Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

KE'ABTARAN' AL-AS BIN WA IL

December 22, 2015

Ektrsak Kuliah Tafsir: " Muhammad SAW bukan Abtar".
(Surau Al-Hana, Taman Makmur)

Salah seorang penentang dakwah Rasulullah SAW ialah Al-'As bin Wa'il As-Sahmi. Beliau merupakan pemimpin Bani Sahmi, salah satu kabilah daripada bangsa Quraisy. Salasilahnya bertemu dengan dengan salasilah Rasulullah pada Ka'ab bin Lu'i. Dua orang anaknya telah masuk Islam dan merupakan sahabat kepada Rasulullah SAW iaitu Hisham bin Al-'As dan Amru bin Al-'As.

Waktu beliau mendapat tahu anaknya Hisyam telah masuk Islam, beliau telah mengurungnya dan menyiksanya serta memaksanya kembali kepada agama penyembahan berhala. Al-'As bin Wa il mengatakan kepada kaum Qurasiy bahawa dia tidak akan berhenti menyiksa anaknya itu demi berhala Lata, Manat, Hubal dan lain-lainnya. Namun, Hisyam adalah seornag pemuda yang istiqamah dan tetap dengan Islam. Kerana kasihankan Hisyam, isteri saudaranya Amru telah memberi makan dan minum kepadanya secara senyap-senyap dan akhirnya melepaskannya hingga dia dapat lari berhijrah ke Habsyah serta mendapat perlindungan di bawah raja Najasyi.

Setiap punya kesempatan, Al-'As bin Wa il akan menghina dan memperolok-olokkan nabi Muhammad SAW. Beliu memperlecehkan nabi dengan memanggilnya sebagai "ABTAR". Panggilan memerpersendakan "Si Abtar " itu ditempelkan kepada Rasulullah SAW kerana baginda kematian anak-anak lelaki. Dua anak lelaki yang bernama Al-Qasim dan Abdullah mati pada zaman dakwah di Makkah. Berikutnya pula, waktu di Madinah, baginada mendapat anak lelaki dengan Mariah Al-Qibtiyyah, pun meninggal pada usia kecil.

Dia berkata kepada para pemuka Quraisy yang sering melepak di dataran Ka'abah:

" Aku baru tadi bertemu dengan si Abtar",
" Biarkan aja Si Abtar itu, kelak dia akan dilupakan selepas matinya kerana dia tiada penerus keturunan".

Demikian beberapa kalam yang menghina dari Al-'As bin Wa il terhadap Rasulullah. Dia tidak sendirian dalam kerja durjanya. Bersamanya adalah Abu Jahal. Pada satu ketika, dia dan Abu Jahal telah bertemu nabi Muhammad SAW di jalanan. Kesempatan itu digunakan oleh mereka itu menghina dan mengherdik Rasulullah SAW.

Dalam munajat kepada Allah SWT, Rasulullah berdoa :

" Ya Allah, jadikan dia (Al-'As bin Wa il) ditewaskan oleh duri di antara duri-duir di muka bumi".

Doa Rasulullah dimakbulkan. Satu ketika, apabila Al-'As bin Wa il sedang dalam perjalanan ke Taif untuk melawat harta bendanya di sana, dia menunggal keldai dan singgah di satu tempat. Ketika turun dari keldainya, kakinya terpijak duri. Kesan dari pijakannya itu, ia membengkak dan tak mampu berjalan. Kesakitannya meresapo ke seluruh tubuhnya. Dia menderita alang kepalang. Anaknya Amru bin Al-As cuba mencari tabib sehingga ke Taif tetapi Al-As mati sebelum sempat dirawat. Menurut riwayat Al-Waqidi, Al-'As bin Wa il mati pada usia 85 tahun iaitu setahun selepas hijrah Rasulullah ke Madinah.

Nabi Muhamamd tidak sekali-kali menjadi "ABTAR". Keturunannya tidak terputus. Keturunan mereka yang menentang baginda dulu telah lenyap dan tidak ada penyambung perjuangan. Sedangkan Rasulullah meneruskan keturunannnya dan penyambung perjuangannya berkembang biak melanai seluruh alam. Sungguh banyak nikmat Allah untuk Rasulnya dan semua itu menjadi "Kauthar". Di dunia ada "kauthar" yang bermacam-macam dan di akhirat menanti baginda sungai syurga dan telaga yang menjadi "kauthar" untuk baginda dan pengikutnya.

Siapa yang memperjuangkan Islam, Allah pasti berikannya "Kauthar" dan dia tidak sekali-kali menjadi "Abtar".

TOK WAN LAH

December 19, 2015

Ketika ditanya tentang umurnya, dia pun tidak tahu. Dia cuma mengaitkan peristiwa besar yang terjadi semasa usianya 13 tahun. Ketika itu Tanah Melayu dilanda gerhana matahari. Apabila Jepun menyerang Tanah Melayu, katanya umurnya sudah lebih 30 tahun. Kini, dia pun tidak ingat lagi umurnya. Aku Menghitung umurnya berdasarkan ceritanya. Ia mungkin sekitar 105 tahun lebih dan kurang.



Namanya disebut Tok Wan Lah. Aku bersama keluarga mentua berkunjung ke rumahnya di Kampung Rambai, Tanah Merah, Pendang. Ada hubungan kerabat dengan mentuaku, Yahaya Saud. Bercerita tentang masa lalu, dia mengkisahkan bagaimana almarhum bapanya membeli tanah 30 relung dengan harga 30 Ringgit. 30 Ringgit itu adalah hasil jualan kerbau tiga ekor yang dibela oleh gemulah ayahnya. Kata Tok Wan Lah, tanah pada masa itu sangat rendah nilainya. Malah, kalau mahu boleh dapat percuma.

