(Ekstrak Daurah 525)
Mengucapkan tasbih kepada Allah merupakan sarana zikir yang warid dalam nas. Sesungguhnya nas yang jelas telah cukup banyak untuk diamalkan dan kita tidak lagi memerlukan zikir yang lain selain yang disebut untuk meletakkan diri sebagai kelompok "Az-Zakirin". Dalam dunia penuh fitnah ini, ramai orang dibeban derita kegelisahan hati sehingga mencari penawar buat mengubat hati yang sakit.
Sayangnya, dalam usaha mencari penawar, ramai yang mengambil penawar yang salah dan ada pula yang menemui penawar yang betul tetapi salah peraturan termasuk berlebihan dalam dosnya.
Sesungguhnya, sarana zikir yang warid dalam Quran maupun hadis telah cukup sehinggakan kita tidak perlu lagi berpaling kepada sarana zikir lain yang ditawarkan. Tiada orang yang cukup mengerti keperluan jiwa manusia melainkan Allah SWT dan Rasulnya yang diberi bimbingan wahyu.
Di antara yang disarankan Allah kepada kita adalah bertasbih ketika mahu bangun berdiri.Saranan ini disebutkan menerusi firman Allah SWT dalam surah At-Thur, ayat 48:
وَاصْبِرْ لِحُكْمِ رَبِّكَ فَإِنَّكَ بِأَعْيُنِنَا ۖ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ حِينَ تَقُومُ
Dan bersabarlah dalam menunggu ketetapan Tuhanmu, maka sesungguhnya kamu berada dalam penglihatan kami, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu ketika kamu bangun berdiri.
(Surah At-Thur: Ayat 48)
Ketika hendak bangun itu ditafsirkan oleh kalangan mufassirin kepada dua pengertian:
1) Ketika hendak bangun meninggalkan satu-satu majlis- Pendapat Ibn Mas'ud, Atha', Said bin Jubair, Sufyan As-Thauri, Aun bin Malik dan Abu Al-Ahwas.
Nabi SAW telah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi daripada Abu Hurairah:
من جلس في مجلس فكثر فيه لغطه فقال قبل أن يقوم من مجلسه: سبحانك اللهم وبحمدك أشهد أن لا إله إلا أنت أستغفرك وأتوب إليك إلا غفر له ما كان في مجلسه ذلك
" Sesiapa yang duduk dalam sesuatu majlis, lalu banyak kesalahannya dalam bicara, maka sebelum bangun dari majlis itu dia berkata:
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ ، أَشْهَدُ أَنْ لا إِلهَ إِلَّا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتْوبُ إِلَيْكَ
Maka Allah akan mengampunkan kesalahan apa yang dilakukan dalam majlis tersebut".
Bacaan tersebut dinamakan "tasbih kaffarah".
Apa disebut majlis, ia tidak hanya majlis yang diadakan secara formal. Sepatutnya, ketika makan dikedai kopi, berborak-borak bersama teman-teman, ketika hendak berpisah, lebih aula ditamatkan dengan bacaan tasbih kaffarah. Majlis tidak formal seumpama demikian lebih banyak terjerumus ke dalam "ghalat".
2) Ketika hendak bangun untuk solat-Pendapat Muhammad bin Ka'ab, Ad-Dhahak dan Ar-Rabi'.
Sabda nabi SAW:
من تعار في الليل فقال لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير والحمد لله وسبحان الله والله أكبر ولا حول ولا قوة إلا بالله ثم قال اللهم اغفر لي أودعا استجيب له فإن توضأ وصلى قبلت صلاته
Barangsiapa terbangun pada malam hari lalu mengucapkan: Tidak ada Tuhan yang disembah kecuali Allah semata, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan untuk-Nya segala pujian, dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Segala puji bagi Allah, Maha Suci Allah, Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar. Dan tidak ada daya serta kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. Kemudian diucapkan: “Ya Allah ampunilah aku” atau dia berdoa nescaya akan dimakbulkan untuknya. Apabila dia berwuduk nescaya diterima solatnya.
(Hadis Riwayat Bukhari)
Semoga kita dapat mengamalkan sarana zikir setika mahu bangun tersebut. Mengamalkan apa yang warid cukup meyakinkan. Percaya dan yakinlah bahawa anda akan memanjat tangga muqarrabin melalui bimbingan ayat quran dan hadis, sementelahan lagi jika anda mendapat guru terbaik, menjunjung amanah Rasulullah SAW, yang membekalkan anda dengan sumber tersebut.