Sorang ustaz bukan sang pertapa yang duduk bersila atas batu besar dalam gua, melihat anak muridnya menunjukan pencak silat. Seorang ustaz bukan seorang sufi yang berjubah putih atau hitam duduk dalam biliknya larut dalam khalwat dan zikir. Seorang ustaz bukan seorang pengkarya yang sibuk dan bergelut di depan komputer mengarang kitab-kitab yang katanya akan diterbitkan buat menyirami nurani masyarakat. Seorang ustaz bukan seorang guru sekolah yang pergi sekolah atau madrasah sebagai rutin harian, kemudian pulang tidur bersama anak isteri dan hanya keluar semula esok paginya.
Tidak sayugia seorang ustaz hanya mengenal kerjayanya. Seorang tukang sapu sampah kadang-kadang jauh lebih mengenal kerjayanya berbanding seorang ustaz yang mengenal kerjaya gurunya. Ketaatan seorang bonzer yang mengawal kelab malam dalam menjalankan tugasnya lebih daripada ketaatan seorang ustaz dalam menjalankan tugas keguruannya.
Seorang peserta konvensyen dakwah bertanya kepada Ust. Nasaruddin Hasan semasa sesi soal jawab dalam slotnya tentang masalah ustaz-ustaz yang tidak keluar solat berjemaah.
"Ustaz tempatnya di masjid...", demikian jawapan Ust. Nasaruddin Hasan, "kalau ustaz tidak ke masjid, bagaimana dia mahu berdakwah orang lain ke masjid?".
Tiada penyelesaian mudah buat mengurai keengganan ramai ustaz untuk muncul bersolat jemaah di masjid.
Tiadalah harga pada seorang bergelar ustaz yang liat untuk ke masjid. Pergi ke masjid adalah syiar orang-orang yang beriman sebagaimana firman Allah SWT:
إنما يعمر مساجد الله من آمن بالله واليوم الآخر وأقام الصلاة وآتى الزكاة ولم يخشَ إلا الله فعسى أولئك أن يكونوا من المهتدين
Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain kepada Allah, Maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.
(Surah At-Taubah: 18)
Sungguh terkedu tatkala mendengar alasan ghuyubnya sebilangan ustaz dari masjid dan surau.
"Ana solat dengan anak isteri...tiada yang boleh mengimamkan mereka, kesihan isteri ana...solat seorang diri...dia pun nak pahala jemaah...",
" Ana tak yakin dengan kesucian carpet di surau...bernajis...banyak tahi cicak jatuh, dibuang dengan penyapu, tapi kesannya masih ada...mana suci kalau begitu",
" Ana solat di rumah lebih khusyuk...mendapat khusyuk dalam solat lebih utama",
" Ana tak yakin dengan bacaan imam yang satu tu, sebutan huruf 'dhod'nya ketika menyebut ghairil maghdhu bi 'alaihim tak tepat...:,
" Ana takut riak...baik solat di rumah sahaja...ikhlas",
Allahumma ya laital ustaz...
Begitu banyak alasan yang boleh dilontarkan. Biar seribu alasan, berhujjahlah di depan Allah di akhirat kelak. Kalaulah alasan itu akan diterima...
Alangkah terharu melihat seorang pakcik tua yang istiqamah ke masjid dan surau dalam keadaan ghaut mengganggu sendi lututnya. Sedang ustaz punya sepasang lutut tangkas buat meloncat lincah memburu bulu tangkis badminton. Sungguh malu, melihat seorang pakcik yang telah pencen, berjalan kaki ke surau, sedang ustaz punya motosikal buat meluncur segera ke masjid dan surau tanpa membuang waktu menghitung batuan aspal.
Wahai ustaz...ayuhlah ke masjid. Di sanalah kita suruh orang berjumpa kita saat ingin bertemu.
"Aku tampar kamu bukan sebab aku marah denganmu, ada nyamuk di pipimu",
Sudah lama rakyat negara kita menggunakan gula dalam makanan. Selama ini, tidak pula rakyat dilarang makan gula. Tidak pula dibuat kempen dalam media massa agar " kurangkan gula dalam minuman dan tambahkan manis dalam senyuman".Kini segala keburukan gula dibongkar dan dengan segala burukan itu dicelalah sikap rakyat menggunakan gula berlebihan.
Gula naik harga. Itulah isu utama. Untuk memesongkan tmpuan rakyat terhadap persoalan harga gula yang sudah naik, diwar-warkan bahaya gula.
Kenapa tidak berterus terang sahaja? Kerajaan ketandusan duit. Sebab itu harga gula dinaikan. Jangan beri alasan mulia untuk mendidik rakyat mengurangkan penggunaan gula. Kalau mahu mendidik rakyat kurangkan gula, lebih baik naikkan harga RM5.00 sekilo. Baru rakyat terdidik kurangkan gula. Kalau rakyat nak marah, marahlah. Peduli apa? Kerajaan punya hasrat mulia mendidik rakyat!
