dialah Sultan dalam negeri
di dalam lagu sering dinyanyi
berkumandang semasa perhimpunan pagi.
Allah selamatkan Sultan Mahkota
berpanjangan usia di atas tahta
memelihara ugama nabi kita
negeri Kedah serata-rata.
Seluruh negeri dizahir sugul
rakyat jelata kehilangan tajul
tempat memusat perbezaan qaul
di kala khilaf melampau bendul.
Sultan bersemayam di Anak Bukit
hujung hayatnya jatuh sakit
umurnya tua tersurat di langit
lamanya bertahta sampai bercicit.
Akhirnya mangkat sultan Mu'azzam
demikianlah suratan pemilik kalam
kun fayakun memintas maqam
di atas sultan ada Zuljalali Wal Ikram.
Maqam diraja di pekan Langgar
tempat bersemadi kerabat bergelar
para pewaris pusaka cokmar
dalam kawasan berpagar mar-mar.
Telah pun mati ramai Sultan
rakyat berduka menanggung kesedihan
demikianlah adat zaman berzaman
telah menjadi resam kebiasaan.
Negeri berkabung tujuh siang
bendera berkibar separuh tiang
alunan Quran sentiasa berkumandang
dalam TV malam dan siang.
Selepas seminggu bersilih hari
kehidupan pun menjadi kembali lestari
bendera pun kembali dikibar tinggi
Sultan baru disebut ganti.
Patah Tajul Mahkota Negeri
adat instiadat sedia menanti
telah ada Sultan pengganti
tidaklah kosong singgahsana sehari.
pemerintahan negeri tidak terhenti
yang berlari tetap berlari
tetap tegak istana puri
tetap bersambung kerabat syahperi.
Telah bersabda baginda nabi
benda hilang tidak berganti
bila mati ulama wali
mati bersama hikmah bestari.
Mati raja segera berganti
tengku mahkota sedia menanti
pangkat Sultan lalu diberi
dapat giliran memimpin negeri.
Rakyat jelata berduka sehari
bahasa duka cuma puisi
hilang durja kembali berseri
riwayat marhum dibuat galeri.
Tidaklah kekal pangkat nan tinggi
sekalipun sultan dijunjung duli
bila ajal menyapa diri
disambar keluar istana puri.
Sungguhlah hidup pinjaman cuma
nikmatnya singkat ramai terleka
ketika hidup menyemai loba
bekalan akhirat dia terlupa.
Mangkatnya sultan jadikan iktibar
bahawa hidup tidaklah qorar
kuasa tidak mampu menukar
apa tertulis Qoda dan Qodar.
Jika sultan bergalang tanah
rakyat biasa usahlah megah
carilah redha di sisi Allah
jadilah raja di dalam jannah.