka, sungguhpun persoalan Ahzab sebagai musuh ummat Islam akan menjadi roda sejarah ummat, untuk meletakkan peristiwa sengketa politik dalaman ummat Islam sebagai putaran peristiwa itu adalah tidak tepat dan takwilan yang tidak memuaskan.

PERGADUHAN MENGHAMBAT RAHMAT PERGI

May 24, 2019

Diriwayatkan dalam Saheh Bukhari, sebuah hadis yang daripada Abdullah bin Somit bahawa Nabi SAW telah keluar satu hari untuk memberitahu para sahabat mengenai bilanya akan berlaku malam Al-Qodar, tetapi keinginan baginda Rasulullah itu telah terganggu oleh pergaduhan dua orang Islam. Lalu nabi SAW pun bersabda:

 خرجت لأخبركم بليلة القدر ، فتلاحى فلان وفلان فرُفعت ، وعسى أن يكون خيراً لكم ، فالتمسوها في التاسعة والسابعة والخامسة  

" Aku keluar untuk beritahu kamu mengenai bilakah malam Al-Qodar, maka pergaduhan si fulan dengan si fulan itu telah  menyebabkan maklumat itu diangkat daripada kamu (nabi pun lupa dengan kehendak Allah). Mungkin itu lebih baik buat kamu. Namun, kamu carilah malam itu pada malam ke 29, 27 dan 25.
(Hadis Riwayat Bukhari: 1919)

Hadis menyatakan bahawa perihal tarikh berlakunya malam Al-Qodar itu berada dalam pengetahuan Rasulullah pada mulanya. Baginda ingin memberitahu para sahabat mengenainya. Namun, pada ketika baginda keluar untuk memberitahu mereka, tiba-tiba baginda melihat dua sahabat bergaduh dalam masjid. Siapa sahabat itu tidak dinyatakan. Apa isu pergaduhan pun tidak disebutkan. Namun. akibat pergaduhan tersebut, Rasulullah tidak jadi beritahu. Bahkan baginda lupa apa yang dia mahu beritahu. Itu merupakan kehendak Allah. Kalau dapat tahu bila malam Al-Qodar, besarlaqh rahmat Allah buat kaum muslimin. Tidak perlu lagi tercari-cari malam mana untuk buat amal bagi mendapat ganjaran pahala 100 bulan. Tapi, rahmat besar itu terangkat dan tidak diberikan. Puncanya adalah pergaduhan dua orang itu.

Kerana itu, pergaduhan bawa kerugian. Pergaduhan telah menyebabkan rahmat terdedahnya malam Al-Qodar dibatalkan Allah. Maka kekalah malam Al-Qodar jadi perkara yang rahsia dan tersembunyi daripada pengetahuan kita.

Kesimpulan daripada hadis ini, pergaduhan adalah sebab kepada hilangnya kebaikan dna rahmat. Hilangnya keberuntungan dalam hidup. Pada hari ini, begitu asyik sekali ummat Islam bergaduh sesama sendiri. Bagaimana ummat yang bergaduh ini mahu mendapat rahmat Allah SWT? Untuk dapat keberuntungan sebagai pengikut ajaran Muhammad! 

Pergaduhan hanya mengenai hal titik bengik. Khilaf kecil dalam agama,  kekadang dibesarkan sehingga menyesatkan satu sama lain. Berapa ramai kaum muslimin dihumban keluar dari daerah Islam oleh sepihak yang lain kerana gara-gara berkhilaf dalam hal-hal yang tidak dapat dielakkan kerana kerencaman akal fikiran manusia. Kerana itu bergaduhlah riuh sekampung ummat.

Kerana masalah politik juga demikian.  Kekacauan politik menyebabkan para sahabat sendiri bergaduh, bahkan berperang. Ada hikmah Allah pada semua itu. Kita akur kisah sejarah. Namun, prinsipnya, pergaduhan menghambat rahmat tidak dapat dinafikan. Sampai kini pergaduhan politik berlaku. Arab dengan cara arabnya. Melayu dengan cara Melayunya. 

Agaknya iblis sedang ketawa berdekah-dekah dengan gelagat ummat Islam ini. Memang inilah misi utama dalam gerakerja kesyaitanan dan inilah yang dibanggakan oleh raja Iblis. 

Ni'ma anta!. Kata raja Iblis kepada syaitan yang melapurkan kejayaannya membuat perpecahan antara dua orang yang sepatutnnya berkasih sayang.