Manusia umpama galian di perut bumi.

October 24, 2015

Manusia seperti galian dalam perut bumi. Jika emas asalnya, dikeluarkan ke permukaan puin akan tetap menyerlahkan keemasannya. Jika dalam perut bumi hanya batu, ke permukaan pun tetap kelihatan kebatuannya. Berapa lama di permukaan bukan satu kelebihan mutlak.

Begitulah manusia. Maka nabi SAW telah bersabda:

خِيَارُكُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُكُمْ فِي الإِسْلامِ إِذَا فَقِهُوا

" Orang terbaik kalangan kamu masa Jahiliyyah, akan jadi terbaik di kalangan kamu setelah Islam andainya meeka dapat memahami".
( Raudhatul 'Uqala; Ibn Hibban)

Masa dulu, sebelum kenal hidayah, dia orang terkemuka kalangan kaumnya. Dia orang besar dalam negaranya. Dia dikenal cerdik dalam kelompok dan partinya. Kemudian, sewaktu dia berubah, meinggalkan kebatilan dan mencicipi kebenaran, berhijrah dari kezaliman dan menancapkan keadilan, dia akan tetap menjadi orang hebat dalam dimensi baru.

Rasul mengajar kita erti berlapang dada. Jangan bongkak dan sombong dengan mengatakan bahawa kita lebih lama dalam jerit payah jatuh bangun. Mana mungkin kita berada dibawahnya. Tidak. Lama tidak menentukan dominasi. Lama bukan kunci kepada kepimpinan dan kemuliaan. Jika datang manusia terbaik yang berubah dna berhijrah, maka dia berhak berada di atas kita. Dia layak memimpin dan diletakkan di hadapan.

Berbanding Talhah, Bilal, Zubair Al-Awwam, Ammar dan ramai lagi kalangan As-Sabiqunal Awwalun, Umar Al-Khattab bukanlah lebih awal daripada mereka. Namun, dalam carta Islam, Umar menduduki tempat kedua sesudah Abu Bakar As-Siddiq.

Umar adalah galian mahal di perut bumi. Ketika dia digali keluar oleh Rasulullah SAW, dia menjadi perhiasan yang sangat mahal buat Islam.

Lihatlah...berapa banyak perhiasan di kalangan pejuang, ulama dan yang terkorban. Mereka sebahagian besarnya adalah orang hebat dalam kancah kejahatan pada awalnya. Tetapi perubahan mengangkat darjat mereka lebih daripada batu bata saf yang sedia ada.

Pantun: Bukan Sebar Semua

October 10, 2015

Kalau ada padi sekantung
Jangan ditebar seluruh bendang
Kalau ada Ilmu segayung
Jangan diajar habis kontang.


Sarang tempua di dahan mati
Hinggap enggang di pohon berangan.
Bukan semua senandung hati
perlu didendang buat nyanyian.

Merekalah musuh dan waspadalah!

July 9, 2015

Kita tidak tahu siapakah yang menjadi munafik di kalangan ummat Islam pada hari ini. Tidak tahu siapa munafiq bukan bermakna munafiq telah tiada. Kita tidak boleh katakan bahawa munafiq itu hanya kelompok yang wujud pada zaman Nabi SAW. Tidak! Munafiq telah ada pada zaman Nabi SAW dan akan terus ada sehingga akhir zaman.

Allah menegaskan melalui firmanNya:


وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ وَإِنْ يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُسَنَّدَةٌ يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِمْ هُمُ الْعَدُوُّ فَاحْذَرْهُمْ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ
Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahwa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka Itulah musuh (yang sebenarnya) Maka waspadalah terhadap mereka, semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?
(Surah Al-Munafiquun: Ayat 4)

Munafiq ialah mereka yang menyembunyikan kebatilan dan mendedahkan kebenaran. Mereka kata mereka sayangkan Isllam, tetapi buat kerja menjatuhkan Islam. Mereka tunjukkan cinta dan kasih kepada orang beriman, tetapi mereka sebaliknya menggali lubang perangkap untuk menjerumuskan orang beriman ke dalam bahaya dan kecelakaan.Mereka kata mereka memperjuangkan "islah" tetapi sebenarnya mereka berbuat "fasad".

Pendek kata, munafiq adalah pengkhianat. Munafiq adalah api dalam sekam. Lain dikata, lain yang dibuat. Sifat munafiq, kalau bicara, tidak boleh dipegang katanya. kalau janji, mungkir. Amanah, jika diberikan kepadanya, dia pecahkan. Kalau bergaduh dengan orang lain, dia jadi melampau. Sifat-sifat ini ada pada sebahagian orang. Dari kalangan pengikut maupun pemimpin.

Dulu pernah berjanji. Sekarang janjinya tinggal janji. Janji nak bela orang lemah. Bila diberi kuasa, dibela pula orang gagah. Orang lemah malah ditindas. Orang lemah bertambah susah. Diberi jawatan menjaga kepentingan awam. Mula-mula nampak ikhlas. Tapi, lama-lama mula culas. Amanah yang dipegang dipulas dan dikuras. Hak orang dibuat macam hak sendiri. Orang lawan dan bantah kejahatannya, dibalas dengan yang lebih teruk. Pencabar, penentang dan yang boleh membahayakan kepentingannya akan ditangkap, dipenjara atau direncanakan makar yang tidak terbayang dalam fikiran. Bahkan, kemelampauan dalam tindak balas terhadap penentang boleh membawa kepada mengatur pembunuhan terancang.

