Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Jangan Tinggalkan Daku!

August 15, 2012

Ramadhan kian menginjak ke penghujungnya. Dari kiraan minggu menjadi hari. Dari hitungan hari akan menjadi helaan jam demi jam. Di kala takbir Eidul Fitri mula berkumandang, itulah saatnya Ramadhan melabuhkan tirainya. Gerbang syurga yang terbuka luas kembali tertutup. Tidak ada lagi pintu Rayyan yang dibukakan khusus buat insan berpuasa. Pintu-pintu neraka yang selama ini ditutup, pun dibuka semula. Maka, syaitan-syaitan dan jin derhaka pun kembali bercempera mencuri peluang tipu daya.

Sejurus Ramadhan yang kembali ke perkampungannya, tinggallah kita meneruskan perjalanan menempa bulan demi bulan sehingga kalau ditakdirkan Tuhan, akan bertemu lagi Ramadhan saat ia kembali semula. Oleh itu, dengarlah suara-suara teriak tangis yang bersenandung bersama sirnanya Ramadhan.

"Jangan tinggal daku!".

Segala amalan mulia sepanjang Ramadhan pun merintih. Puasa itu pokok amalan sepanjang Ramadhan.  Ia pun takut ditinggalkan. Maka lanjutkanlah dengan puasa 6 hari di bulan Syawal sebagai lambang dirgahayu buat Ramadhan. Menjaga lidah, amarah, pandangan mata, pendengaran telinga dan juga lintasan hati dari terjerumus noda, semua itu jangan ditinggalkan. Sebulan itu cuma latihan dan ia bukan cerminan diri. Sesiapa yang menghadam maksud, maka tertempalah pada amalan diri untuk 11 bulan berikutnya.

"Jangan tinggal daku!"

Masjid dan surau paling acap dizalimi. Ramadhan menjadi tempo singkat buatnya dikerumuni. Laksana artis terkenal atau pemimpin terkemuka, masjid dan surau menjadi kerumunan manusia untuk mendapat autograf rahmat, maghfirah dan kelepasan dari azab neraka. Sebagaimana saban tahun juga, manusia teramai hanya mengenali masjid dan surau di masa Ramadhan. Sudah menjadi madah pepatah, awal Ramadhan manusia penuh dan surut di penghujungnya. Akhirnya sirna bersama hilangnya hembusan Ramadhan.Hanya manusia yang terpilih sahaja yang Allah kekalkan dia menjadi pengunjung masjid dan surau untuk masa-masa seterusnya. Namun, itu sangat kecil jumlahnya.

"Jangan tinggal daku!"

Masa Ramadhan, lembaran Quran paling banyak dibelek dan dibaca. Tidak cukup dengan belek dan baca di atas sajdah, ia dilanjutkan dalam kereta dan ditempat kerja. Di masjid dan surau pula, berdengung suara alunan tadarus. Meriah amat orang meraikan Al-Quran. Tetapi, apakah pada Ramadhan sahaja Al-Quran dikenali? Padahal Al-Quran adalah kitab bacaan dan juga petunjuk sepanjang hayat. Quran jangan ditinggalkan walau sehari. Sehari ia dimahjurkan, tiga hari ia menyingkir dari kita!

"Jangan tinggalkan daku!"

Perempuan ini makhluk yang punya satu hal juga. Masa Ramadhan ramai yang pakai bersopan. Hormatkan Ramadhan katanya. Macam juga sesetengah orang perempuan hormatkan hari Jumuat dengan berpakaian menutup aurat atau separa menutup aurat. Tujuan menutup aurat bukan kerana Ramadhan, tetapi kerana Allah. Ramadhan pergi, Allah tetap hidup selama-lamanya. Amalan baik menutuo aurat masa Ramadhan itu janganlah ditinggalkan setelah Ramadhan. Sayang sekali penyucian diri yang dibuat sepanjang Ramadhan, akhirnya jadi percuma dan sia-sia.Hidup sebagai orang baik bukan hanya untuk sehari, tetapi ia seharusnya selagi hayat dikandung badan.

"Jangan tinggalkan daku!"

Bangun awal pagi, bersahur, itulah sunnah yang mulia. Ia juga baik untuk kesihatan. Di awal pagi, asid dalam perut dineutralkan dengan makanan yang masuk ke perut. Lepas sahur sempat pula ke masjid dan surau solat subuh berjemaah. Sahur melatih kita bangun pagi. Ia juga menjadi lambang jatidiri sebagai muslim yang sentiasa membedakan diri dari kelompok Yahudi dan Nasara.  Kalau sudah berlalu Ramadhan, amalan ini masih boleh diteruskan. Kalau pun tak mahu puasa, apa salahnya bangun waktu sahur. Makan waktu sahur itu sendiri punya kebaikannya. Kebaikan itu berganda dengan meraih pahala qiam sepanujang malam bila solat Subuh berjemaah di masjid. Amalan istimewa ini seharusnya diteruskan selama-lamanya.