RAHMAT DI SEBALIK KERJASAMA POLITIK

May 17, 2019



Biarkanlah orang yang berkerjaya politik peringkat pimpinan berenggut. Siapa pandai dan bijak berpolitik, dialah yang memenangi sayembara itu. Aku percaya bahawa kemahiran politik adalah anugerah Allah yang tidak diberikan kepada semua orang secara sama rata. Siapa yang cemerlang,  Allah taala jua yang berikan kemahiran itu sehingga dapat mengatasi orang lain. Lantas, dengan kemahiran itu, kuasa kepimpinan dan dominasi berada di tangannya. Keupayaan politik yang terhasil daripada pembelajaran dan latihan ada peratusannya yang kecil  dalam membentuk  keunggulan berpolitik.

Ini merupakan rahsia Tuhan dalam penciptaan yang kita belum cukup menggali rahsiaNya.

Parti PAS yang dulunya bermusuh dengan UMNO-BN, aku menjadi saksi sejarah akibat negatifnya. Ungkitan yang dimomokkan, bahawa berlaku anasir takfiri bukanlah satu yang mitos. Sebab kemunculan anasir tersebut, aku tidak mahu mengambil sikap muktamad sebagaimana perkataan sesetengah orang yang marah kepada pemimpin PAS tertentu. Mereka mengatakan ia berawal daripada Amanat Hj. Hadi. Untuk berlaku adil, kita perlu memungkinkan ramuan lain yang rencam dan kompleks yang menjadikan fenomena itu muncul.

Mungkin politik kalau berada di tangan orang agama, tendency untuk dijangkiti takfiri sangat besar. Bukan sahaja arena politik, khilaf agama kalangan agamawan juga banyak menatijahkan "takfiri". Kita telah saksikan hal ini berlaku depan mata kita.Khilaf mazhab (soal agama/kalangan agamawan) pun menyebabkan berlaku kafir mengkafir dan "tabdi'. Mungkin inilah antara ramuan yang boleh direnung dan dikaji selainkan menuding kepada "Amanat".

Anasir takfiri itu begitu terjelma di kalangan orang-orang Melayu di kampung-kampung. Waktu aku masih lagi kecil, memang berlaku syak wasangka di kalangan orang PAS mengenai keimanan  orang-orang UMNO. Kerana sokong parti sekular dan asobiyyah UMNO, imam UMNO tidak mahu diikuti, kenduri kendara ornag UMNO tidak dijengah, sembelihan orang UMNO tidak sudi dijamah oleh orang PAS. Ini bukan dongeng, bahkan ia benar-benar terjadi di peringkat  akar rumput. Aku adalah generasi yang menjadi saksi sejarah ini.

Aku menyaksi simpang siur sejarah perjuangan PAS secara umum. Pas masuk Barisan Alternatif dan kemudian pecah. Pas membentuk Pakatan Rakyat bersama parti lain emlawan UMNO-BN dan kemudian pecah. Pas membentuk Gagasan Sejahtera dan kemudian senyap hilang khabar berita. PAS bersama UMNO membentukan gabungan atas nama Perpaduan Ummah dengan UMNO menentang kerajaan Pakatan Harapan. Ini merupakan simpang siur politik dan ia adalah satu yang normal. Politik memang sifatnya begitu.

Bukan siasah politik itu yang menjadi perhatianku dalam tulisan pendek ini. Apa yang yang aku suka catatkan di sini adalah "Rahmat Allah di sebalik sepak terajang politik".

Biar aku jelaskan agar ia jelas dan menjadi bahan fikir kita. Lalu kita bersyukur dan memandang positif tentang perkembangan politik yang terjadi.

Dulu, waktu Pas bermusuh dengan UMNO, alangkah pecah ranahnya kesatuan orang Melayu-Islam di kampung-kampung. Di kampungku sendiri,  berlaku satu kejadian, bila orang  UMNO diangkat jadi imam masjid kampung, ramailah orang kuat Pas "lari" meninggalkan masjid. Mereka bercempera pergi berjumaat di masjid luar kariah kerana tidak mahu berimamkan imam UMNO itu. Para bapa bolehlah buat hal tersebut. Anak-anak, banyak yang kecundang. Mahu ikut bapa solat di masjid yang jauh, mereka bukan larat sangat. Lalu, ramailah yang tidak datang solat jumaat. Tidak di masjid kampung dan tidak pula cari masjid luar kariah.