Kerana nifaq itu kutil dalam hati, tidak siapa nampak dengan jelas. Ia hanya ditandakan dengan tanda yang pelbagai. Melalui tanda itulah kita menyimpan waspada terhadapnya. Allah suruh kita waspada. Jangan bersahabat dengannya. Jangan mudah percaya omongannya. Jangan taruh harapan muluk bahawa dia akan bantu kita bila kita perlukan bantuan.

Kena waspada.' Hazar'lah jalannya. Kalau pernah kena kecoh kemudian dikecoh lagi, itu tandanya tidak 'hazar'. Dikecoh berkali-kali bukan sifat orang beriman. Orang beriman tidak begitu. Itu hina dan orang beriman tidak hina. Orang beriman sentiasa 'hazar' dan dengan 'hazar' itu, mereka selamat dari onar orang yang menyimpan nifaq.

Kita boleh ada sikap timbangtara dengan orang kafir. Mereka memang jelas tidak bersekutu dengan kita dan menentang kita dalam beberapa perkara yang mereka tidak setuju. Namun, para munafiquun sangat bahaya. Mereka selalu tunjukkan kebersamaan dengan kita sebab mereka sama warna kulit, sama agama dan sama serba serbi dengan kita. Kecuali hati mereka, ada kelainan yang kontradik dengan persamaan luaran. Hubungan dengan mereka adalah selamanya dalam keadaan "hazar".

Kita tidak boleh tuduh orang munafiq. Tapi kita perlu 'hazar' dengan orang tertentu yang mempunyai 'track record' yang yang buruk dengan kita.

Jangan membela pengkhianat.

Firman Allah SWT:

وَلا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيماً


" Dan janganlah kamu menjadi pembela kepada pengkhianat".
(Surah An-Nisa': Ayat 105)

Pengkhianat, walaupun seorang Muslim, dia tidak boleh dipertahankan. Dalam soal pengkhianatan, agama tidak akan menjadi benteng untuk dia dibela, sekalipun dalam situasi yang menuntut pilihan antara seorang muslim dan kafir. Jika yang berbuat khianat itu seorang Muslim dan yang dikhianati itu seorang kafir, kita perlu berpihak kepada yang kafir. Si Kafir perlu dibantu dan dipertahankan.

Demikianlah apa yang terjadi berkenaan kisah keluarga Ubairaq dari Bani Zafar, salah satu suku daripada kaum Ansar. Onar yang dibuat oleh seorang kerabat Bani Ubairaq yang bernama Thu'mah bin Ubairaq telah menjadi sebab turunnya ayat 105 Surah An-Nisa seperti dititipkan di atas.

Thu'mah bin Ubairaq telah mencuri baju besi kepunyaan Qatadah bin An-Nu'man, seorang lelaki Ansar yang lain. Baju Isi itu disimpan dalam karung tepung. Kerana karung tepung itu bocor, terdapat kesan tepung yang membawa kepada rumah keluarga Ubairaq. Apabila merasakan perbuatan jahat tersebut diketahui, Thu'mah telah menyembunyikan barang curiannya di rumah seornag lelaki Yahudi bernama berna Zaid bin As-Samin lalu keluarga Ubairaq pun bertemu Rasulullah SAW untuk mempertahankan nama baik mereka dan mengkambinghitamkan si Yahudi itu. Alasan mereka ialah demi menjaga nama baik keluarga Islam, tuduhan mencuri itu perlu dibersihkan daripada mereka. Biarlah lelaki Yahudi itu dituduh sebagai pencuri kerana dia seorang kafir. Lagi pula, Yahudi sering memusuhi kaum muslimin di Madinah.

Hampir Rasulullah terpengaruh dengan mainan keluarga Ubairaq. tetapi Allah memerintahkan nabi agar jangan jadi pembela kepada orang khianat. Keluarga Ubairaq cuba menimpakan kesalahan kepada si Yahudi yang terfitnah dna mereka adalah pengkhianat sekalipun mereka muslim. Si Yahudi itu teraniaya dan perlu dibela sekalipun dia bukan Islam.

Demikianlah sikap Islam bila berdepan dengan perbuatan khianat. Kita dilarang daripada berpihak kepada pengkhianat sekalipun dia seagama dengan kita. Agama tidak menjadikan dia sekutu kata dalam membuat pembelaan demi menuntut keadilan. Pengkhianat adalah musuh dan dia perlu ditentang.

Anjing Menyalak Kafilah Berlalu.

June 29, 2015

Sebenarnya, ada sebuah pepatah Arab yang berbunyi:

" لا يضرُّ السحاب نَبْح الكلاب ، القافلة تسير والكلاب تنبح "

"Awan tidak kisah dengan salakan anjing. Biarkan anjing menyalak sedangkan kafilah akan terus berjalan".

Orang heboh pula mengatakan TGHH melebelkan anjing dan serigala kepada kelompok tertentu. Saya cuba membelek teks perkataannya. Saya dapati itu adalah sebuah "mathal" Arab yang diungkap secara bersambung dengan isu yang dibicarakannya. Beliau menyebutkan pepatah Arab itu untuk memberi gambaran sikap waqar dalam perjuangan menegakkan hudud.

