Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Menteri Besar Pegang Exco Agama adalah mulia.

January 20, 2012


Ada pihak yang tidak senang apabila Portfolio Hal Ehwal Islam dipegang sendiri oleh Tan Sri Khalid Ibrahim yang merupakan Menteri Besar Selangor. Portfolio itu yang sebelum ini dijawat oleh Dr. Hasan Ali selaku adun Pas tidak beralih kepada exco baru dari Pas yang dilantik iaitu Dr. Ahmad Yunus Hairi. Malah, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan. Perubahan ini ditafsirkan sebagai satu penghinaan kepada Pas.

Sebenarnya, Pas itu hanya pandai menguruskan portfolio agama sahajakah? Apabila sebut mengenai Pas, yang terbayang dalam fikiran para pengkritik miskin akal dan makrifat itu ialah orang-orang yang hanya layak  diberi hak menguruskan hal ehwal agama Islam yang terkepung dalam institusi agama. Kononnya mereka mahu Pas dihormati sedangkan sebaliknya mereka menghina Pas. Kalau menguruskan Belia dan sukan, apakah itu tidak sesuai dengan Pas?

Hanya manusia yang masih bergelumang najis politik sekular sahaja yang melihat Pas layak hanya diberi jawatan berkaitan keagamaan. Hakikatnya, semua porfolio itu tidak harus dilihat tidak keagamaan. Bayangkan, betapa hebatnya jika seorang exco Pas dapat menguruskan soal belia dan sukan menjuruskan kepada mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Dr. Hasan Ali sendiri mempertikaikan kelayakan Tan Sri Khalid Ibrahim untuk memegang exco agama dan menyifatkan kemusnahan akan berlaku jika orang bukan ahlinya menjawat sesuatu jawatan. Ingin dilontarkan persoalan, apakah Dr. Hasan Ali orang yang layak berbanding Tan Sri Khalid? Kata Hasan Ali, beliau orang sekular. Maka, dia bukan ustaz. Apa yang menjadikan dia rasa dirinya layak menjadi exco agama. Apa pula bezanya diri Dr. Hasan Ali dengan Tan Sri Khalid Ibrahim? 

Maka, persoalan layakkah Tan Sri Khalid Ibrahim jadi exco agama sebenarnya perlu ditanya  juga semasa Hasan Ali mahu mengambil jawatan tersebut dulu. Layakkah Hasan Ali yang tidak berlatarbelakangkan agama untuk menjawat exco agama. Semata-mata jadi orang Pas, apakah dia menjadi lebih istimewa berbanding Tan Sri Khalid Ibrahim yang daripada PKR?

Kalau hati sudah sakit, apa dibuat orang serba tak kena. Lebih-lebih lagi kalau tengah meratapi kehilangan jawatan. Jawatan itu hanya pinjaman. Sepatutnya bila hilang, ingatlah bahawa Allah sudah tarik balik daripadanya. Bukan menyalahkan orang sekeliling.

Laporan dan ulasan Utusan Malaysia itu janganlah diambil tauladan dan panduan. Penulis-penulis di dalamnya adalah individu yang buta makrifat. Selain otak sekular, mereka juga berhati busuk dan sentiasa mencari jalan memburukkan kerja-kerja Pas. Pas patut bangga kerana ia dipercayai untuk menguruskan belia dan sukan. Mindset pas sebagai parti pak lebai telah jauh ditinggalkan. Itulah petanda bahawa ia parti bermasa depan dan akan menjadi versatile.

Tahniah Dr. Ahmad Yunus Hairi. Kita doakan Tan Sri Khalid Ibrahim akan melakukan perkara yang lebih baik dari Dr Hasan Ali dalam bidang agama. Sebenarnya Dr. Hasan Ali bukan berjaya pun dalam menjalankan tugasnya sebagai exco agama. Setelah tidak berjawatan,  baru  menceritakan kesulitan menjalankan tugas itu yang mana dibimbangi Khalid Ibrahim tidak mampu melaksanakannya. Yang telah tewas adalah dia dan bukan Tan Sri Khalid Ibrahim  Menteri Besar itu patut dipuji kerana meletakkan hairaki exco agama di tempat yang dominan dan terpandang. Selalunya perdana Menteri dalam kerajaan BN akan menjawat bersama kementerian kewangan, melambangkan betapa tamak dan sayangnya mereka terhadap kekayaan hasil mahsul negara. Agama dipinggirkan kepada menteri yang lekeh dan lemah. Akhirnya, rakyat melihat lekeh dan lemahlah urusan agama.

Kini, Menteri Besar sendiri memegang Exco agama. Itu menjadikan orang melihat betapa hebat dan utamanya kerja-kerja hal ehwal agama.

Begitulah sepatutnya Dr. Hasan Ali yang ada PHD berjela itu berfikir. Begitulah juga Utusan Malaysia yang berminda haprak itu merumuskan.