Ketika menaikan harga minyak, diberikan alasan murni. Agar rakyat kurang keluar berkereta di kala tak perlu. Agar warga kota berkongsi kereta. Berbagai-bagai alasan muluk dilontarkan. Entah apa ada di sebaliknya. Rakyat dikatakan didahulukan, tetapi dalam banyak hal, konglomerat yang kaya raya di dahulukan.
Mungkin merekalah rakyat yang dimaksudkan. Mungkin hanya merekalah punya pencapaian yang perlu diutamakan.
Malam ini kerajaan mengumumkan akan menjual beberapa syarikat di bawah Kementerian Kewaangan. Bukan kerana kerajaan tak ada duit untuk menguruskannya. Itulah penafian yang dibuat. Tetapi penafian tersebut tetap sebuah penafian bersulam alasan.
Bak kata pepatah, telunjuk lurus kelingking berkait.
Dengan jalan apa seseorang itu dianggap menghina Islam?
Apakah bila seseorang itu mengkritik sesuatu yang dikaitkan dengan Islam, dia boleh dikatakan menghina Islam? Sesuatu yang dikaitkan dengan Islam banyak sekali. Samada yang dikaitkan itu ada nama Islam secara langsung atau tidak langsung. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Istitut kefahaman Islam Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia, Parti Islam Semalaysia, Bank Islam, Takaful, Enakmen Pentadbiran Islam, Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam negeri-negeri, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, mufti, ulama dan banyak lagi, adalah antara perkara yang punya kaitan dengan Islam.
Apakah mengkritik yang tersebut itu menjadikan seseorang itu menghina Islam?
Inilah yang menjadi persoalan apabila YB Khalid Samad yang mengkritik Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor telah dicop menghina Islam oleh YB Zulkifli Nordin.
Apakah kritikan yang boleh dikatakan menghina Islam? Kalau mengkritik Enakmen Pentadbiran Agama Islam itu menghina Islam, bagaimana pula dengan mengkritik seorang Islam? Antara segumpal perkara dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam dengan sekumpulan orang Islam, apakah kedua-duanya boleh dikebalkan dari kritikan? Lantas sebarang kritikan dicap sebagai menghina?
Apakah sama mengkritik perkara asas (Usul) dalam Islam dengan mengkritik perkara cabang (Furu')? Apa itu asas?Apa itu furuk?
Antara nabi dengan orang Islam mana asas mana furuk? Mengkritik nabi samakah dengan mengkritik orang Islam? Bagaimana pula dengan kalangan yang mengkritik ulama? Apakah orang yang mengkritik Imam-imam mazhab dalam Islam boleh disamakan dengan mereka yang mengkritik nabi dan dianggap menghina Islam? Samada layak mengkritik atau tidak adalah persoalan kedua. Persoalannya, apakah mengkritik mereka satu penghinaan kepada Islam?
Antara Al-Quran dengan Enakmen, mana asas mana furuk? Mungkinkan ada orang berani mengatakan Enakmen itu asas? Mengkritik Enakmen samalah dengan mengkritik Al-Quran? Mengkritik Al-Quran adalah satu penghinaan terhadap Islam, lalu mengkritik Enakmen juga satu penghinaan terhadap Islam.
Betapa ramai kalangan kita yang mengkritik Bank Islam. Ramai pula yang mengkritik JAKIM. Ramai yang mengkritik OIC malah menterjemahkan akronim itu dengan terjemahan mempersenda "Oh I See". Apakah itu semua dikatakan menghina Islam?
Justeru, apakah mengkritik Enakmen Pentadbiran Agama Islam mana-mana negeri adalah perbuatan menghina Islam? Renung dan fikirkanlah dengan jiwa yang lapang dan terbuka?
Sudah menjadi sunnah Allah, dalam setiap negeri ada penjahat-penjahat besar. Di negeri Makkah, ketika Nabi Muhamad memulakan dakwah kerasulannya, penjahat-penjahat besarnya ialah Abu Lahab, Abu Jahal, Al-Walid bin Al-Mughirah,Umayyah bin Khalaf dan sebilangan pembesar Makkah yang lain.
Mereka cuba menghalang dakwah nabi Muhammad dengan pelbagai cara. Apa yang dihadapi oleh nabi Muhammad tersebut, telah dihadapi juga oleh nabi-nabi yang terdahulu seperti nabi Nuh, Lut, Soleh, Syuaib, dan nabi-nabi yang lain. Mereka ditentang, dihalang, dipersendakan, diancam dan pelbagai angkara lagi. Kewujudan penjahat besar yang menentang kebenaran yang dibawa oleh nabi-nabi dan orang yang memperjuangkan perjuangan nabi-nabi adalah sunnah Allah di alam ini. Ia adalah sperti sunnah Allah yang lain juga seumpama terbitnya mentari di sebelah timur. Ia tak bisa diubah. Pastikan akan ada penjahat-penjahat besar ini. Wujudnya mereka adalah cubaan kepada orang yang berjuang.