Sekarang, pada waktu Pas dan UMNO sudah berpadu atas nama Perpaduan Ummah walaupun belum secara rasmi, kerumitan masalah yang berlaku di kampungku itu nampaknya kian terurai. Satu ketika, aku pulang ke kampung dan orang kampung bercerita. Si"polan" dan "siyanu" yang dulunya lari tinggalkan masjid telah kembali solat di masjid kampung. Hubungan yang panas dengan imam masjid sudah menjadi kendur. Soal sah atau tidak berimamkan imam UMNO sudah tidak  timbul lagi. Aku gembira melihat hal ini. Perkembangan ini adalah positif. Tanpa disuruh, perkembangan politik yang berlaku telah menyebabkan pelarian politik kampungan  telah berubah arah. Mereka tidak "berlari" lagi. Mereka telah berhenti dan hinggap dengan tenang. Alhamdulillah!

Inilah rahmat di sebalik penggabungan. Apapun pandangan kita terhadap kerjasama politik Pas dan UMNO, sisi baiknya perlu kita syukuri. Masalah yang berkulat di kalangan orang Melayu di kampung-kampung dapat dirungkai. Lumut-lumut lama yang mencacatkan rasa dan nurani dapat dikikis. Inilah sudut positif yang akan aku kenang dan ceritakan kepada anak cucu. Bahawa sesunguhnya, Allah maha bijaksana. Ombak politik yang terjadi, pada akhirnya memperlihatkan hikmah yang tersimpan.

Sungguhpun hikmah itu bukan dalam senarai agenda orang yang berpolitik gabungan!

GENCATAN SENGKETA TIDAK DIKOTA

May 13, 2019

Bulan Ramadhan ini, atas semangat puasa yang ada, kita sepatutnya hentikan sengketa. Biar gencatan sengketa itu jadi latihan untuk menghentikan sengketa selamanya. Biar juga masa-masa yang ada di bulan mulia ini dapat digunakan untuk mentazkiah diri, melatih kesabaran dan bersikap memaafkan orang. Namun, lantaran capaian mudah yang ada hari ini, gencatan sengketa TIDAK berlaku. Malah, sengketa baru dimarakkan. Api permusuhan dan dendam lama ditiup. Akhirnya, bulan Ramadhan kelihatannya lebih panas berkelahi berbanding bulan tidak Ramadhan.

Apa erti Ramadhan buat kalian??

Persoalan ini kutanyakan buat pengamal medsos. Kenapa bila masuk Ramadhan, semangat buruk itu semakin galak bergenta. Mengapa ia tidak layu lesu selesu dan selonglai jasmani yang tidak makan dan minum?

Semua mengaku ikut ajaran nabi. Tapi bila nabi ajar satu kalimah di bulan puasa. "inni So-im!" (Sesungguhnya aku berpuasa!) kenapa ajaran itu tak masuk menancap dalam hati?

Apa yang bergentayangan dalam akal fikiran dan tercerna ke medsos adalah serang dan balas. Kata mengata dan tajrih mentajrih. Bagaimana hendak kita katakan bahawa politik itu  membawa rahmat? Rahmat atau musibat? Kekadang bukan masalah politik yang diperdebatkan. Masalah pandangan agama pun termasuk sekali. BUlan Ramadhan jadi rancak dan gesit diperdebatkan. Kalau perdebatan harmoni yang menjana nilai tambah ilmu pengetahuan, tak mengapalah. Ini tidak, ia sebaliknya meminyakki bara senketa.

Syaitan telah dirantai...tetapi nafsu ammarah sebenarnya telah menjadi otai.

SEDIKIT AMALAN SUNNAH LEBIH BAIK DARIPADA BANYAK AMALAN BID'AH

November 23, 2018

Kata Ibn Mas'ud r.a:

 اقتصاد في سنة خير من اجتهاد في بدعة


"Beriktisod dalam mengamalkan Sunnah lebih baik daripada berijtihad dalam mengamalkan Bid'ah"
(Atsar Soheh yang dikeluarkan oleh Ad-Darimi (223) dan Al-Lalakai (1/55) 

وعن سعيد بن المسيب: أنه رأى رجلاً يصلي بعد طلوع الفجر أكثر من ركعتين يكثر فيهما الركوع والسجود، فنهاه، فقال: يا أبا محمد يعذبني الله على الصلاة؟! قال: لا ولكن يعذبك على خلاف السنة.
Daripada Said bin Al-Musayyab bahawa dia telah melihat seorang lelaki solat lepas terbit fajarlebih daripada 2 rakaat dan memanjangkan rukuk dan sujud di dalamnya lalu dicegahnya.Lelaki itu bertanya kepadanya: Apakah aku akan disiksa kerana solatku? Lantas kata Said: Tidak, tetapi kamu disiksa kerana menyalahi Sunnah !".

