Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

BULAN OH BULAN

April 27, 2013


Bulan terang di malam purnama
pungguk berlagu sayu merindu
bulan lambang terang cahaya
Kenapa nyiru dibuat lampu

Orang menghitung bilangan hari
dari bulan mencecah tahun
mana untung mana rugi
hari bulan diramal susun.

Tiba Ramadhan bulan agung
ke tempat tinggi meninjau mega
anak bulan lalu diteropong
mencari hari Ramadhan bermula.

Hari raya menjelang tiba
bulan juga jadi timbangan
supaya sempurna hari berpuasa
tidak diguna kati warisan.

Perempuan dilanda uzur syar'i
dikata orang datang bulan
masjid di bina dalam negeri
kubah berbintang dihias bulan.

Roket dibina harga berjuta
buat menjelajah mendarat di bulan
kenduri kendara kuih aneka
turut ditempah kuih bulan.

Mata celek menatap langit
malam hari mencari bulan
sungguh molek untuk dicatit
Roket menuju bulan di awan.

bulan dan manusia sudah lama
sejak berzaman sering bersama
nyanyi seloka di bawah purnama
kepada bulan hati bergulana.

Kalau sudah demikian adanya
mengapa bulan bukan pilihan
mengapa resah masih bertanya
tetaplah teguh tangan menanda.

GURINDAM:Buatlah Pilihan

Jika anda tinggi pelajaran
baru jumpa mencari jalan.

Baru mampu menentu pilihan
mana satu gerombolan ikutan.

Antara barisan juga pakatan
mana medan orang budiman.

Jalan mana banyak ulama?
itulah dia pilihan utama.

Mana kumpulan orang durja?
orang mulia jangan bersama.

Ke mana mengalir para cendikia?
di sanalah zahir jalan bercahaya.

di mana berkumpul manusia bejat
itulah simbol gerombolan maksiat.

di mana tempat orang berjaya?
di sana kuat Pakatan berkuasa.

di mana orang senang berharta?
di sana orang susah diperdaya.

Nun jauh di ulu desa
masih jenuh rakyat buta

Di sana jahil menyerkup warga
masih terkabil di takuk lama.

Gerombolan mana jika berkumpul
melompat terkenja bergoyang inul?

Gerombolan mana jika berhimpun
menjaga budaya melayu serumpun?

Para pemimpin mencegah maksiat
pendokong rajin menegak solat!

Jika di dunia berteman syaitan
di akhirat sana menjadi teman.

Jika di dunia berwali ulama
nanti di syurga bersama mereka.

Ulama Pewaris Nabi

April 26, 2013

Memanglah ulama pewaris nabi
tapi mengapa jadi begini
Ilmu di dada tidak berfungsi
mudahnya ilmu mati dikasi

Walaupun nama hebat disebut
depan penguasa hatinya kecut
memburu harta pangkat direbut
keluarlah fatwa minda serabut.

Ulama dulu pernah berwasiat
orang berilmu janganlah bangsat
dunia diburu maruah disebat
janganlah ilmu diam berkarat.

Ulama itu bersama rakyat
bersih nawaitu menggerak harakat
bukan berteleku membaca riwayat
duduk di bangku mengayam hikayat.

Bukanlah tabiat ulama nabi
asyik munajat sepanjang hari
derita rakyat tidak peduli
politik siasat sentiasa dihindari.

Hidup ulama bukan petapa
bukan pendeta bijak bicara
bukan perantara Yang Maha Kuasa
bukanlah idola kelompok buta.

Dalam dunia dialah da'i
berdiri dia umpama nabi
bukan ulama sebagai paderi
tempat pendosa bersihkan diri.

Ulama itu tauladan rakyat
menyebar ilmu menggerak harakat
membersih kalbu merungkai karat
sebagai lampu orang melihat.

BERPRINSIPKAH?

Berprinsipkah?
pada saat diri terpinggir
baru bangkit melaung takbir
sedang dulu berkubang hanyir
dalam kelompok politik makir.

Konon dia orang berprinsip
miski berkubang kolam najis
harumkan diri atar direnjis
walau bersidang bersama iblis
watak malaikat dia persis.
harta rakyat tidak dihabis
menjadi pemimpin tidak mengemis
salah laku rakan sebaris
ditegur keras berhunus keris
tidak takut diri ditangkis.

Apa guna sebuah prinsip
jika tegak di dataran khianat.
masakan tumbuh semaian padi
jika ditanam di atas ombak
masakan rumah tegak berdiri
jika tiang bilahan lidi
masakan ada gerombolan malaikat
bersimpuh zikir di rumah bejat!

Tiada guna menanam bunga
untuk dipetik menghias kera.

Masa lalu dicalon parti
setelah diri tidak diperhati
bangkit bingkas calonkan diri
walau bebas tidak berparti
apakah itu langkah berani?
Itukah dinamakan pemimpin sejati?
atau hanya memimpin diri?

Pemimpin muda idea bernas
berani menyongsang pemimpin atas
Tidak gentar diri dicantas
orang kata prinsipnya jelas
aku kata prinsipnya hampas
kerana menanam bunga kertas
mengharap tumbuh dalam bekas...

Motivasi buat Gerombolan Ababil

April 25, 2013

Kami gerombolan Ababil
di tangan kami batu dari Sijjil
akan kami gempur Ashabul Fil
hancur Abrahah tegakkan Islam nan adil

Kami bukan banjingan ditunggang
bawalah harta penuh segudang
mata kami tidak nyalang
perjuangan kami tidak menyimpang.

kami berimam kandil agung
Al-Quran Hadis sentiasa disenandung

Kami ikhlas menabur peluh
mengharap pahala akan tumbuh.

