Sebuah kitab karangan Ibn Taimiyyah rahimahullah yang sangat baik dibaca dan dihayati. Kitab bertajuk "Raf'ul Malam 'An Aimmatil A'lam". Mengangkat celaan daripada imam-imam yang menjadi panduan ummat. Aku tertarik untuk membaca kitab ini terilham daripada sebuah video yang ceramah Dr. Maza. Lantas aku download kitab ini daripada versi PDF ke dalam ibook Ipad. Kebetulan pula, ketika aku balik kampung di Kuala Nerang, aku mendapat kekuatan untuk menjengok ke Program Perkampungan Sunnah Siri 4 di Masjid Alwi, Kangar Perlis. Aku mengambil kesempatan untuk mendengar sesi kuliah yang seperti bedah kitab tersebut oleh Mufti negeri Perlis itu.
Kitab ini adalah satu usaha Ibn Taimiyyah Rahimahullah untuk menangkis kepercayaan salah sesetengah orang bahawa imam-imam besar dalam Islam adalah sentiasa tahu dan menyalahi pendapat mereka adalah salah dan batil. Dengan membawa contoh-contoh ketidaktahuan sahabat-sahabat utama dan juga tidak utama terhadap Sunnah nabi SAW, seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Ibn Abbas, Ibn Mas'ud dan selain mereka, beliau ingin menegaskan bahawa ketidaktahuan hadis tidaklah menjatuhkan martabat mereka.
Seorang yang ingin menyanggah pandangan imam mazhabnya, kerana ada pandangan mazhab atau ulama lain yang lebih kuat berdasarkan nas, hendaklah tahu bahawa imam yang disanggah itu punya kemuliaan dan sanggahan itu bukan menghinanya. Adalah biasa dalam soal ilmu, menerima dan menolak pandangan seseorang. Ia bukan perselisihan seperti orang bergaduh dalam soal-soal dunia.
Hal inilah yang susah dimanipulasi dengan baik oleh ramai orang. Tidak tahu membezakan antara ta'sub dan ittiba' akan akhirnya menjadi bahan prasangka dan emosi.
Sesetengah orang takut untuk mendekati program sebegini kerana takut dipanggil wahabi. Namun, aku lihat program ini menampilkan banyak tokoh ilmuan yang mengupas isu-isu ummat. Program seperti ini haruslah dipandang dengan positif dan atas semangat cintakan ilmu dan ia hendaklah didekati. Tidak perlu pedulikan kata-kata orang yang mengata.
Ramai anak muda yang datang dari jauh dan dekat. Salah satu orang yang aku temui, datang jauh dari negeri Sabah, adalah Ust. M. Sufan Bahrin. Semangat ingin menyemai cintakan ilmu mengenai sunnah Rasulullah SAW mendorongnya datang dari jauh. Lalu, dalam kesempatan berbual seketika, dia meluahkan keadaan di Taman Fajar, Sandakan. Tempat yang dulunya menjadi tempatku aku berdaurah Quran.
" Masjid Fajar sudah dicap sebagai masjid Wahabi", demikian katanya.
Sejak aku di sana, isu itu sudah bersiponggang di kalangan tertentu. Bahkan ada kalangan tertentu datang bertemuku di masjid dan menghujahkan "kewahabian"ku dan "Ke"salafian"ku. Aku menjawab bahawa amat beruntung kalau aku seorang salafi. Ia sifat mulia pada ummat Muhammad SAW dan aku masih jauh sebenarnya untuk memakai sifat itu pada diriku.
" Di hujung lorong gelap...akan ada cahayanya", aku sempat berkata kepada tetamu dari Sabah itu.
Seorang yang ingin bercakap tentang sunnah dan mempertikaikan kebiasaan dan sumber salah dalam masyarakat, akan selalui ditohmah. Tuduhan wahabi adalah satu yang lumrah pada masa kini. Namun, "hikmah" dari nabi SAW akan terus tersebar dalam masyarakat dan akan menjadi panutan ramai satu masa nanti.
Yakinlah itu, dan itupun jika anda yakin bahawa masa depan untuk Islam. Seharusnya bahkan sewajibnya anda meyakininya.