Ujub sang mutaakhir

January 16, 2012

Heboh di kalangan musuh Anwar bahawa beliau mendokong golongan gay. Temuramah BBC dengannya di Mumbai dijadikan alasan bahawa Anwar adalah penyokong kehidupan gay. Ia menjadi modal musuh politiknya sekaligus mengarah kepada legitimasi bahawa Anwar Ibrahim memang seorang pelaku seks songsang (liwat), sekalipun mahkamah membebaskannya. 

Tanpa soal selidik lagi, barangkali tidak mengikuti pun temuramah siaran antarabangsa tersebut, Hasan Ali menggodam Anwar Ibrahim lagi. Bertambah senanglah beliau kerana isu tersebut dan menjadi bonuslah kepada perlecehan yang ditumpahkannya kepada Anwar Ibrahim sebelum ini.

Apa yang jelas, Anwar menyatakan bahawa undang-undang lapuk perlu dikaji. Penjelasannya tidak dinyatakan. Dari situlah terbitnya prasangka bahawa Anwar menyokong kumpulan gay tersebut.

Orang Islam dilarang berprasangka. 

يا أيها الذين آمنوا اجتنبوا كثيراًمن الظن إن بعض الظن إثم


Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), Karena sebagian dari purba-sangka itu dosa.
(Surah Al-Hujurat: Ayat 12)

Lebih-lebih lagi kalau prasangka itu berdasarkan berita dari media fasiq yang sudah terbukti menyebarkan adu domba dan fitnah.


 
وَلا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولً

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.
(Surah Al-Isra’: Ayat 36)

Seorang pejuang yang tahan diuji akan bersabar bila ditimpa musibah. Jauh sekali mencari kesalahan orang lain. Apatah lagi menuduh orang lain sebagai parasit. Bagaimana kalau yang dikatakan parasit itu adalah orang yang lebih lama daripadanya dalam perjuangan dan lebih banyak dicuba dengan pelbagai ujian? Adalah ujub sekali kalau merasakan keberadaan parasit itu tidak diketahui oleh pimpinan utama dan hanya diketahui olehnya. Ketajaman pengamatan mata dan kecerdasan akal politik assabiqunal awwalun dinafikan untuk mengujubkan kecerdikan pendatang baru yang menerpa ke dalam jemaah di zaman diri terdesak.

Merenung dan mengamati perkembangan ini, tentu sekali, para pendokong jemaah yang celik mata hati akan mengetahui siapa parasit yang sebenar. Semoga Allah menjauhkan sejauh 500 tahun perjalanan, para pencakar perjuangan Islam daripada jemaah yang memperjuangkan dengan manhaj dan disiplinnya.

Perjuangan Peribadi

January 11, 2012

Perjuangan Dr. Hasan Ali menegakkan Islam, bangsa Melayu dan raja-raja Melayu dikatakan bukan perjuangan peribadi. Ia perjuangan kebanyakan ahli Pas. Demikianlah dakwaan para simpatisan kepada Dr. Hasan Ali berikutan pemecatannya sebagai ahli Pas. Nampaknya juga, Dr. Hasan Ali dilihat berada pada landasan yang betul dalam perjuangannya oleh para simpatisannya.

Sebagaimana yang telah aku tegaskan sebelum ini, perjuangan sendirian yang menyalahi jemaah adalah salah biarpun betul. Perjuangan jemaah adalah sentiasa betul walaupun ia salah. Inilah perinsip perjuangan dalam jemaah. Sekelompok orang yang yang berjuang dalam Islam dan menjalankannya secara jemaah adalah betul miski ada individu yang melihatnya salah.

Soal betul dan salah berkait rapat dengan redha Allah. Redha Allah bersama jemaah. Akal nipis manusia sering tersalah dalam membuat penilaian. Siapapun dia, sekalipun bergelar Prof Dr. seperti Hasan Ali, ia bukan jaminan bahawa dia betul. Dia akan betul jika perjuangan bersama jemaah. Jika menyalahi jemaah, dia sentiasa salah!

Maka, tidak harus dikatakan bahawa perjuangannya bukan perjuangan peribadi. Bila dia menyalahi keputusan syura, jadilah ia soal peribadi. 

Hal inilah yang gagal diladeni oleh Dr. Hasan Ali. 

Siapalah Dr. Hasan Ali untuk membersihkan dirinya dari khilaf?  Bal'am bin Ba'ura,  ulama besar Bani Israil yang khilaf dan mati kufur itu lebih hebat bertingkat-tingkat kalau hendak dibandingkan dengan Dr. hasan Ali.  Dia tergelincir kerana memisahkan diri dari jemaah.