Kekadang, orang selalu memutarbelitkan kata. Satu pepatah dibaca sebagai tuduhan. Dalam kehidupan orang Arab, luahan hati selalu diterjemahkan dalam bentuk pepatah. Ia mengambil contoh apa yang ada di sekeliling, hatta binatang-binatang. Kekadang sampai anjing dan babi. Namun, mengatakan dia menuduh orang itu anjing dan babi adalah ghuluw dalam membaca ungkapan yang mengandungi nilai sastera.

Saya ambil contoh bagaimana ada orang yang buta sastera sehingga menempelak orang yang mengungkap syair Rabia'atul Adawiyyah (ada kata Imam Syafie) yang berbunyi:

إلهي لست للفردوس أهلا

"Tuhanku, aku bukan ahli( tak layak) untuk syurga Firdaus".

Lalu, dikatakan bahawa syair ini menyalahi syariat kerana kita disuruh minta syurga. Tapi, syair ini pula ajar kita tak mahu syurga Firdaus. Jika kita baca sebuah karya sastera dengan jiwa sastera, tidaklah akan datang tafsir lurus bendul sedemikian. Lagipun, kalimah dalam syair itu menyebutkan " ahla" yang membawa maksud keahlian. Sepertia kita katakan, aku tiada keahlian melukis bukan bermakna aku tak suka melukis. Aku mungkin suka melukis, cuma kalau lukis tak cantik macam orang yang ahli dalam melukis.

Bila baca sajak, syair, pantun, nathar dan apa sahaja karya sastera, termasuk pepatah-pepatah yang melambak dalam dunia Arab dan juga Melayu, daya ta'akul sastera hendaklah dipakai. Bahasa sastera tak serupa dengan bahasa mantera.

Kalau hendak menilai manikam, hendaklah kita menjadi Jauhari. Kalau bukan Jauhari, manikam disangkanya batu.

Ulama memang ada salah tetapi tidak semua salah.Jangan kerana pernah buat salah, semuanya dilihat salah.

Kala kebun kita dijilat api.

June 12, 2015

Kebun subur nan hijau dulu
telah hancur lunyai dedaunnya
diserang belalang juta yang menyerbu
pada waktu kita enak beradu
disuruh bangun kita tak mahu
tidur jangan diganggu
mimpi indah belum berakhir.


Ketika kita mula cemas
batang dan dahan kering disambar api
menyala dan membakar
panasnya mula menyentuh perbaringan
kita segera laungkan
tolong panggil bomba
selamatkan ladang kita
padamlah api segera
sebelum musnah segala.

Mana dia bomba?
bomba sedang lena....

Dosa semalam masih berdarah.

Kantung yang sarat
dengan mantera laknat
kini jadi beban berat
untuk mendaki langit malaikat.


Langkah jadi lambat
roda pun telah berkarat
kafilah rasa penat
melirik tempat istirehat.

Satu kata cemuh musibat
yang pernah jadi ayat
waktu rancak bersilat
akan dibawa ke akhirat.

Setelah ditanggal selendang berdarah
kemudian memakai tanjak Pak Lurah
dosa semalam tetap berbarah
taubat lidah tidak mudah.

Telah terluka banyak jiwa
dalam dunia tiada penawarnya
membawa cerita ke hari muka
di sanalah cuba diri kau bela.

DILANGGAR TODAK

June 7, 2015

Dulu masa Singapura masih bersultankan Melayu, datang Tun Jana Khatib melawat Singapura. Tetapi kerana cemburu yang tidak tentu hujung pangkal, Tun Jana Khatib dihukum bunuh. Maka matilah seorang ulama berakhlak mulia dan saudagar yang bertualang meninggalkan keluarganya Di Pasai. Matinya di Singapura, hilang mayatnya, timbul di Langkawi. Demikianlah disebut cerita oleh sahibul Hikayat.

Telur Itik di Singgora,
Pandan terletak dilangkahi;
Darah titik di Singapura,
Badannya terlantar di Langkawi.

Sebelum matinya, Tun Jana Khatib bersumpah, raja zalim bakal dihukum. Singapura akan ditimpa bencana. Itulah, maka berlakunya peristiwa ikan todak melanggar Singapura. Oleh raja yang dunggu itu, rakyat diperintah berkubukan betis sendiri. Datang Hang Nadim, kana-kanak pintar berusia 7 tahun. Cadangan kubu batang pisang dia kemukakan. Barulah selamat negeri dan rakyat dari mangsa kebodohan sang raja.

Ketika Hang Nadim mahu dianugerahkan kerana kepintarannya, para pembesar jadi cemburu. Raja dihasut supaya budak pintar jangan dibiar hidup. Sebelum besar cantas segera, kerana bila besar kelak negeri akan dikuasainya. Raja bakal hilang tahta dan para pembesar berputih mata.

Sang raja yang bodoh pun percaya. Menurut sebahagian cerita, hang Nadim dikaramkan di laut. lalu matilah dia. Habis cerita. Singapura pun tiada lagi orang pintar.

Sejarah sama sahaja. Ia berputar laksana roda. Apa yang berlaku di zaman purbakala, akan berulang semula di zaman kita. Hanya watak dan nama tidak serupa. Plotnya sama sahaja.

Para pencantas orang-orang cerdik selalu membuat angkara.Kerana cemburu dan wasangka, orang cerdik difitnah segala. Ramailah pula orang percaya. Akhirnya batu disangka permata. Permata sejati dianggap tidak berharga.

Bila orang cerdik disingkir dari persadanya,
maka akan mengambil tempat pula orang-orang yang haloba.
Apa yang diinginkan hanya pamrih dunia.
Memang bahasa muluk mulia.
Akan mengaku pewaris ambiya.
Akan memakai pakaian auliya.
Bahasa malaikat meniti bicara.
Walau sebelumnya berbicara durja.
Dosa setahun cuba dilupa
muncul semula menutur kalam sabda.