أخرجه الخطيب في الفقه والمتفقه "1/147"


 
Menjaga keaslian agama adalah antara prinsip asas dalam Syariat nabi Muhammad SAW. Nabi SAW sering memperingatkan agar kita menjauhi perkara bid'ah. Itulah rekayasa dalam agama yang tidak bersumberkan Allah dan rasulnya. banyaklah takrif bid'ah yang dibuat oleh para ulama. Sebahagian mereka membahagikan pula bid'ah kepada jenis-jenisnya. Namun, yang lebih cenderung di hatiku ialah mengambil sikap bahawa semua yang namanya Bid'ah itu sesat belaka. Itulah yang ditegaskan dalam hadis nabi SAW yang menjadi muqaddimah dalam satu khutbahnya dan seringkali pula diulang ucapkan oleh para pengkuliah dan pengkhatib.

Justeru, aku sendiri, sejak menyampaikan kuliah di masjid dan surau beberapa tahun dahulu, hadis nabi bahawa semua perkara yang diada-adakan adalah bid'ah dan semua bid'ah sesat dan barang sesat itu habuannya neraka. Aku menjadikan muqaddimah dalam setiap kuliahku. Aku masih ingat, masa di Akedemi Islam UM, guruku Ust Soleh Hj. Ahmad juga menjadikan muqaddimah kuliahnya dengan menyebutkan kalimah itu. 

Aku faham dan mengerti serta percaya, menyebut hadis tersebut di awal kuliah adalah Sunnah. 

Ia menginagtkan kita agar meyakini bahawa agama hendaklah bersumberkan Al-Quran dan hadis. Pendapat-pendapat manusia dalam perkara agama boleh melencong  ke arah bid'ah. paling selamat adalah tetesan Syarak daripada Quran dan Hadis.


Tokoh-tokoh hendaklah berfatwa berdasarkan dua sumber tadi. Dia perlu ada hujjah daripad aQuran dan Hadis. Demikianlah yang menjadi sikap para ulama muktabar sepanjang zaman. Mereka adalah pembela agama dan penolong Sunnah.


Zaman terkemudian, muncul golongan Rafidhah, Khawarij dan para Aqliyyun yang telah mencipta bid'ah dalam agama. Ciptaan mereka kemudian mempengaruhi ramai kalangan muslimin sehingga tertipulah mereka yang telah tertera sebagai mangsa di Luh Mahfuz. Ramailah yang meninggalkan nama sebaga mubtadi' dan muttabi'ul hawa dalam kehidupan dunia yang dipinjamkan Tuhan ini.

Kononya orang Zuhud, Sufi, Pencinta Ahli Bait, orang Soleh dan sebagainya. Namun, ibadat dan keyakinan mereka adalah berdasarkan amalan dan kepercayaan bid'ah. Di sisi agama ia tiada nilai. Orang Syiah misalnya, betapa besar luhan cinta kasih mereka kepada ahli keluarga nabi SAW. Namun, berlebih-lebihan mereka itu telah bertukar jadi bid'ah. Sikap besederhana adalah lebih baik dan itulah sikap para sahabat dan generasi awal ummat ini. Golongan Sufi, lama-kelamaan menjadi melampau. Melampau dalam beribadat dan kemudiannya melampai dalam jalan taqarrub. Banyaklah bid'ah yang berkembang biak kalangan mereka. Pegangan mereka tentang kewalian dan keabadian, hulul dan ittihad, kalam-kalam kufrawi yang menzahirkan perlecehan kepada nabi dan orang beriman muncul daripada lidah-lidah pemuka mereka. Perkara ini akan diketahui oleh orang yang suka mengkaji dan bagi bertaqlid membuta tuli akan menerima sahaja.

Mereka memang banyak bertaqarrub tetapi tidak di landasan nabi Muhammad. Jadi;ah bid'ah. Kalau hanya taqarrub yang mengujakan kita, sami, pendeta, brahmana dan lain-lain orang yang disucikan agama kafir lebih hebat lagi. Amal mereka nasibah , diakhirat hanya bawa musibah.