Jika Dr. Hasan Ali sayangkan dirinya, letakkan dirinya di belakang ulama yang memimpin jemaah. Bukan bergentayangan di depan mereka. Jangan pula ulama UMNO di depannya kerana yang namanya ulama UMNO, mereka bukan pemimpin Jemaah. Ulama-ulama yang  tidak berjemaah juga tidak boleh diwalikan dalam perjuangan.

Tak Senonoh

January 10, 2012

Tak senonoh itu perangai kebanyakan  budak-budak. Orang dewasa jarang tak senonoh. Bila seseorang dewasa tak berbuat sesuatu mengikut adab susiala, orang tua itu pun boleh dipanggil tak senonoh.  Kekadang, orang tiga suku disebut juga tak senonoh. Panggilan tak senonoh ini, pendek katanya adalah panggilan yang memalukan.

Anak yang tidak ikut perauran yang ditunjukajar ibu bapa adalah tidak senonoh. Murid-murid yang melanggar disiplin di sekolah, juga tidak senonoh. Demikian pula, ahli parti yang tidak mengikut peraturan berjemaah, adalah tidak senonoh.

Orang yang tidak senonoh, kalau sudah habis nasihat diberikan, tidak makan nasihat juga, memang patut dihalau. Bukan senang nak ubat perangai tak senonoh. Sekira-kiranya, tak senonoh itu menghampiri penyakit gila. Hilang kawalan emosi menyebabkan akal tidak ada kendali. Ketika itu, tidak senonoh menyerupa kegilaan.

Sungguh tak senonoh kalau anak lawan bapa. Kalau murid lawan guru. Kalau pengikut lawan amirnya.

Jika si luncai mahu terjun, berikan labunya

January 2, 2012


Ibarat sebatang kayu baruk yang hanyut tengah arus deras, pada satu saat ia akan hilang dipusar arus. Lalu akan terpendamlah ia di dasar lubuk menjadi artifak yang tidak berguna dan akhirnya reput bersalut lumpur sungai. Alangkah baiknya kalau kayu buruk itu menyatu bersama selonggokan kayu dan bambu lalu membentuk rakit. Sudah tentu ia akan hanyut sehingga ke kuala dan akan belayar di laut lepas mencari destinasi yang membahagiakan.

Kehidupan berjemaah itu demikianlah. Seseorang sendirian tidak akan ke mana betapa pun hebat. Kalau seorang itu mendakwa dirinya hebat, dia tidak lebih hebat daripada Imam Hasan Al-Banna yang menemui syahid dalam perjuangannya. Fikrah dan strateginya tidak sebanding fikrah dan strategi imam gerakan yang terkemuka itu. Maka, apalah alasan untuk menyongsang jamaah.

Biarlah mengalah demi jemaah. Maafkan 99 yang tidak disetujui  1 yang dipersetujui.  Mendabik dada rasa diri dan pendapat sendiri terbaik adalah perangai Iblis. 

Prof Dr. Zulkifli Muhammad diceritakan pernah mengemukakan idea agar PAS membuka kehlian bersekutunya semasa hayatnya dulu kira-kira 40 tahun yang lalu. Namun, ideanya ditolak mentah-mentah dan dia disangkakan yang macam-macam. Namun, miski pendapatnya yang menyonsang kehendak jama'ah itu diperlecehkan, dia tidak melompat menentang jamaah. Akhirnya, pendapatnya yang diperlecehkan itu diterima dan dilaksanakan 40 tahun kemudian.

Sabar dalam perjuangan itu amat berharga. Gelojoh dan gabra itu hanya merugikan diri dan menggangu perjuangan. Jika tidak dapat menghargai akhlak berjemaah, maka tidak ada nilainya lagi berada dalam jama'ah.

Kekadang...dari pecah berkecainya seketul batu besar akan melantun mutiara daripadanya.

Perjuangan Islam telah menempa liku yang sangat banyak. Dari kalangan pendokongnya, ramai yang menemui khatimah yang yang husna. Namun, ada juga yang tewas diperdaya hawa dan tipudaya musuh. Yang selamat itu kerana Allah memilihnya untuk diletakkan dalam zumrah para walinya. Yang tewas itu juga kerana Allah menyingkirnya. Bukan Allah menzaliminya tetapi kerana ia tidak menuruti jalan perjuangan itu dengan sunnah yang diwariskan para pendahulunya. 
Jamaah perjuangan Islam tidak akan rugi. Yang rugi adalah orang yang meraguinya dan lebih malang mengambil jalan menentangnya. 

Jika si luncai ingin terjun, berikan labunya. Lihat ke mana hanyut bersama labunya. Namun, sebelum jalan pulang tiada, nasihatilah si luncai. Terjun daripada bahtera perjuangan, tiada lagi tali yang akan menaikannya. 

Pergilah berkhulwat di Makkatul Mukarramah. Sucikan nafsu dan tenteramkan gejolak yang melanda. Sekadar itu keluhanku.