Begitulah permainan lumba-lumba.
dalam dunia penuh tipudaya
Orang secerdik Hang Nadim lurus pula.
Kalah dek permainan para penasihat raja yang haloba.
Yang rugi rakyat jelata.
Singapura tidak bangkit juga
Hingga diambil penjajah durjana.

Aku sengaja cerita pasal Singapura
Itu kisah dulu kala
buat iktibar kita semua
bahawa bukan senang menempa jaya
banyak halangan di depan sana
iri hati fitnah adu domba
dalam sekam ia membara
akhirnya membakar api menyala
runtuhlah dinding kota
musuh datang menyerbu segera
rakyat biasa lari bercempera
hendak lawan tidak bersedia

Pendekar laksamana sudah tiada
pendeta rahib tak pandai main senjata
menikam ke depan tertusuk dada
melibas ke kiri kanan yang kena
kanan ditebas ke kiri pula
Senjata dijulang terkena kepala
ditikam ke bumi berbatu lada
arah belakang pula leka
musuh datang hantuk kepala.

Inilah sebuah kisah
Todak menyerang habis dibelasah
Anak tidak lagi percaya ayah
mengharap ayah cepat gemulah
ayah pula asyik marah
anak jadi mangsa seranah
bini pula keluh kesah
bimbang laki nak tambah nikah
laki pula asyik jerkah
itu salah ini salah
rumah besar hilang berkah
tidur malam berpeluh basah
pintu ada tingkap dilangkah
alang dan bendul dipatah-patah.

Setelah berlalu masa susah
todak pun sudah merasa lelah
Yang cerdik pun sudah gemulah
tinggallah negeri yang dijajah
buat anak cucu sebagai sebuah kisah
bahawa kita pernah terbang setinggi sewah
untuk kebanggan dalam sejarah.



Apakah yang menjadikan seseorang "master of politics"

June 6, 2015

Pada hemat saya, kepintaran berpolitik tidak dipandu oleh pencapaian dalam akademik. Tidak penting Ijazah dalam jurusan apa, master dalam bidang apa dan PHD yang yang melahirkan tesis tajuk apa. Kepintaran politik dipandu oleh anugerah dan pengalaman.

Ia seperti kemahiran perniagaan. Orang lulus ijazah perekonomian dan buat MA bussiness administration dan ada PHD dalam bidang-bidang berkaitan perniagaan sekalipun boleh kalah kemahiran berniaga dengan budak kandas tingkatan 3 yang memulakan perniagaan dengan jual kuih naik basikal mino buruk.


Seperti halnya dengan kemahiran berpolitik. Ilmu memang penting, tetapi ilmu memerlukan pengalaman panjang dan anugerah kecerdikan untuk benar-benar nampak cerdik dalam berpolitik. Ada kes orang tak belajar tinggi boleh jadi politikus yang cemerlang.

Ada yang master dalam bidang politik dan pelbagai bidang ilmu tetapi kandas bila beraksi. Kerana politik itu seni serba mungkin. Pengalaman dan anugerah yang akan menjadikan orang yang menerjuninya berjaya.

Aku tidak bijak politik. Aku hanya menyampaikan buah fikiranku.

Mencari-cari rahsia takdir.

Aku tumpang sedih dengan tersingkirnya pahlawan-pahlawan tahan uji dalam Pas. Mat Sabu, Mahfuz Omar, Salehudddin Ayub dan Husam Musa antara yang terbaik. Di mataku, para pengganti mereka tidak lebih baik dari empat pendekar terbilang itu. Di mata Allah, wallhu A'lam.

Setelah majoriti para perwakilan telah membuat keputusan menyingkirkan mereka, apa lagi yang boleh dikata. Kemahuanku tidak menjadi sabda. Dalam kemelut awan mendung gelap ini, ia lebih kepada angan-angan. Pertimbanganku tidak seperti apa yang ditimbang-timbangkan oleh para perwakilan terlatih itu.


Aku duduk terpekur merenung dan memuhasabah. Walau hati walang, aku paksakan untuk berfikiran positif. Allah sentiasa punya hikmah dalam takdir yang disusunnya. Barangkali ada kebaikan di sebalik semua itu. Mudah-mudahan. Hanya sebuah harapan bergulat dalam doa. Kata orang, ini zaman orang lebih suka berdoa sahaja.

Setengah orang menyangka bahawa natijah pemilihan ini mengembalikan wibawa TGHH. Memang ada benarnya. Kini yang mengelilinginya adalah mereka yang akan menjulang wibawanya. Namun, wibawa seorang ketua yang ada pada diri, hanya mampu sampai ke awan. Itu pun sudah cukup tinggi. Tetapi wibawa seorang ketua yang dikelilingi oleh para pembantu hebat akan melonjakkannya hatta ke sidratul muntaha.

Aku cuba berandai-andai. Kalau memang benar pahlawan-terbilang yang kukatakan itu berpenyakit, maka mungkin perehatan mereka adalah jalan yang direncana Tuhan untuk pemulihan jemaah. Biarlah sekalipun digantikan dengan inggusan atau si tepok yang tidak dipalit kusta dan sopak. Allah maha mengetahui. Siapa tahu. Mungkin itu hikmah Allah.

Itu cuma andaian sepintas lalu yang menghasut. Aku pun tidak percaya dan tidak mahu percaya.

