Sejak nabi Muhammad SAW wafat hinggalah ke masa kini, sangat banyak orang yang mengaku atau didakwa sebagai Imam Al-Mahdi. Bahkan, tidak kurang yang mengaku atau didakwa menjadi nabi Allah. Bagi yang tidak berani mendakwa sebagai imam al-Mahdi atau nabi Allah SWT, timbul pula pengakuan sebagai wali Allah. Ada yang mengaku jadi wali Qutub, Ghauth dan sebagainya. Mahu dilebihkan daripada orang lain, mengakulah sebagai khatimul auliyaa dan jawatan-jawatan besar dalam dunia kewalian. Dakwa dakwi dan pengakuan sebegini, semuanya bertitik tolak dari kemahuan fitrah manusia yang ingin" taraffu' " di atas orang lain.
Selagi ada dunia, selagi itu ada orang sebegini. Orang yang mahu memposisikan diri di atas orang lain. Jika tidak dapat di alam realiti, guna alam khayal. Kalau tidak bertempat di alam maya, dia bina tahta di alam malakut. Alam jabarut namanya bukan kepalang! Kalau tidak boleh dalam bidang dunia, guna bidang agama.
Bidang agamalah paling menguntungkan. Kata orang, tunggang agama lebih menguntungkan daripada tunggang unta!
Pada 20 November tahun 1979, di Kota Mekah, dalam Masjidil Haram, tampil seorang bernama Juhaiman Al-Otaibi mendakwa seorang bernama Muhammad bin Abdullah Al-Qohtan sebagai Imam Mahdi. Plot cerita yang membawanya hingga kepada dakwaan itu dibina agar menyamai apa yang dinyatakan dalam hadis. Apa yang didakwa oleh Juhaiman Al-Otaibi ini mempunyai tasyabbuh dengan riwayat mengenai Imam Al-Mahdi dalam Nas lebih tepat berbanding ratusan kes lain seumpamanya yang mengaku jadi Imam Al-Mahdi. Ada orang mengaku Imam Mahdi, sedangkan dakwaan itu berlaku di negerinya yang jauh dari Kota Makkah. Mengaku jadi Imam Mahdi, sedang dia tinggal di benua India, di Maghribi, Pulau Jawa, Malaysia dan lain-lain. Dakwaan itu dibuat bukan depan Kaabah sebagaimana nas menyebutkan tentang pertama kalinya kemunculan Al-Mahdi.
Juhaiman Al-Otaibi |
Kalau mahu terpedaya, dakwaan seperti dakwaan dalam kes Juhaiman inilah yang dapat memperdayakan. Namun, sejarah mencatatkan Syeikh Bin Baz yang pada saat itu menjadi guru yang mengajar di Kota Madinah dengan tegas menolak keimaman Muhammad bin Abdullah Al-Qohtan. Bahkan beliau menyifatkan kelompok yang bersamanya itu adalah kelompok syaitan yang cuba merobek kesucian Tanah Suci.
0 comments:
Post a Comment