Golongan aqliyyun seperti muktazilah juga tidak terkecuali mencipta bid'ah. Mereka mengagungkan akal fikir mereka sehingga meremehkan peranan wahyu dalam kehidupan. 

Sebab itu, jika kita beramal sedikit tapi ada dasar daripada sunnah nabi, itu lebih baik. Tak usahlah banyak beramal tapi entah apa-apa. Sembahyang banyak tapi sembahyang yang direka. Macam solat sunat Raghaib yang diciptakan oleh tariqat sufi tertentu. Solat sunat yang dihukumkan palsu oleh ramai tokoh seperti As-Suyuthi, An-nawawi, Ibn taimiyyah dan lain-lain.Imam Ghazali menaqalkan dalam kitabnya ihya ulumuddin dan belia dilihat khilaf dalam hal ini. Khilaf itu tidaklah menjatuhkan martabatnya sebagai tokoh hebat dan dia tetap manusia biasa yang ada salah silapnya.

Solawat-solawat ciptaan yang digambarkan berpahala luar biasa lebih daripada solawat Ibrahimiyyah yang diajar nabi, ini juga bid'ah ciptaan. Solawat fatih ciptaan tariqat Tijani, zikir asma dan hakikat sesetengah ajaran kesufian juga adalah kebid'ahan. Berpadalah dengan zikir yang nabi SAW ajar.

Itulah yang pasti dan menguntungkan anda di akhirat.

ALAMAT BUKAN TANDA AMAL MAQBUL

November 14, 2018

Satu orangpergi Makkah buat haji. Selepas balik kampung berubah dia. Kalau dulu jahat dan banyak maksiat, lepas balik Makkah jadi baik dan banyak amal soleh. Itu mungkin jadi tanda hajinya mabrur. Tapi itu bukan muktamad dan semestinya. Ramai juga orang yang poergi makkah buat haji tapi menyalahi haji yang Sunnah mahukan. Balik kampung berubah juga. Apakah perubahan itu hendak kita jadikan ukuran hajinya mabrur sedangkan hajinya berjalan tidak atas petunjuk nabi?

Kekadang satu orang banyak solat dan mendapat alamat dengan limpahan nikmat selepas solatnya. Dia dapat razeki murah, hati lapang dan kehidupan bertambah rukun. Itu satu tanda amalnya maqbul. Tapi ia bukan  kata putus. banyak juga orang yang buat ibadat tapi berasaskan bid'ah. Amal ibadahnya menyalahi sunnah Rasulullah. Orang kafir pun buat amal ibadat ikut kepercayaan mereka dan mereka juga dapat yang disifatkan sebagai wujdan hasil taqarrub kepada Tuhan.  Maka ukuran kebenaran amal bukan pada hasilnya.

Ia diikat dengan Ittiba' kepada cara Rasulullah SAW.

Sekali lagi ditegaskan, maqbulnya amal bukan dilihat pada hasilnya. Ia dilihat pada caranya, samada menepati kehendak agama atau tidak. Dengan lain kata, apakah ia atas dasar ittiba' dan bukan Ibtida'.

LGBT MELEWATI BATAS TUNTUTAN

August 7, 2018




Pejuang hak LGBT itu berlebih-lebihan dalam apa yang disifatkan mereka sebagai perjuangan. Perjuangan mendapatkan hak yang adil dalam masyarakat. Kalau sekadar untuk mendapat hak-hak yang sama yang dijamin perlembagaan, ia telah pun lama dijamin perlembagaan. Hak untuk hidup, bekerja, bergerak, memilih agama dan sebagainya telah pun termaktub dalam perlembagaan. Rakyat malaysia yang waras dan rasional tidak pernah menafikan hak-hak tersebut untuk mereka.

Namun, mereka berlebih-lebihan. Mereka mahu hak untuk berkahwin, diiktiraf hubungan songsang mereka sebagai normal dan lurus dan mendapat perakuan dari seggi undang-undang untuk berkahwin dan sebagainya. Ini tentu berlebih-lebihan. Jika demikian yang mereka mahukan, apa bezanya dengan golongan penagih dadah? Mereka juga mahu hak mereka mencandu, menghisap, menyuntik dan mengedar. Apa akan ajdi kalau hak ini dibenarkan untuk mereka. Mayarakat yang selamat dari gejala negatif mereka akan turut terpalit kerosakan.