Akhirnya aku berkata. Anggap sahaja kehilangan jawatan itu perkara kecil. Perkara besar ialah mendapat jawatan. Yang lebih besar ialah apabila jawatan lebih besar dari kudrat dan kemampuan diri. Orang terbilang ibarat benih yang baik. Jika jatuh ke laut, akan menjadi pulau. Jika dibuang ke hutan belantara, akan dicerahkan jadi negeri.

Guru Bijak.

May 28, 2015

Guru bijak

Sepatah diucap di dada ia terpasak
katanya menjadi bak sabda ambiyak

Tidak perlu tengking teriak
Tidak perlu menangis teresak

Dia bersila sambil menunjuk
muridlah bangun menyusun pencak

Dia tidak membalas kata menghina
Dia akan bertambah dimulia
Mereka sekeliling tampil membela
Dia tetap seperti mula

AKIBAT MINUM SERBAT SYIAH

May 7, 2015

Saya belum pernah membaca sebuah pun buku yang ditulis oleh Faisal Musa. Orang selalu kata karyanya menebarkan racun Syiah. Sungguhpun penulisannya dalam bentuk novel fiksyen, dalam diam-diam ada racun Syiah yang diselitkan. Hal tersebut tentunya sangat mendukacitakan.

Faisal Musa atau nama penanya Faisal Tehrani, adalah sahabat sekuliahku semasa di Universiti. Aku berdoa agar Allah menghilangkan ketagihannya dalam melahirkan karya-karya yang yang mengandungi unsur-unsur "tasyayyu' ". Berapa ramai para ayatullah yang akhirnya kembali ke jalan kebenaran setelah sekian lama bergelumang dengan kebencian dan perlekehan kepada para sahabat radiallahu 'anhum. Semoga Faisal Musa akan cepat kembali menjadi pengkarya yang menyebarkan cinta dan kasih sayang kepada para sahabat nabi seluruhnya. Bukan hanya memusatkan cinta kasih untuk sekelompok yang digelar "ahlul bait".

Sebuah karyanya bertajuk "Sebongkah batu Di Kuala Berang", dikatakan satu cubaan memanipulasi artifak sejarah untuk memberikan kredit kepada jasa Syiah kepada penyebaran Islam di rantau Melayu. Saya tak baca karyanya itu. Saya hanya baca apa yang orang katakan tentangnya. Jika demikianlah sebagaimana yang diperkatakan, maka alangkah sayangnya seorang muda berbakat seperti Faisal Musa. Mengapa dalam setiap karyanya, ada sahaja yang boleh dikaitkan dengan "tasyayyu' ?

Seketika, aku teringat sepotong firman Allah yang baru aku daurahkan bersama ahli jemaah masjid di kejirananku pada malam kelmarin. Allah SWT ketika memperingatkan kebejatan Bani Israil yang menyembah patung anak lembu, Allah menyatakan bahawa hati mereka telah diberi minum kecintaan kepada anak lembu dengan sebab perbuatan kufur yang mereka lakukan itu. Firman Allah SWT:

وَأُشْرِبُواْ فِي قُلُوبِهِمُ الْعِجْلَ بِكُفْرِهِمْ

"Dan diberi minum dalam hati mereka (perasaan cinta) anak lembu dengan sebab kekufuran mereka".
(Surah Al-Baqarah: Ayat 93)

Akibat bergelumang dengan kekufuran, maka hati akan menjadi lemas dengan kekufuran. Ketika lemas itu, hati akan dipaksa minum cairan kekufuran itu. Seperti orang yang berendam lama dalam air kolam dan dia suka pula dengan aktiviti rendamannya itu, maka air kolam akan meresap ke dalam badannya. Lantas, dia makin ralit dan ketagih untuk terus berendam. Keadaan sedemikian itu seolah-oleh hatinya sedang diberi minum rasa suka dan cinta kepada kepada aktivitinya.

Jika kita beranggapan akidah syiah itu satu kekufuran, sesiapa yang suka menelusuri dan menghayatinya, ia akan bertambah asyik makhsyuk untuk meneguk minumannya yang dirasakan sebagai serbat lazat. Minuman "tasyayyu' ". Sehingga, karamlah hati di dalammnya dan lemaslah serta minumlah sepuas-puasnya.

Semoga Allah membebaskan hati teman lamaku itu dari kepungan "tasyayyu".

Ghafarallahu Li Walahu.

PERCATURAN POLITIK

Dalam permainan catur, ada langkah mengorbankan permaisuri demi untuk membuat "checkmate". Kesanggupan membiarkan permaisuri dibaham oleh lawan akan membuat lawan syok sendiri. Namun, ketika sang raja musuh sudah di"checkmate", barulah lawan itu tahu bahawa dia telah diperdaya oleh pengorbanan yang dibuat ke atas sang permaisuri.



Aku mengamati teknik-teknik catur ini ketika sukan catur peringkat sedang rancak peringkat daerah baru-baru ini. Rupanya, kememangan dalam permainan catur banyak dipengaruhi oleh tektik-tektik rahsia selain daripada kepintaran pemain yang mempunyai daya jangkauan akal dan fikir.

Dalam permainan politik juga demikianlah. Aku percaya, orang masuk main catur padahal dia tidak mempelajari teknik-teknik, dia akan mudah dikalahkan. Sekadar tahu main catur, ia tidak menjamin kemenangan. Begitulah halnya dengan terjun berpolitik. Sekadar belajar ilmu politik melalui pembacaan buku-buku yang menghuraikan mengenainya, tidak menjadikan seseorang itu jaguh dan pemenang dalam persaingan sengit dunia politik.

