Kalimah pluralisme itu kalimah moden yang tiada pada zaman nabi. Tiada juga pada zaman sahabat dan tabi'in. Kalimah itu baru muncul dan berkembang penggunaannya pada zaman ini. Zaman ini pun, seingatku hanya pada alaf 2000 ini. Masa zaman aku kecil, remaja, zaman belajar universiti hingga awal tahun 2000, aku tidak dengar kalimah itu dikumandangkan. Mungkin ada terselit celah lembaran kamus tetapi ia tidak berdengung macam sekarang.
Rasanya, kalimah-kalimah seperti Jabariah, muktazilah, qadariah dan rafidhah juga seperti itu. Kalimah tersebut tiada pada zaman nabi dan salaf. Ia muncul kemudian dan hangat diperdebatkan pada zaman lampau. Kemudian, pada zaman kini, kalimah itu telah tidak diratibkan orang lagi dan hanya ada dalam kitab-kitab klasik.
Kalimah pluralisme, liberalisme, sekularisme dan aneka ragam lagi mengambil tempat. Semua ini adalah cetusan pemikiran manusia. Pada setiap zaman, ada buah fikiran yang dilemparkan ke tengah masyarakat dan dibahaskan. Lalu, ia dijenamakan.
Menjenamakan sesuatu memang tabiat semulajadi manusia. Bahkan, penjenamaanlah mekanisma yang digunapakai oleh Iblis untuk memperdaya manusia. Iblis pernah menjenamakan buah larangan dalam syurga sebagai" khuldi" agar disangka oleh Adam dengan mamakannya dia akan kekal abadi dalam syurga.
Ramai orang tidak faham kalimah-kalimah yang dijenamakan. Seperti kebanyakan pelajar agama. Mereka menghafal kalimah Jabariah, Qodariah dan Muktazilah dari guru mereka dan mencelanya tanpa mengetahui ragam pemikiran golongan itu. Hanya kerana mendengar guru menyesatkannya, maka memadailah dengan itu untuk mereka melanjutkan penghakiman sesat itu.
Tabiat sedemikian juga berlaku terhadap istilah-istilah masakini. Ramai menyesatkan wahabi tanpa mengetahui apa itu wahabi. Kerana orang kata Syiah sesat, maka disesatkan jugalah. Hanya mengingati nama dan istilah dan meratibkan sebagaimana yang diwaradkan.
Saya kira pluralisme pun demikianlah halnya. Sidang para ulama memutuskan pluralisme itu kefahaman yang sesat. Maka, resolusi itu diambil dan dipacakkan tanpa mengetahui intinya. Sehingga kini, ada tokoh-tokoh pemikiran yang cuba menjelaskan banding beza antara pluralisme dengan relativisme. Kebanyakan orang tidak mahu tahu bandingbeza itu kerana istilah pluralisme telah pun diproklamasikan sebagai sesat.
Seharusnya kita tidak memusuhi istilah. Kita perlu memahami substance dan pecahan dalam istilah itu barulah membuat kesimpulan. Dalam Syiah pun ada pecahannya. Demikian juga dalam Ahli Sunnah ada pecahannya. Maka berpecahlah kepada pelbagai pecahan dari satu cetusan.
Di alam Melayu, kita berpantang amat dengan komunis. Ironinya, ada tokoh agama dan pejuang kemerdekaan kita yang dicop sebagai komunis. Walaupun mereka bersama komunis, mereka solat 5 waktu dan masih percayakan Allah. Lalu, komunis jenis apakah mereka? Kalau kita musuhi istilah komunis, maka kita hukum pukal sahaja. Siapa bersama komunis, sesatlah dia.
Saya dengar ada ahli jemaah parti Islam marah kepada Khalid Samad, Mujahid dan Hanifa berhubung isu pluralisme. Mereka dituduh mendokong pluralisme. Malang sekali, tuduhan itu berkembang dari sumber pemberitaan liberal seperti Malaysiakini dan akhbar yang bukan Jemaah bangunkan. Mereka yang mencemuh 3 pimpinan jemaah itu tidak pun mendengar dari lisan mereka sendiri. Mereka tidak cuba memahami sudut pandangan rakan dalam jemaah tetapi percaya bulat-bulat racun tuba yang dilemparkan oleh media fasiq. Begitu senang menelan prasangka. Begitu mudah diadu domba.
Mengapa mereka tidak berkata sebagaimana kata Abu Ayub Al-Ansori kepada isterinya tatkala dihadapkan berita dusta tentang Aishah?
Prasangka itu telah ada. Kebanyakan prasangka adalah dosa. Lemparan syair pluralisme menambahkan prasangka dalam dada. Semoga kita tidak menjadi manusia pejuang yang ditunggang prasangka. Tetapkanlah pendirian setelah mendengar dengan telinga dan melihat dengan mata. Jangan mencedok riwayat lalu menghukum sahabat.