Dan Demikianlah kami adakan pada tiap-tiap negeri penjahat-penjahat yang terbesar agar mereka melakukan tipu daya dalam negeri itu. dan mereka tidak memperdayakan melainkan dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyadarinya.
(Surah Al-An’am: 123)
Kalau di zaman nabi Muhammad ada manusia bernama Abu Lahab, di zaman sekarang ada juga manusia Abu Lahab.Mungkin namanya lain tetapi dia adalah duplicate kepada Abu Lahab di zaman ini. Jika di zaman nabi Muhammad ada Al-Walid bin Mughirah, di zaman kini pun tentu ada manusia seperti dia. Perlu diingat, manusia seperti Abu Lahab dan Al-Walid bin Al-Mughirah bukanlah manusia kerdil dalam masyarkatnya. Mereka adalah tokoh besar yang berpengaruh dan punya kemudahan dan infrastruktur yang banyak. Pengikut mereka juga ramai. Tentunya manusia Abu Lahab dan Al-Walid bin Al-Mughirah pada zaman kini bukan dari jenis yang miskin dan kumpulan bawahan dalam strata masyarakat. Bukan juga dari kalangan yang tidak puntai pengikut.
Merekalah penjahat-penjahat besar dalam negeri yang menimbulkan kerosakan.
Siapa yang mencuri enjin jet yang dilaporkan hilang baru-baru ini? Siapa lagi kalau bukan penjahat besar dalam negeri!
Siapa yang menyonglap wang negara sehingga berlaku ketirisan dalam perbelanjaan negara? Siapa lagi kalau bukan penjahat besar dalam negeri!
Berbagai-bagai angkara para penjahat besar dalam negeri.
Dia adalah penjahat walau dia berbicara lunak dan pandai bermadah. Walau rakyat terpesona dan mengatakan dia tokoh unggul, wira dan berbagai-bagai bintang kebesaran diraih olehnya.
Semoga Allah memberi balasan kepada para penjahat dalam negeri. Allah matikan Abu Lahab dan Al-Walid bin Mughirah dengan ketewasan yang menghinakan dalam perang Badar, biarlah penjahat dalam negeri itu mengalami nasib yang sama. Memang itulah kesudahan penjahat dalam negeri yang tertera di dada sejarah. Memang itulah sunnah Allah buat sang penjahat dalam negeri.
Menjadi orang alim adalah dambaan ramai orang. Kedudukan orang alim mengatasi kedudukan orang yang tidak alim beberapa darjat. Di antara orang alim dengan ahli ibadat, orang alim lebih tinggi darjatnya. Seperti lebihnya bulan di atas bintang. Tidur orang alim lebih baik daripada ibadat orang jahil.
Ibuku pernah bermadah, alangkah beruntungnya kalau dapat bersemadi di perkuburan pinggir jalan kerana orang alim selalu melintasi jalan tersebut. Hanya dengan lalunya orang alim, ahli kubur mendapat keringanan daripada azab kubur. Tidaklah aku tahu sumber mana yang dipetik oleh ibuku. Tapi, aku cukup faham bahawa dalam banyak hal sandaran ibuku adalah tok-tok guru. Itulah sandaran utama almarhum bapaku masa hayatnya dahulu dan demikianlah sandaran generasi tua keluargaku.
Ketika bertanya dengan seorang pelajar di sebuah mahad tahfiz swasta, dia mengatakan dia sudah manamatkan pengajian tahfiz dan sedang menjalani pengajian 'alim'. Dalam tahun pengajian yang agak panjang, dia akan lahir sebagai seorang hafiz yang alim. Dengan kata lain, dia hafal 30 juzuk al-Quran dalam dada dan meguasai ilmu-ilmu Islam. Dia khatam kitab-kitab yang telah ditentukan sebagai rujukan pengajiannya 'safhan bisafhin'.
Almarhum bapakau pernah bermadah, ketika mendesakku menyambung pelajaran ke Al-Azhar, bahawa dia menerima petua dari orang terdahulu, barangsiapa yang minum air sungai Nil, menjadi alimlah dia. Harapan bapaku agar anaknya menjadi orang alim.
Demikianlah harapan orang untuk menjadi orang alim. Penuntut ilmu agama mahu menjadi alim.Ibu bapa menyimpan harapan agar anaknya menjadi orang alim.
Ada yang belajar agama di sekolah pondok bertahun-tahun agar menjadi orang alim. Dari muda belia sehinggalah tua beruban berumur masih menadah kitab. Bertalaqi dengan Tok Guru. Ada yang menyambung pelajaran hingga ke universiti dalam bidang agama.Baik universiti dalam negara mahupun ke luar negara. Ada yang belajar di universiti terkemuka dan ada yang mencari 'zawiyah-zawiyah' yang menyebarkan ilmu Islam di negara-negara tertentu seperti Yaman, Arika Selatan dan Pakistan. Harapan yang digantungkan, mahu lahir sebagai orang alim. Orang yang menguasai ilmu-ilmu Islam.