Sudah tentu para aktor politik perlu mahir teknik dan tektiknya. Malangnya, apa yang kita lihat, ramai yang terjun ke dunia politik hanya tahu apa itu politik di permukaannya dan tidak tahu pula pusaran arus di bawahnya. Lebih malang lagi ialah apabila pemain politik tersebut datang daripada kalangan yang cuba menonjolkan citra politik Islam tetapi gagal mewajahkan kefaqihan dalam politik Islam.

Akhirnya, banyak kenyataan berbau politik yang mempamerkan kedangkalan ilmu politik. Orang-orang yang sebegini ibarat tikus yang cuba memperbaiki labu atau seperti sang gelojoh yang cuba merungkai benang yang kusut.  Natijahnya tidak menambah baik masa depan , bahkan menambahkan lagi pening kusut yang telah sedia membelit.

Bila nabi SAW menegaskan bahawa apabila sesuatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran, kita perlu memahami bahawa keahlian itu adalah kemahiran. Tahu tetapi tidak mahir tidak menjadikan seseorang itu ahli dalam sesuatu urusan. Kemahiran dan keahlian bukan ada pada semua orang. Tidak asalkan belajar tinggi, dapat pangkat doktorat, digelar ulama atau tampil sebagai seorang ustaz gerakan, kita menjadi ahli dan mahir dalam permainan politik.

Sesungguhnya politik itu seni yang sukar. Lebih sukar daripada langkah-langkah permainan di atas papan catur.

Sekutil nasihat buat yang berlidah.

February 26, 2015

Nenek moyang telah berpesan
Kerana pulut binasanya santan
Kerana mulut celakanya badan
Mengapa cucu tak ambil ingatan?

Siapa banyak tutur bicaranya
banyaklah berlaku silap salahnya
banyak salah jenuhlah dosanya
jenuh dosa, nerakalah balasannya.

Lidah siapa rajin bicara?
sekalipun mengajar ilmu agama
jangan bercakap ikut suka
telajak lidah hati terluka.

Antara sekian banyak manusia
Para ulama diperhati katanya
hendaklah lidah sentiasa dipelihara
kerana lidah binasalah empunya

Buana pucat.

February 13, 2015



Pejuang rakyat
dalam masyarakat
sebagai ubat
untuk jagat
dialah berkat.




Telah gerhana ufuk siasah
kala aktornya dihukum bersalah
atau bertukar jadi gemulah
buana pucat tidak berdarah.

Telah direnggut mutiara negara
seorang dihumban ke dalam penjara
setelah berbuat banyak perkara
merubah lanskap politik negara

Seorang dijemput ke langit tinggi
meninggalkan harum semerbak setanggi
di bawah langit selaku murabbi
dunia siasah menanggung rugi.

Walau ketawa dubuk lapar
atau menangis segala camar
mutiara hilang yang disambar
jadi musibah meninggalkan calar

Buana ini bertambah pucat
kemarin mega merah di langit barat
semalam gerhana di balik awan larat
hari ini kami terduduk menanggung sarat
esok menunggu jalan berselirat.

Lunas,
13.02.2015

Dedikasi pilu kehilangan TGNA.


Berpulanglah sudah
Seorang ulama terbilang
Guru siasah nan cemerlang
Hati ini berkeluh walang
Mendepani kemelut hari mendatang.


Memang demikianlah hamba pilihan
Bila habis tugasan Tuhan
Memimpin negeri bernama Kelantan
Hidup berbaki dalam bilangan.
Pahala memimpin sudah berkurangan
Maka hayat bertemu kesudahan.

Adapun manusia bukan pilihan
Walau telah lepas jawatan
Umur masih lagi berlanjutan
Baki hidup menambah beban
Dosa bertambah siang dan malam.

Dia ulama berakal cemerlang
Cermat ijtihad menambah terang
Gelap ragu dapat dibuang
Dapat menambah yakinnya orang

Kehilangan ini di waktu berkabus
Sukar dicari seorang penerus
Sebuah legasi setegak turus
Tegak simbul bijak urus.

Esok belum dapat dipasti
Apakah kabus sirna sebelum dini
Atau berlanjut hingga pagi
Tiba-tiba kita hilang seorang murabbi

Semoga Allah bawakan pengganti
Pacakkan harapan walau seratus tahun lagi.

Merampas hak di jalan raya.

February 8, 2015

 Ketika aku memandu dan berbaris bersama jejeran kenderaan yang lain dan tesekat oleh lampu merah, sebuah kereta membuat "cilok" sebelah kiri di bahu jalan. Lalu ia menghimpit masuk di depan yang kereta dalam keadaan "bumper to bumper". Dia dapat memintasku dan memintas sekian banyak kereta di belakangku.

Pada hematku, "cilok" itu adalah merampas hak pemandu lain yang sabar berbaris. Para pemandu jarang merasakan perbuatan itu sebagai dosa. Padahal, semasa di jalan raya juga ada soal hak. Ketika hak orang lain kita rampas, maka apa bezanya dengan merampas hak orang lain dalam soal harta, tanah, rumah dan pelbagai aset lain?


Makan harta orang secara salah dilihat satu jenayah syarak oleh ramai muslim yang taat. Namun, berapa ramai muslim taat yang merasa telah merampas hak manusia lain ketika membuat " cilok" yang sumbang semasa memandu?