Lillahi Ta'ala berlagu zikir
terbenam kemas di dasar dhamir
liriknya meniti menghias bibir
azam teguh tidak mungkir

Kami zuriat putera Habil
Walau berdepan bengisnya Qabil

Kami rela menerjuni Mu'tah
walau musuh banyak jumlah

Sungguh kami dihasut tewas
kami teguh tidak cemas.

Jika hilang satu peluang
kami percaya seribu yang datang
berjuang kami bukan sekangkang
kami menanti bulan mengambang
biar beribu tahun bersilang.

Akan hancur  dedaun jahiliah
dihambur lontaran Sijjil Allah
kamilah Ababil tidak akan menyerah
Menumbang Abrahah merata jalan Fathul Makkah!

TAUBAT SANG PEMIMPIN

April 24, 2013

Sebagai pemimpin yang mendapati dirinya tersesat jalan di satu masa dulu, Tan Sri Muhamad bin Mohd Taib dengan penuh keinsafan mengisytiharkan dirinya menyertai PAS. Perjuangannya selama puluhan tahun dalam UMNO merupakan satu kesilapan dan cara membetulkan kesilapan itu ialah dengan menyertai perjuangan Islam PAS. Tahniah dirakamkan kepada bekas Menteri Besar Selangor tersebut. Sudah tentu kemasukannya ke dalam PAS itu memberi tamparan yang bukan sedikit terhadap UBN. 

Sesiapa sahaja boleh bertaubat. Namun taubat seorang pemimpin yang berbuat silap dalam kepimpinannya tidak sama dengan taubat seorang rakyat biasa. Kalau seorang penzina mahu bertaubat, cukuplah dengan menyempurnakan rukun taubat yang tiga dan kemduiannya hendaklah disusuli dengan amal soleh. Amal soleh untuknya adalah dengan amal-amal yang bersifat fardi. Dengan cara itu, dia telah melunaskan tuntutan taubat tersebut.

Namun, bagi seorang pemimpin, amal solehnya ialah membetulkan kepincangan yang berlaku akibat kepimpinannya. Pemimpin yang bertaubat perlu mengajak bekas pengikutnya untuk sama-sama bertaubat dan dengan melakukan demikian itu, pemimpin tersebut boleh melepaskan diri daripada tuntutan pengikut di akhirat kelak.

Seorang pemimpin yang mengobarkan asobiah lalu isme itu dianut oleh pengikutnya, maka apabila dia mahu bertaubat hendaklah diajak pengikutnya dulu kembali kepada perjuangan yang benar dan meninggalkan asobiah. Inilah yang kelihatan sedang dilakukan oleh beberapa pemimpin UMNO yang bertaubat. Antaranya Tamrin Gafar dan juga Tan Sri Muhamad bin Mohd Taib. Dengan mengajak bekas pengkut mereka meninggalkan perjuangan lama mereka, pemimpin tersebut telah cuba sedaya berbuat amal soleh bagi melangsaikan makna taubat mereka.Ianya tidak cukup untuk bertaubat lalu membuang diri dan meninggalkan pengikut dengan tanggapan bahawa jalan yang diambil mereka masih berpandukan dan bertauladankan pemimpin mereka itu.

Dahulu,  Tengku Abd Rahman juga bertaubat dari kesilapannya berada dalam UMNO. Dia menghabiskan sisa akhir hayatnya dengan mengajak para pengikutnya untuk meninggalkan UMNO dan menyertai perjuangan baru waktu itu iaitu Semangat 46 yang bergabung dengan PAS dalam Perpaduan Ummah. Tengku telah melakukan amal soleh membuktikan taubatnya. Semoga Allah menerima taubatnya.

Pemimpin penasaran yang bertaubat itu, sesungguhnya mereka beratus kali ganda lebih beruntung daripada pemimpin yang telah berjuang dalam perjuangan Islam bertahun-tahun lalu kemudiannya menggelusur kepada perjuangan kebangsaan. Lihat sahaja bagaimana perjalanan malang Dr. hasan Ali, Zulkifli Nordin, Dr. Sidiq Baba dan sederet yang lain. Permulaan yang baik belum cukup menjamin kesudahan yang baik. Apa yang penting adalah khatimah dan bukan  permulaan.

Tidak tahulah apakah benar Sayyid Ramadhan Al-Buti itu bertaubat dari sokongannya terhadap pemerintah buas Assad sebelum dia terbunuh. Ada cerita-cerita kedai kopi yang mengatakan sebelum beliau terbunuh, beliau telah menlepaskan dokongannya terhadap Basyar Al-Assad. Dikatakan kerana itu juga beliau dibunuh. Kalau benar, dia telah cuba melaksanakan amal soleh setelah taubatnya. Semoga Allah sahaja mengampuninya kerana mendokong pemimpin sezalim Basyar Assad itu.

Maka, para pemimpin yang mahu bertaubat, hendaklah ingat bahawa mereka perlu beramal soleh dengan menghabiskan sisa usia dengan mendakwahkan bekas pengikut mereka meninggalkan panutan bersamanya dulu.

Masjid Al-Fajr Kurnia Allah buat orang beriman.