Beruntunglah menjadi orang alim. Tetapi, di atas semua keberuntungan menjadi orang alim itu, paling beruntung adalah orang alim yang diberi faham agamanya. Terdapat ramai sekali orang yang alim. Ramai juga yang disangka alim tetapi tak alim. Cuma pakaiannya menampakkan ciri orang alim. Walaupun ramai yang alim atau dianggap alim,tak ramai yang diberi faham tentang ilmu yang dimilikinya.
Menjadi orang faham dalam agama tidak mudah. Sekadar menghafal 30 juzuk Al-Quran belum boleh dikatakan faham dalam agama. Sekadar menghafal matan-matan beberapa kitab belum boleh dikatakan faham dalam agama. Sekadar membaca kitab-kitab turath maupun kontemporari belum cukup menjadi seseorang itu faham dalam agama. Kebolehan mengajar khalayak dengan membacakan kitab-kitab, pun bukan bermakna seseorang itu faham dalamagama.
Itulah yang didoakan nabi Muhammad SAW buat sahabat yang terkenal dengan kehebatan tafsirnya terhadap isi kandungan Al-Quran, Abdullah bin Abbas:
اللهم فقه في الدين وعلمه التأويل
"Ya Allah, Fahamkan dia dalam agama dan ajarkanlah dia ta'wil!"
Kefahaman Abdullah bin Abbas terhadap agama dan kemampuannya menta'wil terserlah dalam sebuah riwayat Imam Bukhari dalam Sahehnya mengenai tafsir surah An-Nasr.Oleh kerana Umar Al-Khattab memasukkan Abdullah bin Abbas yang waktu itu masih muda remaja dalam majlis mesyuarat yang terdiri daripada veteren ahli-ahli Badar, mereka mempersoalkan tindakan Umar Al-Khattab itu. Menangani kritikan para sahabat itu, Umar Al-Khtaab memanggil mereka dan berkata:
"Pada hari ini aku mahu tunjukkan kepada kamu semua satu perkara yang kamu akan akui sebagai kelebihannya", Lalu Umar Al-Khattab meyuruh mereka menjelaskan maksud surah An-Nasr:
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ
Apabila datang pertolongan Allah
Maka, mereka menjelaskan bahawa surah tersebut adalah Allah menyuruh nabinya agar memuji Allah dan memohon ampun daripadaNya ketika melihat manusia memeluk Islam berduyun-duyun. Lalu, Umar Al-Khattab bertanya kepada Ibn Abbas tentang maksud ayat tersebut, lalu Ibn Abbas berkata:
"Allah memberitahu nabiNya bila dia akan wafat",
Demikianlah tajamnya fikiran Ibn Abbas di atas segala sahabat yang terlebih dahulu memeluk Islam dan lebih awal mendengar Al-Quran. Itulah seorang yang diberi faham dalam agama dan dilimpahkan kurnia kemampuan menta'wil.
Menjadi faham dalam agama membuat seseorang itu dapat meneropong isu sebenar di sebalik isu-isu tempelan. Lalu dia dapat mengulas penyelesaian terhadap sesuatu yang menjadi inti persoalan dan tidak disibukkan dengan persoalan tumpangan. Seorang yang diberi faham dalam agama, dalam banyak hal, mengemukakan pandangan dalam ruang khilaf yang kelihatan berbeza daripada pandangan ramai. Seringkali, seorang yang diberi faham dalam agama menghadapi tentangan daripada sebilangan orang alim.
Orang yang diberi faham agama sentiasa menjadikan dalil sebagai makanannya dalam berhujjah.
Orang yang diberi faham dalam agama, bila berhujjah, tidaklah akan berkata:'guruku telah berkata...kitab sekian menyebutkan...", lalu disenaraikan pulihan kitab rujukan karangan ulama muktabar.
Orang yang diberi faham dalam agama menampilkan agama dalam neraca yang menjadikan orang rasa mudah untuk mengamalkannya.
Orang yang diberi faham dalam agama, menyuluh jalan beragama untuk orang lain ke satu jalan yang jelas,meyakinkan dan jauh daripada keraguan ahli bid'ah dan orang berkepentingan.
Orang yang diberi faham dalam agama, terserlah dalam pendekatannya yang jauh daripada emosi dan hamasah.
Dalam sebuah kelas, tingkatan dua, di sebuah sekolah menengah agama rakyat...seorang ustaz leka mengajar mata pelajaran tafsir sehingga masa sudah habis. Kelibat guru mata pelajaran seterusnya yang sampai ke pintu kelas disedari oleh murid-murid. Agak lama guru itu menanti dan akhirnya dia pun hilang. Barangkali kembali semula ke bilik guru.
"Ustaz,masa dah habis...", tiba-tiba seorang murid mencelah. Ustaz itu terhenti mengajar dan matanya nyalang merenung murid berkenaan. Murid-murid yang lain diam. Kecut perut.
Bedebaaammm!