Negatif! Hubungan songsang LGBT adalah negatif. Itu muktamad dan titik. Tiada agama dalam dunia mengiktirafnya. Bukan sahaja agama Islam. Masyarakat manusia yang bertamadun tidak akan terimanya. Bukan sahaja masyarakat Malaysia.

Kalau mahu tuntut hak nak bersekolah, tidak payah! Para LGBT bebas ke  sekolah. Tiada yang melarang. Jika ada diskriminasi, itu adalah sikap masyarakat. Macam masyarakat mendiskriminasikan seorang banduan yang keluar dari penjara. Maca juga bagaimana bekas penagih dadah yang telah bebas dari najis dadah setelah dipulihkan di pusat pemulihan. Masyarakat memang tidak patut mendiskriminasikan mereka. Mereka harus diberi peluang untuk kembali ke pangkal jalan.

Demikian halnya dengan puak LGBT. dalam soal hubungan sosial yang adil, ada kecenderungan negatif masyarakat terhadap mereka. Mereka puak songsang yang perlu diberi sokongan, panduan dan bimbingan. Tetapi masyarakat lebih suka mengutuk, mencemuh dan menjauhkan mereka daripada jalan hidayah. Perkara ini berkaitan sikap. Ia perlu diubah dengan didikan dan bimbingan. 

Puak LGBT sendiri berlebihan bila mencerminkan perjuangan barat dalam tuntutan mereka. Mereka rasa kuat sebab kesamaan matlamat mereka dengan pejuang LGBT antarabangsa. Mahu hak berkahwin! Itulah yang mereka dapat di Amerika Syarikat. Kalau itu, jangan mimpilah. Kita masyarakat timur yang beraagama Islam. Akar budaya kita juga tidak menerimanya. Kalau mahu juga, bersedialah menghadapi tekanan, cemuhan dan penghinaan. Perjuangan seperti tidak dimuliakan. Kalau sekadar perjuangan untuk hak bersekolah, terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan, itu boleh diterima.

Dosa Mujahir

May 28, 2018

Dalam hadis nabi Saw sebut bahawa semua ummatnya di maafkan dosanya kecuali mujahir. Mujahir maknanya orang yang jadikan dosa peribadinya terdedah kepada pengetahuan orang. Tidak kira sama ada dosa itu dalam perbuatan atau perkataan.

Dosa perbuatan seperti zina, tidak solat, tidak puasa dan sebagainya.


Dosa perkataan seperti umpat, cela, kutuk dan sebagainya.

Ada dua maksud kata "dimaafkan" dalam hadis.
1)Dimaafkan dalam ertikata Allah ampunkan dia
2)Dimaafkan dalam ertikata agama jaga maruahnya dan nama baiknya daripada jadi mangsa celaan dan umpatan orang. Siapa mencela dan mengumpatnya dihukum berdosa.

Mengambil kira makna kedua itu, imam Nawawi pernah sebutkan:

من جاهر بفسقه او بدعته جاز ذكره ما جاهر به

"Siapa menjaharkan perbuatan fasiqnya atau bid'ahnya, maka haruslah menyebut kepada orang lain apa yang dia jaharkan itu".

Dewasa ini banyak orang tidak menjadikan hadis nabi ini sebagai panduan. Dosa orang yang disembunyikan dijaharkan oleh orang lain. Menggunakan media sosial ini sebagai medium, dibongkar dosa-dosa peribadi orang untuk pengetahuan umum. Orang yang buat dosa peribadi selamat dan dimaafkan. Tapi yang membongkar dan mendedahkannya itu pula terjatuh ke dalam dosa menjadi mujahir.

Kenapa? Kerana mengumpat, mencela dan mengaibkan orang yang tidak sepatutnya itulah sifat mujahirin. Kita maklum bahawa perkataan buruk bila diviralkan, ia telah menjadi mujaharah maksiat dari segi perkataan. Itu tidak dimaafkan.

Tidak dimaafkan menerusi maksud pertama, Allah tidak ampunkan ia di dunia. Dia akan bawa perhitungan ke hari mahsyar. Adapun bagi maksud kedua, orang yang sebegitu maruah dan harga dirinya tidak lagi dipelihara agama. Orang lain yang membongkar kejahatan terbukanya tidak lagi berdosa.

Para pemain FB dan media sosial perlu ada kefaqihan dalam hal ini. Tepuk dada tanya imam. Apakah benar yang aku ingin tulis ini atau share. Atau ia hanya merugikan agamaku.