April 11, 2013

Ura-ura Ds Anwar Ibrahim akan dibawa solat Jumuat di Masjid Al-Fajr esok menjadi kegelisahan musuh politiknya peringkat tempatan. Hanya dengan tanggapan bahawa masjid Al-Fajr dibina dengan duit Barisan  Nasional dan secara gamblang mengatakan tiada satu sen pun duit orang Pas, halangan cuba dilakukan agar beliau tidak solat di masjid Al-Fajr. Tentu sekali tindakan tersebut adalah tindakan politik secara terdesak dan dakwaan masjid Al-Fajr terbina dari duit Barisan Nasional  dan tidak ada satu sen pun duit orang Pas adalah dakwaan semberono, angkuh dan tidak berpijak nyata.

Riwayat serta sejarah Masjid Al-Fajr bukan disimpan oleh seorang. Sejarah bermulanya gerakan membina masjid Al-Fajr disimpan oleh warga veteran yang menghuni Taman Al-Fajr.  Ia tidak dapat dibohongi oleh riwayat seorang. Untuk mengatakan hanya duit Barisan Nasional yang menegakkannya seperti hari ini juga adalah perbuatan masuk bakul angkat diri yang akhirnya akan terhempas pulas.

Aku tidak perlu menyebut siapa yang membuat onar. Ahli Jamaah Al-Fajr semuanya mengetahui dan kebanyakannya tidak mengambil sikap seperti mana yang diambil oleh pemimpin tempatan yang sangat berusaha mencengkam perkembangan masjid Al-Fajr. Cengkaman yang mahu memenjarakan masjid di balik jeriji politik tertutup. Politik era 70-an.

Siapakah yang mula menggerakkan usaha untuk membina Masjid Al-Fajr telah menjadi sejarah.  Pemastautin baru hari ini kebanyakan tidak mengetahui tentang itu. Aku tidak suka mendengar cerita angkat bakul yang disuarakan yang dikamandangkan oleh individu  tertentu. Zaman sekarang bukan macam zaman lampau yang  hanya ada tiga mazhab media elektronik. Percaya secara totok kepada maklumat yang disalurkan TV1, TV2 dan TV3. Masyarakat telah terdedah kepada sumber maklumat yang pelbagai. Maka cerita sebenar tentang pembinaan masjid Al-Fajr akan menjadi cerita yang boleh dikongsi dan disebarkan buat tatapan masyarakat dengan mudah.

Awalnya, usaha membina masjid Al-Fajr dicetus dan digerakkan oleh beberapa ustaz dari Semenanjung. Antaranya adalah Ust. Abd Wahab dari Kedah, Ust Zul dn Ust. Nasir.  Sebelum jawatan pengerusi  surau dipegang oleh Hj. Ayong Hasan, Ust Abd Wahab yang menjadi pengerusinya. Dalam masa itu, kerjasama dengan pemimpin-pemimpin tempatan diperlukan untuk memperkukuhkan lagi legasi surau yang sebenarnya ditentang oleh sebahagian kecil masyarakat bukan Islam. Tambahan pula surau dibina di atas tanah yang menjadi tapak taman permainan dan tidak mendapat hak wakaf sehingga kini pun Cerita ini ada bersama Ust. Mahadzir Madon yang menjadi orang lama di Sandakan. Sudah lebih 20 tahun beliau di sini dan sebahagian besarnya berada di taman Fajar.

Ust. Mahadzir Madon, pemastautin lama.

Dana permulaan untuk membina masjid yang khabarnya RM15,000 dari peruntukan DUN, itu cerita lama. Ia bukan satu justifikasi untuk mengatakan masjid Al-Fajr terbina dari wang Barisan Nasional. Peruntukan  DUN adalah wang kerajaan. Wang kerajaan adalah wang pembayar cukai. Wang rakyat yang tidak mengira bangsa, agama, warna kulit, parti  politik dan sebagainya. Jauh sekali untuk mengatakan ia adalah wang milik seorang YB. Ia adalah wang saya, kamu dan mereka.

Aku, secara peribadi, sentiasa ingat usaha gigih yang dilakukan untuk mengumpul dana memperbaiki surau Al-Fajr. Dari surau yang daif, tidak selesa dan tidak terurus, sehinggalah kini menjadi sebuah masjid. Dananya datang dari sumber derma orang ramai yang pelbagai. Di samping itu ia juga datang dari kesedaran dan kegigihan pengerusi Hj. Ayong bin Hasan yang sanggup bertukang sendiri dan mencari tukang yang sanggup melakukan kerja dengan harga terendah.
Kempen Infaq  2009
Jaryah 30


Kempen Infaq 2010

Beberapa Ramadhan, bersama jemaah masjid, sahabat-sahabat ustaz, guru dan pekerja pejabat berhempas pulas mengumpul dana melalui Kempen Jaryah untuk memperbaiki surau secara berperingkat. Pengorbanan mereka yang terlibat membawa pamplet-pamplet ke sekolah, pejabat dan lorong-lorong kejiranan bukan boleh dinafikan. Puluhan ribu dapat dikumpulkan dari sumbangan poket-poket guru sekolah, kakitangan pejabat dan masyarakat di kejiranan.

Kempen Infaq Ramadhan 2009 menghasilkan dana sebanyak RM6207.10. Jaryah 50 yang dilancarkan pada Ramadhan 2010 mengumpulkan dana sebanyak RM11,361.00. Jaryah Isyrin yang dilancarkan pada Ramadhan 2011 mengumpulkan RM16431.00. Pada tahun 2012 kempen infaq tidak dibuat kerana kewangan masjid sudah semakin kukuh berikutan naik taraf sebagai masjid. Ada kutipan derma setiap jumaat yang dapat dimanfaatkan untuk menampung pengurusan masjid.

