Mufti Negeri Perak, Harussani Zakaria menghukumkan kafir ke atas
mana-mana ummat Islam yang bersetuju kalimah Allah digunakan oleh orang
bukan Islam. Beliau berdasarkan mantiq bahawa persetujuan itu bererti
merestui Allah SWT dipersekutukan. Memang pada prinsipnya redha dengan
kekufuran itu adalah kufur. Hal ini telahpun menjadi kesimpulan para
ulama akidah sejak zaman dahulu lagi. Ummat Islam diajar agar menolak
kemungkaran dengan apa cara sekalipun. Jika mampu, gunakan kekuasaan dan
jika tidak mampu atau tidak punya kekuasaan, sampaikan nasihat dan
dakwah agar kemungkaran dapat dicegah. Kalaupun itu tidak dapat
dilaksanakan, maka hendaklah kemungkaran dibanteras dengan hati, dan ia
adalah selemah-lemah iman. Restu atau tidak restu dengan kemungkaran,
itulah yang disebut sebagai meredhai atau membenci kemungkaran.
Apakah kemungkaran yang lebih besar dari syirik?
Penegasan Mufti Perak tersebut boleh diambil sebagai hujah. Syirik tidak
boleh disokong atau diredhai. Namun, jika hendak diulas mengenai
syirik, ia bukan sahaja mensifatkan Allah dengan sifat yang tidak layak
buatNya sebagaimana diakidahkan dalam lengkaran trinity oleh
ummat Kristian. Ada pelbagai perkara yang menjerumuskan manusia kepada
syirik. Antara lain, percaya bahawa perundangan Islam itu lapuk dan
perundangan Barat lebih praktikal, juga syirik. Kepercayaan seperti ini
menjadi anutan sebahagian besar pemimpin negara ummat Islam. Ada yang
hanya menyimpan keyakinan tersebut dan tidak dizahirkan melalui ucapan.
Namun, ia dizahirkan melalui tindakan mendaulatkan perundangan barat dan
mensisihkan perundangan Islam. Dalam pada itu, ada yang begitu berani
memperlecehkan perundangan Islam dengan pelbagai gambaran negatif
melalui ucapan mereka seperti melebelkannya sebagai lapuk, ketinggalan
zaman, zalim, tidak praktikal dan sebagainya. Ungkapan-ungkapan seperti
itu tentulah membawa kepada kekufuran kerana ia melibatkan keimanan
bulat yang retak terhadap Al-Quran, sekaligus tidak meletakkan Allah SWT
sebagai satu-satunya Tuhan yang bersifat penghukum (Hakim).
Para mufti yang mendiamkan diri dalam keadaan negara bertahkim dengan
perundangan "taghut", apakah boleh kita sifatkan mereka meredhai
pengangkatan undang-undang selain undang-undang Allah? Jika membiarkan
orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah ditafsirkan sebagai redha ke
atas kekufuran, maka membiarkan pemerintah bertahkim dengan hukum
"tawaghit" juga perlulah ditafsirkan sebagai redha. Redha dengan
penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam menjadikan kita kufur, maka
menjadi kufurlah para mufti yang meredhai sistem perundangan jenayah
negara yang menyingkirkan hukum hudud Allah!.
Ketika Tg. Hj. Hadi Awang mengungkapkan kecerobohan pemerintah yang
menolak perundangan dan sitem Allah SWT dalam pemerintahan pada masa
lalu, ia dicap sebagai amanat yang mengkafirkan sebahagian orang Islam
yang lain Para mufti yang sama bangkit mempertikaikan kewajaran ucapan
sedemikian. Apa yang dikatakan Amanat Hadi itu bukanlah membuat
justifikasi kafir secara langsung. Jika diteliti, ia samalah dengan apa
yang ditegaskan oleh Tan Siri Harussani Zakaria yang menghukumkan kafir
ke atas orang yang membenarkan penggunaan kalimah Allah SWT oleh kaum
bukan Islam.
Setelah perjuangan Islam menempuh liku-liku yang panjang di Malaysia,
beberapa pencerahan baru telah dibuat. Indahnya hukum Islam adalah kerana
ia sentiasa hidup dan terbuka kepada ijtihad. Dalam politik Islam juga
terdedah kepada tajdid pemikiran menyebabkan ia tidak statik dan terus
menempa zaman dengan penuh bergaya.Dalam situasi para pendokong gerakan
Islam telah meneguk pencerahan ilmu dalam bidang politik dan
pemerintahan Islam, malang sekali ada pihak yang masih meraba dalam
gelap kusut feqah lateral tersebut. Malah, lebih malang lagi kalau corak
pemikiran lama yang telah ditanggalkan oleh pejuang Islam yang melalui
proses tajdid dan pencerahan itu, diambil dan dianut pula oleh para
pendekar agama yang ketinggalan perkembangan.
Orang-orang yang mengatakan boleh kalimah Allah digunakan oleh orang
kafir tidaklah boleh ditafsirkan meredhai syirik dan menjadi kafir.
Lebel kafir ke atas orang-orang yang menyokong penggunaan kalimah Allah
oleh kaum bukan Islam adalah semberono, drastik dan simplistik. Ia tidak
menjalani proses penelitian yang berhati-hati. Ia akan menimbulkan
prasangka baru serta cekcok dalam masyarakat bahawa mufti telah
mengkafirkan ummat Islam!
Pas mengkafirkan UMNO adalah cerita lama. Sudah termaklum siapa tokoh
yang menkafirkan UMNO pada masa lalu itu dan di mana persada perjuangan
mereka sekarang. Cerita baru yang timbul kini ialah mufti Perak
mengkafirkan orang Islam yang setuju kalimah Allah digunapakai oleh
orang Kristian. Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Cerita lama sudah
ditutup dan telah cuba dibuka dengan ulasan baru. Tiba-tiba ada cerita
baru berlalku berkaitan isu yang yang sama. Apa reaksi para pembahas isu
"takfir" ini?
Kesimpulannya, gaya pengucapan yang sambil lewa menyentuh persoalan
keimanan tidak lagi harus diamalkan. Apatah lagi dari tokoh-tokoh agama.
Keimanan boleh dibahaskan tetapi jangan dijustifikasikan secara tuntas.
Tidak wajar pula jika hanya sebelah mata digunakan dalam menangani isu
ummat. Isu kalimah Allah nampak tetapi isu bertahkim kepada "tawaghit"
tidak nampak. Isu ketaatan rakyat kepada pemerintah nampak, tetapi isu
kezaliman dan khianat amanah oleh pemerintah tidak dinampak. Mengamati
persoalan hukum, perlu celik kedua-dua mata. Janganlah pada saat doa
hancurkan orang zalim diungkapkan, hujah-hujah dicari untuk mengklaim
kesalahan doa tersebut. Tetapi, ketika diri dijilat gossip, diri sendiri
mendoakan kehancuran buat penyebar gossip yang juga orang Islam. Ini
dikatakan buta sebelah mata.
Demikianlah Allah menimpakan putaran hari buat manusia. Hari ini di
atas, esok belum tentu. Hari-hari yang kita lintasi adalah "mudawalah"
bikinan Allah SWT. Oleh itu, waspadalah lisan dan tindakan anda.