Sebelum diutuskan Rasul kepada satu masyarakat yang menjadikan kesesatan sebagai jalan hidup mereka, masyarakat itu bersatu padu. Kedatangan Rasul tersebut telah menyebabkan berlakunya perpecahan dalam masyarakat. Sebahagian daripada anggota masyarakat tetap dengan kesesatan mereka , manakala sebahagian yang lain mengikut para rasul tersebut. Demikianlah apa yang terjadi kepada kaum nabi Nuh, Hud, Lut, Soleh, Syuaib, dan seterusnya nabi Muhammad SAW. Allah telah menyebutkan tentang sunnatullah yang terjadi kepada kaum yang diutuskan Rasul sebagaimana firmanNya:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ فَإِذَا هُمْ فَرِيقَانِ يَخْتَصِمُونَ
Dan Sesungguhnya kami Telah mengutus kepada (kaum) Tsamud saudara mereka Shaleh (yang berseru): "Sembahlah Allah". tetapi tiba-tiba mereka (jadi) dua golongan yang bermusuhan.
(Surah An-Namlu: Ayat 45)
Perpaduan yang tegak tidak di atas kebenaran, tidak punya nilai di sisi Allah SWT. Tiada apa yang boleh dibanggakan dengan perpaduan yang sedemikian. Kalaulah perpaduan itu menjadi berharga, sudah tentu tidak perlu dibawa kebenaran untuk menggugat kesatuan yang telah sedia ada itu. Namun, disebabkan kebenaran itu lebih bermakna, maka perpecahan yang terjadi adalah harga yang murah sekali.
Hari ini, ada orang bercakap mengenai perpaduan Melayu. Ketika datang kalangan yang mendakwahkan kebenaran dengan pakej pemulihan sosial dengan mengusahakan penyingkiran orang yang rasuah, merosakkan Islam dan menindas masyarakat, maka soal perpaduan dikumandangkan. Seruan agar kesatuan dipertautkan lalu digenderangkan. Kita katakan bahawa perpecahan memang jalannya untuk meruntuhkan kezaliman, jahiliah dan kesesatan. Demikian itulah yang menjadi sunnah perjuangan para Rasul 'alaihimussolatu wassalam.
Tidak perlu bercakap mengenai perpaduan Melayu semata-mata kerana jika Melayu tidak tegak di atas prinsip Islam, tidak ada gunanya berpadu. Perpaduan hanya di atas prinsip Islam dan perpaduan atas prinsip kebangsaan, kepentingan kelompok tertentu hanya fatamorgana.
Alhamdulillah, dengan perpecahan rakyat Mesir kini sedang melakar sejarah baru perpaduan. Perpaduan yang berdiri di atas paksi keadilan rakyat dan nilai-nilai rabbani dalam sebuah negara Madani. Maka, jangan takut untuk berpecah kerana para Rasul yang datang kepada kaumnya telah memecahbelahkan mereka demi mendapat perpaduan di atas kebenaran.
Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya?