Dalam kelas, murid-murid bermain tepuk-tepuk tangan. Ada yang bermain dalam pasangan berdua dan ada yang berkumpulan.Aku tidka faham apakah jenis permainan tepuk tangan ini. Ia diselangi dengan isyarat dan gaya tertentu yang kemudiannya mengakibatkan beberapa orang terkeluar atau pasangan yang kalah terkeluar. Ini satu bentuk permainan baru. Tengah mengajar dalam kelas pun, ada murid yang curi-curi bermain di belakang dengan rakan sebelah. Pantang ada senggangan masa, mereka akan bermain tepuk tangan itu.
Siapa cekap dan pantas, tepat meramai langkah lawan, dia akan selamat dan memenangi permainan.
Ini macam politik juga. Siapa yang cekap, pintar mengatur strategi, dia akan menjuarai sayembara politik. Kekedang "cheating" dalam perlumbaan politik juga boleh menatijahkan kemenangan. Sebab itu, dalam politik, cheating perlu dilawan dengan cheating juga. Kalau dilawan dengan kejujuran, ketelusan, maka orang yang berbuat makar akan mengalahkan yang jujur dan telus.
Kita boleh sahaja katakan, tidak apa...Allah ada dan Allah akan buat makar menggagalkan makar mereka. Namun, sesuai dengan sabda nabi SAW: Peperangan itu adalah satu khid'ah. Maka dalam situasi perebutan posisi yang boleh dikatakan menyerupai peperangan , hukum yang berbeza dipakai berbanding saat aman dan mengatur kerajaan serta pemerintahan.
Saya pernah katakan, jika "slam' iaitu satu jenis cecair kental yang dibuat dengan campuran ham dan bahan-bahan tertentu itu lembut, elastik dan kenyal, politik lebih lembut, elasti dan kenyal daripadanya. Bak kata orang, dalam politik, hari ini musuh, esok kawan. Kawan rapat boleh bertukar jadi musuh ketat dalam tempoh singkat. Keadaan tersebut juga tidak kekal. Itulah hukum politik.
Apakah itu salah? Tidak. Itulah realitinya dan itulah kaedah berpolitik orang-orang yang cekap dalam permainan politik.
Orang selalu bandingkan kemahiran berpolitik gandingan Mu'awiyah dan Amru Al-As dengan Ali. Memang Ali itu sarat dengan ilmunya tetapi Mu'awiyah mendapat kemahiran berpolitik luarbiasa daripada pengalamannya di samping lingkungan tumbesaran dan keluarga. Dalam persaingan merebut pengaruh politik, Mu'awiyah lebih berjaya dan Ali menempa banyak masalah. Antara kesetiaan penyokong dan pengkhianatan. Antara ketaatan kepada arahan dan bulat padunya sokongan. Pengamat dan pengkaji sejarah akan melihat keadaan yang berbeza ini.
Jawapan Saidina Ali mengenai hal ini sewaktu ditanya salah seorang sahabatnya tentang apa yang menimpanya berbanding apa yang dialami pada zaman Abu Bakar dan Umar tidak cukup konkrit untuk disandarkan sebagai alasan. Kata Ali, di zaman Abu bakar dan Umar, rakyat mereka adalah orang-orang seperti beliau Sedangkan di zaman beliau memerintah, rakyatnya adalah seperti mereka yang banyak mempertikaikannya.
Mu'wiyah juga bukan punya rakyat seperti generasi sahabat. Rakyatnya warga Syam yang dulunya Nasrani, musyrik dan beragama kafir, tetapi kemudiannya masuk Islam. Dengan kepintaran politik Mu'awiyah, dia dapat mententeramkan rakyatnya dan menjadikan mereka bulat di belakangnya.
Bukan Saidina Ali kurang darjatnya berbanding Mu'awiyah. Orang beriman akan menegaskan Ali itu lebih utama berbanding Mu'awiyah. Namun mengakui kelebihan berpolitik Mu'awiyah tidaklah bermakna menjatuhkan kedudukan Ali. Setiap orang ada kelebihan masing-masing.
Hari ini, permainan politik sedang berlangsung. Jaguan politikus dalam PH, UMNO dan PAS sedang berpencak. Kita sedang menyaksikan kepandaian masing-masing dalam arena yang sedang mereka tekuni. Siapa Muawiyah? Siapa Ali? Siapa Amru bin Al-As? Siapa? Siapa? Semua itu hanya perbandingan kiasan. Bukan sepenuhnya mewakili watak yang tersebut dalam sejarah itu.
Apapun keadaannya, kita kena akui bahawa keadaan sentiasa berubah. Macam permainan tepuk tangan murid-murid dalam kelas yang saya sebutkan itu. Dulu, zaman saya kecil tak kenal cara permainan sedemikian. Masa dalam kelas, waktu aku sekolah, murid permainan kami lain caranya. Bila zaman sudah berubah, muncul cara lain. Inilah hakikat alam dan sunnatullah dalam kehidupan. Kita kena sentiasa terbuka dan menangani perubahan.
Aku pernah membayangkan dengan teman bualan, satu hari nanti cara kita berpilihanraya sekarang tidak akan berkesan lagi. Sejak merdeka hingga kini, kita masih berlegar di takuk lama. Salah satu takuk lama yang kita tidak berani berganjak adalah budaya poster, bendera, billboard dan segala macam bahan kempen pilihanraya. Semua itu makan nilai jutaan ringgit. Kelak, satu masa, aku memgimpikan, orang terjun dalam pilihanraya tak pakai lagi semua benda itu. Bahkan benda itu dilihat membazir dan merugikan serta tidak ada nilai pengaruh dalam merubah fikiran rakyat.
Zaman akan berubah dan kita perlu sentiasa meramal perubahan sebelum perubahan itu datang. Waktu perubahan sudah menyerkup kita, kita telah bersedia untuk menggerakkan paradigma berfikir dan bertindak kita.