Atas Inisiatif para ustaz dan guru khasnya dari Semenanjung  yang tinggal dalam "qaryah" taman Fajar serta  dibantu jemaah tempatan yang ikhlas, majlis korban dapat dilaksanakan tahun 2011 dan 2012 dengan jayanya. Bukan sahaja ia memudahkan masyarakat beribdat korban, malah ia juga menghasilkan pulangan dana lebihan korban untuk masjid. Sebanyak RM5657.00 telah dimasukkan ke dalam akaun masjid.

Selain daripada kempen dan jumlah dana terkumpul seperti di atas, terdapat kempen-kempen khusus lain. Pada satu ketika, ketika masjid memerlukan LCD, dibuat kempen khusus untuk membeli peralatan tersebut. Hasilnya sebanyak RM2120.00 telah berjaya dikumpul untuk menyediakan peralatan tersebut di sumbangan skrin LCD daripada individu. Terdapat individu yang mendermakan penghawa dingin. Ada yang sanggup mendermakan mosac untuk lantai dewan. Derma permaidani solat dan berbagai bagai lagi.

Siapakah semua penderma itu?

Menghitung secara kasar jumlah-jumlah yang telah disenaraikan itu, maka jumlah semua adalah RM31776.10. Tidaklah berlebih-lebihan untuk dikatakan bahawa wang tersebutlah yang digunakan untuk menambah baik keadaan masjid sehingga terlihat hari ini. Derma orang ramai yang penuh berkat, dari usaha gigih para guru membawa risalah kempen ke sekolah masing-masing, kakitangan pejabat ke pejabat mereka, serta anggota jemaah kerdil yang membawanya untuk jiran-jiran telah melestarikan kerja pembaikan surau. Duit siapakah semua itu? Duit parti tertentu atau orang tertentukah atau duit pelbagai insan?

Sementara itu, projek pembaikan atap surau yang kononnya RM50, 000 dan disalurkan dari projek tender kerajaan hanya melahirkan atap yang selalu bocor dan terpaksa ditampal semula oleh pengerusi. Jumlah yang banyak tetapi keberkatannya kurang akibat pecah amanah dan khianat dalam perlaksanaan.

Aku menyenaraikan semua ini agar orang tahu bahawa tidak ada pihak  yang boleh bermegah-megah bahawa keberadaan masjid Al-Fajr di tahap sekarang adalah dari usahanya. Segala perkembangan mengenai masjid Al-Fajr untuk tempoh beberapa tahun terakhir ini, samada kempen kutipan dana maupun program telah aku abadikan dalam blog Dauratul Quran. Ia, agar menjadi bukti yang tidak boleh dibohongi sesiapa.Sementara apa yang berlaku sebelumnya adalah pengetahuan orang-orang lama di Taman Fajar.

Kutipan dermalah yang menyokong pembangunan masjid Al-Fajr.  Derma datang dari poket orang UMNO, PKR, PAS atau lain-lain parti maupun yang tidak berparti. Inilah hakikat dan tidak boleh ada yang mendakwa bahawa duit aku atau parti aku yang digunakan. Maka, atas justifikasi apa untuk menghalang individu tertentu dari solat di masjid Al-Fajr? Orang itu sama ada dari parti kerajaan, pembangkang atau tidak berparti, tidak ada individu tertentu yang ada wewenang untuk menghalangnya.

Hari ini Surau Al-Fajr sudah diangkat menjadi masjid. Pengangkatan taraf dari surau kepada masjid juga bukan kerja seorang. Siapa yang siapkan kertas kerja dan siapkan surat-surat untuk diangkat kepada mufti bukanlah fakta boleh disembunyikan. Menyelit di celah kerja gigih kolektif tidak menjadi seorang individu sahaja bernama.

Lalu datang janji mahu membina masjid baru menggantikan masjid sedia ada. Kosnya pada awalnya dikatakan RM2.5 juta. Gembira dan tersenyum lebarlah sesiapa yang mahu bergembira dan tersenyum lebar. Hari ini janji membina masjid baru bernilai juta ringgit tidak lagi didendangkan. Terakhir, hanya sejumlah RM700 ribu yang khabarnya diluluskan. Sampai kini janji itu entah ke mana. Selepas pilihanraya, harapan untuk membuktikan janji itu lebih sukar berbanding sebelum pilihanraya. Umum sudah tahu betapa sukarnya kelulusan peruntukan pembinaan masjid di Sandakan khasnya dan Sabah umumnya. Proses membina gereja lebih cepat berbanding masjid. Gereja melambak sepanjang jalan tetapi masjid boleh dibilang dengan jari. Tambahan pula, kos RM700 ribu, jika pun berjaya turun ke bawah untuk pembinaan masjid, akan jadilah hanya beberapa ratus ribu sahaja. Buka kita tidak pernah saksikan bagaimana angkara murka yang sebegini. Kes-kes seperti ini banyak sekali.

Membangunkan sebuah masjid bukanlah satu kerja hebat. Mengimarahkan masjid, itulah kerja sukar yang menuntut jerih payah yang bukan sedikit. Banyak masjid bersepah di seluruh negara namun kekadang cicak di dinding lebih banyak dari orang yang datang solat berjemaah. Bunyi cicak lebih kerap daripada bunyi kuliah-kuliah dan kelas-kelas pengajian. Orang politik tak akan mampu mengimarahkan masjid. Tanpa kerjasama para ustaz, juga akan menyebabkan masjid itu sunyi dari kelas pengajian ilmu.