"Jangan tinggalkan daku!"

Jangan tinggalkan puasa, lanjutkan dengan yang sunat. Jangan tinggalkan semangat 'ismah diri dari dosa, teruskan waspada.Jangan tinggalkan masjid dan surau, terus kunjungi untuk solat berjemaah lima waktu di sana. Jangan tinggalkan amalan baca Quran, ia adalah teman karib selagi hayat dan juga sesudah mati. Perempuan-perempuan, teruskan tutup aurat kalian. Sumber fitnah dunia banyak datang dari kalian. Amalan pemakanan yang baik seperti bersahur, boleh jadi amalan yang ditradisikan buat diri. Moga sihat dan dapat berbuat amal sebanyak mungkin semasa hayat ini.

Latihan Ramadhan jangan ditinggalkan!


BUTA SEBELAH MATA.

August 10, 2012


Isu kafir harbi menjadi hangat kembali lewat terakhir ini berikutan satu lontaran pandangan sebelah mata yang diigaukan seorang guru pondok di Tumpat, Kelantan. Lantas, igauan itu disambut pula dengan sokongan dari tokoh Ilmuan Muda UMNO, Ust Fathul Bari. Isunya adalah haram menyokong DAP kerana DAP itu kafir harbi. Tuduhan kafir Harbi itu disandarkan ke atas penolakan negara Islam dan hudud yang diperjuangkan di Malaysia.

Banyak isu yang terkait apabila isu DAP sebagai kafir harbi ini hendak diulas. Namun, biarlah aku ulas isu ini secara gamblang sahaja kerana ia bukan isu orang-orang bijak. Sebagaimana aku sebutkan tadi, ia hanyalah igauan dan ucapan mamai orang-orang yang dalam mimpi politik yang berkabut.

Menuduh seseorang kafir sebagai harbi membawa implikasi hukum. Ia menjadi salah dan dosa jika kafir itu bukan harbi dan sebaliknya seorang zimmi.  Rasulullah SAW memperingatkan dalam sebuah hadis:

من عادى ذمياً فأنا خصيمه يوم القيامة

"Sesiapa yang memusuhi seorang kafir zimmi, maka akulah lawannya di hari kiamat nanti"
(Hadis Riwayat Bukhari)

Adalah sukar menentukan kafir apa orang-orang DAP itu. Samalah juga dengan orang Cina dalam MCA maupun India dalam MIC. Ini kerana Malaysia bukanlah sebuah negara yang bersistemkan Islam yang sebagaimana negara Madinah yang menyebabkan Rasulullah SAW membahagikan kafir kepada zimmi dan harbi. Dalam sebuah negara yang menegakkan sistem sekular pragmatis seperti Malaysia, kafir zimmi dan harbi tidak dapat ditentukan dengan pasti. Maka, jika tidak dapat ditentukan jenis kekafiran tersebut, menjadi kesalahan jika seseroang secara semberono menuduh harbi seseorang kafir itu.

Islam melarang tuduhan kafir ke atas seorang Islam kerana orang Islam ada maruah agama yang perlu dipelihara. Tuduhan kafir ke atas seorang muslim akan menyebabkan tuduhan itu kembali kepada si penuduh.  Hak seorang muslim dan seorang zimmi sebagai rakyat tidak ada beza. Sebagaimana muslim ada maruahnya, zimmi juga dipelihara maruahnya.

Apakah nasib si penuduh jika non-muslim dalam DAP itu adalah zimmi di sisi Allah SWT?

Lagi pula, apakah maknanya gelaran harbi itu? Harbi maknanya perang. Orang kafir harbi itu diperangi sebab mereka memusuhi Islam. Allah memerintahkan supaya mereka diperangi sehingga mereka tunduk dalam keadaan mereka hina. Bila disebut perang, maknanya darah mereka halal. Boleh dibunuh. Apakah Tok Guru Tumpat dan ulama Muda UMNO itu mahu mengatakan kepada rakyat bahawa darah-darah non-Muslim dalam DAP itu halal dan boleh dibunuh sebab mereka harbi?

Soal kerana mereka menentang negara Islam dan hudud, ia bukan sahaja masalah DAP. Rakyat sudah maklum bahawa Cina MCA melalui kenyataan presidennnya CSL, pun sama menentang negara ISlam dan hudud. Malah, jika diteliti dengan cermat, para pemimpin UMNO sendiri menentang perlaksanaan hudud dan tidak mengimpikan sebuah negara Islam sebagaimana dibahaskan dalam fiqh daulah Islam oleh para ulama terdahulu. Apakah setia yang menetang hudud itu harbi? Bagaimana para pemimpin yang enggan laksanakan hudud dan merendah-rendahkan pula hudud yang Allah tentukan?

