Tahun ini aku telah bersama kira-kira 4 juta ummat Islam seluruh dunia melaksanakan ibadah haji sebagai meneyempurnakan rukun Islam yang kelima. Dari Malaysia sahaja sebanyak 26 ribu jemaah haji telah terpilih untuk mengerjakan haji.Aku cukup gembira dan merasa bertuah kerana termasuk dalam orang-orang yang terpilih mengerjakan ibadah yang mulia ini.
Namun dalam kegembiraan aku kerana dapat mengerjakan haji, kesedihan menggigit perasaan kerana ketika itu juga aku menyaksikan dari kaca televisyen yang terdapat di bilik hotel melalui saluran
Al-Jazeera tragedi yang menimpa bumi Gaza dan saudara seagamaku di sana.Tentera Zionis sedang melancarkan serangan sebaik sahaja gencatan senjata selama 6 bulan antara Israel dan Hamas tamat.
Gelisah, marah, sedih dan berbagai bagai perasaan yang tak terungkap menghimpit jiwa dan nurani.
Ironinya, dalam jutaan jemaah haji yang sedang berkumpul di tanah suci, tidak kedengaran laungan sentimen kemarahan atas tindak tanduk Israel tersebut. Aku memasang telinga mendengar khutbah jumaat di Masjidil Haram, mencari kata-kata yang membakar semangat menetang pencerobohan yahudi di bumi Gaza, namun...percuma.
Mekah memang aman dan tenteram...setenteram hati para syeikh dan ulamanya. Tenteram yang memalukan itu menjalar dan menutup hati sebahagian besar para jema'ah haji.
Di Masjidil haram aku sering menyusur celah orang ramai selepas solat subuh mencari tempat para syeikh menyampaikan kuliah. Memang aku mengakagumi keilmuan seorang syeikh yang bernama Syeikh Syatri yang menyampaikan kuliah subuh mengupas persoalan haji. Tetapi...apabila aku kembali sendirian dan merenung kegawatan yang sedang melanda bumi Gaza, aku terkedu untuk terus menghargai kuliah ilmiah di Masjidil Haram daripada para masyayeikhknya.
Mengapa tiada seorang ulama yang bangkit menyedarkan para jema'ah haji mengenai darah dan air mata saudara mereka yang sedang mencurah di bumi Palestin?
Saat menyaksikan tali arus manusia pelbagai bangsa yang menganut satu agama menuju Masjidil Haram dan bersurai sesudah solat, aku berandai, kalau sepakat semua jemaah ini menuju bumi Palastin, cukuplah dengan kaki-kaki mereka menginjak dan meligan Israel. Andainya ulamanya bangun dan menyeru solidariti ummat ini berperang melawan Israel dan suara laungan itu berkumandang keluar dari Masjidil Haram, alangkah indahnya...
Satu hari,aku berkenalan dengan seorang pencen daripada sebuah syarikat perkapalan di Mesir bernama Fauzi Taufiq Umar Khattab. Kami berbual pelbagai perkara dan dia melontarkan satu pertanyaan kepadaku. Pertanyaan yang menggambarkan tandatanya tentang sikap orang Islam di Malaysia dalam isu Palastin.
"Apakah sikap orang Malaysia terhadap Palastin dan Israel?" pertanyaan itu seolah-olah pendirian orang Islam di Malaysia terhadap isu Palastin masih samar atau dibayangi ketidakpedulian.
Aku menjawab dengan tegas kepadanya.
"Kami membenci Israel. Kami memahami penegasan Allah dalam Al-Quran bahawa kaum Yahudi tidak pernah redha kepadamu sehinggalah kamu menuruti millah mereka...",
Sesungguhnya kerisauan dan kegelisahan terpancar dalam pertanya lelaki Mesir tadi. Dia hanya rakyat biasa sebuah negara bernama Mesir sebagaimana aku rakyat kecil sebuah negara bernama Malaysia. Kami hanya mampu sedih, gelisah dan membenci Yahudi. Lebih tinggi sedikit, hanya mampu berdoa dan memberi sumbangan material di bawah tabung-tabung kemanusian.
Tabung kemanusiaan?
Sebenarnya ummat Islam Palastin memerlukan lebih daripada bantuan kemanusiaan. Mereka memerlukan bantuan persenjataan, kalaupun bantuan ketenteraan tak mampu disalurkan.
Kalaulah ada tabung senjata buat Palastin!
Berita terbaru hari ini lebih memalukan. Dua buah negara Arab memulau sidang Liga Arab yang berlangsung di Doha, Qatar, bagi mengutuk serangan Israel ke atas Gaza. Arab Saudi dan Mesir. Pemimpin kedua negara tersebut memang terkenal sebagai sekutu kepada Amarika Syarikat.
King Abdullah dan Presiden Hosni Mubarak. Mereka sepatutnya malu menjadi pemimpin negara ummat Islam. Semoga Allah menggantikan pemimpin lain buat dua negara tersebut. Pemimpin yang mampu meneraju rakyatnya melaksanakan aspirasi mereka!
Tidak hairan, sepanjang aku berada di Madinah dan bersolat di Masjid Nabawi, solat Jumaat di sana dan mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatibnya, pujian dan sanjungan diberikan kepada raja mereka.Raja mereka disanjung sebagai pemegang amanah Haramain yang bakal mendapat ganjaran besar daripada Allah swt. Raja merekalah juga yang memulau sidang untuk mengutuk Israel. Mungkin khatib tersebut telah diikat lidahnya.
Tapi,mengapa sebegitu banyak kuliah dalam Masjid Nabawi, di sana sini, semuanya tidak memperlihatkan keperihatinan terhadap penderitaan Gaza.
Aku hairan dengan para syeikh yang menabur ilmu di Masjid Nabawi!
Bicara mengenai haramnya memotong janggut. Sambil melurut janggutnya, dia tersenyum.
Bicara mengenai haramnya bertamassuh untuk bertabarruk di kubur Rasulullah.
Bicara mengenai harammnya bertawassul dengan para wali...
Sambil melupakan derita rakyat Gaza.
Semua yang mereka utarakan itu benar. Aku menyokongnya dan telah pun aku menganutnya lama sebelum aku menjejaki kaki ke Mekah...
Cuma, ku cuma ingin dengar sedikit bicara mengenai Palastin, buat menambah cinta dan imanku. Buat membangkitkan nostalgia Salehuddin al-Ayubi. Moga hati menjadi insaf dan sedar dan dengan itu benar-benar bermakna sebuah ibadah haji.
Apakah kita perlu menanti sehingga ada orang membawa bendera hitam ke Masjidil Haram?