Ustaz itu melepaskan kemarahannya dengan menampar papan tulis berwarna hijau. Debu-debu tulisan kapur berhamburan.
"Inilah orang yang tak suka belajar agama...apa pulak masa dah habis? Orang tengah mengajar dengarlah...jangan menyampuk...", ustaz itu menghamburkan seranahnya. Serentak dengan itu digapainya sebuah meja paling hadapan dan dihentaknya keras.Marah amat dia dengan teguran murid tadi. Barangkali teguran itu benar-benar mencabar keustazannya.
Ustaz itu keluar sambil mulutnya terus marah-marah dan mengancam murid itu. Murid itu diam dan semua murid lain juga diam. Tak disangka bahawa ustaz itu benar marah dengan sebab peringatan masa itu.
Itulah sebuah cerita tentang kemarahan seorang ustaz. Murid yang menegur itu adalah aku. Kini ustaz itu telah pun almarhum. Semoga Allah menempatkannya di kalangan orang baik-baik.
Kisah ustaz marah ini amat biasa. Ia lebih kerap didengar berbanding kisah kemarahan cikgu geografi, sains, matematik,Bahasa Malaysia atau lain-lain subjek.
Pada satu ketika, seorang kawan menceritakan kepadaku dendam membaranya kepada ustaz Z. Katanya ustaz Z telah menamparnya kerana bersembang dalam kelas sewaktu dia sedang mengajar. Ustaz itu, tanpa amaran telah melayangkan pelempang ke pipinya. Kawan itu menceritakan hal itu kepada tok wannya dan kata tak wannya, belum pernah ada anak cucunya ditampar. Pantang keturunannya ditampar. Dibakar dengan semangat keturunan itu, kawan tersebut telah pergi bertemu bomoh ilmu hitam untuk mengenakan ustaz itu.
"Sanggupkah kamu membalas tamparan ustaz itu dengan meminta tolong kepada syaitan?', aku memberi nasihat kepada kawan itu sewaktu dia menceritakan bahawa dia telah mendapat 'barang' daripada bomoh itu untuk ditanam di tempat yang akan dilalui ustaz itu. Sebiji telur yang telah dijampi dan dapat berdiri sendiri.
Mujur Allah SWT telah membetulkan hati kawan itu dan dia tidak jadi meneruskan niatnya.
Mengapa ustaz selalu disinonimkan dengan kegarangan, hatta menghampiri gaya samseng dan gengster? Berita dalam Harian Metro yang melaporkan seorang ustaz sebuah Ma'ahad Tahfiz di Taman Melawati yang 'menggila' dengan memukul muridnya adalah satu tamparan kepada para ustaz. Ustaz dilihat sebagai individu yang panas baran, pemarah dan garang. Alangkah remuknya hati sang ayah yang menghantar anaknya ke Ma'had Tahfiz tersebut dengan harapan menjadi insan mulia yang tergolong kalangan 'huffaz'.Bagaimanalah akan lahir insan mulia dari insan hina yang bersultankan kemarahan dan panas baran menjadi mahkotanya.
Aneh sekali, ustaz yang membuka sebuah ma'had tahfiz, kemungkinan besar 'hafal' Al-Quran 30 juzuk, tapi tak meng'hafaz' Al-Quran dalam dirinya. Akhlaknya tersasar daripada akhlak Al-Quran.
Sebab itu, para ustaz perlu menyahut seruan ini:
Jangan marah!
Renungkan sebuah hadis...
عن أبي هريرة رضي الله عنه ، أن رجلا قال للنبي صلى الله عليه وسلم : " أوصني " ، فردّد ، قال : ( لا تغضب ) رواه البخاري
Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Rasulullah SAW: “Berikan daku wasiat”, maka diulang-ulangkan (permintan itu), lalu baginda berkata: “Jangan Marah”. (Hadis Riwayat Bukhari)
Mahkota orang baik-baik, antaranya adalah menahan kemarahan, sebagaimana firman Allah SWT:
الذين ينفقون في السراء والضراء والكاظمين الغيظ والعافين عن الناس والله يحب المحسنين
(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.
(Surah Ali Imran: 134)
Ustaz yang pemarah,panas baran, pendendam, dan menjadikan kegarangan sebagai kebanggaanya, sepuluh kali lebih rendah daripada yang bukan dipanggil ustaz. Ini kerana sifat-sifat itu keji dan negatif pada pandangan orang. Dengan memakai pakain tersebut, ustaz terbabit mempalitkan cemar najis kekotoran kepada wajah bersih putih agama Islam.