Harbi semuakah mereka?

Orang kafir yang menolak konsep negara Islam dan menolak perlaksanaan hudud tidak seharusnya dituduh harbi. Adalah besar kemungkinan penolakan mereka itu disebabkan kejahilan mereka tentang Islam. Orang kafir jahil tentang Islam dan enggan menerima sistem Islam, itu adalah lumrah. Bagaimana pula orang yang mengaku Islam, tetapi enggan menerima sistem Islam? Apakah itu juga satu lumrah yang kita boleh maafkan?

Golongan mudahanah, yang mahu membodek atasan, selalu hilang kemampuan melihat dengan kedua-dua mata. Pepatah Melayu menyebut, nyamuk di semberang laut dapat dilihat, gajah di depan mata tidak dapat dilihat. Demikianlah keadaan orang agama yang bercakap hanya untuk memuaskan hati ketua mereka. Ia memalukan para agamawan, ustaz dan para ulama. Masyarakat, dengan pesimis akan melihat, inilah gaya para ilmuan agama yang buta sebelah mata. Sebab itu, hari ini jangan marah bila orang selalu persendakan orang yang ahli dalam agama Islam.

Apakah hendak dikata tentang orang-orang seperti ini? Ia bukan baru muncul. Di zaman nabi Musa dulu sudah ada ulama bernama Bal'am bin Ba'ura yang saking menjulang penguasa, rela pula menentang nabi Musa. Kerana sifat mudahanah dalam diri, ada ulama sanggup merendahkan martabat ilmu agama yang seharusnya tegak merdeka dan bebas. 

Allah berfirman:

 
فَلَا تُطِعِ الْمُكَذِّبِينَ * وَدُّوا لَوْ تُدْهِنُ فَيُدْهِنُونَ

"
Maka janganlah kamu ikuti orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah).Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap mudahanah* (lunak) lalu mereka bersikap mudhanah (lunak) pula kepadamu.
(Surah Al-Qalam: Ayat 8-9)
".

*Sila dapatkan keterangan lanjut mengenai konsep mudahanah dari kitab-kitab tafseer. 


Sebelum keluar dajal yang buta sebelah matanya, akan keluar soldadu-soldadunya yang buta sebelah mata semua mereka itu. 

Wal 'iyazubillah!



Isu Air Propaganda Firaun

July 17, 2012


Kerajaan BN yang menguasai kerajaan Persekutuan (buat masa ini) yang dikatakan tidak senang melihat negeri Selangor dikuasai oleh Pakatan Rakyat, telah mempergunakan syarikat Syabas untuk memanipulasi isu air sehingga memperlihatkan kegagalan kerajaan Pakatan Rakyat. Negeri Selangor yang mempunyai 7 empangan itu masih dikatakan menghadapi masalah kekurangan air sehingga terpaksa pula kerajaan persekutuan menawarkan projek Langat 2 untuk menyalurkan air dari Pahang ke Selangor.

Isu air juga dimainkan di negeri Kelantan dan Kedah. Mengapa isu air menjadi begitu penting sehingga menjadi modal untuk memburukan kerajaan Pakatan Rakyat.

Mari kita lihat apa yang disebutkan dalam Al-Quran mengenai kebanggan Firaun dalam pemerintahannya di Mesir:

وَنَادَىٰ فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَٰذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِنْ تَحْتِي ۖ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Dan Fir'aun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: "Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir Ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai Ini mengalir di bawahku; Maka apakah kamu tidak melihat(nya)?
(Surah Az-Zukhruf: Ayat 51)

Firaun menyebutkan mengenai sungai yang mengalir di bawah kekuasaannya membayangkan bahawa kerajaan Firaun menyediakan sistem pengaliran air untuk kemudahan rakyat. Apabila nabi Musa datang berdakwah kepadanya, dia menjadikan pentadbiran sistem air dalam negeri itu sebagai kebanggaan yang diungkit sebagaimana dia mengungkit banyak hal yang lain. Ungkit mengungkit mengenai jasa memang menjadi tabiat kerajaan Firaun. paling digemarinya ialah mengenai kejayaan menguruskan air untuk rakyat.

Sebab mengapa persoalan air yang menjadi tumpuan ialah kerana air merupakan keperluan hidup yang paling dekat dengan rakyat dan paling banyak mempengaruhi sikap rakyat. Dalam Al-Quran, Allah telah menegaskan bahawa setiap sesuatu di alam ini diciptakan daripada air. maka tidak hairanlah mengapa Firaun yang suka membanggakan diri dalam pemerintahan itu menfokuskan isu air untuk mempengaruhi rakyatnya.