Perbuatan pihak tertentu yang mempersoalkan kebolehan para ustaz menyampaikan ilmu dan menuntut ada tauliah dan sebagainya sangat membosankan. Akhirnya kini, keghairahan para ustaz untuk menyampaikan kuliah di masjid Al-Fajr sudah merosot.Untuk menjemput ustaz luar pula perlu diselidiki pendirian politiknya. Jika dia cenderung kepada pembangkang, kemasukannya dihalang. Masalahnya, tiada pula ustaz yang yang cenderung kepada Barisan Nasioanal yang mampu berkuliah. Akhirnya jadilah aktiviti masjid hanya datang solat jamaah dan pulang. Masyarakat tidak hidup dalam suasana sinar ilmu dan gemerlapan kealiman. Orang jahil solat dan mengepalai aktiviti solat, lantas akan mendorong ke arah perpecahan. Jama'ah bepecah dan jadilah solat jamaah berperingkat-peringkat. Salah siapa? Siapa yang menghalang aktiviti ilmu atau sekurang-kurangnya mempersulitkannya?

Jika belajar agama hanya dari TV3, RTM atau Utusan Malaysia,  ia belum cukup untuk memperlekehkan para ustaz yang telah meladeni dunia ilmu agama sehingga ke universiti, samada dalam atau luar negara.  Alat-alat fasiq itu menjadi guru, tidak akan mengalimkan diri. Guru-guru pondok yang terbuang dari masyarakat setempatnya lalu mendakwa diri sebagai ulama, itu yang disedut fatwanya? Ia sama sekali tidak melahirkan cemerlang agama dalam akal dan watak diri. Para mufti "shuzuz" yang berfatwa tanpa hujah konkrit, itukah yang mahu disucikan? Mahu diidolakan?

Maaf, telah lama aku menahan diri dari menulis hal ini. Namun, nampaknya keadaan tidak bertambah baik. Tidak perlu aku sebut  buat siapa tulisan ini. Tulisan ini jika dibaca oleh warga yang berdomisil di taman Al-Fajr pada masa mendatang, ingatlah bahawa sejarah sering disembunyikan. Berhati-hatilah menerima adunan cerita yang melonjakkan asap ke udara kerana asap pastinya akan sirna lenyap. Hanya amal baik yang ikhlas akan dibawa malaikat melepasi lapisan langit hingga ke Illiyin. Jika dibaca yang berkenaan, ingatlah bahawa bukan dirinya sahaja memiliki cerita. Insan terpelajar melata di ceruk rantau. Hakikat akan sentiasa diangkat walau disekat. Umur singkat yang diberikan jangan diabadikan untuk menjemput taburan abu di atas pasara sendiri. Berlaku baiklah kepada orang dan berlapang dadalah jika mahu orang menghargai dan berlapang dada dengan kita.

Sekian wassalam.



LARI MENINGGALKAN JAMA'AH

April 9, 2013

Al-Jama'ah bukanlah sebuah negara. Maka, kecenderungan sesetengah pihak mentafsirkan perkataan Al-Jama'ah sebagai sebuah kerajaan yang sedia ada, adalah sangat menyimpang daripada apa yang dimaksudkan mengenainya dalam hadis. Kalaupun mahu dikatakan negara itu Al-Jama'ah dan kerajaan yang memerintah itu sebagai Al-Jama'ah, ia boleh diterima semasa Islam memerintah sebahagian dunia melalui daulah khilafah. Setelah tumbangnya daulah khilafah yang terakhir iaitu Othmaniah Turki pada tahun 1923, hilanglah sudah sebuah negara dan kerajaan yang menjadi Al-Jama'ah. Maka, sesudah itu, perjuangan untuk mengembalikan kehidupan berjema'ah diteruskan oleh para pejuang Islam yang berusaha gigih menegakkan khilafah menggantikan khilafah yang rebah di dada sejarah.

Dalam hal ini, aku berpegang dengan hadis nabi SAW yang menyebutkan:



كانت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء كلما هلك نبي خلفه نبي وإنه لا نبي بعدي وستكون خلفاء تكثر قالوا فما تأمرنا قال فوا ببيعة الأول فالأول وأعطوهم حقهم فإن الله سائلهم عما استرعاهم

Dahulu, urusannya bani Israil diatur oleh para Nabi. Setiap kali Nabi tersebut meninggal (binasa) seketika digantikan oleh Nabi lainnya. Sesungguhnya tidak ada lagi Nabi sesudahku. Dan kelak (sepeninggalku yang mengatur/memelihara) adalah para Khulafa yang jumlah mereka itu banyak. Ditanyakan (oleh para sahabat): ‘Apa yang engkau perintahkan kepada kami?’ Dijawab: ‘Bai’atlah (Khalifah) yang pertama dan yang pertama. Dan serahkanlah kepada mereka hak-hak mereka, karena sesungguhnya Allah akan menanyai mereka atas apa yang menjadi urusan (dan tanggung jawab) mereka’.
(Hadis Rwayat Muslim)

Setelah keruntuhan pemerintahan khilafah yang menjadi simbul kesatuan Jama'ah Islam,  maka Al-Jama'ah tersebut tidak berpindah kepada kerajaan Malaysia, Arab Saudi, Turki, Iran atau mana-mana pun kerajaan umat Islam yang berpecah-pecah. Ia beralih kepada sekumpulan pejuang kebenaran (Zohirin Ala Haq) yang telah diberikan basiroh oleh Allah SWT untuk memimpin kebangkitan kembali ummat ISlam sebagai ummat yang berjemaah.