Surau Al-Fajar, Taman Fajar, Sandakan, kini sedang dalam proses pembaikan beberapa bahagiannya. Kerja-kerja baikpulih ini dibuat dengan menggunakan dana yang datang daripada sumbangan orang ramai. Ini termasuklah sumbangan derma ahli jema'ah sepanjang bulan Ramadhan tahun lalu dan juga Hari Raya. Walau bagaimanapun, dana terkumpul sepanjang tahun lalu yang berjumlah sekitar RM20,000.00 telah hampir habis digunakan untuk tujuan kerja-kerja baik pulih tersebut. Mengikut pengerusi surau, Tn Hj. Ayung Hasan, projek baik pulih surau kali ini telah dilakukan secara berjimat cermat iaitu dengan membeli bahan-bahan binaan sendiri dan mengupah tukang membuatnya. Ini lebih jimat berbanding menyerahkan urusan pembelian kepada tukang.
Sungguhpun begitu, dana tambahan sebanyak RM2500.00 diperlukan untuk memperbaiki lantai surau yang telah reput di beberapa bahagian. Bagi tujuan mengumpul dana tersebut, atas permintaan pengerusi, agar difikirkan cara mendapatkan jumlah tersebut secepat mungkin, setelah berbincang dengan sahabat-sahabat di surau Al-Fajr, pada malam ini aku melancarkan kempen di bawah program yang kunamakan "JARYAH 50".
Sungguhpun kempen ini hanya mensasarkan 50 orang yang akan menyumbangkan RM50.00 seorang bagi melengkapkan jumlah RM2500.00, sumbangan tambahan masih diperlukan. Ini kerana, jika ada dana yang selesa, projek tambahan memperluaskan bukaan surau akan dibuat. Bagi sahabat pembaca blog yang berminat untuk menyalurkan sumbangan bagi bagi tujuan pembangunan dan pembaikan surau Al-Fajar, bolehlah menghubungi saya pada talian 0198409708 untuk mendapat tahu cara menyalurkannya.
Masa kecil, aku dan kawan-kawan sekampung sering bermain laga semut hitam. Dua semut hitam dibuang sesungutnya dan kemudian didekatkan agar keduanya berkelahi. Maka berkelahilah keduanya sehingga ada yang putus kaki, putus badan dan akhirnya kedua-keduanya mati. Zaman itu, bila dikenangkan, kami kanak-kanak kampung yang sadis. Kejam dan tega.
Melihat pertengkaran dalam blog antara kelompok yang pro dan kontra berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, aku teringat kisah semut hitam yang diperlagakan itu. Ada yang merasakan bahawa apa yang dipertahankan adalah perjuangan Islam. Oleh itu tenaga dan masa sanggup dikuraskan demi mempertahankannya.
Pertikaian panjang antara YB Zulkifli Nordin dan YB Khalid Samad sudah cukup membosankan. Isu kalimah Allah yang masih dilagukan itu sudah menjadi lagu sumbang yang tidak memikat lagi. Baik daripada pihak yang pro dan kontra, seharusnya memahami bahawa isu itu adalah laksana tiupan angin yang dipuputkan dari mulut sang gergasi yang sedang sakaratul maut. Bau hanyir dan hapak muslihat itu sepatutnya boleh dicium oleh ramai orang.
Semut hitam yang kehilangan sesungut memang selalu suka bergaduh. Berpanas dan berbaran.
Seorang AJK Pas Kawasan di Kedah bercerita kepadaku tentang kekesalannya terhadap sikap pimpinan peringkat kawasan yang memandang rendah kepada program-program tarbiah. Katanya, usrah kurang mendapat sambutan. Mereka mendakwa bahawa mereka sudah cukup kuat menyokong perjuangan dan tidak perlu lagi diusrahkan.Sesetengah mereka memperlihatkan sikap fobia terhadap agenda tarbiah. Ketika mesyuarat AJK dijalankan, hamba Allah tersebut cuba mengambil kesempatan memasukkan slot tazkirah sebagai permulaan agenda. Namun, ada yang melahirkan ketidakpuasan dan mengatakan mesyuarat perlu fokus kepada mesyuarat dan tidak perlu ada tazkirah.
Aku teringat mesyuarat kurikulum di sekolahku. Sebelum mesyuarat, ada tazkirah ringkas. Sungguh...lebih baik mesyuarat di sekolahku daripada mesyuarat yang dinafikan pengisian tarbiah itu, biarpun mesyuarat sebuah gerakan Islam.
"Dia sangat angkuh untuk ditarbiah!", keluh AJK yang punya kesedaran itu.
" Dari mursyidul am hinggalah ke Wazifatul am...perlu bersedia untuk ditarbiah....", Ketua Pemuda PAS, Ust Nasruddin Hassan At-Tantawi mengungkapkan ketika menyampaikan slot tamrin pemuda.
Tidak ada orang yang boleh mendabik dada bahawa dia telah kuat dan setia kepada perjuangan. Seseorang itu mungkin kuat pada hari ini, sewaktu belum diuji. Tanpa tabiah, ketika diuji, dia akan lemah dan tewas. Dia, akan lari dari perjuangan sebagaimana mereka yang telah lari dengan sebab tarikan harta, pangkat dan pesona dunia. Mungkin juga disebabkan tidak tahan ditekan, diancam, disiksa, ditakutkan dan sebagainya. Kalaupun tidak lari dari perjuangan, tanpa tarbiah, dia akan dijangkiti penyakit futur dan gugur dari medan perjuangan.