Mungkin " cilok" kerana darurat boleh diwajarkan dan dimaafkan. Mengambil harta orang lain untuk keperluan dan darurat juga ada ruang keizinan oleh Syarak. Maka demikian "cilok" di jalanraya untuk keperluan seperti hal-hal kecemasan dan sebagainya.

Namun "cilok" suka-suka adalah salah dari segi syarak kerana ia melibatkan rampasan hak manusia lain di jalan raya.

Tersentak sebelum faham.

February 4, 2015

Saya perlukan masa untuk memahami sesuatu isu yang digempakkan orang. Setelah saya faham, baru saya mahu memiliki pendirian dan menyatakannya kalau perlu. Kalau tidak faham isu, lalu cuba mencari pendirian, jadilah kita mainan orang. Allah sendiri menegaskan larangan untuk kita daripada mempunyai sikap tentang sesuatu perkara kalau tidak tahu hakikat perkara itu.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

"Dan janganlah kamu menetapkan sesuatu pendirian tentang sesuatu yang kamu tiada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan pemikiran, semuanya itu akan dipersoalkan".
(Surah Al-Isra': Ayat 36)

Hari-hari pelbagai isu datang. Isu besar dan isu sepele. Banyak yang memancing emosi. Namun, berpegang dengan penegasan Allah dalam ayat itu, saya ingin bersabar sebelum menyatakan pendirian. Saya mahu melihat gelut gelinjang manusia dahulu dalam gulatan isu itu. Setelah itu baru saya akan cuba memahaminya. kalau tidak dapat faham, lebih baik saya diamkan sahaja. Lupakan dan jangan pedulikan isu berkenaan.

Sekarang orang bergulat isu mengenai wala' dan taat kepada pimpinan. Turut sama berkumandang isu Syura, Pilihanraya PBT dan serbaneka isu lagi. Isu jemaah dan juga politik Saya perlukan beberapa dekad lagi untuk memahaminya. Sebab itu saya suka diam sahaja. Saya tidak faham dan oleh kerana tidak faham, saya pun menganggapnya isu sepele dan diamkan sahaja. Saya melempar minat saya untuk mengulasnya ke laut kalzum dengan harapan ia terbenam bersama temulang- temulang sejarah manusia lampau di dasarnya.

Lalu, muncul lagi isu-isu yang membinarkan urat hablul warid.

" I'm Muslim and I Love Hindus".

saya tidak faham kenapa wanita muslim itu mengangkat selogan itu pada hari perayaan Thaipusan kaum Hindu di batu cave. Boleh sahaja saya mencemuh wanita itu dengan menyifatkan Islamnya sudah bernanah dan imannya sudah reput nanang. Namun, saya belum fahami dia atau golongan yang seumpamanya. Maka, saya tahan celupar saya dan saya cuba memahami nalurinya.

Sebenarnya, terlalu banyak isu yang menjemput sentak kita. Namun, sentak tanpa dipandu kefahaman yang sempurna akan menjerumuskan kita. Jika tidak berapa faham, lebih baik diam. Itu adalah lebih selamat.

Sukarelawan kiriman Tuhan.

January 7, 2015

 
 
 Saya terharu dan bangga dengan sikap prihatin rakyat Malaysia, khasnya yang mengirimkan misi bantuan ke negeri yang dilanyak banjir, khasnya Kelantan. Saya berada sehari di Manik Urai dalam misi mengirimkan sumbangan dan juga bersama pasukan Ops Cuci. Saya lihat para sukarelawan bekerja keras membersihkan rumah-rumah penduduk dari timbunan lumpur dan mengeluarkan barang yang rosak dalam rumah. Mereka adalah dari pasukan yang pelbagai seperti Unit Amal, Yayasan dan NGO yang bermacam-macam.


Sesungguhnya kerja memulihkan rumah penduduk selepas banjir adalah kerja besar yang menguras kudrat. Namun, para sukarelawan yang bekerja tanpa pamrih, mereka bagaikan bangsa malaikat yang turun dari langit buat membantu mangsa. Aku mengalirkan air mata mengenangkan budi baik mereka.

Rakyat Kelantan patut tersedu-sedu melihat kesungguhan dan komitmen sukarelawan yang membantu memulihkan negeri mereka. Inilah semangat kemanusiaan yang ditunjukkan dan tiada galang gantinya.





Dalam perjalanan pergi dan balik, saya melihat jejeran lori dan pacuan empat roda melalui Lebuhraya Pantai Timur Grik-Jeli masuk dan keluar dari Kelantan. Mereka membawa muatan yang sarat ke Kelantan dan kembali kosong. Mungkin akan datang lagi mengangkut segala khazanah yang dikumpulkan untuk disampaikan kepada mangsa banjir.

Kuala Krai menjadi penempatan yang musnah tidak kurang dari kemusnahan bumi Syria yang dibom soldadu Nusairiah. Membangunkan semula Kuala Krai akan makan jutaan ringgit. Tapi, berkat para sukarelawan, aku percaya Kuala Krai akan pulih dalam masa yang singkat. Banjir datang secara ajaib, kebangkitan para sukarelawan juga menakjubkan.

Tempat-tempat lain juga mengalami nasib yang serupa. Ada rumah musnah total. Ada yang masih tersergam tapi rosak isi di dalamnya. Rakyat Kelantan memang tabah. Mereka tahan diuji.

Sekarang para sukarelawan sedang bercempera di Kelantan. Yang sedang masuk berduyun-duyun dari segenap negeri. Yang pulang berganti yang lain. Tahniah buat para sukarelawan. Anda adalah kiriman Tuhan.Berbahagialah kerana dipilih menjadi soldadu yang dihantar Tuhan.