Dalam hal ini, aku cenderung memahami, dalam ketiadaan khalifah ditegakkan di muka bumi, maka pilihlah jemaah pertama yang tegak memperjuangkan tegaknya khilafah. Dalam dunia pasca runtuhnya Khilafah Othmaniyyah Turki, gerakan Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna merupakan  jama'ah pertama yang diwujudkan bagi mengembalikan pemerintahan khilafah. Tertib gerakerja yang disusun oleh beliau menjelaskan sasaran akhir kepada perjuangan Ikhwanul Muslimin. manhaj gerakan Ikhwan ini telah dianut dan dipraktiskan oleh pelbagai jemaah yang ditubuhkan di pelbagai negara ummat Islam.

Di Malaysia, Jamaah yang mengadaptasi manhaj Ikhwanul Muslimin pertama sekali ditubuhkan adalah Hizbul Muslimin. Ia kemudiannya diharamkan penjajah dan kemudiannya lahirlah Pas mengambil posisinya. Maka, dengan sebab itulah Pas boleh disifatkan sebagai amaah yang pertama. Penggabungan dengan Jamaah Islam pertama menghilangkan kemelut kepelbagaian Jamaah (khalifah yang banyak) sebagaimana yang disebutkan dalam hadis nabi SAW.

Saya berharap hal ini dapat difahami dan dipersetujui dengan mudah oleh para pejuang Islam khususnya mereka yang mendambakan kehidupan berjamaah. Namun, saya faham dan berlapang dada jika ada kalangan yang berselisih pandangan dalam soal memahami konsep Jamaah Pertama yang difahami dari perkataan khalifah dalam hadis.

Buat anggota Jamaah yang sudah meyakini hal tersebut, maka hendaklah berpegang erat dengan Jamaah dan perjuangan. Kejadian sebilangan anggota Jamaah yang berpaling tadah, lari dari pejuangan dan lebih malang lagi berpaling menjadi musuh yang menghantarkan serangan demi serangan kepada Jamaah hendaklah dimuhasabahkan dengan rasa bimbang dan cemas. Bimbang dan cemas kalau diri sendiri menjadi seperti mereka. 

Orang pernah meladeni hidup berjamaah dan memakai mahkota akidah yang saheh dalam perjuangan, tiba-tiba kemudinnya berubah haluan adalah amat malang. Malang sekali kerana terkeluar dari lingkungan Jamaah. Sekalipun mereka merasakan bahawa mereka kembali ke pangkal jalan dan jika itu benar sekalipun, mereka adalah orang rugi kerana meraba-raba dalam keliru selama bertahun-tahun.

Aku berkeyakinan bahawa orang keluar meninggalkan Jamaah yang memperjuangkan akidah perjuangan Islam yang benar, akan terlepas hilang tambatan, melayang dipukul angin dan badai, terolang aling tidak ketentuan lalu akhirnya meluncur laju terperusuk di lubang gelap yang maha dalam. Maka, di manalah lagi ditemui jalan keluar? Rahmat dan kasih sayang Allah yang akan membebaskannya.

Dalam Hadis Rasulullah SAW disebutkan:


من خرج عن الطاعة، وفارق الجماعة، ومات فميتته ميتة جاهلية


“Sesiapa yang keluar dari ketaatan dan berpisah dari Al-Jama’ah, maka lalu mati olehnya, jadilah dia mati dalam jahilliah”.
(Hadis Riwayat Muslim)


 Orang bijak pandai dalam perjuangan berbahasa:

" Jalan pulang buat mereka yang meninggal Jamaah itu amat sukar ditemui berbanding mereka yang belum pernah mengenali Jamaah".

Memerhati perkembangan mutakhir ini, kita menyaksikan begitu jenuh sekali para pelarian yang meninggalkan Jamaah. Mereka berdengung nyanyikan lagu serangan kepada Jamaah dan pimpinannya. Bak sekumpulan katak, pada saat awan hitam sedang berarak dan kilat berpencar menandakan hujan akan turun, mula bersiponggang bising. Dengan lidah lancang pula para penderhaka Jamaah itu mencela dan menyakitkan anggota Jamaah. Pada ketika inilah kita akan melihat bagaimana syaitan bermadah seperti malaikat. Orang baik direndah dan dihina sehabisnya sedangkan orang keji disanjung dan dipuja.

Lari meninggalkan Jamaah adalah amat besar bahananya buat diri. Ingatlah...tidak akan menemui bahagia sepanjang usia yang ada buat mereka yang lari meninggalkan Jamaah. Kembalilah bertaubat sebelum lewat menjadi lebur.

Allahummaj'alna minarrasyidin!

Wahai jelmaan Zul Quwaishirah!

April 7, 2013

عن أبي سعيد الخذري قال: بينما نحن عند رسول الله (ص) وهو يقسم قسما أتاه ذوالقويصرة وهو رجل من بني تميم فقال: يا رسول الله اعدل. قال رسول الله (ص) ويلك ومن يعدل إن لم اعدل؟ قد خبتُ وخسرتُ إن لم اعدل. فقال عمر بن خطاب (ض) يا رسول الله ائذن لي فيه اضرب عنقه. قال رسول الله (ص) دعه فإن له أصحابا يحقر أحدكم صلاته مع صلاتهم وصيامه مع صيامهم يقرئون القران لا يجاوز تراقيهم ويمرقون من الإسلام كما يمرق السهم من الرمية


