Marah dengan perangai negara Arab yang sering bercakaran satu sama lain, jangan menjadikan kita meluat dengan bangsa Arab dan mencemuh bangsa itu. Bangsa Arab punya kelebihan istimewa berbanding bangsa lain. Kerana lebihnya bangsa Arab itulah, maka Allah memilih nabi terakhir untuk umat manusia daripada bangsa Arab.
Untuk menjelaskan kelebihan bangsa Arab ini, Ibn Hajar Al-Haitami telah mempersembahkan sebuah karya bertajuk " Mablaghul Arbi Fi Fakril "Arab" dan memuatkan di dalamnya pelbagai hadis yang menyebutkan kelebihan bangsa Arab.
Dalam sebuah hadis disebutkan:
حب العرب إيمان ، وبغضهم نفاق
" Cintakan bangsa Arab itu tanda keimanan dan bencikan mereka tanda nifaq"
Cinta dan benci ini adalah dalam bentuk kolektif. Dengan erti kata lain, ia bukanlah bermaksud tidak boleh membenci individu dalam bangsa Arab. Bukankah Abu Jahal dan musuh-musuh nabi Muhammad SAW itu adalah bangsa Arab? Bahkah bila kita membaca surah "Al-Masad", kita turut melaknat Abu Lahab sedangkan dia berbangsa Arab. Bahkan dia dari kaum Quraisy, iaitu saripati termulia di antara semua kaum dalam bangsa Arab.
Imam Ibnu Taimiyyah menjelaskan dalam "Majmuk Al-Fatawa" :
تفضيل الجملة على الجملة لا يستلزم أن يكون كل فرد أفضل من كل فرد ، فإن في غير
العرب خلقا كثيرا خيرا من أكثر العرب ، وفي غير قريش من المهاجرين والأنصار من هو
خير من أكثر قريش ، وفي غير بني هاشم من قريش وغير قريش من هو خير من أكثر بني هاشم
" Kelebihan umum sesuatu bangsa atas bangsa lain bukanlah bermakna lebihnya setiap individu bangsa itu di atas bangsa lain. Sesungguhnya ada ramai ornag yang bukan bangsa Arab lebih baik daripada bangsa Arab. Bahkan ada kalangan yang bukan orang Quraisy dari kalangan Muhajirin dan Ansar yang lebih baik daripada orang-orang dalam kaum Quraisy itu. Lebih daripada itu, ada yang bukan berketurunan Bani Hasyim lebih baik daripada orang berketurunan Bani Hasyim."
(Majmuk Fatawa-29:19-30)
Kekadang kita bercakap dan menulis tidak sedar telah menunjukkan kebencian total kepada bangsa Arab. Apabila melihat kes terbaru melibatkan Arab Saudi dan Qatar, kita pun terluncur lidah mengucapkan kata-kata menghina bangsa Arab. Terlupa atau buat-buat lupa bahawa nabi Muhammad dan para sahabat besar dan utama adalah berbangsa Arab.
" Itulah perangai Arab!" luahan penuh kecewa.
" Arab memang tak boleh harap!", tambah berputus arang dengan Arab.
"Arab memang teruk", keluh tambah mengandung marah.
Sebenarnya, itu bukan masalah Arab. Itu masalah orang tertentu kalangan bangsa Arab. Bangsa Arab secara umum adalah mulia. Bangsa yang diangkat namanya oleh Allah dan Rasul.
Hal yang sama juga kita perlu ada dalam memahami kemuliaan bangsa Bani Israil. Kalangan mereka ramai yang derhaka. Tetapi, bangsa itu keturunan nabi Yaakob yang dimuliakan Allah SWT.
Justeru jangan menghina satu bangsa secara umum. Lebih-lebih lagi bangsa Arab.
Orang Melayu pun apa kurang jahatnya? Tidak ada pun hadis yang menyebutkan kelebihan bangsa Melayu sebagaimana bangsa Arab. Jika orang Melayu bertakwa, tentunya dia lebih baik daripada orang Arab yang tidak bertakwa. Namun, jika orang Arab bertakwa dibangdingkan dengan orang Melayu yang bertakwa, lebihlah orang Arab itu kerana baginya dua perkara iaitu takwa dan keutamaan bangsa.