Amal tabawi adalah ramuan yang membezakan antara mereka yang terjun ke medan perjuangan kerana meladeni politik kuasa dengan mereka yang berpolitik untuk dakwah.
Di sebuah kampung yang terkenal warganya sebagai pendokong sebuah parti harakah Islam, masjidnya hidup segan mati tak mahu. Solat jemaah lesu dan kekadang tidak ada orang.Aktiviti ilmu dan kerohanian tidak digerakkan sebagaimana sepatutnya.
Ironinya pula, di sebuah masjid di sebuah kampung yang pendudukanya terkenal sebagai pendokong sebuah parti kebangsaan, masjidnya makmur dan wajah-wajah yang dikenal pendokong parti kebangsaan hadir mengimarahkannya.
Ini bukan satu cerita kosong. Ini realiti yang berlaku di beberapa tempat. Walau bukan semuanya.Apa maknanya semua ini?
Inilah jawapan kepada keperluan sebuah amal tarbawi dalam sebuah perjuangan. Perjuangan bukan pada rajin hadir mendengar ceramah. Perjuangan bukan pada suara gegak gempita memberi respons terhadap isu semasa. Bukan pada pintar berbicara mengulas isu di kedai kopi. Perjuangan bukan pada semangat yang ditunjukkan pada demo-demo jalanan. Bukan! Perjuangan adalah pada istiqamah di atas kebenaran sepanjang hayat kurniaan ilahi. Istiqamah di atas jalan dakwah para nabi-nabi dan salafus soleh.
Wahai pemimpin sebuah gerakan. Jika hidupmu tidak disokong amal tarbawi, keterlibatanmu dalam wadah perjuangan Islam adalah sama dengan keterlibatan mereka dalam sebuah perjuangan selainnya. Akan kupersoalkan, berapa banyak usrah yang telah kau hadir? Tak kira sebagai ahli biasa atau naqib. Bukan berapa banyak ceramah yang telah kau sampaikan. Akan kutanyakan berapa banyak qiam yang kau tegakkan? Di mana solatmu maghrib dan insya tadi? Paling penting di mana kamu berjemaah Subuh tadi pagi? Banyak persoalan yang bersenadung dalam hati ingin kutanyakan kepadamu. Soalan bagi mengukur keperihatinanmu terhadap amal tarbawi. Sebelum kuakui tunduk kepadamu sebagai pemimpin yang memegang sepanduk 'wala'.
Agar kutahu bahawa kamu benar-benar pemimpin sebuah gerakan Islam dan bukan pemimpin sebuah parti. Andainya kamu pemimpin sebuah parti, kedatanganmu tidak kutunggu dan kehilanganmu tidak kutangisi. Tiada kemboja cinta buat kutanam dipusaramu.
Seorang Hitler lebih kukagumi daripadamu. Seorang Mahatma Ghandi lebih mempersona. Menderngar ceramah Sukarno lebih mengkhusyukkan. Andainya Amal tarbawi bukan keutamaan.
Hujung minggu ini aku ke Kota Kinabalu bersama sebilangan sahabat. Perjalanan pergi dan kembali diiringi dengan hujan yang turun tanpa henti. Perjalanan pergi pada jam 12 malam menempuh malam gelap berkabus dan berbahaya. Terdapat beberapa kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang dalam perjalanan di beberapa lokasi antara Telupid ke Tamparuli. Namun, Alhamdulillah, ia tidak sampai menggencatkan perjalanan dan kami tiba dengan selamat ke Bandaraya Kota Kinabalu menjelang pagi.
Tanah runtuh selepas Bundu Tuhan
Sarapan pagi di Masjid Negeri, Sembulan, Kota Kinabalu.
Program yang disusun berjalan sebagaimana biasa. Para pemuda yang berkongsi tekad untuk menyemai dakwah Islamiyyah di bumi Sabah datang dari segenap ceruk Sabah.
Keadaan cuaca yang buruk dan hujan sepanjang hari menyebabkan kami mengambil keputusan untuk pulang ke Sandakan segera menjelang petang. Perjalanan pulang masih diiringi dengan hujan yang tidak menampakkan tanda-tanda akan berhenti. Di beberapa tempat, hujan turun renyai-renyai dan di beberapa tempat yang lain ia turun mencurah-curah. Keadaan hujan lebat tersebut berlaku di seluruh Sabah. Dari Tawau hinggalah ke Kudat.
Perjalanan pulang ke Sandakan tersekat apabila kami melepasi daerah Telupid dan melepasi simpang ke Sapi Nangoh. Ketika itu malam telah melepasi jam 11 malam. Air sungai telah naik melimpah ke jalanraya yang merentasi sungai Muanad. Sebahagian daripada jambatan sungai tersebut berada di bawah paras air. Banyak kereta yang berbaris-baris. Sebahagian pemandunya tidak tahu hujung pangkal masalah dengan lengkap. Ada yang mengandaikan tanah runtuh. Ada yang menunggu kereta di hadapan bergerak dengan andaian air tidak cukup tunggi. Tetapi, rasanya ramai mengetahui bahawa masalahnya adalah banjir.