Dari Abi Said Al‑Khudry berkata, Tatkala kami bersama Rasulullah saw. dan beliau sedang membagikan ghanimah, datang Zul Quwaishirah salah seorang dari Bani Tamim dan berkata, “Wahai Rasulullah, berbuat adillah!” Berkata Rasulullah saw., “Celaka! Siapa yang akan berbuat adil jika saya tidak berbuat adil? Niscaya saya celaka dan binasa jika saya tidak adil.” Berkata Umar bin Khattab, “Wahai Rasulullah! Izinkan saya memenggal lehernya.” Berkata Rasulullah saw., “Biarkanlah dia. Sesunggulinya dia mempunyai banyak teman, di mana dianggap remeh shalat di antara kalian dibandingkan shalat mereka, puasa kalian dibandingkan puasa mereka, mereka membaca Al‑Qur’an tidak sampai kecuali pada tenggorakan mereka. Mereka keluar dari Islam sebagaimana lepasnya anak panah dari busur.”
(HR. Bukhari dan Muslim)


Aku tidak hairan kalau orang yang tidak pernah meladeni kehidupan berjemaah dalam gerakan Islam menyongsang keputusan Syura. Namun, penyongsangan keputusan syura ulamak oleh mereka yang pernah bersama jemaah dan gerakan Islam adalah dahsyat dan menyesakkan hati.

" Keputusan Majlis Syura Ulamak silap!", tuduhan itu melantun dari lidah fasih si fulan.

" Ya Rasulullah, berlaku adillah!", sekoyong aku teringat lantunan yang bernada sama terhadap Rasulullah yang mulia.

Memang tidak samalah kedudukan Rasulullah SAW dengan Majlis Syura Ulama. Rasulullah itu maksum dan tidak berbuat salah. Menegur baginda sebagai tidak adil adalah satu penghinaan yang menyakitkan hati baginda. Menyakitkan hati baginda membawa kepada jatuh kafir.

Namun, Majlis Syura Ulamak juga diberi kredit oleh Rasulullah SAW untuk dipatuhi. Kalau orang luar gerakan tidak mahu patuhi, itu terpulanglah kepadanya. Bukan hitungan dosanya tidak patuhi keputusan Majlis Syura Ulamak kerana dosa yang lebih besar adalah tidak menyertai gerakan Islam dan sebaliknya memilih gerakan kebangsaan. Namun, jika orang dalam tidak patuhi, itu adalah dosa. Rasulullah SAW menegaskan bahawa Allah bersama dengan jama'ah. Jamaah itu sentralnya adalah Majlis Syura Ulamak.

Memang sukar menangani penderhaka jama'ah. Rasulullah SAW sendiri tidak lancang membenarkan Umar Al-Khattab memenggal kepada si Zul Quwaishirah itu kerana dia ada ramai para simpatisan dalam kalangan kaum muslimin Madinah. Dia dan para simpatisannya itu, penampilan agamanya lebih hebat dari kumpulan teras jamaah Islam. Kalau hendak lihat solat dan puasa, apa yang mereka buat lebih hebat berbanding amalan mana-mana orang Islam yang lain. Lekehlah solat dan puasa Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan lain-lain sahabat besar jika hendak dibandingkan dengan solat dan puasa Zul Quwaishiran serta konconya.

Kita huraikan lagi, Zul Quwaishirah dalam jemaah ini memang nampak hebat. Ibadat hebat, semangatnya hebat. Kalau pasal membela kalimah Allah, bukan alang-kepalang. Anti gerakan kristianisasi serta risaukannya, melebihi hazar dan kerisauan Majlis Syura Ulamak. Ilmu mereka pun lumayan. Penglibatan peringkat antarabangsa boleh tahan. Kepandaian berpidato jangan cakaplah. Al-Quran meniti dalam bait ceramah dan hujah bicara. 

Tapi, kata Nabi SAW, tidak melepasi halqumnya. Walau bunyi keluar Al-Quran, tetapi tidak menerbitkan praktis yang Allah kehendaki.

Wahai para pendokong jama'ah Islam. Waspadailah Zul Quwaishirah. Jangan pula dirinya menuruti jejak Zul Quwaishirah!

Allahumma Tsabbitna!

Menyalahkan orang lain tabiat nifaq

April 5, 2013

Seorang ahli politik yang pernah berucap memberi tazkirah berbau penghinaan terhadap agama lain telah didedahkan baru-baru ini. Tidak perlu disembunyikan lagi namanya. Beliau adalah YB Zulkifli Nordin yang merupakan ahli parlimen yang mendapat tuah lambang PKR untuk parlimen Kulim, tetapi kemudiannya mengkhianati parti yang mengangkat harkatnya. Sepanjang tempoh beliau dipecat sehinggalah kini, telah banyak serangan yang dihumbankannya kepada parti asalnya itu. Tidak terkecuali juga parti-parti yang bersepakat dalam Pakatan Rakyat.

Tulisan ini tidak bermaksud membicarakan watak perangainya kerana tidak ada guna mengata tentang dirinya. Hanya, tulisan ini mengajak para pembaca khasnya kalangan ummat Islam agar mengambil iktibar terhadap apa yang terjadi melibatkan individu seperti Zulkifli Nordin. Sesunguhnya, telah jelas bahawa beliau adalah insan yang berkelana dari sebuah parti ke sebuah parti dan dari sebuah pertubuhan kepada sebuah pertubuhan sehinggalah kelananya itu akan terhenti pada satu ketentuan. Lebih dari itu, menurut hemat seorang aku, dia telahpun tergelincir dan membicarakan terlalu banyak mengenai peribadi orang tergelincir bukanlah menjadi tradisi orang beriman. Cukuplah bicara sekadar apa pengajaran yang boleh dipetik, agar dapat menjadi sempadan dalam kehidupan kita seterusnya.

