Ibuku pun berpulang ke hadrat Ilahi. Tanggal 18 Disember jadi tarikh paling mendung dalam hidupku. Pada jam sekitar 5.15 pagi, roh ibuku meninggalkan jasadnya seluruhnya. Ketika itu aku dan adik beradikku berada di sisinya. Aku sedang membacakan surah Ar-Ra'du. Ketika itu nazak ibu mencemaskan. Talqin kalimah tauhid dilantunkan tidak putus-putus ke telinga ibuku. Ketika nafasnya berhenti, keadaan menjadi sunyi sepi. Aku berhenti membaca. Pakcik Jen, adik ibuku, yang turut hadir pada saat terakhir itu pun memberitahu. Ibu telah tiada. Aku sebak. Adik beradikku juga sebak semuanya. Saat itu tiadalah lagi insa bernama ibu dalam hidup kami
Itulah tanggal yang akan aku sematkan dalam memori dukaku. 18 Disember 2018. Bersamaan dengan 10 Rabiul Akhir 1440. Ibu meninggal Di kampung leluhur kami, kampung Datuk, Mukim Tekai Kiri, Naka, Kedah. Pada jam sekita 15.10 pagi dini waktu Malaysia.
Maqbiratu Ummi di kampung Lebai Saman |
Ibuku menjadi ikon keluarga sejak 15 tahun yang lalu. Pada tahun 2003, 5 Oktober, jam 11.51 pagi, bapaku meninggalkan alam fana ini. Ketika 8 itu aku berada di perantauan jauh, iaitu sedang berkursus KPLI di Maktab Kent, Sabah. Pada hari kematiannya aku tidak pulang. Aku tidak mendapat tiket penerbangan segera. Aku pulang esoknya dan sempat menatap jenazah bapa buat kali terakhir. Aku tidak dipukul sedih sebab ada ibuku. Dia menjadi azimat hidupku yang menyalurkan kekuatan makrifat dalam urat nadiku.
Selepas 15 tahun, barulah ibuku menyusul bapaku. Dalam 15 tahun itu, banyaklah kenangan bersama ibuku. Kehilangannya benar-benar menjadi runtunan sedih buatku. Bukan sahaja aku, semua ahli keluargaku benar-benar terasa kehilangannya. Dia sakit lebih setahun dan mengalami sakarat yang mencemaskan kali pertama pada pada bulan 10 yang selalu. Kemudian dia lega dan dapat berbual dengan anak cucu. Sekitar sebulan lamanya sebelum datang sakarat kedua yang meragut nyawanya.
Aku secara peribadi, ada banyak kenangan istemewa bersama ibu. Kenangan pergi bersafar haji bersama jadi episod kehidupan yang tidak terlupakan. Sejak aku berkhidmat di Sabah hingga pulang ke Kulim, kesihatan ibuku merosot sedikit demi sedikit. Aku bersyukur ketika ibuku benar-benar sakit, aku sudah berada dekat dan boleh pulang menjenguk selalu. Boleh kata setiap minggu, hari Jumaat dan Sabtu, kampunglah tempat aku berehlah. Rehlah yang aku anggap sebagai ibadah . Ziarah ibu yang sakit.
Aku rasa mahu menyatakan kepuasan khidmat baktiku kepadanya. Khidmat baktiku berkisar tentang pendanaan. Ia mungkin tidak sehebat khimat bakti 3 orang saudara perempuanku yang duduk berdekatan mereka. Mereka berbakti dengan tenaga dan jerih payah menjaga ibu. Terutamanya adik perempuanku yang bongsu, kamalia. Dia tinggal bersama ibu dan merawatnya setiap ketika Aku bersyukur kerana ada mereka. Aku mengaku kalah dengan khidmat bakti mereka buat ibu. Kalau aku masuk syurga kerana bakti kepada ibu, mereka lebih aula masuk kerananya berbanding aku. Ya Allah persaksikan!
Kebaikan kita tidak perlu dihitung sebenarnya. Tetapi menyebut nikmat Allah kepadaku adalah sebagaimana saranan daripada Al-Quran. Dalam Surah Ad-duha, ayat terakhirnya, Allah suruh kita bicarakan nikmat-nikmatNya buat kita. Dapat menyalurkan khidmat bakti kepada ibu adalah nikmat Allah buat anak-anak. Lalu aku ceritakan sebagai tazkirah hidup buatku dan penzahiran rasa syukur. Bukan berbangga-bangga dan riak atas amal soleh.
Sejak aku bekerja sebagai guru tahun 2004, ibuku telah menjadi janda kehilangan suami. Keluargaku bukanlah kaya. Masa itu ibuku masih sihat dan bertenaga meneruskan pekerjaannya sebagai penoreh getah. Anak-anaknya sudah besar. Hanya Norkamalia seorang yang masih bersekolah. Aku membantu ibuku dengan sumbangan wajib sebanyak 400 sebulan. Angka itu tidak pernah berubah sehingga tahun 2018. Kecuali tambahan-tambahan mengikut keadaan. Sementelahan pada tahun-tahun dia uzur dan memerlukan perawatan. Aku menganggap telah menjadi kewajipan atasku. Demi ibu kembali sihat, aku sentiasa mencari saplemen apakah yang sesuai untuknya. Susu Anlene untuk kekuatan tulang menjadi minuman pilihan. Kemudian kerana kurang berselera makan, susu Ensure menjadi bekalan wajib yang ada di sisi ibuku.
Menjadi iktikadku, dalam gajiku, ada bahagian ibu. Ia bukan milikku dan bukan untuk kesenangan hidupku semata-mata. Ketika aku dapat bayaran KWSP, aku gunakan untuk bawa ibuku ke Makkah menunaikan haji. Kami pergi bersama-sama pada tahun 2008. Ibuku gembira sekali dan saat ibu sakit terlantar, aku bernazar, andainya ibuku sihat, aku aklan bawanya ke Makkah lagi menunaiukan umrah. Kehendak Allah mengambil ibu dan azamku tidak kesampaian.
Menjadi iktikadku, dalam gajiku, ada bahagian ibu. Ia bukan milikku dan bukan untuk kesenangan hidupku semata-mata. Ketika aku dapat bayaran KWSP, aku gunakan untuk bawa ibuku ke Makkah menunaikan haji. Kami pergi bersama-sama pada tahun 2008. Ibuku gembira sekali dan saat ibu sakit terlantar, aku bernazar, andainya ibuku sihat, aku aklan bawanya ke Makkah lagi menunaiukan umrah. Kehendak Allah mengambil ibu dan azamku tidak kesampaian.
Banyak sekali yang boleh aku coretkan tentang ibuku. Tapi, jemariku sudah lama tidak menebarkan tinta. Aku menjadi kaku sejak dua menjak ini. Sementelahan menulis tentang ibuku, insan yang mengagung dalam hatiku. Insan yang aku sebutkan sebagai azimat hidupku sehingga hari matinya.
Insya Allah, coretan ini jadi kenangan hari muka, terutama buat anak dan keturunanku. Berbaktilah kepada orang tuamu dan anggaplah kesempatan berbakti itu nikmat buatmu dan bukan beban atasmu. Sekali terputus peluang membuat bakti, hilanglah sendi utama dalam berkat hidupmu.
Hari-hari selepas ini aku cemas. Bagaimana hendak aku semai berkat hidupku agar terus semarak seperti masa ibuku masih hidup. Aku tidak akan menemui lagi ladang penuh berkat seperti masa ibu masih menjadi ladang aku berbuat jasa dan budi. Bukan sekali-kali membalas budi. Tidak akan seorang anak dapat membalas budi orang tuanya.