Kekadang, kita sangka berbuat baik dalam menviralkan sesuatu. Tetapi kita silap perkiraan. Yang kita viralkan itu bukan kejahatan yang wajar didedahkan. Kita yang mendapat kutukan Allah sedang yang kita fikir berdosa itu adalah kalangan "mu'afaa".

Kita viralkan pasal si folanah tak bertudung.Kita viralkan pasal seorang yang berbual erotik di talian dengan seseorang. Kita viralkan pasal kegemaran songsang orang itu. Pasal salam lelaki perempuan bukan mahram. Pasal-pasal yang bermacam yang mana dalam lingkungan kesalahan peribadi yang mencalar agama empunya diri sahaja.

Kerana perbuatan menjaharkan kesalahan itu, kita sendiri yang terperosok masuk dalam pusaran rugi menjadi orang yang bermaksiat dengan jahar di media sosial.

Wallahul musta'an....moga Allah tambahkan inayah dan kifayahNya buat kita. Ameen.

Pilihan seorang mukmin

May 27, 2018

Ibrahim bin Adham, pada satu ketika, dia bermusafir dengan  dagangan dan kafilah perniagaannya. Dalam musafir itu, dia telah melihat satu kejadian kecil yang mengubah sikapnya. Seekor burung yang cedera, patah sayap tergeletak di satu tempat. Ibrahim bin Adham berazam untuk meliohat apa akan jadi pada burung itu. Dia bersembunyi dan memerhati. Ternyata ada seekor burung lain terbang kepada burung yang sakit itu dan memberinya makan. 

Dari kejadian itu, Ibrahim mendapat keyakinan bahawa razeki adalah kurnia Allah dan tidka perlu dirisaukan. Lalu, dia pun tinggalkan kerjayanya dan menumpukan ibadat kepada Allah SWT. Dia tidak  menghiraukan lagi tentang dunia dan raekinya. Semuanya dia serahkan kepada ALlah SWT.


Kisah IBrahim ini didengari oleh Syibli dan beliau telah pergi bertemu dengannya dan berkata kepada Ibrahim bin Adham:

" Kenapa engkau memilih untuk menjadi burung yang sakit dan tidak memilih untuk menjadi burung yang sihat memberinya makan?".

Demikianlah, Syibli menyebutkan kefahamannya yang saheh terhadap agama sebagaimana yang nabi ajarkan. Seornag mukmin yang kuat lebih mulia dan lebih baik daripada seorang mukmin yang lemah. Nabi tidka mengajar ummatnya membuang dunia dan menjadi seorang petapa yang mengayam tawakkal tanpa usaha. Itu bukan jalan petunjuk nabi. Walau itu hakikatnya boleh diamalkan, tettapi ia bukan pilihan.

Jadilah yang memberi, bukan yang diberi.
Jadilah yang menolong, bukan yang ditolong.
Jadilah yang memerintah, bukan yang diperintah.
Jadilah yang dihormati, bukan yang menghormati
Jadilah yang menyampaikan, bukan yang disampaikan.

RUKNUN SYADID

April 24, 2018

Ketika nabi Lut diasak oleh kaumnya dalam kondisi dia telahpun lemah lantaran ketuaannya serta kurangnya penyokong kerana tiada kaun kerabat yang ramai untuk menyokongnya, nabi Lut pun mengeluh sembari berkata:

قَالَ لَوْ أَنَّ لِي بِكُمْ قُوَّةً أَوْ آوِي إِلَى رُكْنٍ شَدِيدٍ

" Berkata Lut, andailah aku punya kekuatan atau aku dapat berlindung di sudut yang teguh!".
( Surah Hud:80)

Ramai kalangan mufassirin menafsirkan "sudut yang teguh" itu sebagai kaum keluarga yang menjadi pembela. Bagi seseorang yang berdepanb dengan masalah, kaum keluarganyalah yang menjadi sumber kekuatannya. Mereka itu tempat dia bernaung saat menghadapi tekanan, masalah dan memerlukan pertolongan. Kerana keluarga adalah rukun yang teguh bagi seseorang!

Aku meninjau rukun ampun bagi dunia politik. Di manakah sudut tempat berlindung yang paling teguh dalam pergelutan politik. Ya..kaum keluarga yang mewakili kesatuan penyokong adalah tetap rukun yang kuat bagi seorang politikus. Selagi ada penyokong, seorang politikus itu menjadi kuat dan ampuh mendepani lawan.