Beberapa sahabat keluar memantau keadaan jalan dan kemungkinan merentasi banjir tersebut untuk kembali ke Sandakan. Masing-masing berhasrat untuk meletakkan kepala di atas pembaringan selesa di rumah masing-masing pada sebahagian malam yang berbaki itu. Ternyata ramai yang tidak berani melepasi kawasan banjir tersebut. Sementelahan malam gelap dan tidak dapat mengukur tahap keselamatan. kenderaan ketika meredah air. Kami membuat keputusan untuk berpatah balik mencari mana-mana masjid buat beristirehat pada malam tersebut. Bagaimana mungkin hendak ditunggu kemungkinan perjalanan traffic kembali lancar sedangkan hujan masih turun bagai tidak akan berhenti. Padahal, kami perlu berehat dan paling penting mencari tempat yang boleh menunaikan hajat. Perut yang sakit dan pundi kencing yang sarat adalah dua ancaman keselesaan ketika perjalanan jauh.
Sebuah masjid yang terletak di jalan Sapi Nangoh menjadi pilihan kami. Sekurang-kurang kami boleh solat subuh di esok paginya. Ada sebuah keluarga yang mengalami nasib yang sama turut bermalam di sana.
Paginya, kami merisik khabar daripada beberapa sahabat di Beluran. Kalau-kalau air telah surut. Kami menalifon Balai Polis Beluran untuk mendapat khabar terkini mengenai keadaan banjir. Jawapannya air bertambah naik. Sambil menanti air surut dengan penuh harapan, kami melencong ke Air terjun Bakung-Bakung, lokasi yang disasarkan sebagai tapak program dakwah-tarbiah pada masa terdekat. Alang-alang sudah berada di Ulu Sapi, kami mengambil peluang memantau tempat tersebut dan menilai potensinya.
Suasana di air terjun Bakung-Bakung.
Sekembali melawat Air terjun Bakung-Bakung, kami singgah bersarapan pagi di sebuah restoran di Ulu Sapi yang dikendalikan oleh warga Pakistan. Restoran Bintang Adil namanya. Ramai mangsa kandas banjir singgah bersarapan.
"Sungguh berani orang Pakistan...", seorang sahabat menyuarakan kamentarnya tentang keberadaan sebuah restoran milik orang Pakistan di sebuah tempat yang jauh dari kelompok mereka dan di keliligi oleh masyarakat estet. Sememangnya dalam banyak keadaan, orang Pakistan memperlihatkan semangat yang tinggi dalam membagunkan taraf hidup mereka. Kekadang, di sebuah daerah pendalaman di Ulu Sarawak, kita akan bertemu dengan seorang pemuda Pakistan menjual kain.
Menunggu air surut tidak menyelesaikan masalah kami. Kami mahu balik ke rumah di Sandakan. Oleh itu, kami bersetuju untuk membuat keputusan untuk pergi ke kawasan yang dinaiki air, iaitu jambatan sungai Muanad. Beberapa pilihan telah menjadi perbincangan, termasuklah meredah dengan berjalan kaki dan meninggalkan kereta di rumah seorang warga Ulu sapi yang berada di sekitar kawasan banjir, lalu datang mengambilnya semula bila air surut. Namun, ketika kami sampai, ramai yang menyemberang dengan menolak kereta yang dimatikan enjinnya.
Beberapa pemuda di lokasi tersebut menawarkan kepada pemandu yang terkandas dan mahu segera melintas halangan air banjir untuk menolak kenderaan dengan bayaran RM30.00. Beberapa orang menerima tawaran tersebut dan kami melihat kereta mereka berjaya berada disemberang dengan selamat.
Menunggu giliran merentas banjir.
Menilai kemungkinan sebuah kereta Unser melepasi halangan banjir.
Alhamdulillah, kami berjaya sampai ke semberang jambatan dengan selamat. Walaupun kami basah dek hujan, selamat RM 30.00. Anak Legeh yang bertolak pulang lebih lewat daripada kami bersama sahabat seperjuangannya dari Kinabatangan berjaya menyelamatkan diri mereka dari kebasahan dek hujan dan meredah air banjir tetapi telah mengorbankan RM30.00.
Perjalanan yang meletihkan tetapi satu tamrin yang berkesan Allah kurniakan kepada kami. Demikian yang dapat dirasakan. Semoga Allah memberikan lonjakkan semangat kepada pemuda-pemuda yang terpilih dan jadikanlah kami orang yang terpilih itu. Allahumma ameen.
Cerita Salasilah
-
Orang-orang di sekitar kampungku ramai yang masuk dalam kumpulan yang
dinamakan keturunan Wan Mustapha. Menurut Cerita, Wan Mustapha itu
bersambung lelu...