Kenduri kawin di rumah bapa mentuaku baru-baru ini menelan belanja sekitar belasan ribu juga. Jumlah tersebut sudah paling dijimatkan secukupnya. Namun, disebabkan kenalan bapa mentuaku ramai, sementelahan pula daripada kalangan pemimpin Pas pelbagai peringkat di Padang Terap khususnya dan negeri Kedah amnya, maka penyediaan makanan memerlukan stok yang meyakinkan. Sewaktu isteriku mengatakan ada ura-ura dari sanak saudara yang lain untuk membuat tempahan meja makan berhidang bagi pengantin, aku membantah dan mengatakan ia adalah satu pembaziran. Malah, tegasku, ia adalah haram dari segi syarak kerana ia merupakan persandingan tak rasmi. Apa lagi yang harus kita namakan kalau kedua mempelai disuruh makan di meja yang berhias cantik dan ditonton oleh khalayak ramai? Walimatul urus yang seharusnya dicari keberkatan, akhirnya mengundang kemurkaan Allah SWT.
Aku tidak menyetujui membuat meja makan berhidang dan ditonton oleh ramai tetamu yang datang. Ia bukan jalan hidup orang yang beragama dan orang soleh. Sekalipun pada masa ini ramai orang melakukan, ia tidak membuktikan bahawa perkara tersebut baik dan disunatkan dalam agama. Malah, dengan meniadakan persiapan makan berhidang itu, beberapa kos dapat dijimatkan.
Kalaupun belanja untuk itu dikeluarkan semasa kenduri tersebut, ia cuma pembaziran daripada harta sendiri. Paling tidak harta anak-anak. Tiada harta rakyat yang dicuri untuk itu. Itupun tetap haram di sisi syarak kerana Allah tidak sukakan pembaziran. Allah juga tidak mesyariatkan persandingan dalam bentuk apapun, kecuali di depan kaum kerabat dalam ruang yang terbatas.
Beberapa hari terakhir ini, rakyat didedahkan tentang pertunangan anak Perdana Menteri dengan seorang warganegara Kazakhstan. Perdana Menteri dikritik kerana pergi ke negara Kazakhstan atas urusan rasmi tetapi mengambil kesempatan menguruskan pertunangan anaknya. Sudah tentu kepergiannya bersama isteri ke negara tersebut ditanggung oleh negara dari wang rakyat. Kemudian majlis pertunangan diadakan di Sri Perdana, Puterajaya. Kos makanan yang dibayar kepada catering untuk majlis pertunangan tersebut dikatakan RM81,000.00. Itu baru majlis pertunangan, belum lagi majlis perkahwinan. Namun, persoalan yang ditimbulkan ialah duit siapa yang dipakai? Dr Tan Kee Kwong dari PKR mendakwa bahawa nota pembelian makanan catering dari sebuah hotel terkemuka dibuat atas nama Jabatan Perdana Menteri.
Jika begitu, wang negaralah yang diguna. Sementara rakyat disuruh berjimat cermat, diminta membayar cukai itu dan ini, dikurangkan hak untuk mendapat subsidi dan diminta reda dengan kenaikan harga barang, wang rakyat digunakan hanya untuk majlis pertunangan anak seorang pembesar negara. Rakyat berfikir dan mempertimbangkan banyak perkara untuk buat kenduri kahwin anak, sedangkan mereka bergembira menjamah makanan kelas mewah untuk sebuah majlis pertunangan.
Demi Tuhan...sebagai rakyat, aku tidak merestui wang yang menjadi bahagianku digunakan untuknya. Sekecil manapun bahagianku, hatta biarpun sepuluh sen sahaja, akan aku perhitungkan di akhirat kelak. Alangkah berat bebanan para pelahap harta rakyat itu di akhirat kelak jika setiap daripada jutaan rakyat ini menuntut keadilan di akhirat kelak!
Demi Tuhan...sebagai rakyat, aku tidak merestui wang yang menjadi bahagianku digunakan untuknya. Sekecil manapun bahagianku, hatta biarpun sepuluh sen sahaja, akan aku perhitungkan di akhirat kelak. Alangkah berat bebanan para pelahap harta rakyat itu di akhirat kelak jika setiap daripada jutaan rakyat ini menuntut keadilan di akhirat kelak!
Mereka, para penguasa menganggap kecil sejumlah wang yang dirasa amat besar oleh rakyat. Dengan mudah, mereka tega bazirkan RM1.8 juta untuk syarikat kroni buat membuka dan menguruskan akaun laman sosial seperti facebook yang hanya percuma di kalangan rakyat. Hari ini, budak sekolah rendah pun tahu membuka akaun facebook dan tidak membelanjakan walau sesen pun.
Menoleh sederet episod pembaziran wang negara, kita mengerti bahawa mereka yang berkuasa tidak mencintai rakyat marhaen. Mereka menunggangi rakyat untuk keuntungan dan kemewahan diri. Semoga Allah mempercepatkan mudawalatul ayyam buat mereka yang menyalahgunakan kuasanya.
0 comments:
Post a Comment