Namun, selain keluarga, ada beberapa sudut lain yang lebih ampuh dan menjadi tempat berlindung bagi yang mencari perlindungan dalam politik. Tempat tersebut adalah sudut agama dan kaum.Wal hasil, kedua-dua sudut itu tidak lari daripada makna keluarga seperti yang difahami menerusi keluhan nabi Lut a.s.

Berlindung dan berkota di balik tembok agama memang kuat. Demikian juga di balik benteng perkauman. Namun, apabila para politikus menyelinap kepada kedua-dua benteng ini, ia akan menimbulkan kesan buruk kepada agama dan kaum. Agama mendapat palitan busuk lantaran permaian para politikus. Kaum juga menjadi api yang menunggu masa untuk marak .

Seharusnya para politikus, jika benar-benar gentlemen, tidak boleh berlindung di balik dua benteng ini. Biarlah dua benteng ini menjadi tempat orang berteduh dengan aman buat pencari ketenangan setelah pergelutan sengit di luar. Semua orang yang haus, akan mencari sumber mata air. Semua orang yang berpanas akan mencari teduhan rendang. Ia adalah milik bersama semua manusia.


CORAT CORET PRU 14-CALON MUDA

April 20, 2018

Pengumuman calon-calon yang bakal berentap mewakili PAS di negeri Terengganu, Selangor, Kedah, Perak dan Perlis dapat disaksikan secara live semalam. Kelihatan Pas membuat langkah berani terutamanya di Terengganu dan Selangor kerana menampilkan wajah-wajah baru dalam pilihanraya. Mereka itu adalah generasi muda yang membawa roh dan aspirasi golongan muda. Para pengundi muda juga akan lebih cerah mata melihat rakan-rakan dan pemuda yang hampir sebaya mereka berentap sebagai calon berbanding melihat orang tua yang uzur dan membosankan. Ini satu kelebihan yang PAS tampilkan dan perlu diakui.

Saya tidak mahu membuat analisa berapa pratus orang muda yang menjadi calon kali ini, namun ia cukup memberangsangkan. Ia satu perubahan dalam rencah politik. Orang yang tidak lagi dilihat sebagai "dinousor politik"  dapat mengubah persepsi pengundi.  Lebih penting daripada itu, calon-calon yang ditampilkan berkelulusan tinggi dan orang cerdik dalam pelajaran.

Cuma ada beberapa tempat yang kelihatannya masih mengekalkan wajah lama dan memilih calon bukan berdasarkan pencapaian ilmu dan akedemik. Pokok Sena  misalnya, pemilihan Radhi Mat Din dibuat atas dasar beliau sebagai legenda bolasepak yang popular satu masa dulu. Seorang teman meluahkan, aksi politik bukan seperti aksi pemain bola sepak di stadium. Tidak sesuai seorang pemain bola sepak dihantar ke Parlimen untuk membahaskan isu-isu rakyat. Seorang ahli parlimen perlu seorang yang cakna masalah rakyat, petah berbahas, cekap memahami isu dan dapat membuat R&D terhadap isu-isu yang bakal dibahaskan dengan cepat dan tepat. Sebaiknya orang-orang yang ada ijazah, master dan PHD diutamakan kerana mereka inilah yang memiliki kemahiran tersebut.

Keberanian PAS menampilkan wajah-wajah baru barangkali berkat perpecahan yang dialaminya. Ramai muka lama terkeluar dan menubuhkan Amanah. Yang keluar PAS dan kini berada dalam Amanah, kemungkinan besar masih akan beraksi sebagai calon. Wajah-wajah lama ini tentu memberi kesan kurang menarik dalam Pakatan Harapan.  Jika hal ini tidak sanggup dikorbankan oleh mereka yang berada dalam Pakatan Harapan, Pakatan Harapan akan jadi parti yang mandul dan disisihkan.

Sementara UMNO-BN, amat sukar untuk membuat anjakan muka lama ke muka baru. Sementelahan masalah BN adalah masalah liabiliti pemimpin utamanya yang sarat dengan isu yang tak terungkai. Jika ada penampilan muka baru yang ramai sekalipun belum tentu dapat menukar wajah gelap yang sedang berselubung.

Apapun, politik adalah sebuah seni berlumba menampilkan persepsi. Masing-masing berbuatlah sesuai dengan kepandaian. 

Saya percaya, siapa bijak berpencak, dia akan bangkit tegak. Siapa yang yang ragu-ragu dan enggan berganjak, tidak akan membiak.