Perbuatan menghina agama lain bukanlah akhlak orang Islam. Allah SWT dengan jelas telah melarang di dalam Al-Quran agar orang Islam menyisihkan diri dari mencela agama orang bukan Islam termasuk sembahan mereka sebagaimana yang difirmankan:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ


Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, Karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.
(Surah Al-An’am: Ayat 108)


Begitu indahnya akhlak kaum muslimin sehingga menghina sembahan kaum bukan Islam pun dilarang. Tabiat suka menghina sembahan orang adalah tabiat kaum munafiq. Merekalah yang selalu menggunakan keceluparan lidah mereka untuk memperlihatkan kesungguhan mereka mencintai Islam, padahal dalam hati, mereka menyimpan permusuhan terhadap Islam dan perjuangannya. Orang yang mengaku dirinya sebagai Islam perlu berwaspada daripada memiliki sifat ini.

Lantas, amat melucukan pula apabila satu kesalahan yang meluncur keluar dari lidah sendiri, dipikulkan kesalahannya kepada pihak yang lain. Zulkifli Nordin  menyifatkan apa yang diucapkan dirinya itu adalah watak parti Pas kerana pada masa tersebut beliau adalah orang Pas dan sedang bertazkirah kepada para pendengar dari parti Pas. Sifat escapisme seperti ini meletakkan dirinya seperti tidak bersalah walaupun ungkapan celupar tersebut adalah keluar daripada lidahnya sendiri.

Dalam Islam, seseorang itu tidak menanggung dosa orang lain. Kesalahan seorang pencabul akhlak peribadi muslim dan menghina sembahan agama lain tidak ditanggung oleh rakan-rakannya, kampung halamannya, negerinya maupun partinya. 

Allah SWT berfirman:



وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرى

Dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.
(Surah An-Najmu: Ayat 38)




Justeru, melelehkan kesalahan diri kepada pihak yang lain adalah lambang seorang yang enggan mengaku kesalahan diri secara ikhlas, berjiwa kerdil dan jauh sekali memiliki watak murabbi. Bagaimana hendak dikatakan berjiwa besar jika meletakkan diri ditarbiah secara salah oleh parti menyebabkan diri terlahir berakhlak buruk. Seorang berjiwa besar akan mendidik manusia lain dan bukan mengharapkan diri dididik oleh pihak lain. Gagal meladeni kehidupan mulia dan terhormat, berakhlak tinggi dan terpuji, orang lain dipersalahkan. Sahabat handai dipersalahkan. Parti dipersalahkan.


Kenapa ada sekian banyak orang yang terlahir menjadi baik, santun lidah dan menghadam agenda tarbiah yang dibekalkan, sedangkan diri tidak? Itu yang perlu ditanya. Bukan semua ustaz dalam Pas menjadi pencela sembahan orang kafir. Mereka yang menjadi faqih melalui pendidikan agama yang menelusuri dakwah Al-Quran tidak berpolitik pencela. Hanya segelintir, termasuk orang seumpama Zulkifli Nordin sahaja yang gagal memahami uslub dakwah Al-Quran. Maka, jangan disalahkan Pas kerana kebrutalan diri.

Perkara yang sama juga sedang dimainkan oleh seorang bernama CN Afghani yang mendakwa pernah dihinggapi semangat melampau dalam Pas sehingga merancang untuk membunuh Dr. Mahathir Muhammad semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia. Lantas, kelancangan sikapnya itu dibebankan kepada Pas. Pas yang mentarbiahnya menjadi pembunuh kerana kebencian politik.


Sekali lagi ditegaskan bahawa berapa ramai pahlawan Pas yang hebat berpolitik tetapi tidak pernah terlintas sampai membunuh musuh politik. Kenapa lahir orang seperti CN Afghani tersebut. Apakah ia hasil tarbiah Pas ataupun tarbiah kesyaitanan yang bersarang dalam diri yang tidak ikhlas ketika menyertai perjuangan?

Hari ini, kita menyaksikan orang-orang pernah berjuang dalam parti Islam tersebut dan membawa watak algojo, sombong bongkak, keras dan penuh kebencian serta budaya mengkafirkan telah berjejeran masuk menyertai parti yang satu ketika sangat dibenci di matanya. Maka, para pendokong muda perjuangan Islam hari ini harus beringat, kemelampauan yang maksima akan menatijahkan keciciran dan kegelinciran. Mereka yang bertukar arah tersebut adalah gerombolan melampau dalam Pas satu masa dulu dan kini Allah SWT mencabut mereka dan tipudaya yang mereka rancangkan dalam perjuangan dulu kini makan diri sendiri.

وَلا يَحِيْقُ المَكْرُ السَّيِّئُ إلا بَأَهْلِه

Rencana yang jahat itu tidak akan menimpa selain orang yang merencanakannya sendiri.
(Surah Fathir: Ayat 43)



Allah menceritakan bagaimana  sikap dan perangai para "mujrimin" di akhirat kelak. Mereka suka mencari jalan melepaskan diri dan melemparkan kesalahan kepada orang lain.


وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا

Dan mereka berkata;:"Ya Tuhan kami, Sesungguhnya kami Telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar).
(Surah Al-Ahzab: Ayat 67)

Marilah kita istiqamahkan diri dan berdoalah agar ditetapka hati. Orang yang tergelincir dari perjuangan yang diladeninya bertahun-tahun akan menemui pelbagai ketempangan dalam tindak kelakuan maupun perkataan. Kita sedang menyaksikan peristiwa dan ambillah pengajaran dan insafilah untuk diri sendiri. 

Allahumma Sallimna !