Tidak menghairankan pula jika isu air di negeri-negeri Pakatan Rakyat sangat diperdebatkan. Kerajaan Pakatan Rakyat dituduh tidak bijak menguruskan air. Selama ini, hanya kerajaan BN sahaja yang bijak menguruskan air. Jika rakyat percaya hal itu, maka keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri akan goyah.

Ini mainan lama. Mainan semenjak zaman pemerintahan Firaun. Orang yang menelaah sejarah sudah cukup memahami permainan ini. Gaya pemerintahan ala Firaun tidak akan pernah menyisih daripada memainkan isu air. Firaun dan pembesarnya akan menjadi tauladan dalam pemerintahan para makmun mereka sepanjang zaman.

Allah menyebutkan dalam Al-Quran:

 
وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لا يُنْصَرُونَ

Dan kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari kiamat mereka tidak akan ditolong.
(Surah Al-Qasas: Ayat 41)

Semoga perkembangan yang berlaku ini memberikan kita basirah untuk mempelajari sesuatu dalam gaya pemerintahan. Di negeri Mesir ada dia pemerintah yang pernah menguasi. Satunya adalah pemerintahan Firaun dan satu lagi pemerintahan nabi Yusuf. Dua bentuk pemerintahan yang pernah menancap di bumi Mesir itu akan mengalami perulangan dalam roda zaman. Naiklah mana-mana pemerintah sepanjang zaman, di depan mereka ada dua contoh.

Mahu meniru nabi Yusuf atau meniru Firaun?
 

TAZKIRAH SUBUH: BERSYUKUR UNTUK AKHIRAT

July 15, 2012

Allah Berfirman :


لئن شكرتم لأزيدنكم ولئن كفرتم إن عذابي لشديد

“ Jika sekiranya kamu bersyukur, nescaya aku tambahkan untuk kamu nikmatku dan jika sekiranya kamu kufur, maka ketahuilah azabku sangat pedih”
(Surah Ibrahim: Ayat 7)

Bersyukur atas nikmat Allah, Allah janjikan tambahan. Nikmat Allah sangat banyak dan tidak mampu dihitung. Orang-orang selalu ditarghibkan supaya bersyukur kerana dia mendapat razeki harta benda, sihat tubuh badan, ada anak yang sihat, ada kereta dan rumah yang selesa, dapat pekerjaan yang baik dan bermacam-macam lagi nikmat dunia. 

Dengan semangat supaya segala nikmat itu ditambahkan lagi, seseorang sangat memerhati syukurnya. Lalu dia mengucapkan "Alhamdulillah!". Kemudian dia menggunakan nikmat itu sesuai dengan kehendak Allah SWT. Itulah dua jalan bersyukur yang sering disyarahkan para asatizah dalam televisyen dan radio-radio menerusi slot motivasi dan kuliah.

Kuliah Subuh pagi ini di masjid Al-Fajr disampaikan oleh Sdr. Nurdin dengan mengubah dimensi kefahaman bersyukur atas nikmat tersebut kepada dimensi akhirat. Sebagaimana dinyatakan dalam surah Al-Fatihah, kita memohon agar Allah memberikan kita hidayah ke jalan lurus yang telah diikuti oleh orang diberikan nikmat ke atas mereka. Menerusi tafsiran dengan ayat Quran yang lain, golongan yang diberikan nikmat itu tidak lain tidak bukan adalah empat golongan iaitu:
a) Para Nabi
b) Para Siddiqin
c) Para Syuhada.
d) Orang-orang Soleh.

Nikmat apa yang dikurniakan kepada mereka sehingga kita disuruh minta supaya jadi seperti mereka? Sudah tentu ia bukan nikmat harta, anak-anak, tubuh badan, rumah, pakaian, negeri dan kekuasaan atau sebaginya urusan duniawi. Jika kita menelaah perolehan terbesar mereka yang disifatkan nikmat, ia adalah nikmat iman dan Islam. Inilah dua nikmat terbesar daripada Allah kepada kita yang jarang kita rasa mahu bersyukur mengenainya melebihi rasa syukur kita kepada pencapaian dunia kita.

Sepatutnya, rasa sykur itu patut dialirkan sebanyak-banyaknya buat menginsafi dua nikmat agung ini. 

Alhamdulillah aku dilahirkan Islam!
Alhamdulilah aku ditentukan jadi orang beriman!
Kekalkan Islam dan iimanku selama-selamanya wahai Allah!

Marilah kita bersyukur untuk soal akhirat kita. Jangan hanya bersyukur untuk benda fatamorgana yang bakal sirna.